Tuan Pengerusi,
Saya bangun untuk membangkitkan isu mengenai hala tuju diplomasi ekonomi negara kita, iaitu penglibatan Malaysia dalam blok BRICS dan status hubungan strategik kita dengan Republik Rakyat China.
Negara China akan mengambil alih kepengerusian BRICS pada tahun 2027 dan bakal menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak BRICS ke-19. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Malaysia kini telah rasmi diterima sebagai salah satu daripada 13 negara rakan kongsi atau Partner Country BRICS.
Mengikut data kerajaan, perdagangan Malaysia dengan negara-negara BRICS menyumbang sebanyak 27.7 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan global kita bagi tahun 2025, dengan nilai perdagangan yang mencecah RM846.5 bilion. Ini bukan satu angka yang kecil.
Justeru, adalah amat penting bagi Malaysia untuk menggunakan peluang kepengerusian China ini bagi memainkan peranan yang lebih besar dalam proses BRICS demi kepentingan pelbagai sektor di negara kita.
Di sini saya ingin mengemukakan soalan kepada kementerian. Apakah pihak kementerian telah merangka agenda dan perancangan konkrit Malaysia dalam persidangan BRICS bagi tahun hadapan? Kementerian manakah yang sebenarnya mengetuai penyelarasan silang antara MITI, MOSTI, Bank Negara, dan agensi-agensi kerajaan yang lain? Kita perlukan penyelarasan ini supaya kita boleh membentangkan satu agenda Malaysia yang bersatu padu dalam kerjasama antarabangsa ini.
Tuan Pengerusi,
Sebagai mantan Menteri Industri Utama, saya ingin menyeru kerajaan dengan tegas menggunakan platform BRICS 2027 ini untuk meneroka pasaran baharu bagi komoditi strategik kita, terutamanya minyak sawit, ke negara-negara anggota BRICS yang lain.
Ini merupakan langkah serampang dua mata yang amat penting untuk kita menangani sekatan perdagangan berat sebelah, khususnya diskriminasi terhadap minyak sawit kita daripada blok Barat.
Tuan Pengerusi,
Menyentuh mengenai hubungan dua hala dengan China, rekod rasmi menunjukkan bahawa pada 16 April 2025, YAB Perdana Menteri dan Presiden Xi Jinping telah menyaksikan pertukaran serta menandatangani 31 Memorandum Persefahaman (MoU), Nota Kerjasama, dan dokumen strategik.
Perjanjian berskala besar ini merangkumi sektor kritikal termasuk kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, pengecualian visa, perkhidmatan perdagangan, teknologi hijau, serta pengangkutan rel.
Persoalan saya kepada kementerian: Apakah kerajaan mempunyai satu unit khas yang memantau dan mengadakan tindakan susulan secara berkala terhadap kesemua 31 MoU yang ditandatangani antara Malaysia dengan China ini?
Rakyat mahu tahu, berapa MoU yang ditandatangani ini yang benar-benar telah membuahkan hasil, dan berapa banyak pula yang langsung gagal atau sekadar menjadi ‘gajah putih’ di atas kertas? Bolehkah kementerian membentangkan satu laporan status yang komprehensif kepada Parlimen mengenai perkembangan MoU dengan negara China ini?
Jangan kita sekadar gah menandatangani perjanjian, tetapi pelaksanaannya lebur begitu sahaja.
Akhir kata, saya ingin bertanya:
Pertama, apakah kerajaan telah merangka satu strategi ekonomi yang bersepadu dan holistik dengan China?
Kedua, badan manakah yang bertanggungjawab menyelaraskan strategi perhubungan makro antara Malaysia dan China ini?
Adakah kita mempunyai satu jawatankuasa induk yang menyelaras usaha-usaha di bawah MITI, MOSTI, Kementerian Kewangan, Bank Negara, dan agensi-agensi berkaitan yang lain? Penyelarasan ini amat penting supaya Malaysia dapat membentangkan pendirian yang konsisten dan mengeluarkan satu suara yang sama dalam memelihara kepentingan strategik negara dalam hubungan Malaysia dengan China.
Teresa Kok

