Puan Teresa Kok Suh Sim [ Seputeh ] minta MENTERI PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA menyatakan apakah pencapaian Kementerian dalam Tahun Melawat Malaysia 2026. Apakah unsur baru dan fokus baru yang akan dimasukkan dalam Tahun Melawat Malaysia pada 2027.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Berdasarkan Akaun Satelit Pelancongan 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor pelancongan merekodkan pertumbuhan sebanyak 8.6 peratus dengan nilai tambah RM323.0 bilion, bersamaan 15.9 peratus kepada KDNK negara dan menyokong kira-kira 3.7 juta pekerjaan.
Prestasi ini memberi asas yang baik untuk kesinambungan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) diteruskan bagi pertumbuhan ekonomi negara.
Sepanjang VM2026, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Jabatan/ Agensi di bawahnya telah mempergiat promosi di pasaran antarabangsa dan domestik melalui misi jualan, pameran pelancongan, program Mega FAM serta pelbagai program dan acara di seluruh negara.
Pendekatan ini dilaksanakan secara Whole-of-Government dengan penglibatan kementerian dan agensi Kerajaan, Kerajaan Negeri serta pemain industri.
Penjenamaan “Surreal Experiences” turut mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui PATA Gold Award 2026.
Malaysia juga diiktiraf sebagai Best Meetings Destination (Asia) 2026 di M&C Asia Stella Awards dan Top Muslim-Friendly Destination (OIC) dalam Global Muslim Travel Index (GMTI) 2026.
Bagi VM2027, Kementerian akan meneruskan momentum ini melalui strategi dwi-pasaran yang lebih berfokus, iaitu memperkukuh pasaran antarabangsa berpotensi tinggi di samping merancakkan pelancongan domestik, dengan tumpuan kepada segmen bernilai tinggi dan tempoh tinggal lebih panjang seperti MICE, destinasi untuk perkahwinan dan bulan madu, wellness, medical tourism, pendidikan, gastronomi,
ekopelancongan dan pelancongan berasaskan alam semulajadi.
Pada masa yang sama, promosi akan diperluas kepada lebih banyak destinasi dan produk di seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar dan komuniti setempat, dengan penggunaan platform digital dan kandungan yang lebih bersasar.
Pendekatan ini bertujuan memperkayakan pengalaman pelawat, menggalakkan tempoh tinggal dan perbelanjaan yang lebih tinggi serta memastikan limpahan ekonomi dapat dirasai dengan lebih meluas oleh PMKS, komuniti dan pemain industri tempatan.
Kementerian berpandangan bahawa kejayaan pelancongan bukan sekadar diukur melalui jumlah ketibaan, tetapi juga nilai ekonomi yang dijana dan manfaat yang dirasai oleh rakyat.
Momentum VM2026 akan terus dimanfaatkan bagi memastikan pelancongan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.
Sekian, terima kasih.
#teresakok
#parlimenmalaysia

