ISU PERTAMA:
Garis Masa Pelaksanaan RUU Pindaan Perlembagaan 2025 & Permohonan Naturalisasi Perkara 19 Bagi Anak Dewasa Yang Lahir di Luar Negara
Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan RUU Pindaan Perlembagaan 2025 yang bersejarah dalam Disember 2024. RUU ini kemudian telah diperkenakan oleh YDP Agong pada 7 Mac 2025 dan diwartakan pada 20 Mac 2025. Namun, sehingga hari ini, keluarga-keluarga yang terlibat masih menanti-nantikan tarikh penguatkuasaan RUU tersebut.
Ketiadaan tarikh rasmi pelaksanaan telah menimbulkan kebimbangan yang amat besar di kalangan ibu warganegara Malaysia yang berada di luar negara, khususnya ibu-ibu yang telah memasuki trimester ketiga kehamilan, mereka kini perlu buat Keputusan samada balik ke Malaysia untuk melahirkan anak ataupun tidak, kerana mereka ingin memastikan anak mereka memperolehi kewarganegaraan Malaysia.
Saya menggesa Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri untuk menyegerakan pengumuman tarikh penguatkuasaan RUU demi memberi kepastian undang-undang kepada keluarga yang terlibat supaya mereka boleh buat perancangan yang teratur untuk anak-anak mereka.
Sehubungan dengan itu, saya juga ingin tanya Kementerian Dalam Negeri tentang ibu-ibu Malaysia yang berstatus warga emas yang mempunyai anak dewasa yang dilahirkan di luar negara.
Dalam sidang Parlimen yang lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri memberi respons yang positif kepada saya dengan menyatakan anak dewasa yang dilahirkan di luar negara dan tidak dapat memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2), boleh membuat permohonan kewarganegaraan melalui proses naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
Selepas kenyataan YB Timbalan Menteri di Parlimen, ibu warga Malaysia berkenaan pun membuat permohonan mereka tetapi mereka masih menghadapi pelbagai cabaran dari segi struktur dan pentadbiran di peringkat pelaksanaan kerana ketiadaan garis panduan pentadbiran yang khusus di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan untuk memudahkan permohonan anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia.
Tuan yang diPertua, golongan ibu ini adalah berusia dalam lingkungan 60 hingga 80 tahun. Disebabkan halangan gender dalam undang-undang sebelum tahun 2010, mereka tidak dapat mendaftarkan kewarganegaraan anak-anak mereka ketika mereka masih kecil. Golongan ibu warga Malaysia ini kini cuma berhasrat untuk pulang menetap di Malaysia bersama dengan anak-anak mereka yang telah dewasa yang merupakan penjaga utama kepada para ibu warga emas ini. Saya ingin minta KDN untuk mengambil langkah proaktif untuk membantu anak-anak dewasa kepada ibu warga Malaysia untuk menguruskan permohonan melalui saluran naturalisasi sedia ada.
Saya memohon YB Menteri Dalam Negeri untuk membantu golongan ibu-ibu warga Malaysia ini dengan:
1.Mengumumkan Tarikh Kuat Kuasa RUU Pindaan Perlembagaan2025 supaya bakal ibu dapat merancang proses kelahiran dengan selamat
2. Menyediakan SOP yang jelas bagi permohonan naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan oleh anak-anak dewasa kepada ibu warga Malaysia.
ISU KEDUA:
KERAJAAN HARUS MENJALANKAN KEMPEN AGRESIF UNTUK MEMPERTAHANKAN MINYAK SAWIT MALAYSIA
Tuan yang diPertua, berita pada 5 Oktober 2026 melaporkan Switzerland dijangka akan mengadakan referendum mengenai perjanjian perdagangan dengan Malaysia, berikutan pihak penentang minyak sawit percaya bahawa perjanjian tersebut menggugat hutan hujan dan kekurangan perlindungan yang sewajarnya terhadap buruh paksa.
Referendum itu berkemungkinan besar akan diteruskan pada separuh pertama tahun 2027. Perjanjian Perdagangan adalah di antara Malaysia dengan European Free Trade Association (EFTA) yang merangkumi Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland.
Saya menyeru Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di bawah Kementerian Peladangan dan Komoditi mempergiatkan kempen mempertahankan minyak sawit Malaysia dengan strategi dan naratif yang lebih berkesan. Selain itu, saya menggesa Kementerian mempromosi manfaat minyak sawit merah dan “good practices” penanaman sawit di Malaysia kepada pelancong asing dalam Tahun Melawat Malaysia yang akan dilanjutkan ke tahun 2027.
Sehubungan dengan itu, saya juga minta Kerajaan membantu pemain industri minyak sawit untuk mengurangkan tekanan stok CPO dan menggalakkan pembeli luar negara meningkatkan pembelian CPO di Malaysia dengan menangguhkan sementara duti eksport CPO selama 3 hingga 5 bulan sebagai langkah intervensi strategik untuk merangsang eksport dan menstabilkan harga sawit serta melindungi kepentingan keseluruhan rantaian industri, termasuk pekebun kecil.
ISU KETIGA:
MASALAH BANDAR MADANI BUKIT JALIL
Tuan yang diPertua, pada hari pembentangan bajet, YAB Perdana Menteri mengumumkan Bandar MADANI Bukit Jalil akan dibangunkan sebagai kawasan kediaman rakyat yang lengkap dengan kemudahan termasuk sekolah vertikal. Pendaftaran fasa 1 akan dibuka mulai Isnin ini, 12 Oktober 2026.
Pengumuman YAB telah menggoncangkan seluruh masyarakat Bukit Jalil dan juga penduduk di tempat-tempat berdekatan dengan tapak Bandar Madani Bukit Jalil di Negeri Selangor.
Tuan yang diPertua, para persatuan penduduk termasuk saya sebagai Ahli Parlimen hanya diberitahu tentang maklumat terperinci projek raksaksa Bandar Madani Bukit Jalil yang mengandungi 17 ribu unit rumah apartmen di tapak saiz 65 ekar selepas kami dijemput menghadiri sesi libat urus oleh Perunding Penilaian Impak Sosial dalam bulan Julai tahun ini.
Dalam sesi libat urus yang dihadiri oleh saya pada 4, 5 dan 9 Julai, hampir seratus peratus wakil penduduk membantah cadangan projek 17 ribu unit rumah di Bandar Badani Bukit Jalil tersebut, kerana penduduk di Bukit Jalil dan radius 5 kilometer Bukit Jalil kini tengah menghadapi kesesakan yang serius. Projek berkepadatan tinggi Bandar Madani ini akan memberi tekanan yang amat serius terhadap trafik, infrastruktur, kemudahan awam dan kualiti hidup penduduk di kawasan persekitarannya.
Persatuan-persatuan penduduk di Bukit Jalil bersama Taman Puncak Jalil dan Bandar Kinrara di bahagian Negeri Selangor pernah mengadakan satu himpunan Bantahan terhadap pembinaan 17 ribu unit rumah apartmen, dan ia disertai oleh lebih 500 orang penduduk di tapak tersebut pada 16 September tahun ini.
Di sini, saya ingin membangkitkan sebab-sebab bantahan bagi pihak penduduk di dewan yang mulia ini:-
1) NISBAH PLOT
Projek 17 ribu unit rumah ini bercanggah dengan nisbah plot yang sedia ada di Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040). Ia akan meningkatkan plot nisbah daripada plot nisbah 1:3 di tanah Plot 1 dan plot nisbah 1:5 di tanah Plot 2 kepada nisbah plot 1: 7.1.
Untuk makluman dewan ini, bilangan unit rumah di Bukit Jalil adalah 47,646 unit dengan 112,000 orang penduduk (mengikut DOSM), manakala jumlah unit rumah di Bandar Kinrara dan Taman Puncak Jalil di Selangor adalah 26,678 unit dengan 97,908 orang.
Ini bermaksud jumlah unit rumah dalam radius 3km tapak Bandar Madani Bukit Jalil adalah 74,324 unit dengan 209,908 orang.
Angka ini tidak termasuk 13 projek perumahan dengan jumlah 14,898 unit yang sedang dalam pembinaan di Bukit Jalil dan 6,167 unit rumah yang telah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang akan dibina di Negeri Selangor.
Ini bermaksud, dalam 5 tahun yang akan datang, selepas semua projek perumahan yang telah diluluskan oleh DBKL dan MBSJ siap dibina, jumlah unit rumah di kawasan ini adalah 95,389 unit dan jumlah penduduk akan mencapai 277, 235 orang menjelang tahun 2031. Satu keadaan yang amat sesak dan padat walaupun tanpa 17 ribu unit rumah di Bandar Madani Bukit Jalil.
2) KESESAKAN TRAFIK
Tuan yang diPertua, saya ingin beri gambaran keadaan trafik di Bukit Jalil dan kawasan persekitaran sekarang.
Kebanyakan penduduk di Bandar Kinrara dan Taman Puncak Jalil di Negeri Selangor menggunakan Jalan Persiaran Puncak Jalil untuk pergi ke pusat bandar Kuala Lumpur. Persiaran Puncak Jalil telah mencapai LOD (Level of Service) D pada waktu pagi setiap hari.
Mengikut kajian aliran trafik di 6 segmen di Lebuhraya Bukit Jalil bagi tempoh 15 Mei hingga 16 Jun pada tahun ini, 4 segmen telah mencapai LOS C, satu segmen ialah LOS D dan satu segmen adalah LOS A.
Bangunan Pavilion Bukit Jalil terletak di bahagian pusat Bukit Jalil. Sekarang segmen di pintu hadapan Pavilion Bukit Jalil sudah capai LOS D. Kita menjangka segmen Pavilion Bukit Jalil akan mencapai LOS F dalam 5 tahun yang akan datang bila semua projek perumahan yang telah dapat kelulusan DBKL siap dibina.
Kini, bila adanya acara besar ataupun konsert di Stadium Bukit Jalil, banyak jalan raya di sekitar Stadium Bukit Jalil akan jadi lumpuh.
Kesesakan trafik juga akan menjejaskan masa tindak balas perkhidmatan kecemasan kenderaan Bomba, kereta ambulan dan polis.
Sekiranya kerajaan terus membina 17 ribu unit rumah di bawah Bandar Madani Bukit Jalil tanpa perkhidmatan rel, semua jalan raya di radius 5 km Bandar Madani Bukit Jalil sudah pasti akan jadi lumpuh setiap hari.
3) SEKOLAH VERTIKAL TIDAK SEJAJAR DENGAN GARISPANDUAN PERANCANGAN PLANMALAYSIA
Perdana Menteri telah mengumumkan pembinaan sekolah vertikal di tapak Bandar Madani Bukit Jalil yang mempunyai 4 bilik darjah pra-sekolah, 36 bilik darjah untuk sekolah rendah, 12 bilik darjah untuk sekolah rendah PPKI, 42 bilik untuk sekolah menengah. Jumlah bilik darjah di sekolah vertikal ialah 104 buah bilik darjah.
Memandangkan Bandar Madani Bukit Jalil akan membina 17 ribu unit rumah, sekirannya setiap unit rumah diduduki oleh 3 orang, maka jumlah penduduk yang akan duduk di tapak Bandar Madani Bukit Jalil adalah 51,000 orang.
Mengikut garis panduan Plan Malaysia, kerajaan seharusnya menghendaki pemaju untuk membina 21 bilik darjah untuk Pra-sekolah, 245 bilik darjah untuk sekolah rendah dan 245 bilik darjah untuk sekolah menengah.
Ini bermaksud, sekolah vertikal yang akan dibina di Bandar Madani Bukit Jalil yang hanya mempunyai 104 buah bilik darjah gagal memenuhi garispanduan PLANMALAYSIA terhadap penambahan penduduk seramai 51,000 orang.
4) BANDAR MADANI BUKIT JALIL HANYA MEMPUNYAI 10% UNIT RUMAH MADANI SAHAJA?
Tuan yang diPertua, perumahan Madani adalah rumah yang dijual dengan harga RM200,000. Dalam pelan susunatur (layout plan) yang dibentang kepada kami di sesi libat urus, pecahan harga dan perumahan 17,000 unit rumah di Bandar Madani Bukit Jalil adalah seperti berikut:
i) 83.53% adalah Rumah PRIMA yang dijual dengan harga RM390K – RM480K.
ii) 6.18% adalah Rumah PPAM yang dijual dengan harga RM365K
iii) 10.29% adalah Rumah Madani yang dijual dengan harga RM200K.
Pecahan kategori perumahan ini menunjukkan hanya 10% daripada jumlah unit rumah di Bandar Madani Bukit Jalil adalah perumahan Madani, iaitu 1,750 daripada 17,000 unit rumah sahaja.
90% daripada perumahan di Bandar Madani Bukit Jalil ataupun 15,250 daripada 17,000 unit rumah adalah rumah adalah dijual dengan harga pasaran.
Pemaju sebenarnya memperalatkan nama “Madani” untuk mengaut keuntungan maksima. Kenapakah kerajaan menyokong projek yang tidak jujur ini untuk menambahkan kesengsaraan penduduk di Bukit Jalil dan persekitarannya?
5) PEMAJU BANDAR MADANI BUKITI JALIL MELANGGARI PERATURAN PERANCANGAN DAN GARISPANDUAN PLAN MALAYSIA
Pemaju projek Bandar Madani Bukit Jalil adalah PRIMA Corporation Malaysia, dan PRIMA adalah anak syarikat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Sebagai pemaju, PRIMA telah mencabuli peraturan pembangunan kerajaan. PRIMA telah malancarkan dan mengiklankan projek ini di bawah Bandar Madani Bukit Jalil sebelum mendapat kelulusan perancangan daripada DBKL.
Saya ingin tanya YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, apakah PLANMALAYSIA menyertai perancangan Bandar Madani Bukit Jalil? Kalau ya, kenapakah PLANMALAYSIA sebagai agensi yang mengeluarkan garis panduan dan dasar perancangan bandar dan desa di seluruh negara membenarkan anak syarikat KPKT untuk menjalankan projek pembangunan raksaksa tanpa melihat kesesakan trafik dan masalah masyarakat setempat?
6) KAJIAN PERUBAHAN PTKL 2040 & KAJIAN PELAN KAWALAN MIKRO BUKIT JALIL TENGAH DIJALANKAN OLEH DBKL BELUM SIAP
Tuan yang diPertua, DBKL telah menjemput orang awam untuk memberi pandangan terhadap kajian semula PTKL 2040 pada tahun ini. Saya juga difahamkan DBKL telah melantik perunding untuk mengadakan pendengaran awam dan mereka sepatut memberi nasihat kepada DBKL. Ramai penduduk di Bukit Jalil telah mengemukakan pandangan terhadap guna tanah di kawasan mereka kepada DBKL.
Sehubungan dengan itu, DBKL juga telah melantik perunding untuk menjalankan Kajian Pelan Kawalan Mikro Bukit Jalil, dan saya telah menghadiri perbincangan dengan perunding berkenaan isu ini pada dua minggu yang lepas.
Soalan saya kepada kerajaan, kenapakah kerajaan tidak menunggu kesemua kajian DBKL ini selesai baru luluskan projek Bandar Madani Bukit Jalil? Kenapakah pendaftaran perumahan dibenarkan bermula pada 12 Oktober 2026? Kenapakah kerajaan membenarkan anak syarikat KPKT, PRIMA untuk “bulldoze” projek ini?
Tuan yang diPertua, saya menghormati hasrat kerajaan untuk membina lebih rumah mampu milik dan rumah Madanidijual dengan harga RM200 ribu untuk golongan berpendapatan rendah, dan harga, tetapi objektif yang murni ini haruslah mengikuti syarat dan prosedur perancangan bandar di Kuala Lumpur. Objektif murni kerajaan ini tidak boleh menjejaskan kepentingan komuniti penduduk yang sediada.
MALAYSIA ADALAH PRESIDEN UN HABITAT ASSEMBLY YANG MEMPROMOSI PEMBANGUNAN BANDAR YANG INKLUSIF DAN MAMPAN
==================================================================
Tuan yang diPertua, YB Menteri KPKT adalah presiden kepada UN Habitat bagi tempoh 2025 – 2029. Objektif UN Habitat ini adalah menggalakkan pembangunan bandar yang inklusif, mampan dan tahan iklim.
Rakyat Malaysia merasa bangga atas pelantikan Malaysia sebagai presiden UN Habitat ini. Tetapi, apa yang penting ialah, kita mesti melaksanakan misi dan objektif UN Habitat di negara kita, khususnya di Kuala Lumpur, supaya kita boleh menjadi teladan kepada dunia.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, majoriti penduduk di radius 5 km dari tapak Bandar Madani Bukit Jalil adalah penduduk kelas menengah dan bawahan, khususnya penduduk di Taman LTAT, PPR Kg Muhibbah, PPR Pinggiran Bukit Jalil, Bandar Kinrara dan Taman Puncak Jalil.
Apa yang dikehendaki oleh penduduk setempat di tapak pembinaan Bandar Madani Bukit Jalil adalah:
i) Perkhidmatan rel untuk meredakan kesesakan trafik;
ii) Hospital Kerajaan;
iii) Sekolah yang mempunyai ruang yang besar;
iv) Kolam takungan banjir
v) Penaiktarafan balai polis dan bomba;
vi) Kawasan lapang dan tempat riadah untuk kanak-kanak dan warga emas.
Saya sebagai Ahli Parlimen Seputeh yang mana Bukit Jalil adalah di bawah kawasan saya, menyeru YAB Perdana Menteri, YB Menteri KPKT dan pegawai-pegawai kanan kerajaan turun padang melihat keadaan masyarakat setempat dan melaksanakan apa yang dikehendaki oleh rakyat, dan menangguhkan pendaftaran rumah madani dan segala kerja tanah sebelum kajian semula PTKL 2040 dan kajian Pelan Kawalan Mikro Bukit Jalil yang dijalankan oleh DBKL siap.
Teresa Kok







