Tuan Yang di-Pertua,
Saya telah beberapa kali membangkitkan isu yang dihadapi oleh para juruukur dan profesional geomatik susulan pindaan Akta Juruukur Tanah Berlesen 2024.
Pindaan ini telah mengubah skop “ukur geomatik” dan memberi kesan besar kepada pengamal dalam bidang termasuk GIS, penderiaan jauh, hidrografi, BIM, ukur kejuruteraan, ukur terestrial, ukur topografi, ukur geodetik dan pengesanan utiliti bawah tanah, yang selama ini menjalankan kerja profesional berdasarkan kepakaran dan pengalaman masing-masing.
Masalah utama ialah pelesenan kini hanya berasaskan kelayakan Juruukur Tanah, sedangkan pengamal dalam bidang geomatik lain mempunyai latar belakang akademik dan kepakaran yang berbeza.
Seksyen 15 Akta A1730 menyediakan tempoh peralihan selama enam bulan kepada pengamal yang terjejas untuk memohon pendaftaran dan lesen. Namun, berdasarkan jawapan Kementerian di Parlimen, dari 23 Oktober 2024 hingga Disember 2025, Lembaga Jurukur Tanah Malaysia hanya mendaftarkan 46 orang yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ukur Tanah dan Geomatik. Tiada permohonan pendaftaran diterima daripada graduan dalam bidang GIS, penderiaan jauh, hidrografi, BIM dan bidang geomatik lain disebabkan mreka tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
Ini menimbulkan persoalan serius tentang keberkesanan peruntukan peralihan tersebut dan kesannya terhadap pengamal serta syarikat sedia ada yang tidak mempunyai Juruukur Tanah Berlesen, khususnya dari segi akses kepada projek Kerajaan dan kelangsungan perniagaan.
Pengamal industri juga berasa kecewa kerana Kerajaan tidak pernah mengadakan sebarang libat urus dengan mereka sebelum pindaan ini diluluskan. Saya difahamkan bahawa mereka telah menjalankan semakan kehakiman terhadap pindaan Akta tersebut. Walau bagaimanapun, Kerajaan masih perlu menjelaskan apakah langkah pentadbiran yang boleh diambil sementara menunggu keputusan mahkamah.
Oleh itu, saya ingin bertanya kepada Menteri:
Pertama, adakah pindaan Akta ini pratikal untuk dilaksanakan?
Kedua, apakah tujuan peruntukan peralihan ini sekiranya tiada seorang pun pengamal daripada bidang lain dapat didaftarkan?
Ketiga, apakah kedudukan semasa pengamal geomatik sedia ada yang tidak memenuhi kelayakan di bawah Akta A1730?
Keempat, apakah implikasi pindaan ini terhadap perolehan projek Kerajaan, khususnya bagi syarikat yang tidak mempunyai Juruukur Tanah Berlesen?
Kelima, sementara menunggu keputusan mahkamah, apakah langkah interim pentadbiran atau dasar yang boleh diambil oleh Kementerian untuk melindungi industri pengamal sedia ada?
Tuan Yang di-Pertua, isu ini bukan semata-mata soal lesen, tetapi melibatkan kerjaya, mata pencarian dan masa depan profesional yang telah lama berkhidmat dalam industri geomatik.
Saya berharap Kementerian dapat memberikan penjelasan yang jelas dan langkah penyelesaian yang konkrit.
Sekian, terima kasih.
Soalan Tambahan
Tuan yang di-Pertua, saya difahamkan pendaftaran di bawah tempoh peralihan selepas peraturan-peraturan juruukur tanah berlesen (pindaan) 2024 adalah sifar, pemohon beritahu saya bila mereka ingin membuat permohonan pendaftaran untuk menjadi juruukur berlesen (LSR), mereka diberitahu oleh “masih menunggu Setiausaha Lembaga Jurukur Tanah untuk tindakan lanjut”.
Saya nak ambil satu contoh, seorang graduan “Bachelor Remote Sensing” yang tamat pengajian 2001 yang selama ini boleh menjalankan kerja geometik survey tanpa halangan selama beberapa dekad. Tetapi beliau tidak dapat praktis di bawah pindaan undang-undang ini. Undang-undang baru ini menghendaki beliau belajar kursus “Bachelor of Surveying” atau “Bachelor of Geomatics” selama 4 tahun, selepas itu beliau malah perlu menjalankan articleship di bawah seorang juruukur tanah berlesen sekurang-kurangnya 2 tahun dan melalui peperiksaan atau kursus, dan juga ujian lisan (viva) ….. selepas itu, baru beliau boleh praktis semula di bidang geomatik survey. Justeru, pindaan ini adalah amat tidak adil bagi beliau kerana beliau terpaksa belajar dan artikel dalam bidang ukur Hakmilik dan beberapa bidang geomatik yang tiada kaitan dengan pekerjaan asalnya.
Dalam keadaan sekarang, mereka yang tidak berlesen dan praktis akan dianggap sebagai penjenayah walhal mereka lah yang paling cekap dan telah menjalankan kerja geomatik survey berdekad-dekad.
Sebelum pindaan Akta A1730, ramai graduan daripada pelbagai bidang dapat menjalankan geomatik survey, tetapi sekarang pindaan Akta A1730 telah menyekat mereka untuk berbuat demikian, dan ini akan mengenakan impak besar terhadap industri geomatik kerana ramai tidak boleh mengamalkan secara sah.
Sehubungan dengan itu, saya juga ingin meminta Kementerian untuk menerbitkan Risk Impact Analysis (RIA) di Malaysian Productivity Corporation (MPC).
Teresa Kok

