Seluruh warga Malaysia dikejutkan dengan berita dukacita pada pagi ini atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Saya dan rakan-rakan dalam masyarakat sivil berpeluang mendekati Allahyarhamah selepas tercetusnya skandal 1MDB, ketika masyarakat sivil dan NGO bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempen menuntut pertanggungjawaban dan perubahan kepimpinan negara.
Saya masih mengingati kehadiran Allahyarhamah bersama Tun Dr Mahathir di perhimpunan Bersih 4 pada 30 Ogos 2015. Kehadiran beliau ketika itu amat bermakna, kerana beliau memilih untuk bersama rakyat yang turun ke jalanan menyuarakan tuntutan terhadap reformasi dan tadbir urus yang lebih baik.
Pada tahun berikutnya, Allahyarhamah sekali lagi menunjukkan keberanian dan keprihatinannya apabila turut hadir dalam satu candlelight vigil bagi menuntut pembebasan bekas Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah, yang telah ditahan di bawah SOSMA pada November 2016.
Selepas saya memegang jawatan dalam Kabinet, saya berpeluang bertemu Allahyarhamah dalam beberapa kesempatan, termasuk ketika mengikuti lawatan rasmi ke luar negara yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir.
Pada pandangan saya, Allahyarhamah seorang yang lemah-lembut dan tenang, tetapi mempunyai kekuatan jiwa yang luar biasa. Beliau amat prihatin terhadap suaminya serta sentiasa memberikan sokongan kepada perjuangan dan perkembangan politik negara.
Allahyarhamah bukan sekadar isteri kepada seorang negarawan, tetapi merupakan soulmate dan teman seperjuangan Tun Dr Mahathir. Hal ini turut tergambar dalam autobiografi beliau, My Name is Hasmah (2016), apabila beliau menceritakan keputusan untuk menemani Tun Dr Mahathir ke perhimpunan Bersih 4.
Dalam buku tersebut, beliau berkongsi bahawa apabila Tun Dr Mahathir melihat gambar orang ramai yang berhimpun di Kuala Lumpur dan membuat keputusan untuk pergi, beliau turut membuat keputusan untuk bersama suaminya. Katanya:
“I decided that if Mahathir were to go, I would not allow him to go alone. I wanted to be by his side to protect him.” (http://lib.perdana.org.my/PLF/Malaysiakini_selection/MalaysiaKini2016/65/349616.pdf)
Kata-kata ini menggambarkan dengan begitu jelas kasih sayang, kesetiaan dan keberanian seorang isteri yang sentiasa berdiri di sisi suaminya.
Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga, sahabat handai dan rakyat Malaysia.
Jasa, keprihatinan serta sumbangan Allahyarhamah kepada negara, termasuk dalam perjalanan reformasi dan demokrasi Malaysia, akan sentiasa dikenang.
Salam takziah yang sedalam-dalamnya kepada Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah. Semoga Tun dan seluruh keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang ini.
Rest in Peace, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.




