Pindaan Akta Makanan ini adalah memberi lebih kuasa kepada pegawai Kementerian Kesihatan untuk memperkasakan kawalan keselamatan dan kualiti makanan di sepanjang rantaian bekalan makanan.
Memandangkan ahli-ahli berhormat hanya diberi 5 minit untuk berucap, saya ingin membangkitkan beberapa isu yang ada kaitan dengan RUU ini.
Larangan restoran di hotel terhadap pelanggan yang ingin membungkus makanan yang dipesan dan dibayar oleh mereka atas kebimbangan melanggari Akta Makanan dan mendatangkan masalah terhadap pihak restoran.
Akibatnya, banyak pembaziran makanan berlaku di hotel, khususnya dalam musim-musim perayaan seperti Bulan Ramadan, Hari Raya dan Tahun Baru Cina.
Mengikut laporan media, pembaziran makanan meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus semasa musim perayaan berbanding hari biasa dan mencecah ratusan juta ringgit.
Dasar hotel-hotel yang melarang pelanggan membungkus dan membawa balik makanan yang bersih yang dibayar oleh mereka disebabkan oleh Akta Makanan ini selalu mengecewakan pelanggan dan juga pertubuhan Kebajikan yang ingin menyalurkan makanan ini kepada rumah perlindungan kebajikan ataupun golongan miskin.
Saya bangkitkan isu ini dalam sesi libat-urus dengan Menteri Kesihatan dan pegawai kanan semalam, saya diberitahu bahawa Kementerian Kesihatan telah mengadakan libat-urus dengan pihak hotel dan Kementerian bersetuju makanan yang bersih di hotel boleh diberikan kepada golongan yang memerlukan makanan.
Tetapi ini sebenarnya tidak berlaku dalam realiti, banyak hotel masih membuang masakan mereka dan tidak ingin membenarkan pelanggan malah pekerja untuk bungkus dan bawa balik.
Kalau tidak percaya, saya bercadang Menteri bawa pegawai-pegawai pergi makan di hotel 4 star atau 5 star dan lihat samada pihak hotel membenarkan YB Menteri untuk bungkus makanan yang dibayar oleh Kementerian ataupun tidak.
Ramai golongan miskin di Malaysia dijejas oleh kenaikan harga makanan dan ramai tidak mampu membiayai perbelanjaan makanan untuk keluarga.
Kerajaan haruslah menggalakkan rakyat untuk menghulurkan bantuan kepada rumah perlindungan dan golongan miskin.
Sekiranya kewujudan Akta Makanan yang menjadi halangan kepada pihak hotel untuk membenarkan pelangan atau NGO Kebajikan untuk membawa makanan bersih keluar dari hotel, saya ingin menyeru Kementerian Kesihatan untuk mengeluarkan satu garis panduan yang membenarkan restoran di hotel untuk berbuat demikian.
Garis panduan boleh wujud dalam bentuk “surat aku janji” yang ditandatangani oleh penerima makanan di mana mereka berjanji tidak akan ambil tindakan terhadap pihak hotel yang menderma masakan kepada mereka sekiranya apa-apa berlaku pada mereka selepas makan makanan tersebut.
Garis panduan ini juga boleh digunakan oleh pengilang makanan, supaya Akta Makanan tidak dijadikan batu halangan bagi pihak pembuatan makanan untuk menderma makanan kepada golongan yang perlu.
Sayur & Buah-Buahan yang dihasilkan di negara kita
Berdasarkan maklumat Kerajaan Negeri Pahang, pada tahun 2024 terdapat 18 notifikasi penolakan oleh Singapura yang melibatkan 11 pengeksport sayur dari Cameron Highlands, dan angka ini meningkat kepada 39 notifikasi yang melibatkan 14 pengeksport pada tahun 2025.
Penolakan ini dikaitkan dengan penggunaan racun perosak yang melebihi had yang dibenarkan atau penggunaan racun yang tidak dibenarkan.
Perkara ini bukan sahaja memberi kesan kepada pendapatan penanam dan pengeksport tempatan, tetapi juga menjejaskan keyakinan serta reputasi produk pertanian Malaysia di pasaran antarabangsa.
Saya ingin bertanya kepada KKM: sebelum hasil pertanian ini dieksport ke Singapura, berapa kalikah KKM turun ke lapangan untuk menjalankan pemeriksaan dan mengambil sampel daripada ladang, pusat pengumpulan atau premis pengeksport tersebut?
Jika pihak berkuasa Singapura dapat mengesan kandungan racun perosak yang tidak mematuhi piawaian mereka, persoalannya ialah mengapa perkara tersebut tidak dikesan lebih awal oleh sistem kawalan keselamatan makanan kita?
Lebih penting lagi, adakah sayur yang sama masih berada di pasaran Malaysia dan dijual kepada pengguna tempatan?
Kadar Penalti yang Tinggi
Saya juga ingin membangkitkan kebimbangan terhadap pengukuhan kuasa penguatkuasaan dan kadar penalti yang dicadangkan melalui pindaan ini.
Menurut RUU ini, hukuman terhadap kesalahan di bawah Akta ini akan ditingkatkan, di mana denda maksimum dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM500,000, serta hukuman penjara yang lebih berat, daripada tempoh 1 hingga 10 tahun kepada 5 atau 10 tahun.
Saya ingin menegaskan bahawa peningkatan penalti tidak semestinya dapat membawa kesan pencegahan kepada kilang dan pengusaha makanan supaya tidak melanggar peraturan dan piawaian yang ditetapkan dalam Akta Makanan.
Sebaliknya, jika kuasa penguatkuasaan dan jumlah penalti terlalu tinggi tanpa mekanisme semak dan imbang, ia boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa dan meningkatkan gejala rasuah.
Saya bersetuju dengan niat KKM untuk menggubal dan memperkukuhkan undang-undang ini bagi melindungi keselamatan dan kesihatan pengguna tetapi saya berharap isu yang saya bangkitkan boleh diteliti oleh Kementerian.
Sekian, terima kasih.

