Ucapan YB Teresa Kok, Ahli Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor (DAP), di Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor Pada 7 Mac 2010 di Shah Alam
Dalam tempoh 2 tahun yang lepas, kerajaan Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR, PAS dan DAP telah menghadapi bermacam cabaran, dugaan dan kesulitan yang tidak pernah dialami sebelum ini oleh kerajaan yang terdahulu di negeri Selangor. Hampir setiap ahli exco kerajaan Pakatan di Selangor telah diserang oleh parti musuh dan media yang dikawal oleh mereka.
Selain itu, kerja kita juga selalu diganggu oleh pihak polis dan SPRM. Memang kita hargai tujuan polis dan SPRM untuk mencegah jenayah, rasuah dan salah guna kuasa. Tapi apa yang kita lihat, polis dan SPRM seolah-olah hanya berminat untuk menyiasat pemimpin dan anggota Pakatan Rakyat sahaja. Sebaliknya, apabila banyak kelakuan dan tindakan yang salah di segi undang-undang dibuat oleh UMNO dan Barisan Nasional, kita lihat pihak polis dan SPRM tutup sebelah mata.
Saudara-saudari sekalian,
Dalam 2 tahun yang lepas, pihak lawan kita telah menjalankan banyak usaha untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Banyak ramalan dan khabar angin telah disebarkan. Namun, semua khabar angin itu telah dibuktikan palsu, dan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor masih kukuh dan mantap, dan segala usaha jahat pihak musuh telah kita gagalkan.
Kita bersyukur pada Tuhan kerana kesemua ahli exco kerajaan negeri Selangor ini masih selamat daripada tipu muslihat dan serangan tersebut. Kita juga bersyukur atas berkat Tuhan yang membuka hati kami untuk muafakat dan kerjasama antara ketiga-tiga parti kita dalam Pakatan Rakyat. Sukurlah kerana kita berjaya memerintah negeri ini dengan selamat dan sempurna, dan mampu melaksanakan mandat yang diberikan oleh rakyat.
Sebelum kita memegang teraju kepemimpinan negeri Selangor, banyak pihak sangsi dengan kebolehan kita untuk menang. Tambahan pula masa itu kita bergerak secara individu. Masa itu tidak ada Pakatan Rakyat. Selepas kita menang dalam pilihan raya 8 Mac 2008 dan melaksanakan dasar-dasar yang memberi faedah kepada rakyat, sekarang tidak lagi pihak yang ragu-ragu tentang kemampuan kita untuk mentadbir negeri Selangor. Malah, banyak pihak kagum dengan program-program merakyatkan ekonomi dan dasar-dasar yang adil untuk semua kaum dan agama yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan di Selangor.
UMNO Tak Henti Main Isu Perkauman
Saudara-saudari sekalian,
Negeri Selangor merupakan jantung ekonomi dan sosial kepada Malaysia. UMNO dan BN memang tak sangka mereka akan hilang kuasa kepada Pakatan Rakyat dalam tahun 2008. Bagi pemimpin UMNO dan BN, kehilangan tampuk pemerintahan bermaksud kehilangan peluang ekonomi untuk mereka dan kroni-kroni mereka. Mereka memang takut dengan skandal demi skandal kewangan dan tanah yang kita dibongkarkan, dan mereka bimbang dengan dasar-dasar dan program-program mesra rakyat dan adil kepada semua dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Ini adalah kerana peluang mereka untuk merampas kembali Selangor kian tipis. Itulah sebabnya dalam masa 2 tahun yang lepas, UMNO tidak henti-henti membangkitkan isu perkauman dan isu agama untuk alih perhatian rakyat, khususnya orang Melayu, daripada terus menyokong Pakatan Rakyat. Bila mereka gagal pujuk rakyat dengan dasar dan program yang adil, mereka timbulkan fitnah untuk pecah-belahkan rakyat.
Selain itu, mereka juga pandai buat berita palsu. Pelbagai cerita yang bukan-bukan telah pun dicipta oleh penulis hantu UMNO dengan tujuan untuk mengelirukan rakyat dan menghasut mereka untuk benci kerajaan Pakatan Rakyat. Cerita bohong tentang saya melarang azan di masjid di Bandar Kinrara telah pun menjadikan saya mangsa tahanan ISA. Saya kesal kerana polis sanggup percaya cerita bohong seperti itu. Di samping itu tidak ada pula tindakan terhadap mereka yang sebarkan berita palsu, walau pun ada undang-undang tentang perkara itu. Akhirnya polis juga yang mendapat malu kerana tidak profesional. Dunia telah mengutuk tindakan menahan individu di bawah ISA.
Pelaburan di Selangor Tetap Mantap dan Kukuh
Saudara-saudari sekalian,
Salah satu tuduhan yang dilemparkan oleh pihak musuh terhadap kerajaan kita ialah kononnya pelaburan telah jatuh sejak Pakatan Rakyat terajui tampuk kepemimpinan di Selangor. Sebagai Exco yang menjaga pelaburan, perindustrian dan perdagangan di Selangor, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menunjukkan kepada anda semua keadaan pelaburan sebenar di Selangor.
• Mengikut statistik MIDA, setakat 31 Disember 2009, Selangor mencapai pelaburan perindustrian yang bernilai sebanyak RM 6.76 bilion. Angka ini telah melebihi jangkaan RM 4 billion yang disasarkan oleh kerajaan Selangor pada awal tahun 2009 selepas berlakunya kegawatan ekonomi dunia.
• Walaupun Selangor berada dalam kedudukan nombor 2 dari segi nilai pelaburan di seluruh Malaysia, yang mana kurang daripada Sarawak, kita mempunyai jumlah projek perindustrian yang tertinggi, iaitu 278 projek pelaburan di seluruh Malaysia. Angka ini bermaksud kita mendapat 36.3% atau satu pertiga daripada jumlah projek pelaburan di seluruh Malaysia.
• Selain itu, 278 projek pelaburan perindustrian ini juga mendatangkan peluang perkerjaan yang paling tinggi, iaitu lebih 20,000 di Malaysia.
• Begitu juga dengan tahun 2008, negeri Selangor telah mencatat bilangan projek pelaburan dan jumlah peluang pekerjaan yang tertinggi di seluruh negara, iaitu 302 projek pelaburan dan 30,980 peluang pekerjaan pada tahun 2008.
Perangkaan MIDA ini membuktikan bahawa pelaburan dari segi perindustrian di negeri Selangor tetap mantap dan kukuh walaupun dalam keadaan di mana negara kita dilanda kegawatan ekonomi dunia.
Perangkaan ini juga menghancurkan tuduhan palsu yang mengatakan pelaburan di Selangor telah jatuh di bawah Pakatan Rakyat. Harus kita ingat bahawa perangkaan yang ditunjukkan di atas tidak termasuk sumbangan dalam sektor perkhidmatan seperti perhotelan, perubatan, pendidikan, logistik dan sebagainya. Sekiranya kesemua angka pelaburan tersebut diambil kira, maka angka pelaburan di Negeri Selangor akan menjadi lebih tinggi daripada apa yang ditunjukkan.
Untuk pengetahuan semua, Selangor menyumbang 21% hingga 25% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK ataupun GDP) Malaysia. Pertumbuhan ekonomi Selangor selalunya lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib berkata bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia akan mencapai 4.5% pada tahun ini. Sekiranya ini dicapai, kadar pertumbuhan ekonomi Selangor dijangka lebih tinggi, iaitu akan mencapai 6.% pada tahun ini.
Dengan lain perkataan, Selangor telah menjadi bertambah maju di bawah Pakatan Rakyat. Sebab itu Kerajaan Pusat berdiam diri kerana ia tahu kejayaan ekonomi dan program sosial untuk rakyat di Selangor adalah antara yang terbaik di Malaysia.
Hubungan Yang Mesra Adalah Asas Kepada Ikatan Pakatan Rakyat di Selangor
Saudara-saudari sekalian,
Selepas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak jatuh secara keji dan tidak sah, saya terima banyak pertanyaan daripada pihak media dan orang ramai, sama ada kerajaan Pakatan Selangor juga akan terima nasib yang sama. Saya dengan tegas berkata, TIDAK. Keyakinan saya ini berasaskan kepada perjuangan wakil rakyat ketiga-tiga parti kita dan hubungan sesama kita di Selangor, khususnya di kalangan ADUN atau pun “back benchers”. Hubungan yang mesra antara kita dan semangat perjuangan kita merupakan asas kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Ini adalah kerana apa yang kita perjuangkan adalah untuk rakyat semata-mata, dan bukan untuk kepentingan diri.
Di sini saya ingin memuji usaha pembaharuan yang dilakukan oleh para “back benchers” kita di Selangor dan juga Dewan Negeri Selangor kita di bawah pimpinan Speaker YB Teng Chang Khim dan Timbalan Speaker YB Haniza Talha. Mereka telah mengambil banyak inisiatif untuk menambah baik sistem penyampaian dan ketelusan dalam kerajaan negeri Selangor. Para ADUN kita adalah jauh lebih aktif daripada ADUN Barisan Nasional sewaktu mereka perintah dahulu. Para ADUN kita telah menunjukkan penuh
dedikasi kepada perjuangan politik yang berasaskan prinsip demokrasi, ketelusan dan mesra rakyat. Selagi kebajikan dan kesejahteraan rakyat menjadi matlamat kita, selagi itulah kita akan terima sokongan penuh dari rakyat.
Saudara-saudari sekalian,
Saya akui kadang-kadang memang ada perselisihan faham antara anggota kerajaan atau pun wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor. Itu tabiat manusia. Tetapi segala perselisihan ini adalah kerana perbezaan pendapat sahaja. Kita tidak bergaduh atau bermusuh. Pandangan berbeza yang kadang-kadang berlaku itu adalah apabila kita berbincang dan berdebat untuk mencari jalan terbaik bagi memenuhi keperluan rakyat. Kita bukan macam UMNO dan BN di mana banyak perselisihan di antara pemimpin dan anggota komponen parti BN ialah demi kepentingan diri atau gila kuasa. Kalau ini berlaku di kalangan kita, ia bererti mengkhianati mandat rakyat.
Saya yakin, walau berapa ribu juta ringgit ditawarkan oleh UMNo dan BN, mereka tak akan dapat membeli hati, jiwa dan kerusi ADUN Pakatan Rakyat yang sedia ada di Selangor.
Rumusan
Saudara-saudari sekalian,
Apa yang berlaku kepada kita di negeri Selangor adalah ujian atas ketabahan hati kita. Tahun ini adalah tahun penting bagi kita untuk mempercepatkan sistem penyampaian dan usaha menambah baik pentadbiran kita. Tahun ini juga penting untuk terus menjaga kepentingan golongan yang kurang bernasib dan berpendapatan rendah di negeri kita. Kita sebagai kerajaan yang mesra kepada rakyat juga mahu mesra dengan peniaga kecil, sederhana dan besar, demi mencapai wawasan negeri berkebajikan. Kita mahu setiap rakyat mendapat peluang saksama secara adil kerana kita tidak mahu mana-mana pihak menjadi terpinggir.
Saya berdoa agar hubungan antara ketiga-tiga parti kita akan terus mesra, dan kita boleh sama-sama menunaikan mandat rakyat untuk menjadikan negeri Selangor sebagai negeri yang aman dan mesra, dan negeri teladan kepada semua negeri di Malaysia.
Sekian, terima kasih.
Teresa Kok