PUAN TERESA KOK SUH SIM [SEPUTEH] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan jumlah semakan tahunan oleh Lembaga Hakim Pelawat di bawah seksyen 97(4) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi setiap individu yang ditahan di bawah seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 sejak tarikh ditahan sehingga tahun ini.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Seksyen 97(4) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan bahawa bagi seseorang yang diperintahkan ditahan di penjara di bawah Seksyen 97(2), Lembaga Hakim Pelawat bagi penjara berkenaan hendaklah mengkaji semula kes individu tersebut sekurang-kurangnya sekali dalam setiap tahun. Lembaga tersebut juga boleh mengemukakan syor kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri yang berkenaan berhubung pelepasan atau lanjutan tempoh tahanan seseorang individu tersebut.
Sehubungan itu, bagi setiap individu yang ditahan di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001, semakan oleh Lembaga Hakim Pelawat dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali setahun bermula dari tarikh perintah tahanan dikuatkuasakan sehingga individu tersebut dibebaskan atau perintah tahanan ditamatkan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, setakat 12 Jun 2026, seramai 40 orang banduan lelaki sedang ditahan di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001. Kesemua 40 orang tersebut telah menjalani semakan tahunan bagi tahun 2026 selaras dengan kehendak Seksyen 97(4) akta yang sama. Bilangan semakan bagi setiap individu adalah bergantung kepada tempoh tahanan yang telah dilalui, dengan sekurang-kurangnya satu semakan dilaksanakan pada setiap tahun sepanjang tempoh tahanan berkenaan.
Sekian, terima kasih.

