๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐ ๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐ ๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐ ๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐ ๐๐ ๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐ ๐๐๐ ๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐ ๐๐ ๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐
1. Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini membentangkan Penyata PAC berhubung Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Penyata ini dihasilkan di bawah bidang kuasa Peraturan Mesyuarat 77(1)(c), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat susulan daripada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang mendapati bahawa pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak adalah kurang memuaskan atas beberapa perkara, iaitu:
a. Dasar sedia ada gagal memastikan agihan minyak masak bersubsidi disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan;
b. Masih berlaku pelanggaran syarat jualan melibatkan pembelian melebihi had transaksi serta melebihi harga kawalan;
c. Terdapat syarikat pembungkus yang beroperasi tanpa pensijilan Halal yang sah serta mencetak logo Halal tanpa kebenaran; dan
d. Ketiadaan tatacara tetap menguruskan stok minyak masak rosak serta tiada penetapan harga jualan yang jelas di setiap peringkat rantaian bekalan.
2. Prosiding telah diadakan bagi mengenal pasti punca-punca dapatan LKAN 2/2025, menilai keberkesanan pengurusan minyak masak bersubsidi dalam mencapai objektif kestabilan harga dan kecukupan bekalan di pasaran, meneliti mekanisme pemantauan bagi membanteras ketirisan dan membendung penyelewengan, serta mencari jalan penyelesaian terbaik demi memastikan peruntukan dan perbelanjaan dana subsidi Kerajaan diuruskan dengan akauntabiliti penuh.
3. Sebanyak sepuluh (10) prosiding telah diadakan bermula pada 5 Ogos 2025 hingga 15 Oktober 2025. Saksi yang telah dipanggil untuk memberi keterangan adalah dari:
a. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN);
b. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM);
c. Kementerian Dalam Negeri (KDN);
d. The Malayan Edible Oil Manufacturersโ Association (MEOMA);
e. The Palm Oil Refiners Association of Malaysia (PORAM);
f. Malaysia Retailers Association (MRA);
g. Federation of Malaysian Consumers Associations (FOMCA);
h. Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN); dan
i. FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV).
4. Hasil daripada siasatan sepanjang prosiding ini, PAC merumuskan perkara seperti berikut:
a. Penetapan kuota Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) adalah sebanyak 60,000 metrik tan sebulan, manakala keperluan domestik sebenar rakyat Malaysia dianggarkan sekitar 19,000 ke 30,000 metrik tan sebulan;
b. Ketiadaan mekanisme pengagihan bersasar menyebabkan dana subsidi Kerajaan (RM10.879 bilion bagi tempoh 2019-Februari 2025) tidak sampai sepenuhnya kepada golongan sasar, di mana minyak masak paket 1kg sering disalahgunakan oleh pihak yang tidak layak, termasuk warga asing dan pengusaha sektor komersial;
c. Didapati masih terdapat dua (2) syarikat pembungkus yang masih tidak memiliki sijil halal daripada keseluruhan sembilan (9) syarikat pembungkus yang dibangkitkan oleh pihak Audit, dimana perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana JAKIM telah menambahbaik proses pensijilan halal;
d. KPDN telah membangunkan sistem eCOSS sejak tahun 2023 bagi memantau rantaian bekalan minyak masak bersubsidi dari peringkat kilang penapisan hingga ke peruncit, yang mana sistem ini membolehkan semakan silang (cross-check) dilakukan terhadap kuantiti bekalan di setiap peringkat rantaian pengedaran;
e. Walau bagaimanapun, masih terdapat kelemahan serius dalam pengurusan stok minyak masak rosak kerana tiada SOP khusus untuk menguruskan minyak masak rosak di peringkat syarikat pembungkus, yang menyebabkan kerajaan masih menanggung subsidi ke atas stok rosak yang tidak akan sampai kepada pengguna;
f. Pemantauan yang kurang berkesan di peringkat peruncit telah mengakibatkan berlakunya amalan jualan bersyarat, penyorokan stok, dan jualan melebihi harga kawalan RM2.50 semakin berleluasa di pasaran;
g. Penguasaan pasaran minyak masak bersubsidi di peringkat penapisan didapati tidak seimbang di mana 67% kuota dikuasai oleh syarikat asing, manakala penglibatan GLC tempatan seperti FGV dan SD Guthrie hanya sebanyak 10.6%, manakala selebihnya oleh syarikat tempatan; dan
h. Margin keuntungan bagi pembungkus (repacker) yang menerima subsidi RM600 per metrik tan dilihat terlalu tinggi berbanding kos pemprosesan sebenar yang jauh lebih rendah, sekali gus meningkatkan beban subsidi Kerajaan tanpa justifikasi kos operasi yang munasabah.
5. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak dibuat dengan lebih teratur, PAC telah mengenal pasti lapan syor untuk untuk diambil tindakan segera oleh Kerajaan:
a. KPDN perlu melakukan semakan semula terhadap keseluruhan rantaian bekalan minyak masak, dan mengurangkan kuota 60,000 metrik tan sebulan agar selari dengan keperluan domestik sebenar bagi mengelakkan ketirisan dan pembaziran dana awam;
b. KPDN hendaklah menyemak semula kadar subsidi RM600 per metrik tan kepada syarikat pembungkus agar lebih munasabah dan kompetitif selaras dengan kos operasi semasa bagi menjimatkan dana awam;
c. KPDN perlu membuat penetapan bahawa pembayaran subsidi kepada syarikat pembungkus hanya dibuat ke atas stok minyak masak yang tidak rosak bagi mengurangkan pembayaran subsidi berlebihan yang tidak perlu;
d. Kerajaan hendaklah mempercepat peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar secara digital sepenuhnya melalui sistem eCOSS bagi memastikan bantuan hanya dinikmati oleh warganegara yang layak dan mengelakkan manipulasi pihak tidak bertanggungjawab;
e. KPDN perlu mengkaji kewajaran pengapungan harga minyak masak di pasaran secara terbuka, mengambil contoh daripada kejayaan model pengapungan harga ayam dan telur, bagi menjamin kestabilan bekalan, mengurangkan perbelanjaan subsidi serta merangsang persaingan harga yang sihat di peringkat peruncitan;
f. Kerajaan perlu mengkaji kemungkinan agihan semula kuota penapisan minyak masak dengan memberikan keutamaan kepada syarikat tempatan yang berdaya saing bagi mengurangkan dominasi syarikat asing;
g. KPDN dan KDN perlu memantapkan lagi koordinasi penguatkuasaan bersepadu bersama agensi lain dalam pengawalan sempadan di samping meningkatkan penggunaan
teknologi seperti AI, dron, dan pemasangan CCTV di kawasan hotspot sempadan serta stor-stor transit penyeludupan termasuk perobohan pangkalan haram; dan
h. KPDN perlu memperkukuh pemantauan pematuhan secara berkala di setiap peringkat rantaian bekalan termasuk syarikat pembungkus dan mengenakan tindakan tegas bagi sebarang ketidakakuran syarat pemegang kuota.
6. Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Penyata PAC berhubung Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak di bawah KPDN boleh memuat turun penyata berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac.
Sekian, terima kasih.
๐๐ ๐๐๐ญ๐ฎ๐ค ๐๐ข๐ซ๐ ๐๐๐ฌ ๐๐ซ๐ฆ๐ข๐๐ฒ๐๐ญ๐ข ๐๐ข๐ง๐ญ๐ข ๐๐๐ฆ๐ฌ๐ฎ๐๐ข๐ง
๐๐๐ง๐ ๐๐ซ๐ฎ๐ฌ๐ข ๐๐๐ ๐๐๐ซ๐ฅ๐ข๐ฆ๐๐ง


