Tuan Pengerusi, sejak bulan lepas, negara-negara di Kesatuan Eropah, Jepun dan beberapa negara yang lain telah menggesa rakyat masing-masing menyimpan bekalan asas sekurang-kurangnya untuk tiga hari sebagai persediaan menghadapi kecemasan. Ia termasuk berdepan cuaca ekstrem, gangguan bekalan elektrik dan krisis global yang boleh menjejaskan kehidupan harian.
Pada masa sama, Bank Dunia memberi amaran harga makanan dijangka meningkat kira-kira tujuh peratus pada 2027, selepas melonjak sekitar 10 peratus tahun ini berbanding 2025.
Gangguan penghantaran bijirin, tanaman terjejas akibat cuaca buruk serta peningkatan kos bahan api dan baja antara faktor mendorong kenaikan itu.
Kedua-dua perkembangan ini membawa mesej jelas betapa krisis bekalan makanan bukan lagi ancaman jarak jauh, sebaliknya risiko perlu diberi perhatian serius setiap negara, termasuk Malaysia.
Sejak Kerajaan Madani dibentuk, nama Kementerian telah menjadi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Penambahan perkataan “Keterjaminan Makanan” ini menunjukkan Kerajaan Madani mengambil berat tentang isu menjamin semua rakyat Malaysia mendapat makanan yang cukup.
Memandangkan negara kita telah mulai dilanda banjir kilat setiap hari dan kita juga akan menghadapi super El-Nino daripada Mac hingga Julai pada tahun hadapan, kerajaan haruslah membuat perancangan yang terperinci untuk memastikan bila dunia berhadapan dengan krisis pengeluaran makanan, kebuluran dan kekurangan makanan tidak akan berlaku di Malaysia.
Dalam masa ucapan yang singkat ini, saya ingin merujuk kepada beberapa pandangan daripada satu artikel yang bertajuk “Why is food still so expensive in Malaysia compared with countries such as Singapore, Taiwan and China” yang ditulis oleh Puan Foong Wai Fong, director of Megatrend Asia.
Artikel ini sebut sebab utama China dapat mengeluarkan dan mengagihkan banyak produk makanan dengan harga yang kompetitif adalah kerana kerajaan China melihat pembekalan makanan yang cukup untuk rakyatnya adalah tanggungjawab yang paling penting, malah datuk bandar di semua perbandaran diberi tanggungjawab untuk membekal makanan yang murah dan berkualiti kepada warga kotanya melalui Projek Basket.
Justeru, Kerajaan China melabur secara meluas dalam mekanisasi pertanian, pengairan, kualiti benih yang dipertingkatkan, logistik, pasar borong besar dan pengagihan digital.
Di negara kita, sektor pertanian selalu diusahakan oleh pekebun kecil yang menghadapi kekurangan mesin yang boleh dikongsikan, teknologi dan pemasaran yang teratur, keadaan ini menyebabkan kos penanaman meningkat sehingga hasil penanaman mereka tidak dapat bersaing dengan produk pertanian yang diimport dari negara jiran dan malah Negara China.
Kementerian dicadangkan mengorganisasikan kluster pengeluaran, membolehkan pekebun kecil berkongsi jentera, pengairan, perkhidmatan teknikal, pembelian dan pemasaran tanpa perlu menyerahkan hak milik tanah.
Selain itu, kerajaan juga boleh membantu pekebun kecil melantik syarikat pakar yang mempunyai pasukan pengendali untuk menerbangkan dron untuk menyembur racun perosak dan baja. Petani hanya perlu membayar yuran bagi penyemburan ladang mereka, tanpa perlu melabur untuk membeli dron untuk melakukan kerja-kerja ini.
Kerajaan haruslah membantu pekebun kecil untuk meningkatkan produktiviti mereka dengan mengalihkan lebih banyak sumber ke arah bidang benih, pembiakbakaan, pengairan tepat, mekanisasi dan penggunaan teknologi melalui pasukan professional.
Akhirnya, saya menyeru kerajaan menubuhkan satu Pasukan Khas ataupun Majlis Keterjaminan Makanan Negara yang mengandungi pemain industri pertanian, penyelidik, pakar ekonomi, pakar pertanian dan juga wakil kerajaan-kerajaan negeri untuk mengeluarkan perancangan mengukuhkan sektor pertanian dan bidang pengeluaran makanan di negara kita dengan objektif membekalkan makanan yang cukup untuk semua warga Malaysia.
Keselamatan Makanan (food security) bukanlah tanggungjawab yang dipikul oleh Kementerian pertanian sahaja tetapi ia adalah tanggungjawab oleh semua pihak.
Teresa Kok

