Kecaman Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar terhadap cadangan ADUN Seri Kembangan, YB Wong Siew Ki berhubung pelaksanaan sistem penternakan babi secara tertutup dan moden di Selangor adalah sangat menghairankan.
Kenyataan Ketua Pemuda PAS Selangor tersebut jelas bercanggah dengan pendirian Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr. Ab Halim Tamuri. Semasa mengetuai delegasi melawat ibu pejabat China Press pada 30 Januari 2026, beliau menegaskan bahawa PAS tidak menentang aktiviti penternakan babi di Selangor mahupun melarang orang bukan Islam memakan daging babi. Syarat utama yang ditekankan beliau adalah jaminan kebersihan alam sekitar sepenuhnya bagi mengelakkan pencemaran, serta penempatan di lokasi yang bersesuaian.
(https://www.facebook.com/61565540436176/posts/pas-selangor-melawat-china-press-ab-halim-hormati-budaya-makan-masyarakat-cina-l/122205669038518014/)
Kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor tersebut sebelum ini telah disambut baik oleh masyarakat bukan Islam. Namun, tindakan Ketua Pemuda PAS Selangor yang kini mengeluarkan kenyataan yang bertentangan menggambarkan bahawa Pesuruhjaya PAS Selangor seolah-olah telah hilang kewibawaan dan kawalan terhadap suara dalaman partinya sendiri.
Percanggahan ini juga membuktikan bahawa PAS Selangor tidak mempunyai dasar yang konsisten mahupun keikhlasan untuk menyelesaikan kemelut penternakan babi. Sebaliknya, mereka lebih berminat memperalatkan isu ini sebagai modal politik sempit.
Untuk rekod, sistem penternakan haiwan secara tertutup dan moden telah lama diamalkan di peringkat global, termasuk oleh syarikat-syarikat di negara jiran. Sekiranya Malaysia mahu mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, kita wajib mewujudkan sistem penternakan dan pertanian moden yang mesra alam demi menjamin sekuriti makanan negara.
Justeru, saranan YB Wong Siew Ki di DUN Selangor membuktikan beliau adalah seorang wakil rakyat yang berwawasan dan berjiwa rakyat kerana berani mengutarakan solusi praktikal bagi masalah yang sekian lama berlarutan.
Saya menyeru Ketua Pemuda PAS Selangor agar mencontohi sikap terbuka Pesuruhjaya PAS Selangor dan YB Wong Siew Ki, serta berhenti memainkan sentimen perkauman dalam isu ini demi kepentingan pembangunan negeri.
Teresa Kok

