Semalam, saya pergi berjoging di Taman Persekutuan Bukit Kiara pada jam 6.15 petang, sejurus selepas hujan lebat berhenti.
Apabila saya kembali ke kereta pada jam 7 malam, saya mendapati cermin tingkap di bahagian penumpang hadapan telah dipecahkan. Beg tangan saya yang diletakkan di ruang kaki tempat duduk tersebut juga telah hilang.
Saya hilang kira-kira RM2,000 tunai dan wang angpau, selain kehilangan kad pengenalan serta pelbagai kad kredit dan dokumen penting yang lain.
Dengan hati yang kecewa, saya terus membuat laporan di Balai Polis TTDI. Pegawai polis yang bertugas mengendalikan laporan saya dengan sangat profesional.
Selepas laporan awal dibuat, Pegawai Penyiasat (IO), Encik Guna, datang untuk mengambil kenyataan saya. Unit forensik juga tiba tidak lama kemudian untuk mengambil gambar serta kesan cap jari pada kenderaan saya. Saya hanya meninggalkan balai polis kira-kira jam 9.30 malam.
Saya amat berterima kasih atas kerjasama dan bantuan yang diberikan terhadap aduan saya.
Memandangkan kes pecah kereta dan kecurian barang berharga kerap berlaku di kawasan berkenaan, saya amat berharap agar pihak DBKL dapat memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara demi memudahkan siasatan polis terhadap jenayah yang berlaku.
#teresakok
#bukitkiara



