Perdana Menteri digesa memberi taklimat komprehensif tentang kontroversi pelantikan Jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan
*******************************************
Saya menyambut baik kenyataan bersama oleh Ahli-Ahli Parlimen PKR yang menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terkini berkaitan pelantikan kehakiman.
Adalah tidak lazim bagi Ahli Parlimen kerajaan untuk bersuara secara terbuka, namun kekosongan berpanjangan dalam jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah menimbulkan kebimbangan serius di kalangan pengamal undang-undang dan orang awam.
Sikap berdiam diri dan kelewatan kerajaan dalam membuat pelantikan penting ini boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman. Ahli Parlimen PKR telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik demi kepentingan rakyat.
Saya menggesa Perdana Menteri dan menteri-menteri berkaitan agar segera memberi taklimat komprehensif kepada semua Ahli Parlimen kerajaan.
Ketelusan dan akauntabiliti mesti menjadi asas utama dalam usaha kita mempertahankan kebebasan dan integriti badan kehakiman negara.
Teresa Kok

