BAGI Ahli Parlimen Seputeh, TERESA KOK SUH SIM, tujuannya hanya menggesa kerajaan mengkaji semula cadangan mewajibkan sijil halal untuk restoran yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol, namun, kenyataannya itu akhirnya membuka jalan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasatnya, Selasa lalu.
Segalanya bermula apabila kenyataan versi bahasa Mandarin diterjemah ke bahasa Melayu menyebabkan ada perkataan digunakan terlalu sensitif, sedangkan kata Teresa, beliau tidak bermaksud begitu.
Bagaimanapun, ia sudah terlambat kerana mesejnya tersebar ke seluruh negara sehingga banyak pihak ‘menyerangnya’. Paling mengecewakan Naib Pengerusi DAP ini ada yang menggelarnya ‘nyonya tua’.
Walaupun ‘dihentam’ teruk, dalam wawancara bersama Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN bersama jurugambar FARIZ RUSADIO dan juruvideo ABDUL RAHMAN RAZALI di pejabatnya baru-baru ini, Teresa masih boleh bergurau senda dan tertawa.
Beliau turut mempersoalkan mengapa MCA ‘terselamat’ daripada ‘serangan’ sedangkan parti itu terlebih dahulu membantah pensijilan halal.
MINGGUAN: Apa berlaku semasa polis menjalankan siasatan terhadap Yang Berhormat (YB)?
TERESA: Sewaktu polis menyiasat saya, mereka menunjukkan saya laporan berita yang disiar oleh portal berita tempatan dan kenyataan asal saya daripada Facebook. Polis bertanya kepada saya dengan merujuk setiap perenggan dalam kenyataan itu. Saya pun berterus teranglah.
TERJEMAHAN ChatGPT KURANG TEPAT
Apa masalah sebenar?
Kenyataan asal saya sebenarnya dalam bahasa Mandarin dan saya mengarahkan pekerja saya yang berbangsa Melayu yang fasih bertutur dan menulis dalam Mandarin untuk menterjemahkan ke bahasa Melayu.
Namun, disebabkan pekerja saya tergesa-gesa ke luar negeri menjalankan tugas, maka, kenyataan ini diterjemah menggunakan varian model bahasa ChatGPT kerana lebih cepat. Namun, ada perkataan tertentu yang diterjemah ‘lari’ daripada maksud asal dan pihak kami pula kurang teliti dengan perkataan yang digunakan.
Masalahnya apabila ada portal berita menulis tajuk berita yang mengejutkan dan kurang manis. Sedangkan, maksud saya dalam kenyataan adalah kerajaan mengkaji semula tentang isu pensijilan halal.
TIDAK SEMPAT SEMAK
YB semak terjemahan bahasa Melayu itu?
Sebenarnya, sewaktu proses terjemahan saya sedang menjalankan rawatan alternatif tradisional akupunktur. Oleh kerana rawatan ini mengambil masa dua jam, maka, saya tiada masa untuk meneliti perkataan demi perkataan.
Saya hanya semak secara sekilas pandang. Lagi pun, saya meletakkan kepercayaan kepada pekerja kerana sudah lama berkhidmat.
Apa perkataan itu?
Dalam kenyataan, maksud saya jika kerajaan menguatkuasakan pensijilan halal kepada pengusaha restoran, ia bukan sahaja mencetus reaksi negatif dalam negara, malah mungkin menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa. Bukannya “memalukan” negara. Jadi, perkataan “memalukan” ini yang diterjemah oleh ChatGPT.
Malangnya, kenyataan terjemahan ChatGPT sudah diterbitkan dan dipetik oleh media massa termasuk portal berita tersebut yang sebenarnya adalah terjemahan secara literal.
Anda sendiri pun tahulah yang media suka mensensasikan laporan menggunakan tajuk yang diibaratkan pembaca pun boleh ‘sakit jantung’ selepas membacanya. Sekarang, kita berada dalam dunia yang mana pembaca hanya suka membaca tajuk, tetapi tidak kepada isu kandungan beritanya. Jadi, apabila laporan berita ditulis seperti itu, ia kurang manis lah.
Adakah YB menyalahkan media?
Saya tidak salahkan media, tetapi, hanya cerita apa yang menjadi tumpuan dalam siasatan ini. Saya faham, media biasanya memetik baris perkataan tertentu dalam pelaporan berita mereka dan semua ini bergantung kepada keputusan editor.
Tetapi, maksud saya yang lebih tepat adalah ‘menjejaskan’ nama baik negara di peringkat antarabangsa. Bukannya memalukan. Memang ada media yang suka, tidak suka atau neutral kepada saya. Media yang tidak suka boleh buat gambar saya yang tidak elok.
Dahulu Utusan Malaysia pun guna semata-mata menjadikan orang ramai marah kepada saya. Maka, saya tiada kuasa ke atas pengurusan syarikat media. Semua ini dalam tangan mereka.
Jangan pula selepas ini Mingguan Malaysia salahkan portal berita itu dan saya pula hilang rakan media. Saya sudah menghadapi ramai musuh. Saya terima sahajalah apa yang berlaku sekarang.
YB mengakui kesalahan berpunca daripada ChatGPT?
Saya perlu lebih berhati-hati lagi supaya kontroversi ini tidak berlaku dan saya juga tidak terlalu bergantung kepada ChatGPT (ketawa).
Memanglah ia boleh menterjemah, cuma saya perlu lebih berhati-hati. Ia adalah daripada kesalahan saya dan pekerja yang ditanggung bersama jadi saya mesti bertanggungjawab. Tetapi, tidak bermakna saya bersalah kerana saya hanya membayangkan masalah yang bakal dihadapi pengusaha restoran.
Mengapa tidak betulkan perkataan itu?
Apa lagi saya boleh lakukan sekarang? Ia sudah menjadi satu kes siasatan polis dan pantauan orang ramai. Kenyataan asal saya sudah tersebar dan jika saya menukarnya, orang ramai pula akan kata yang saya cuba berselindung daripada kesilapan yang kami sendiri kurang teliti. Saya hanya boleh mengakui mungkin perkataan yang digunakan oleh ChatGPT itu kurang tepat.
TEKANAN
Ada diugut kerana kes ini dan rasa tertekan?
Saya hanya ‘dibom’ oleh netizen dan sebagainya. Tetapi, blessing is disguise (musibah yang akhirnya membawa hasil yang baik). Saya dimaki orang ramai tetapi lihatlah sekarang, ramai pengusaha restoran makanan dan minuman malah yang berbangsa Melayu pun cakap memang susah untuk mendapatkan sijil halal.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali pun kata yang pengusaha restoran Melayu sebenarnya tidak seharusnya dikehendaki mendapatkan sijil halal kerana apa yang mereka masak itu halal.
SEDIA DIDAKWA DI MAHKAMAH
Bagaimana jika YB didakwa di mahkamah selepas polis melengkapkan kertas siasatan?
Biarlah. Saya terpaksa hadapinya. Apa saya boleh lakukan? Larikan diri ke luar negara? (ketawa).
KONSEP HALAL
Kenyataan asal YB menyebut tentang daging babi dan alkohol. Apakah YB maklum halal dan haram itu bukan melibatkan babi dan alkohol sahaja?
Ini bukan saya cakap, tetapi, menteri agama. Beliau yang kata wajibkan sijil halal. Kenyataan saya sebelum ini hanya maklum balas terhadap kenyataan menteri agama.
YB faham konsep halal yang sebenar?
Ya, saya faham. Ia bersih. Cara kita mengendalikan makanan, minuman, cara pemprosesan, pengangkutan dan dari manakah sumber bahan masakan dan minuman yang mana semua ini memerlukan proses teliti dan terperinci.
Terdapat gesaan YB tarik balik kenyataan. Respons?
Bagaimana saya tarik balik? Saya cuma mahu kerajaan mengkaji semula penguatkuasaan pensijilan halal sahaja.
Baru-baru ini saya hadir mesyuarat kerajaan di Putrajaya dan tahu mengetahui kebanyakan kedai yang menjual makanan dan minuman melibatkan kafe, kantin dan penjaja tiada sijil halal, malah sesetengah restoran mamak pun tiada sijil halal. Tetapi, sebagai pengguna, kita semua pergi makan di situ bukan?
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata kenyataan YB tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH) dan hanya mencetus kontroversi tidak relevan
kepada masyarakat. Bagaimana?
Saya tidak tahu mengapa Perdana Menteri cakap seperti itu? Saya menulis kenyataan ini bukan sebagai pemimpin PH. Saya sebagai backbencher (ahli Parlimen tidak memegang jawatan Eksekutif) dan merupakan ahli Parlimen. Kenyataan saya hanya maklum balas kepada kenyataan menteri agama.
Hakikatnya, memang ramai yang sukar mendapatkan sijil halal, malah pensijilan ini sangat membebankan. Saya rasa Perdana Menteri selepas pulang dari Rusia pun tidak ikut perkembangannya dan tidak membaca kenyataan asal saya.
Adakah YB berasa keseorangan selepas Perdana Menteri berkata sedemikian?
Tidaklah. Saya sebagai backbencher ada pendirian sendiri, malah ada juga pandangan ahli Parlimen lain yang sokong saya tidak perlu pun disiasat polis. Orang kata isu pensijilan halal ini melibatkan Islam manakala saya bukan penganut agama Islam, jadi, lebih baik jangan sentuh. Tetapi, saya tidak menganggap yang pensijilan halal ini sebagai hal ehwal orang Islam sahaja kerana ia satu dasar kerajaan.
LEBIH SOPAN BERBANDING TULISAN MANDARIN MCA
MCA juga ada membantah cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tentang isu pensijilan halal tetapi menulis kenyataan dalam bahasa Mandarin. Komen?
Ya, benar. Sebenarnya, apa yang MCA tulis dalam bahasa Mandarin itu juga sangat kurang manis. Saya yakin penulisan saya lebih sopan berbanding mereka.
MCA ini ‘pandai’ kerana mereka hanya menulis dalam bahasa Mandarin sahaja, sedangkan kita ini wakil rakyat untuk semua kaum dan bangsa. Yang menghadapi masalah pensijilan halal ini termasuk semua orang. Jadi, mengapa tulis dalam satu bahasa sahaja?
Apakah YB anggap restoran bertanda no pork, no lard itu memenuhi kehendak status halal?
Saya tidak pernah kata ini restoran halal. Tetapi, ada restoran yang tidak menghidang babi dan sebagainya. Jadi, bagi saya ini adalah pilihan. Jika anda seorang Muslim memang mematuhi peraturan dan garis panduan, itu terpulang. Tetapi, bagi mereka yang tidak kisah selagi tidak dihidangkan daging babi manakala tukang masaknya beragama Islam, mereka tidak peduli pun ada sijil halal atau tidak. Jadi, hak dan pilihan pengguna harus kita hormati.
YB dikatakan cepat ‘melatah’ sedangkan penguatkuasaan pensijilan halal masih di peringkat cadangan.
Jika begitu, mengapa menteri agama buat pengumuman? Beliau yang buat tetapi tiada sesi libat urus dengan pihak industri, wakil-wakil rakyat, media dan lain-lain.
Apakah ada fakta yang menyokong kenyataan YB yang pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan?
Saya tiada data. Tetapi, apabila saya mendengar kenyataan menteri, ramai pengusaha restoran makanan barat tetapi tidak menghidangkan babi dan alkohol menyuarakan kebimbangan mereka kepada saya. Anda fikir yang mereka ini tidak mahu memohon pensijilan halalkah? Mereka memang mahu, tetapi prosesnya sukar dan jika ia diwajibkan, kesemua rantaian akan terjejas.
Ada seorang rakan yang membuka restoran makanan barat dan ada banyak bahan makanan seperti serbuk, lada dan rempah yang diimport. Maka, dengan pensijilan halal kita harus memastikan satu rangkaian itu kesemuanya bersih dan halal mengikuti undang-undang Islam. Tetapi, mereka tidak tahu yang bahan-bahan tersebut yang diimport dari luar negara itu bagaimana cara pemprosesan dan sumbernya?
Jika ikan dari laut dan lori yang mengangkutnya pernah mengangkut bahan-bahan tidak halal, apakah ikan tersebut status halalnya sudah dicemari? Jadi, kesemua ini yang akan menjadikan proses pemeriksaan menjadi lebih rumit dan membebankan para pengusaha dan sijilnya mesti diperbaharui setiap tahun.
Apakah YB menyokong dasar penguatkuasaan pensijilan halal jika dibentang dan dibahas di Parlimen?
Rasanya seluruh Dewan Rakyat akan kecohlah. Jika dilaksana, bayangkan Sabah dan Sarawak yang mana kedua-dua wilayah ini berbilang bangsa dan makan di dalam satu restoran yang tiada isu seperti di Semenanjung Malaysia? Saya tidak tahu jika kerajaan melaksana dasar ini secara terburu-buru, sebab itu kenyataan saya mahu kerajaan mengkaji semula.
DAP MAIN ISU 3R (RAJA,AGAMA KAUM)
Pemimpin DAP didakwa sering membangkitkan isu 3R. Bagaimana DAP menarik pengundi Melayu jika dianggap masih tidak memahami Islam?
Tolonglah ya, siapa pemimpin DAP itu? Pembangkang yang bangkitkan isu ini. Saya tegaskan ini bukan isu kaum dan agama. Bukan juga merendahkan kaum Melayu dan menghina Islam. Tetapi, ia melibatkan dasar dan pelaksanaannya supaya tidak berlaku masalah pada masa hadapan. Jika diwajibkan, banyak pengusaha restoran bakal terjejas.
Ramai orang Melayu dikatakan tidak puas hati dengan YB. Okay kah?
Sudah lama orang Melayu tidak senang hati dengan saya dan DAP. Ini di luar jangkaan dan kawalan saya.
Apakah isu dibangkitkan YB merenggangkan hubungan DAP dengan UMNO ketika kedua-dua parti bekerjasama dalam kerajaan?
Saya tidak tahu. Ini bergantung pada merekalah (UMNO). Yang penting saya sudah jelaskan isu sebenar dan pendirian saya.
Apa yang YB harapkan daripada kerajaan?
Jika dasar ini dilaksana, kerajaan mesti adakan sesi libat urus dengan pihak industri terlibat. Kerajaan kena ambil kira kesemua maklum balas yang terdapat dalam media sosial dan apa yang berlaku di lapangan.
YB kelihatan kental menghadapi cabaran. Apa tipsnya?
Tiada tips. Saya bukan sengaja membangkitkan isu ini. Saya selalu buat kerja merapatkan hubungan antara kaum dan agama. Tetapi, hanya nasib saya yang kurang baik sekarang. Jadi, saya perlu belajar daripada kesilapan.
AWET MUDA
YB masih minum minyak sawit?
Ya, masih dan selalu mengambilnya kerana kerana mengandungi vitamin yang baik untuk otak dan jantung. Jika di Barat mereka minum minyak zaitun yang mana ia sihat untuk badan. Kalau mahu minum minyak sawit merah pun boleh juga.
PAC
Apa perkembangan terkini selepas dilantik sebagai Naib Pengerusi baharu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)?
Sangat sibuk. Kena dengar dan tanya banyak soalan. PAC memanggil agensi yang ada kaitan yang mana jawatankuasa mahu tahu operasi, masalah dan sebagainya. Tetapi, banyak yang saya belajar dalam aspek soal siasat, laporan-laporan audit dan sebagainya. Saya enjoy!
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, semua ahli PAC diingatkan meninggalkan ‘topi parti politik’ dinaungi masing-masing semasa menjalankan tugas dalam jawatankuasa. Komen?
Benar, selama ini walaupun pengerusi daripada pembangkang, tetapi, kami tiada masalah. Saya kadang-kadang berkongsi rezeki dengan semua ahli. Hubungan antara ahli PAC memang rapat dan harmoni. – Minguan Malaysia