Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Bazaria Sri Petaling

Posted on Saturday, 27-10-2007Monday, 19-11-2007 by -ec-

Laporan YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Kepada Badan Pencegah Rasuah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Pada 24 Oktober 2007

Saya ingin mengadu tentang Bazaria/Medan Selera yang dibina di tanah hijau dan tanah lapang di Jalan Radin Anum 4, Bandar Baru Sri Petaling. Mengikut risalah yang diedarkan kepada orang ramai, Bazaria /Medan Selera itu adalah anjuran bersama Komuniti Bestari KEP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, manakala pengurusan dijalankan oleh CL Management Services.

Mengikut carian dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia, tuanpunya CL Management Services adalah seorang lelaki yang bernama Chan Chee Leong. Alamatnya ialah: No: 12, Jalan Air Madu, Air Panas. Setapak. 53200 Kuala Lumpur. Nombor telefon: 017-291 7119, 016-3300 416. Ia adalah syarikat jenis sole proprietorship.

Saya diberitahu bahawa bazaria beroperasi daripada pukul 7 malam ke 2 pagi, dan hanya makanan ataupun barangan kering dibenarkan. Sewa gerai di Bazaria tersebut ialah RM500 sebulan, mereka yang berminat haruslah membayar deposit selama 2 bulan dan sewa bulan pertama.

Saya merasa hairan atas pembinaan bazaria ini walaupun ia dikutuk oleh banyak pihak sejak awal ia ditubuhkan, termasuk bantahan daripada Persatuan Penduduk Sri Petaling dan parti MCA Seputeh, tetapi Bazaria tersebut masih dibenarkan untuk terus dibina dan disiapkan, dan syarikat tersebut menggunakan nama DBKL dari segi publisiti dan pemasaran gerai sejak awal, tetapi pihak DBKL tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas syarikat ini.

Saya pernah membangkitkan isu ini di sidang Dewan Rakyat pada 6 September 2007 semasa perbahasan rang undang-undang perbekalan. Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan YB Yew Teong Look berjawab pertanyaan saya dengan berkata bahawa DBKL tidak memberi apa-apa kebenaran kepada syarikat yang menganjurkan bazaar tersebut (sila rujuk kepada lampiran) dan tanah yang digunakan oleh bazaria tersebut memang telah digazetkan sebagai tanah hijau.

Tujuan saya membuat laporan kepada BPR ialah:
1. Kenapakah tanah yang telah diwartakan oleh kerajaan sebagai tanah hijau boleh dibenarkan untuk membina bazaria/medan selera?
2. Kenapakah pihak DBKL tidak pernah membuat apa-apa kenyataan dan mengambil apa-apa tindakan untuk menghalang bazaria/medan selera tersebut dibina di tanah hijau?
3. Kenapakah DBKL membenarkan syarikat tersebut untuk menggunakan nama DBKL dalam risalah yang diedarkan kepada orang ramai?
4. Pihak penganjur Bazaria tersebut menyakinkan orang yang berminat untuk berniaga di Bazaria bahawa mereka pasti akan mendapat kebenaran untuk mengadakan bazaria tersebut dan mereka telah mempunyai ‘lesen induk’ sekarang.
5. Orang yang pernah berhubung dengan pihak penganjur bazaria pernah diberitahu bahawa mereka harus membayar ‘duit bawah meja’ sekiranya mereka ingin menyewa gerai tersebut.

Saya pernah berhubung dengan pegawai DBKL berkenaan bazaria yang mendatangkan bantahan yang kuat ini dan bertanya kenapakah mereka tidak mengambil tindakan ke atasnya, saya diberitahu bahawa kelulusan tersebut ditangguhkan.

Penduduk di Bandar Baru Sri Petaling merasa sangat kecewa ke atas cara DBKL menangani isu ini dan mereka telah kuat membantah pembinaan Bazaria ini melalui kempen tandatangan yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Sri Petaling.

Saya ingin menyeru pihak BPR untuk menyiasat samada pembinaan bazaria ini melibatkan pegawai kerajaan dan pegawai DBKL yang menyalahgunakan kuasa, dan samada rasuah berlaku dalam isu ini.

Surat daripada Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Peniaga Kecil, DBKL (24 September 2007):

Minta Perjumpaan Tentang Masalah Penjaja Di Sri Petaling, Kuala Lumpur

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada surat dari pejabat Ahli Parlimen Seputeh bertarikh 3 September 2007 berkaitan perkara di atas dan percakapan melalui telefon pada 19 September 2007 @ 3.45 petang turut berkaitan.

2. Untuk makluman Pejabat Y. Berhormat, DBKL telah meluluskan program Bazaria Larut Malam di kawasan Sri Petaling bertempat di Jalan Radin Anum 4. Mengikut perancangan, program ini akan dilaksanakan oleh penganjur yang telah mengemukakan cadangan awal iaitu Komuniti Bestari kawasan Seputeh. Kelulusan bagi program Bazaria Sri Petaling telah dicapai melalui beberapa siri mesyuarat iaitu mesyuarat peringkat teknikal melibatkan Jabatan-Jabatan DBKL yang diadakan pada 27 November 2006 dan seterusnya dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang turut melibatkan jabatan-jabatan berkaitan pada 26 Mac 2007. Dalam mesyuarat tersebut keputusan telah dibuat untuk meluluskan cadangan BLM di atas tapak tanah lapang milik Datuk Bandar. Walaubagaimanapun kelulusan tersebut adalah bersyarat sehingga tapak tersebut dibangunkan.

3. Kelulusan bersyarat tersebut diambil setelah mengkaji kesesuaian dari segi lokasi yang jauh dari kawasan perumahan, kemudahan tempat letak kereta, dikelilingi kawasan perdagangan dan kewujudan tanah lapang milik Datuk Bandar Kuala Lumpur. Surat kelulusan kepada penganjur telah dikeluarkan pada 16 April 2007 memaklumkan kelulusan operasi Bazaria secara sementara sehingga projek di atas tanah lapang tersebut dibangunkan.

4. Jabatan ini telah menerima bantahan dari Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Seputeh dan telah mengambil tindakan mengarahkan kerja-kerja penyediaan tapak dihentikan serta-merta sehingga kesemua isu-isu yang ditimbulkan dapat diatasi. Arahan penangguhan operasi telah dikeluarkan melalui surat dari jabatan ini bertarikh 27 Ogos 2007. Dalam pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan ini, didapati arahan penangguhan operasi telah dipatuhi dan kesemua jentera-jemtera telah dikeluarkan dari tapak projek.

5. Dikemukakan maklumbalas ini untuk makluman awal dan Jabatan ini akan mengatur perjumpaan serta taklimat untuk Yang Berhormat dalam masa terdekat.

Sekian Terima Kasih

Timbalan Pengarah
Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Peniaga Kecil

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).
  • 𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐘𝐁 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐖𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐔𝐁𝐒𝐈𝐃𝐈 𝐌𝐈𝐍𝐘𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐒𝐀𝐊 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐃𝐀𝐆𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐒 𝐒𝐀𝐑𝐀 𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏 𝐏𝐀𝐃𝐀 𝟏𝟔 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔
  • (no title)
  • UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PROFESION KERJA SOSIAL OLEH TERESA KOK, AHLI PARLIMEN SEPUTEH PADA 14 JULAI 2026
  • MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI diminta menyatakan status penaiktarafan semua depot biodiesel di Malaysia untuk menyimpan, mengadun dan mengedar biodiesel B20
  • Pembatalan Penyewaan Tapak Bekas SK Danau Perdana Bukti Keperluan Reformasi Tadbir Urus Tanah Persekutuan (14 Julai 2026)
  • 郭素沁:撤销前达瑙柏兰岭国小旧址租约 反映联邦土地治理须改革
  • Govt Urged to Implement PAC Recommendation to Establish KL Land Committee After SK Danau Perdana Lease Reversal (14 July 2026)
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑗𝑢𝑚𝑙𝑎ℎ 𝑎𝑑𝑢𝑎𝑛 𝑑𝑖𝑡𝑒𝑟𝑖𝑚𝑎 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝐾𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡𝑒𝑟𝑖𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟ℎ𝑢𝑏𝑢𝑛𝑔 𝑑𝑎𝑘𝑤𝑎𝑎𝑛 𝑟𝑎𝑠𝑢𝑎ℎ 𝑚𝑒𝑙𝑖𝑏𝑎𝑡𝑘𝑎𝑛 𝑘𝑜𝑝𝑒𝑟𝑎𝑠𝑖 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 5 𝑡𝑎ℎ𝑢𝑛 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠.
  • UCAPAN TERESA KOK DALAM PERBAHASAN RUU PINDAAH AKTA KAWALAN PADI DAN BERAS 1994 PADA 9 JULAI 2026
  • Perbahasan berkenaan Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Center (OSCC) pada 9 Julai 2026
  • KSN DAN KP JKPTG DISERU MEMBATALKAN KONTRAK PENYEWAAN TAPAK SEKOLAH (LOT 54836) DI TAMAN DESA KEPADA SYARIKAT SWASTA
  • MENTERI PENDIDIKAN diminta menyatakan bilangan murid-murid darjah satu di setiap sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di kawasan Parlimen Seputeh dan Bukit Bintang pada tahun 2023, 2024, 2025 dan 2026
  • Ucapan Perbahasan Teresa Kok (Seputeh) Laporan SUHAKAM 2024 Pada 7 Julai 2026

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme