Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Umno tidak sepatutnya terlibat dengan RUU355, kata Nazri

Posted on Monday, 10-04-2017 by -ec-

JIKA Nazri Aziz diberi peluang bertindak mengikut cara beliau, Umno tidak akan terlibat dengan rang undang-undang Parlimen yang dibawa PAS untuk meningkatkan hukuman kesalahan Syariah yang dikenali sebagai “RUU355”.

Bekas menteri undang-undang dan hal ehwal Parlimen yang lantang bersuara itu berkata, rang undang-undang itu tidak akan mendapat layanan istimewa sebagaimana yang berlaku, di mana ia disegerakan dan dibacakan di Dewan Rakyat – sesuatu yang jarang berlaku bagi rang undang-undang yang dibawa pihak pembangkang.

Nazri, ahli Majlis Tertinggi Umno berkata beliau tidak bersetuju dengan rakan parti dan pemimpin kanan yang menyokong rang undang-undang itu yang bersandarkan demi kepentingan untuk menegakkan Islam.

Nazri percaya pendekatan mesra PAS oleh Presiden Najib Razak dan ahli lain dalam Umno semata-mata “kenyataan politik” yang tidak menggambarkan tujuan sebenar parti dan gembira apabila Barisan Nasional (BN) membatalkannya selepas ditentang sekutunya.

Pemimpin berusia 63 tahun bercakap kepada The Malaysian Insight di luar Dewan Rakyat semalam bagi menggariskan sebab mengapa beliau menentang rang undang-undang itu sebagai kepunyaan kerajaan.

Faktor paling penting kata menteri pelancongan dan kebudayaan itu adalah rang undang-undang itu memecahbelahkan gabungan BN.

Bagi Nazri, perasaan parti gabungan seperti MCA, MIC dan mereka dari Malaysia Timur jauh lebih penting berbanding kerjasama dengan PAS, yang dipimpin Presiden Abdul Hadi Awang yang pernah melabel Umno kafir.

RUU355 pertama kali dibawa ke Parlimen pada April 2015 oleh Hadi yang juga ahli Parlimen Marang. Rang undang-undang itu bertujuan memberi mahkamah Syariah negeri kelonggaran dalam mengenakan hukuman lebih berat terhadap orang Islam yang ditangkap atas kesalahan seperti pengambilan alkohol dan berzina.

Ia segera menyebabkan ribut bantahan daripada bukan Islam dan beberapa ahli Parlimen Islam yang mendakwa PAS cuba melaksanakan versi Kanun Keseksaan Syariahnya sendiri atau “hudud” melalui tindakan undang-undang yang sah – dengan meminda Akta Mahkamah Syariah 1965 yang mengehadkan hukuman bagi kesalahan penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Sebab kedua Nazri menentang penglibatan Umno dalam rang undang-undang ini kerana ia tindakan sia-sia untuk menggembirakan PAS. Ini kerana pada pilihan raya nanti, parti Islam itu akan menjadi saingan terbesar Umno bagi undi orang Islam.

Berikut adalah petikan temu bual itu:

S: Sebagai bekas menteri undang-undang apa pandangan anda mengenai RUU355?

A: Saya sentiasa berkata perkara itu lebih berkaitan dengan PAS berbanding kita. Tetapi apabila mereka mahu membawa rang undang-undang ke Parlimen mereka memerlukan sokongan BN kerana sekutu mereka tidak bersetuju dengannya. Tetapi ia usul PAS.

Tetapi apabila kita bermesyuarat dalam Majlis Tertinggi BN, kami bimbang undang-undang Syariah menjalar ke dalam sistem undang-undang kita, perlahan-lahan.

Itu adalah pandangan parti komponen kami. Jadi kami membuat keputusan kerana parti komponen tidak bersetuju dengannya dan kerana tidak mahu memecahbelahkan BN, kami mengambil keputusan tidak membawanya sebagai rang undang-undang kerajaan dan menyerahkan ia semula kepada PAS. Bagi saya, ia langkah yang betul kerana kepentingan BN mesti diutamakan.

Usul Hadi itu jelas menunjukkan PAS gagal melaksanakan Islamisasi di Kelantan. Jika mereka berjaya, penduduk Kelantan akan akur dengan undang-undang Syariah. Mengapa mereka perlu meningkatkan enam rotan kepada 100? Jika anda menaikkannya, maka ia bermakna anda sudah gagal.

Rakyat Kelantan tidak takut (undang-undang Syariah anda). Sebagai contoh rakyat Kelantan tidak takut meminum arak kerana mereka hanya akan menerima enam sebatan. Atau, sebagai contoh, mereka tidak takut terlepas solat Jumaat setiap minggu kerana mereka akan hanya menerima enam rotan. Jika PAS perlu meningkatkan hukuman enam kepada 100 kali, ia bermakna rakyat Kelantan tidak takut.

Mereka gagal memastikan rakyat Kelantan tidak terlepas solat Jumaat atau minum arak, mereka perlu meningkatkan hukuman 100 rotan. Disebbakan rakyat Kelantan tidak takut, PAS perlu membawa RUU355.

Ini masalah PAS, bukan kita.

S: Tetapi ada di antara rakan Umno mahu kerajaan membawa rang undang-undang ini?

A: Sesetengah pihak dalam Umno tidak faham. Mereka tidak memahami dan berasa perlu melakukannya atas nama menegakkan Islam, tanpa benar-benar memahami (isu ini).

Sejak 40 tahun lalu (sejak Akta Syariah 1965 dilaksanakan) kita membenarkan Mahkamah Syariah menghukum dengan enam rotan dan kita tidak rasa ia bertentangan dengan Islam. Justeru, mengapa sekarang apabila kita tidak menyokong RUU355, kita membelakangkan Islam?

Ada kalanggan orang Umno berasa kalau tidak menyokongnya, ia salah dari segi Islam. Saya rasa ia tidak salah.

Selama 52 tahun kita tidak berasa salah menghukum pesalah dengan enam rotan, mengapa sekarang pula kita berasa bersalah? Islam adalah selama-lamanya, bukan untuk masa tertentu sahaja.

Ada yang mengatakan ini kehendak agama, jadi kita perlu sokong. Pada saya, ini bukan kehendak agama, ini kehendak politik PAS. Ini yang pertama.

Kedua, ada di kalangan Umno berasa kita perlu bekerjasama dengan PAS. Saya tidak bersetuju kerana PAS adalah parti politik bukannya pertubuhan Islam.

Saya ingin bertanya kepada ahli Umno yang ingin bekerjasama dengan PAS, pada pilihan raya nanti bagaimana kita hendak duduk berbincang dengan PAS mengenai kerusi?

Adakah kita akan menyerahkan Kelantan atau Terengganu kepada PAS? Ini politik.

Apa kerjasama yang anda maksudkan? Apakah semasa pilihan raya nanti mereka tidak akan bertanding melawan kita? Tidak mungkin.

Masalahnya ialah, kita akan berhadapan PAS di kerusi yang ditandingi kerana sasaran kita adalah sama, Melayu Islam. Jika kita mahu bekerjasama, kita perlu mengagihkan kerusi. Saya minta maaf, tetapi saya tidak dapat menerimanya.

Ini kerana sukar untuk saya meyakinkan ahli Umno di peringkat bawah. Kehidupan seharian mereka tidak bertegur sapa dengan ahli PAS, dimaki hamun. Tiba-tiba pemimpin di atas berjabat tangan dan memberitahu rakyat di bawah untuk melakukan perkara yang sama? Ia sukar.

Selama bertahun-tahun, PAS memanggil kita kafir hinggakan masjid dan imam perlu berbeza. Sekarang anda mahu berjabat tangan dan menjadi kawan? Ia bukan mudah. Tidak mungkin. Bagi saya, tidak ada bentuk kerjasama kerana PAS parti politik

PAS sendiri mempunyai masalah dengan serpihannya, Amanah. PAS bukan pertubuhan yang dipimpin Nabi Muhammad.

S: Kita lihat dalam dua tahun lepas lebih ramai pemimpin Umno mahu bekerjasama dengan PAS, termasuk presiden dan timbalannya. Pada perhimpunan Umno 2016, Najib turut mengucapkan terima kasih kepada rakan dalam PAS kerana menyokong bajet kerajaan.

A: Itu satu kenyataan politik. Bolehkah anda mengambil kenyataan politik secara serius?

S: Adakah anda tidak bersetuju ketika itu dengan presiden dan orang lain dalam parti?

A: Ia adalah satu kenyataan politik. Bagi saya ia adalah satu kenyataan politik. Tetapi saya tidak bersetuju dengan kerjasama dengan PAS. Kami akan tetap berasingan. Jika bekerjasama bermaksud kita akan berpecah, tidak perlulah.

Saya lebih menghargai kerjasama dan sumbangan rakan komponen kami. Saya tidak pernah anggap PAS sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Jika kita mengakuinya, bagaimana pula dengan kita? Bagaimana pula dengan Umno? Adakah kita akan mengakui Umno tidak (berjuang untuk Islam)?

S: Adakah mengekalkan sokongan daripada parti komponen BN punca mengapa kerajaan menolak mengambil rang undang-undang itu?

A: Kita menghargai sumbangan parti komponen seperti MCA, MIC, parti Kadazan dan Dayak. Mereka meletakkan harapan menggunung kepada Umno untuk menjaga golongan minoriti. Itu lebih penting bagi saya daripada PAS yang selama ini melawan kita.

Rakan bukan Islam kami tidak pernah mengkafirkan kita. Siapa mengkafirkan kita? BOlehkah kita lupakan? Saya tidak boleh lupa. Orang yang sama kini menjadi presiden PAS.

Musang tidak boleh bertukar menjadi ayam dalam sekelip mata. Saya seorang ahli politik yang praktikal.

Saya tidak takut jika mereka mengatakan saya akan terima hukuman kerana tidak menyokong RUU355. Saya berkata, sejak bilakah mereka menjadi Tuhan? Adakah anda hendak mengambil alih tugas Tuhan?

S: Adakah terdapat kebimbangan dalam BN, terutamanya apabila parti Sabah dan Sarawak berkata, jika Umno membawa rang undang-undang itu, mereka akan meninggalkan gabungan?

A: Sudah tentu. Mereka lebih penting. Perpaduan rakyat Malaysia lebih penting kepada saya daripada menyenangkan PAS, yang sentiasa menjadi musuh politik kita. Apakah anda bermaksud mengatakan selepas bertahun-tahun menyokong kami (daripada sekutu BN) anda boleh meninggalkan mereka begitu sahaja kerana (PAS)?

Ingat pada 1974, PAS juga dalam gabungan kami dan ia adalah kegagalan. Apa yang membuatkan anda fikir ia akan berjaya sekarang? Kita perlu belajar daripada sejarah.

S: Anda antara segelintir orang Umno yang tidak bersetuju bekerjasama dengan PAS, tetapi ramai ahli Umno yang lain bersetuju berbuat demikian.

A: Adakah anda fikir saya peduli? Saya tidak peduli. Sama seperti terdapat ramai ahli Umno yang tidak menyokong saya dalam perbahasan ini (dengan Dr Mahathir Mohamad). Saya tidak peduli. Sejak bila saya peduli?

Saya masih di sini, gagah seperti dahulu. Saya sedang melakukan perkara yang betul. Bukan untuk saya tetapi untuk rakyat Malaysia yang dikasihi. – 5 April, 2017.

 

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).
  • 𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐘𝐁 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐖𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐔𝐁𝐒𝐈𝐃𝐈 𝐌𝐈𝐍𝐘𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐒𝐀𝐊 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐃𝐀𝐆𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐒 𝐒𝐀𝐑𝐀 𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏 𝐏𝐀𝐃𝐀 𝟏𝟔 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔
  • (no title)
  • UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PROFESION KERJA SOSIAL OLEH TERESA KOK, AHLI PARLIMEN SEPUTEH PADA 14 JULAI 2026
  • MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI diminta menyatakan status penaiktarafan semua depot biodiesel di Malaysia untuk menyimpan, mengadun dan mengedar biodiesel B20
  • Pembatalan Penyewaan Tapak Bekas SK Danau Perdana Bukti Keperluan Reformasi Tadbir Urus Tanah Persekutuan (14 Julai 2026)
  • 郭素沁:撤销前达瑙柏兰岭国小旧址租约 反映联邦土地治理须改革
  • Govt Urged to Implement PAC Recommendation to Establish KL Land Committee After SK Danau Perdana Lease Reversal (14 July 2026)
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑗𝑢𝑚𝑙𝑎ℎ 𝑎𝑑𝑢𝑎𝑛 𝑑𝑖𝑡𝑒𝑟𝑖𝑚𝑎 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝐾𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡𝑒𝑟𝑖𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟ℎ𝑢𝑏𝑢𝑛𝑔 𝑑𝑎𝑘𝑤𝑎𝑎𝑛 𝑟𝑎𝑠𝑢𝑎ℎ 𝑚𝑒𝑙𝑖𝑏𝑎𝑡𝑘𝑎𝑛 𝑘𝑜𝑝𝑒𝑟𝑎𝑠𝑖 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 5 𝑡𝑎ℎ𝑢𝑛 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠.
  • UCAPAN TERESA KOK DALAM PERBAHASAN RUU PINDAAH AKTA KAWALAN PADI DAN BERAS 1994 PADA 9 JULAI 2026
  • Perbahasan berkenaan Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Center (OSCC) pada 9 Julai 2026
  • KSN DAN KP JKPTG DISERU MEMBATALKAN KONTRAK PENYEWAAN TAPAK SEKOLAH (LOT 54836) DI TAMAN DESA KEPADA SYARIKAT SWASTA
  • MENTERI PENDIDIKAN diminta menyatakan bilangan murid-murid darjah satu di setiap sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di kawasan Parlimen Seputeh dan Bukit Bintang pada tahun 2023, 2024, 2025 dan 2026
  • Ucapan Perbahasan Teresa Kok (Seputeh) Laporan SUHAKAM 2024 Pada 7 Julai 2026

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme