Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Kenyataan Sidang Akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Berkenaan Isu Pembelian Banglo Pada 20.3.2016.

Posted on Sunday, 20-03-2016Thursday, 24-03-2016 by -ec-

Adakah Datuk Shabudin Yahaya Berani Ulangi Tuduhan Rasuah Ke atas Saya Di Luar Parlimen Dan Bukanlah Jenis Pemimpin Tidak Bertanggungjawab Yang Baling Batu Sembunyi Tangan?

Saya agak kesal bahawa Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya tidak berani menerima jemputan saya untuk bersemuka secara satu sama satu pagi ini di pejabat saya untuk menunjukkan bukti berkaitan tuduhan beliau di Parlimen bahawa saya terlibat dalam amalan rasuah. Saya telah silap bila anggap beliau adalah pemimpin berani yang tidak gentar berdepan dengan sebarang cabaran demi mencari kebenaran.

Beliau telah buat tuduhan pada 17 Mac di Parlimen pada bahawa saya terlibat dalam amalan rasuah berkaitan pembelian rumah saya yang berusia 30 tahun, dengan penjualan sebidang tanah kerajaan negeri di Taman Manggis. Saya telah membeli rumah, yang dibina pada awal 1980an, pada 28 Julai 2015. Implikasi tuduhan rasuah Datuk Shabudin terhadap saya ialah, harga pembelian rumah saya adalah murah, untuk membolehkan syarikat yang ada hubungan dengan si penjual rumah, memperolehi tanah kerajaan negeri di Taman Manggis dengan harga murah.

Soal pokok tuduhan rasuah terhadap saya ialah adakah saya mengaturkan penjualan tanah kerajaan dengan harga murah supaya saya boleh beli rumah saya dengan harga murah. Tuduhan ini adalah satu fitnah jahat yang tidak berasas kerana:-

1. Pembelian rumah saya sebanyak RM2.8 juta dibiayai oleh pinjaman bank sebanyak RM2.1 juta dan baki wang tunai RM700,000 daripada elaun pendapatan saya sebagai Ketua Menteri dan wakil rakyat;

2. Penjualan tanah kerajaan negeri dijalankan dengan tender terbuka dan pembeli dipilih berdasarkan tawaran harga yang paling tinggi;

3. Jawatankuasa Tender Negeri tidak dipengerusikan oleh saya dan mematuhi semua peraturan kerajaan negeri yang ditetapkan.

4. Penjual rumah kepada saya tidak terlibat dengan syarikat yang memenangi tender tanah kerajaan negeri, bukanlah pemegang saham ataupun ahli lembaga pengarah. Penjual rumah juga bukanlah pemaju perumahan.

5. Ketua Bahagian UMNO Bagan Shaik Hussein Mydin pada 19 Ogos 2015 telah meminta maaf secara lisan kepada saya di depan Hakim Mahkamah Tinggi sebanyak dua kali, dan menarik balik kenyataan fitnah di mahkamah bahawa saya terima wang rasuah daripada pembeli tanah kerajaan negeri tersebut.

Akan tetapi saya bersedia mendengar hujah dan menyemak sebarang bukti yang beliau pegang dalam pertemuan satu sama satu pagi ini. Buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, seorang Ketua Menteri bersedia bersemuka dengan seorang ahli Parlimen parti lawan yang menuduhnya, semata-mata untuk mencari kebenaran. Kita harus berani kerana benar. Saya tidak nampak mana-mana pemimpin BN baik Menteri maupun Menteri Besar berani berbuat demikian.

Malangnya Datuk Shabudin telah undur lebih dahulu dan lari daripada peluang yang diberikan untuk membuktikan tuduhan rasuah terhadap saya bukanlah berunsur fitnah. Ini tidak adil terhadap saya sebagai mangsa fitnah jahat ini.

Ia bukanlah sikap bertanggungjawab dan bermoral seorang pemimpin, seakan-akan baling batu sembunyi tangan. Oleh demikian saya ingin meminta beliau mengulangi tuduhan rasuah yang beliau buat terhadap saya secara peribadi dalam Parlimen di luar, supaya saya diberikan peluang untuk mengambil tindakan saman malu terhadap beliau.

Adakah Datuk Shabudin berani ulangi tuduhan rasuahnya di luar Parlimen?

Saya Akan Menulis Surat Kepada SPRM Pulau Pinang Tentang Siasatannya ke atas Penyewaan Rumah Saya Sebanyak RM5,000 Sebulan Pada 2009.

Saya akan menulis surat kepada SPRM Pulau Pinang tentang siasatannya ke atas penyewaan rumah saya sebanyak RM5,000 sebulan pada 2009. Saya juga akan meminta siasatan baru ke atas pembelian rumah saya dapat disegerakan dengan harapan siasatan dijalankan dengan adil, bebas dan profesional (without fear of favour) tanpa dipengaruhi oleh desakan parti pemerintah BN.

Saya agak hairan bila SPRM Pulau Pinang menyatakan bahawa SPRM pernah menjalankan siasatan sebelum ini berkaitan penyewaan rumah oleh saya pada 2009, sebelum saya membelinya pada 2015. Sehingga sekarang saya tidak ada pengetahuan langsung tentang siasatan penyewaan rumah saya pada 2009, yang telah berlalu sekian lama.

Jelas sekali, tidak ada sebarang tindakan diambil oleh SPRM atas penyewaan rumah saya kerana ia tidak berasas. Kerajaan negeri tetap akan mendukung pentadbiran bersih yang bebas daripada rasuah demi menegakkan kepujian bernilai oleh Transparency International ke atas Pulau Pinang atas pelaksanaan sistem tender terbuka.

LIM GUAN ENG

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).
  • 𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐘𝐁 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐖𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐔𝐁𝐒𝐈𝐃𝐈 𝐌𝐈𝐍𝐘𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐒𝐀𝐊 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐃𝐀𝐆𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐒 𝐒𝐀𝐑𝐀 𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏 𝐏𝐀𝐃𝐀 𝟏𝟔 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔
  • (no title)
  • UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PROFESION KERJA SOSIAL OLEH TERESA KOK, AHLI PARLIMEN SEPUTEH PADA 14 JULAI 2026
  • MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI diminta menyatakan status penaiktarafan semua depot biodiesel di Malaysia untuk menyimpan, mengadun dan mengedar biodiesel B20
  • Pembatalan Penyewaan Tapak Bekas SK Danau Perdana Bukti Keperluan Reformasi Tadbir Urus Tanah Persekutuan (14 Julai 2026)
  • 郭素沁:撤销前达瑙柏兰岭国小旧址租约 反映联邦土地治理须改革
  • Govt Urged to Implement PAC Recommendation to Establish KL Land Committee After SK Danau Perdana Lease Reversal (14 July 2026)
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑗𝑢𝑚𝑙𝑎ℎ 𝑎𝑑𝑢𝑎𝑛 𝑑𝑖𝑡𝑒𝑟𝑖𝑚𝑎 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝐾𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡𝑒𝑟𝑖𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟ℎ𝑢𝑏𝑢𝑛𝑔 𝑑𝑎𝑘𝑤𝑎𝑎𝑛 𝑟𝑎𝑠𝑢𝑎ℎ 𝑚𝑒𝑙𝑖𝑏𝑎𝑡𝑘𝑎𝑛 𝑘𝑜𝑝𝑒𝑟𝑎𝑠𝑖 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 5 𝑡𝑎ℎ𝑢𝑛 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠.
  • UCAPAN TERESA KOK DALAM PERBAHASAN RUU PINDAAH AKTA KAWALAN PADI DAN BERAS 1994 PADA 9 JULAI 2026
  • Perbahasan berkenaan Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Center (OSCC) pada 9 Julai 2026
  • KSN DAN KP JKPTG DISERU MEMBATALKAN KONTRAK PENYEWAAN TAPAK SEKOLAH (LOT 54836) DI TAMAN DESA KEPADA SYARIKAT SWASTA
  • MENTERI PENDIDIKAN diminta menyatakan bilangan murid-murid darjah satu di setiap sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di kawasan Parlimen Seputeh dan Bukit Bintang pada tahun 2023, 2024, 2025 dan 2026
  • Ucapan Perbahasan Teresa Kok (Seputeh) Laporan SUHAKAM 2024 Pada 7 Julai 2026

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme