Today, I manged to deliver my budget speech. I know I have to do it today because I won’t be in Parliament next week as the Selangor State Assembly sitting will be taking place. Thank God that the Speaker allowed me to deliver my speech in the morning.
My speech is as follow:
Ucapan YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Dalam Perbahasan Bajet 2009 Pada 16 Oktober 2008
Penahanan ISA
Datuk Yang diPertua, sebagaimana yang diketahui oleh semua Ahli Berhormat dan rakyat di seluruh Malaysia, pada 12 September 2008, Kerajaan Barisan Nasional telah menggunakan ISA untuk menahan pemberita Sin Chew Jit Poh, Cik Tan Hoon Cheng, penulis blog Raja Petra Kamarudin dan saya.
Saya ditangkap oleh polis pada jam lebih kurang sebelas duapuluh minit di hadapan kondominium saya atas tuduhan “menyebabkan ketegangan dan pergaduhan di antara kaum dan agama” di bawah fasal 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Selepas itu, saya ditahan secara persendirian di satu pusat tahanan di Kuala Lumpur selama 7 hari.
Datuk yang diPertua, apa yang menghairankan seluruh masyarakat Malaysia ialah, Menteri Dalam Negeri gagal memberi alasan yang munasabah untuk menyakinkan orang ramai bahawa ketiga-tiga kami telah mengancam keselamatan negara. Beliau malah berkata bahawa sebab Kerajaan menahan pemberita Tan Hoon Cheng selama 18 jam adalah kerana ingin “memberi perlindungan kepadanya kerana keselamatannya terancam”. Satu alasan yang amat melucukan.
Datuk yang diPertua, saya dilemparkan tuduhan yang besar, iaitu saya dikatakan telah menyebabkan ketegangan dan pergaduhan di antara kaum dan agama, tetapi selama tujuh hari penahanan saya, saya hanya ditanya tiga soalan utama oleh pegawai penyiasat polis yang mana berdasarkan tulisan dalam sesetengah laman web dan juga satu artikel yang bertajuk “Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya …” yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 10 September 2008, di mana saya dituduh membantah laungan azan sebuah masjid di Bandar Kinrara, saya dituduh mencadangkan 30 peratus daripada peruntukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) digunakan bagi agama-agama lain, dan saya dikatakan memaksa DBKL menurunkan semua tulisan jawi di semua papan tanda jalan di Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga soalan tersebut adalah tuduhan liar yang langsung tidak berasas kerana saya memang tidak pernah melakukan tuduhan-tuduhan tersebut. Saya sebenarnya telah menerangkannya isu-isu tersebut kepada pemberita akhbar Bahasa Malaysia dan malah disiarkan dalam blog saya pada 10 September 2008, iaitu dua hari sebelum saya ditahan di bawah ISA. Apakah penahanan saya menunjukkan pihak polis tidak membuat “home work” dan tidak menjalankan siasatan sebelum mereka menahan saya? Kenapakah pihak polis tidak panggil saya memberi keterangan di balai polis, tetapi sebaliknya mereka menahan saya di bawah ISA baru menjalankan siasatan?
Saya difahamkan pada hari-hari sebelum saya ditahan di bawah ISA, terdapat banyak sms, email dan sesetengah blog yang menyiarkan tuduhan yang bukan-bukan terhadap saya. Apakah pihak polis telah menjalankan siasatan terhadap mereka yang membuat cerita palsu dan melemparkan tuduhan palsu terhadap saya, khususnya laman web “pembelamelayu.com” dan laman web bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo? Apakah siasatan polis tersebut dan apakah polis telah mengambil tindakan terhadap mereka?
Sehubungan dengan itu, saya juga pernah membuat laporan polis terhadap pihak Utusan Malaysia, Zaini Hassan, iaitu penulis yang menulis artikel “Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya …”, dan juga Khir Toyo yang pernah membuat tohmahan terhadap saya. Apakah hasil siasatan polis terhadap laporan polis saya dan apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak polis terhadap kesemua laporan palsu dan tohmahan tersebut?
Datuk yang diPertua, Kerajaan Barisan Nasional selalu menggunakan alasan bahawa ISA itu perlu dikekalkan demi menjaga keselamatan dalam negeri, tetapi dalam kes saya, saya memang tidak pernah melakukan apa-apa tindakan ataupun mengeluarkan apa-apa kenyataan yang menyakiti hati mana-mana kaum dan agama, dan tidak pernah saya melakukan apa-apa yang menjejaskan keselamatan negara kita. Kenapakah saya ditahan selama 7 hari dalam kurungan persendirian baru Menteri Dalam Negeri mengumumkan bahawa saya tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara? Apakah penahanan saya menunjukkan bahawa ISA telah menjadi alat yang diperalatkan oleh kerajaan Barisan Nasional untuk menahan tokoh pihak pembangkang?
Siapa Yang Memberi Arahan Tentang Penahanan ISA?
Di sini, saya ingin minta Menteri Dalam Negeri memberitahu dewan yang mulia ini, siapakah yang mengarahkan ketiga-tiga kami ditahan di bawah ISA? Saya difahamkan selepas saya ditahan di bawah ISA, Perdana Menteri berkata bahawa dia tidak tahu saya ditahan, Menteri Dalam Negeri pula berkata bahawa beliau tidak memberi arahan kepada polis untuk menahan kami di bawah ISA tetapi kesemua ini dilakukan oleh polis. Saya ingin tanya apakah polis berani menjalankan penahanan ISA tanpa kelulusan daripada Menteri Dalam Negeri? Sekiranya Menteri Dalam Negeri tidak diberitahu tentang penahanan saya, apakah tindakan disiplin telah diambil oleh pihak Kementerian terhadap pihak polis, khususnya Ketua Polis Negara dan Pengarah Cawangan Khas di PDRM atas cara mereka menahan ketiga-tiga kami tanpa menjalankan siasatan?
Walaupun pemberita Tan Cheng Hoon dan saya telah dibebaskan daripada ISA sekarang, saya juga ingin tanya apakah rasional bagi kerajaan untuk terus menahan penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang mana telah didakwa ke mahkamah? Kenapakah kerajaan tidak membiar Mahkamah untuk mengadili beliau tetapi perlu menahan beliau di bawah ISA?
ISA Ialah Undang-Undang Yang Lapuk
Datuk yang diPertua, ISA digubalkan pada tahun 1960 untuk membanteras kegiatan Komunis yang cuba menggulingkan Kerajaan dengan menggunakan keganasan. Sekarang, era pemberontakan Komunis telahpun lepas dan malah penggubal ISA sendiri, iaitu Allaryaham Profesor R. H. Hickling juga pernah menyarankan kerajaan supaya ISA dimansuhkan pada beberapa tahun yang lepas. Kenapakah kerajaan masih enggan memansuhkan ISA?
Negara kita telah mempunyai undang-undang yang cukup banyak untuk mendakwa mereka yang bersalah ke mahkamah, kerajaan memang tidak mempunyai alasan untuk menahan sesiapa lagi tanpa melalui proses perbicaraan Mahkamah dengan menggunakan ISA. Selain daripada Raja Petra Kamaruddin, ramai tahanan ISA di pusat penahanan Kamunting memang telahpun didakwa ke mahkamah, apakah mereka masih perlu ditahan di bawah ISA?
Kita masih ingat, Perdana Menteri kita pernah mengutuk cara kerajaan Amerika Syarikat memasukkan penjenayah terrorist di pusat penahanan Guantanamo. YAB juga pernah menyeru kerajaan Amerika Syarikat untuk mendakwa warga Malaysia yang dikatakan bersubahat dengan pengganas antarabangsa diadili melalui perbicaraan Mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Menteri Dalam Negeri kita juga pernah membuat banyak kenyataan yang memihak kepada hak asasi manusia di forum antarabangsa semasa beliau memegang jawatan Menteri Luar Negeri, dan kita tahu ISA merupakah satu isu yang menjejaskan nama baik Malaysia di forum antarabangsa. Kenapakah Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri kita yang pernah kuat mempertahankan namabaik Malaysia di forum antarabangsa ini sanggup menggunakan ISA yang bercanggah dengan hak asasi manusia ini untuk menahan orang tanpa perbicaraan Mahkamah? Kenapakah Menteri Dalam Negeri kita yang pernah memegang jawatan Menteri Luar Negeri sanggup menggunakan ISA untuk menahan orang yang tidak bersalah seperti saya selepas beliau memegang jawatab Menteri Dalam Negeri?
Mengikut satu kajian yang dibuat oleh Merdeka Center baru-baru ini, 75% daripada responden yang menjawab soal-selidik berkata mereka amat tidak setuju kerajaan menahan orang tanpa perbicaraan seperti ISA. Kerajaan BN adalah dipilih oleh rakyat, rakyat telah menghantar satu mesej yang kuat kepada BN bahawa rakyat tidak menyokong kerajaan menggunakan ISA.
Datuk yang diPertua, di dewan yang mulia ini, terdapatnya ramai ahli berhormat, khususnya ahli berhormat daripada Pakatan Rakyat yang pernah ditahan secara tidak adil di bawah ISA. Di sini, saya ingin menyeru para ahli berhormat di dewan yang mulia ini, termasuk mereka yang belum pernah masuk tahanan ISA di Barisan Nasional untuk bangun mengutuk tindakan kerajaan Barisan Nasional untuk menahan orang yang tidak bersalah dengan menggunakan ISA. Saya telah membentangkan satu usul mengikut fasal 27(2) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk meminta satu perbahasan berkenaan dengan ISA. Saya berharap Yang DiPertua boleh membenarkan usul saya dibuka untuk dibahas, dan saya menyeru kesemua ahli berhormat di dewan yang mulia ini, termasuk Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk bekerjasama mendesak kerajaan Barisan Nasional untuk memansuhkan ISA, undang-undang yang zalim ini.
Apakah Tindakan Diambil Terhadap Aduan Tentang Salah-Laku Polis?
Datuk yang diPertua, saya ingin merujuk kepada laporan akhbar NST pada 30 Julai 2008 (Rabu) yang melaporkan seorang aktivis Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) Tan Sri Robert Phang telah memanjangkan laporan tentang salah-laku beberapa pegawai kanan polis kepada pihak Kementerian Dalam Negeri, Badan Pencegah Rasuah (BPR), Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Polis Negara (KPN). Aduannya adalah seperti berikut:
1. Salahlaku Pengarah Jabatan Logistik (Dato’ Mashuri Bin Zainal) berkahwin kali ke-2 (poligami) tanpa mendapat kebenaran dari Ketua Polis Negara. Kenapa perkara yang sebegini mudah pihak KDN/KPN perlu mengambil masa yang begitu lama untuk membuat penyiasatan dan diambil tindakan? Adakah kerana beliau orang kepercayaan KPN maka isu ini akan didiamkan sahaja? Sebagai pegawai kanan kerajaan (penjawat awam) apakah KSN juga ingin menutup mata atas salah laku yang begitu ketara ini?
2. Penganugerahan projek-projek yang tidak mengikut prosidur dan berlakunya ketirisan dalam penganugerahan tender serta barang-barang yang dihantar tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan? Apakah tindakan yang telah diambil kepada pegawai-pegawai yang dinamakan dalam kertas laporan tersebut? Mereka adalah : 1. Dato’ Mashuri Zainal (Pengarah Jab Logistik) 2. Dato’ Zubaidah Ismail (Timb. Pengarah 1 Jab Logistik) 3. SUPT Shukri Abdullah 4. DSP Zainal Hashim 5. ASP Mohd Nor Mohd 6. ASP Abdullah Sohaimi Daud Saya mendapat maklumat bahawa setelah lebih 2 bulan aduan tersebut dibuat, pegawai-pegawai berkenaan masih berada di Jabatan Logistik malah lebih agresif membuat kerja-kerja yang meragukan dari segi pembelian peralatan baru. Malah ada maklumat yang saya dapat, salah seorang daripada mereka mendapat kenaikan pangkat. Setahu saya, apabila jawatan seseorang penjawat awam perlu digantung apabila berlakunya siasatan dan tuduhan salahlaku ke atasnya.
Di sini, saya ingin minta Menteri Dalam Negeri untuk memberi penjelasan tentang aduan terhadap penganugerahan projek-projek berikut :
1. Perolehan peralatan pilihanraya umum ke 12 yang tidak mengikut prosedur yang melibatkan kos lebih daripada RM90juta;
2. Pembelian anjing-anjing dari China untuk kegunaan unit K-9 (JSJ) daripada satu syarikat yang dicadangkan oleh seseorang pegawai;
3. Pembelian kain biru untuk pakaian seragam PDRM
4. Perolehan projek Dokumen Management System untuk Rekod Personnel, Jabatan Pengurusan. Kini telah lebih 2 bulan laporan dikemukakan oleh pengadu kepada pihak berwajib, tetapi rakyat masih tidak melihat tindakan diambil terhadap pegawai-pegawai polis kanan tersebut. Apakah sebabnya?
Apakah Siasatan Polis Terhadap Aduan dan Tohmahan Melalui SMS dan Blog Terhadap Saya?
Datuk yang diPertua, saya juga ingin minta Menteri Dalam Negeri untuk membertahu dewan yang mulia ini tentang siasatan polis terhadap siri tohmahan melului email, sms dan blog yang menyerang namabaik dan peribadi saya sebelum dan selepas saya ditahan di bawah ISA, dan juga siasatan polis terhadap pembuangan botol Molotov cocktail ke kediaman keluarga saya tersebut. Kesemua sms ini dihantar daripada beberapa nombor telefon bergerak. Saya ingin tanya apakah siasatan polis terhadap laporan ini?
Tenaga Solar
Datuk yang diPertua, Isu tenaga akan menjadi isu yang semakin meruncing di dunia dalam tahun-tahun ini.
Saya difahamkan dengan kadar pengeluaran dan ketidakpastian sumber minyak dan gas baru, simpanan minyak mentah kita cuma cukup untuk kira-kira 15 tahun dan simpanan gas hanya 30 tahun sahaja. Jadi, usaha-usaha berpadu haruslah dijalankan bagi menyediakan sumber tenaga baru untuk menghadapi permintaan tenaga yang kian meningkat di negara kita.
Datuk yang diPertua, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi pernah menyatakan bahawa kerajaan bertimbang untuk menggunakan tenaga nuklear untuk menghasilkan aliran eletrik. Cadangan ini adalah amat membimbangkan kerana pembangunan perlengkapan nuklear adalah amat mahal sekali. Selain itu, banyak kes pembocoran pemancaran nuklear telahpun berlaku di negara-negara maju yang menggunakan tenaga nuklear, jadi keselamatan teknologi nuklear ini adalah amat diragui.
Datuk yang diPertua, dalam tahun-tahun kebelakangan ini, tiga syarikat solar asing yang besar Malaysia telahpun melabur berbilion-bilion ringgit untuk mendirikan kilang solar di Malaysia. Walau bagaimanapun, produk yang dihasilkan oleh kilang-kilang ini adalah untuk eksport ke luar negeri manakala negara kita yang mempunyai sinar matahari yang kuat tidak menggunakan sinar matahari kita untuk membangunkan teknologi tenaga solar yang juga merupakan teknologi yang diperbaharui tersebut.
Buat masa ini, tenaga Fotovoltaic Solar hanya digunakan untuk penjanaan tenaga di satu dua kawasan luar bandar untuk menjana lampu jalan di taman, telekomunikasi manakala alat pemanas air solar kebanyakan digunakan di sesetengah rumah di kawasan kediaman baru sahaja.
Kita tahu, kos pemasangan alat solar di rumah kediaman dan kos pembinaan stesen janakuasa letrik solar adalah amat tinggi. Ia tidak dapat diperluaskan tanpa sokongan dan galakan kerajaan pusat.
Datuk yang diPertua, banyak negara maju telah memberi banyak galakan dan insentif di negara mereka untuk menjalankan R&D dan mempromosi penggunaan tenaga solar. Di banyak negara Eropah dan banyak tempat di Negeri China, banyak pekan ataupun “township” yang hanya menggunakan tenaga solar telahpun dibangunkan dengan galakan dan bantuan kerajaan.
Saya difahamkan bahawa Pusat Tenaga Malaysia juga telah melancarkan Program Fotovoltaic Sepadu Bangunan Malaysia dengan matlamat menguji kemampuan teknologi tersebut di Malaysia. Saya difahamkan bahawa teknologi ini berpotensi mengeluarkan aliran eletrik sebanyak 11GWp atau 12 TWh, iaitu 20% daripada permintaan tenaga seluruh negara. Ini merupakan satu pencapaian yang menggalakkan. Saya mencadangkan kerajaan untuk memberi lebih insentif kepada pemaju untuk mempopularisasikan pembinaan rumah yang menggunakan perlengkapan solar, dan yang mengadakan sistem “feed-in tariff”, supaya aliran eletrik solar yang berlebihan yang dihasilkan oleh pengguna tenaga solar boleh dijual balik kepada TNB melalui grid TNB.
“Feed-in-tariff” Harus Ditubuhkan Oleh TNB Untuk Mempromosi Tenaga Solar
Datuk yang diPertua, Tenaga Nasional Berhad telah menaikan tarif letrik para pengguna di Malaysia pada tiga bulan yang lepas dengan kadar yang melebihi 18% ke atas dengan alasan kenaikan harga minyak. Walau bagaimanapun, harga minyak dunia telahpun jatuh daripada USD135 pada 4 Jun kepada lebih kurang USD79 per tong sekarang, tetapi kesalnya TNB tidak menurunkan tarif eletrik bagi pengguna aliran eletrik. Kenapakah kerajaan tidak menghendaki TNB untuk menubuhkan satu tabung untuk melaksanakan “feed-in-tariff” sebagai langkah untuk mempromosi penggunaan tenaga solar? Ini adalah tanggungjawab sosial TNB.
Masalah Yang Menjejas Pelaburan Di Malaysia
Masalah Kekurangan Gas
Masalah kekurangan gas industri telah menjadi satu isu yang amat serius dan telah menjejaskan kedatangan pelabur asing. Ramai pelabur dan pengusaha industri asing dan tempatan memang sanggup membeli gas industri dengan harga pasaran, tetapi masalahnya ialah Gas Malaysia tidak dapat membekal gas industri kepada mereka. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di Negeri Selangor, tetapi ia juga berlaku di banyak tempat di Semenanjung Malaysia. Saya pernah bangkitkan isu ini dalam sidang Parlimen yang lepas, tetapi kesalnya pihak kementerian tidak memberi jawapan yang memuaskan, apakah rancangan kerajaan ke atas isu ini?
Peruntukan Kerajaan Persekutuan Kepada Kawasan Perindustrian di Selangor
Datuk yang diPertua, pihak kerajaan pusat telahpun komited untuk memberi peruntukan ataupun geran sebanyak RM70 juta kepada PKNS bagi maksud pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-9, di mana RM50 juta untuk tujuan pembangunan projek infrastruktur asas zon industri dan RM20 juta untuk tujuan pembangunan usahawan. Tetapi sedihnya, pihak PKNS masih belum menerima geran ini daripada pihak Kerajaan Persekutuan sehingga hari ini.
Selain itu, pihak MIDA juga sepatutnya memberi peruntukan RM29 juta untuk membangunkan infrastruktur di kawasan FTZ dekat Kelana Jaya, sedihnya, pihak kerajaan Selangor masih belum menerima peruntukan ini sehingga hari ini.
Di sini, saya ingin minta kesemua kementerian yang terlibat boleh menunaikan janji untuk memberi geran dan peruntukan kepada Negeri Selangor dan juga negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat. Rakyat di Selangor adalah rakyat Malaysia, warga Selangor menyumbangkan cukai pendapatan yang paling tinggi kepada Kerajaan Persekutuan, sumbangan pembayar cukai pendapatan di Negeri Selangor merupakan 25% daripada GDP di seluruh Malaysia. Di sini, saya ingin menyeru pihak kerajaan pusat mengambil sikap yang adil kepada para pembayar cukai dan warga di Negeri Selangor.
Pekerja Asing
Saya difahamkan bahawa kerajaan telahpun menjalankan satu kajian tentang keperluan dan masalah pekerja asing di negara kita. Apakah hasil kajian tersebut? Apakah dasar baru kerajaan terhadap pekerja asing di negara kita?
Sehubungan dengan itu, saya bercadang kerajaan seharusnya menggubal dasar yang menarik tenaga kerja dan pelabur yang mempunyai kepakaran tertentu untuk berkhidmat di negara kita dan seterusnya membangunkan sekor-sektor tertentu, kerana tenaga kerja yang mempunyai kepakaran merupakan faktor kejayaan dan pembangunan ekonomi yang pesat di Singapura, Dubai, China dan sebagainya.
Kekurangan sekolah-sekolah antarabangsa
Masalah kekurangan sekolah antarabangsa merupakan masalah yang serius bagi pekerja pengurusan kanan asing, pelabur asing dan anggota diplomat yang bertempat di Malaysia. Saya ingin tanya apakah kerajaan mempunyai rancangan untuk menggalakkan penubuhan sekolah-sekolah antarabangsa dan mengatasi masalah ini.
Teresa Kok
OSA, PPP Act, Sedition Act & ISA is all dinosour act to be use by corrupted rejim racist umno to silent off critics, opposition & suara rakyat !
PR & Rakyat must b united to kuburkan rejim umno !
Good job YB, keep up the pressure on them esp. the one who pretended not to know who authorised your ‘kidnapping’.