Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

BN bawah Najib akan kalah PRU14, kata Dr Mahathir

Posted on Thursday, 02-04-2015Friday, 03-04-2015 by -ec-

Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) melemparkan kritikan paling keras terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (kanan), mengatakan rakyat tidak percayakan beliau dan akan kalah dalam PRU14 akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 April, 2015.

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melontarkan kritikan paling keras beliau terhadap Datuk Seri Najib Razak, mengatakan rakyat Malaysia tidak mempercayai perdana menteri itu dan meramalkan kejatuhan kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang (PRU14) sekiranya presiden Umno itu terus berkuasa.

Perdana menteri paling lama berkhidmat itu tahun lalu menarik balik sokongannya kepada Najib kerana dasar mereka yang berbeza, menyatakan Najib harus meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

“Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Najib. Ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar Umno, dan dengan itu BN, akan kalah jika Najib memimpin Umno hingga PRU14.

“Apabila Umno kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali Umno kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula,” tulis Dr Mahathir dalam blognya yang popular chedet.cc hari ini.
Dalam tulisannya yang panjang itu, bekas perdana menteri itu menyenaraikan pelbagai tuduhan yang dibuat terhadap Najib selama ini, dan mengatakan tiada satu pun antaranya yang dijawab dengan sempurna.

Dr Mahathir berkata ia termasuk pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan dakwaan yang dibuat salah seorang yang disabitkan membunuh, bekas komando Sirul Azhar Umar, yang merupakan bekas pengawal peribadi Najib.

Mengulas dakwaan Sirul yang beliau menerima arahan untuk membunuh Altantuya, Dr Mahathir berkata tuduhan seperti itu harus disiasat kerana Sirul pernah bekerja dengan Najib.

“Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh (dijatuhkan hukuman bunuh) kerana menjalankan arahan,” tulisnya.

Dr Mahathir juga membangkitkan masalah dihadapi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), menyoal apa perlunya Putrajaya memberikan persediaan kemudahan kredit hampir RM1 bilion kepada syarikat milik Kementerian Kewangan itu, tindakan syarikat itu membeli tanah kerajaan dan perjanjian diragui yang dimeterainya dengan syarikat yang tidak dikenali ramai, PetroSaudi International.

Beliau juga bertanya sumber kewangan anak tiri Najib, Riza Aziz, yang membeli hartanah mewah di New York melalui ahli perniagaan Low Taek Jho.

Beliau juga tidak ketinggalan menyentuh mengenai jet peribadi yang dibeli untuk Najib, menyifatkan ia satu pembaziran kerana kerajaan sudah mempunyai pesawat lain yang boleh digunakan.

“Banyaklah lagi tuduhan dan soalan terhadap 1MDB yang ditubuhkan Najib dan dikuasai sepenuh olehnya sebagai penasihat, yang tidak dijelaskan atau dijawab selain daripada menafi dan mendakwa semuanya bohong belaka.

“Laporan-laporan dalam akhbar di New York dan London amat memalukan negara,” kata Dr Mahathir merujuk laporan media asing mengenai 1MDB dan Low.

Bekas perdana menteri itu juga berkata, tidak mudah baginya menulis semua yang dicatatkannya itu.

“Ramai juga ahli dan pemimpin Umno yang setia secara buta tuli kepada pemimpin. Saya juga setia tetapi kesetiaan saya ialah kepada parti dan orang Melayu yang diwakili olehnya.

“Bukanlah mudah bagi saya menulis blog ini. Tetapi demi bangsa dan negara saya terpaksa dedah semua ini.

“Saya belum nyanyuk walaupun umur hampir 90 tahun. Sesiapa yang berkata saya nyanyuk sebenarnya menipu diri.

“Melayu hanya akan selamat jika bersikap bangsa lebih utama daripada diri sendiri.” – 2 April, 2015.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bn-bawah-najib-akan-kalah-pru14-kata-dr-mahathir#sthash.1rYXgJft.dpuf

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • Ucapan Kamar Khas: Masalah Pelaksanaan Akta A1730: Akta Juruukur Tanah Berlesen (Pindaan) 2024
  • Ucapan Kamar Khas: Kerajaan Diminta Membatalkan Pembinaan 17 Ribu Unit Rumah di Jalan Impian Indah, Bukit Jalil (27 Okt 2026)
  • Court Judgement YB Teresa Kok VS Datuk Dr Akmal
  • UCAPAN PERBAHASAN BELANJAWAN 2027 OLEH TERESA KOK (SEPUTEH) PADA 13 OKTOBER 2026
  • Ucapan Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) dalam Perbahasan RUU Akta Makanan 1983 (8 Oktober 2026)
  • MOTAC DIMINTA MENYATAKAN PENCAPAIAN KEMENTERIAN DALAM TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026
  • Ucapan Teresa Kok dalam Perbahasan “Laporan Pengurusan Pelarian di Malaysia” di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2026
  • Rest in Peace, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
  • 郭素沁促请隆市政局在武吉加里尔、大城堡及旧巴生路展开全面基础设施研究
  • KENYATAAN AKHBAR YB TERESA KOK (AHLI PARLIMEN SEPUTEH) PADA 27 OGOS 2026
  • Joint Efforts Needed: CPO KL, Mayor, and PTGWPKL Director Urged to Clamp Down on Illegal Parking Fee Collection on Kuala Lumpur State Land
  • MEDIA STATEMENT: THE TAMAN DESA PHASE 1 NEIGHBOURHOOD CONTROL SCHEME ISSUE (17 August 2026)
  • KENYATAAN MENGENAI PERSATUAN PENDUDUK TAMAN DESA FASA 1
  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme