PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : Puan Teresa Kok Suh Sim
Tarikh : 27 MAC 2007
SOALAN:
Puan Teresa Kok Suh Sim (Seputeh) minta MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI menyatakan jumlah pekerja asing yang telah ditangkap, ditahan atau dihantar balik ke negara asal mereka mengikut pecahan kewarganegaraan mereka pada tahun 2005,2006 dan suku pertama 2007. Sila nyatakan jumlah perbelanjaan atas penangkapan, penahanan dan deportasi perkerja asing yang tidak mempunyai dokumen.
JAWAPAN:
Tuan Yang Di-Pertua,
Tiada sesiapa yang boleh tinggal di negara ini dengan melanggar Akta Pasport, Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan yang ada. Mana-mana warga asing yang melanggar Akta Pasport, Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan sedia ada mereka akan diambil tindakan undang-undang.
Perangkaan terkini mengenai jumlah pekerja asing di Malaysia adalah 1,869,208 juta orang sehingga Disember 2006, Bagi tahun 2005 seramai 28,079 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditangkap oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Bagi tahun semasa iaitu 1 Januari 2007 sehingga 31 Januari 2007, jumlah tangkapan PATI adalah 5,999 orang. Dari 1 Januari 2006 sehingga 31 Disember 2006 sebanyak 56,315 orang PATI telah ditangkap. 69 % (38,225) dari mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah 17 % ( 9,723) melakukan kesalahan kerana tinggal lebih masa dan 9 % (4,980) melakukan kesalahan kerana melanggar syarat Pas dan Permit. Bakinya adalah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pasport, Akta Imigresen dan peraturan-peraturan yang berkaitan. Bagi tahun berakhir 2005, jumlah PATI yang ditangkap adalah 28,079 orang. 68 % (19,146) dari mereka melakukan kesalahan kerana tinggal lebih masa dan 11 % (3,358) melukakan kesalahan kerana melanggar syarat Pas dan Permit. ( Perangkaan Tangkapan bagi tahun 2005, 2006 dan 2007 adalah seperti di lampiran)
Sebanyak 55% (29,106) adalah merupakan warganegara Indonesia 16 % ( 8,820 ) merupakan warganegara Filipina 9 % (4,434) merupakan warganegara Thailand. 4 % (2,331) merupakan warganegara India, 3.7 % ( 2,103 ) merupakan warganegara Bangladesh.
Kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan menguruskan PATI di pusat tahanan sementara (PTS) imigresen dan kos-kos pengusiran PATI ke negara asal mereka. Pada tahun 2005, sebanyak RM 1,979,670.00 digunakan sebagai kos pengusiran PATI
manakala kos perbelanjaan pengurusan PTS adalah dibawah Jabatan Penjara Malaysia.
Bagi tahun 2006, Kerajaan membelanjakan keseluruhan sebanyak RM 3,184,540.00 untuk kos penghantaran pulang atau pengusiran PATI. Kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tersebut bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung sekiranya mereka ditahan di depot-depot tahanan imigresen.