MASALAH 34 PELAJAR STAMFORD COLLEGE MELAKA YANG TIDAK TERIMA SIJIL AKADEMIK
===========
Tuan Pengerusi, saya ingin membangkitkan isu berkenaan 34 orang pelajar yang telah menamatkan pengajian melalui program kerjasama Stamford College Melaka dengan Lincoln University College (LUC), di mana pelajar-pelajar tersebut masih belum terima sijil akademik mereka sejak tahun 2022 sehingga sekarang.
Daripada jumlah tersebut, 23 orang pelajar merupakan penerima pembiayaan PTPTN.
Kelewatan ini telah menjejaskan peluang mereka mendapatkan pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan, menyambung pengajian serta membayar balik pinjaman PTPTN.
Berdasarkan maklumat yang diterima, program Bachelor (Hons) in Business Administration Stamford College Melaka telah mendapat kelulusan MQA di bawah No. MQA/PA/15621 dan kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah No. N/0414/6/0012.
Manakala, program Bachelor of Science (Hons) in Hospitality Management telah mengemukakan permohonan kepada MQA pada 20 Januari 2021.
Saya difahamkan pihak Stamford College Melaka dan pelajar-pelajarnya pernah meminta bantuan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi tetapi rayuan mereka tidak ditangani sehingga hari ini.
Saya pernah menulis surat kepada YB Menteri berkenaan masalah yang dihadapi oleh para pelajar ini. Saya memohon jasa baik Kementerian bercampurtangan untuk mencari penyelesaian kepada 34 orang pelajar tersebut untuk memperolehi ijazah mereka demi masa hadapan mereka.
KPT DISERU UNTUK MEMPERKASAKAN BAHAGIAN PENDIDIKAN TINGGI SWASTA UNTUK MENANGANI ISU PERTAMBAHAN UNIVERSITI & KOLEJ SWASTA
==========
Tuan Pengerusi, berdasarkan data rasmi Sistem Pengumpulan Data Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) (MyMoHES), setakat 31 Disember 2025, terdapat seramai 159,138 orang pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Angka ini mewakili 12.6% daripada keseluruhan 1,264,541 enrolmen pelajar di negara ini.
Daripada angka ini, terdapat seramai 56,565 orang pelajar antarabangsa ataupun 8.9% jumlah pelajar di Universiti Awam; manakala 102,573 orang pelajar antarabangsa menuntut di universiti dan kolej swasta, iaitu 16.3% daripada 629,835 jumlah keseluruhan pelajar di sektor swasta.
Saya ingin bangkitkan 2 isu berkenaan pengajian pelajar asing di Malaysia:
i) Kita haruslah merasa bangga semakin ramai pelajar negara asing belajar di universiti dan kolej di Malaysia, tetapi Kementerian juga harus meneliti masalah dan standard akademik pelajar-pelajar asing ini.
Saya difahamkan sesetengah pelajar asing ini tidak faham Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, dan mereka terus direkrut masuk ke universiti awam kita. Sesetengah mereka sebenarnya memang tidak faham kuliah dalam universiti dan pencapaian akademik mereka memang tidak memuaskan.
Soalan saya ialah, apakah universiti awam kita berkompromi dari segi standard akademik dan terus menawarkan ijazah kepada golongan pelajar asing yang bayar yuran tetapi sub-standard ini?
ii) Saya pernah dengar rintihan daripada pengusaha institut pengajian tinggi swasta di mana mereka rasa sangat susah untuk berkomunikasi dengan pegawai KPT yang menguruskan permohonan penubuhan kolej dan penawaran kursus.
Walaupun piagam pelanggan KPT ialah memberi respons terhadap apa-apa bentuk permohonan dalam 45 hari, tetapi dalam realiti, pengusaha kolej swasta selalu terpaksa menunggu beberapa tahun untuk mendapat respons berkenaan permohonan mereka daripada pegawai KPT.
Selalunya, bila pengusaha universiti swasta menyusuli permohonan mereka, mereka samada diberitahu bahawa fail permohonan mereka hilang ataupun pegawai di bahagian tersebut telah dipindah ke bahagian lain.
Saya berharap YB Menteri dapat memperkasakan bahagian institut pengajian swasta dan mengadakan saluran rayuan bagi pemohon institut pengajian swasta ataupun pelajar asing yang ingin membuat aduan tentang masalah mereka.
Tuan Pengerusi, dalam buku belanjawan 2027 ini, saya tidak dapat cari butiran peruntukan kepada Bahagian Urusan Institut Pengajian Swasta, apakah ini menunjukkan tiada bahagian ini dalam KPT?
HEP UNIVERSITI AWAM HARUS MEMBERI KEBEBASAN PELAJAR UNIVERSITI UNTUK MENGADAKAN AKTIVITI DAN MEMBUKA AKAUN BANK
==========
Saya mengalu-alukan pendirian kerajaan yang ingin memberi lebih kebebasan kepada pelajar universiti awam dan malah akan meminda AUKU.
Saya cadangkan Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti awam kita akan memberi lebih kebebasan kepada pelajar universiti awam termasuk pembukaan akaun bank di bawah nama persatuan pelajar.
Kami Ahli Parlimen selalu terima emel yang minta peruntukan kewangan daripada pelajar universiti awam, selalunya mereka minta kami salurkan dana kepada akaun bank individu ataupun kepada persatuan tempatan yang sudi pinjam nama kepada pelajar-pelajar yang ingin anjurkan aktiviti.
Mereka kata sekiranya peruntukan kami disalurkan kepada HEP, maka sangat susah bagi mereka untuk mendapatkan wang daripada HEP bagi penganjuran aktiviti mereka kemudian.
Saya berharap Kementerian dapat membantu para pelajar universiti awam sebelum pindaan AUKU dibentangkan di Parlimen.
Teresa Kok

