1. Kawalan dan perlindungan sempadan
Peruntukan yang diberi bagi segmen ini telah meningkat daripada RM37,136,900 pada tahun 2026 kepada RM488,509,900 pada tahun 2027, peningkatan sebanyak RM451,373,000.
Dalam lawatan PAC ke sempadan Malaysia dan Negeri Thai di Kelantan untuk menyiasat penyeludupan minyak masak bersubsidi dan barangan bersubsidi lain yang dijual di Golok di Selatan Thailand pada tahun lepas.
Kami berpeluang melihat Sungai Golok yang kecil dan cetek memang mudah diseberangi oleh penduduk di sebelah Thailand dan Malaysia. Keadaan geografi ini memang memudahkan penyeludupan barangan bersubsidi dari Malaysia ke Thailand.
Pihak polis dan anggota AKPS juga memberitahu kami betapa perlunya sempadan di sebelah Malaysia diletakkan pagar dan CCTV.
Justeru, saya menyokong pertambahan bajet kepada AKPS, khususnya untuk pemagaran sempadan di antara Semenanjung Malaysia dengan Thailand sebagai usaha membasmikan penyeludupan barang dan mencegah warga asing untuk masuk ke Malaysia tanpa permit.
Saya ingin minta KDN memberi pecahan item bagi peruntukan bajet RM488,509,900 kepada Dewan yang mulia ini.
2. Garis Masa Pelaksanaan RUU Pindaan Perlembagaan 2025 & Permohonan Naturalisasi Perkara 19 Bagi Anak Dewasa Yang Lahir di Luar Negara
Tuan Pengerusi, Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan RUU Pindaan Perlembagaan 2025 yang bersejarah dalam Disember 2024. RUU ini kemudian telah diperkenakan oleh YDP Agong pada 7 Mac 2025 dan diwartakan pada 20 Mac 2025.
Namun, sehingga hari ini, keluarga-keluarga yang terlibat masih menanti-nantikan tarikh penguatkuasaan RUU tersebut.
Ketiadaan tarikh rasmi pelaksanaan telah menimbulkan kebimbangan yang amat besar di kalangan ibu warganegara Malaysia yang berada di luar negara, khususnya ibu-ibu yang telah memasuki trimester ketiga kehamilan, mereka kini perlu buat keputusan samada balik ke Malaysia untuk melahirkan anak ataupun tidak, kerana mereka ingin memastikan anak mereka memperolehi kewarganegaraan Malaysia.
Saya pernah membangkitkan isu ini dalam ucapan dasar bajet 2027 tetapi saya tidak terima apa-apa jawapan daripada KDN sehingga hari ini. Saya berharap Menteri KDN boleh memberi jawapan kepada saya dan semua ibu Malaysia yang kini bermastautin di luar negara.
3. Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Lambat Memberi Kelulusan Kepada Permohonan Pendaftaran Persatuan
Saya terima aduan daripada penduduk di Kuala Lumpur bahawa memang susah bagi mereka untuk memohon pendaftaran persatuan kerana permohonan mereka di ROS Kuala Lumpur samada ditangguh berbulan-bulan, ataupun ditolak tanpa sebab.
Mereka selalu terpaksa membuat rayuan demi rayuan kepada ROS, tetapi masih tidak terima maklum balas daripada ROS.
Saya pernah bangkitkan masalah ini kepada YB Timbalan Menteri KDN, tetapi keadaan masihnya sama.
Dalam laman web Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, ROS telah menetapkan 5 hari untuk memproses permohonan pendaftaran pertubuhan yang lengkap, tetapi piagam pelanggan ROS ini memang tidak dipatuhi.
Saya bercadang KDN meneliti masalah pendaftaran pertubuhan yang dihadapi oleh orang ramai dan menubuhkan Bahagian Rayuan bagi orang ramai untuk menyampaikan masalah mereka.
4. Pendaftaran Pelarian Sebagai Pekerja Asing
Datuk Pengerusi, saya ingin minta kerajaan mengumumkan macam mana kita sebagai wakil rakyat boleh membantu pelarian yang masuk ke negara kita secara sah untuk bekerja?
Saya juga ingin minta Menteri dan pegawai KDN untuk memberi taklimat berkenaan dasar dan masalah tentang isu pelarian kepada ahli-ahli berhormat di Parlimen, supaya kita faham dan boleh membantu KDN dalam isu pelarian.
5. Isu Syarat Tahanan Rumah DS Najib
Datuk Pengerusi, saya ingin tanya tentang syarat tahanan DS Najib. Dalam jawapan Menteri KDN pada pagi ini ialah “ahli keluarga kamu terdiri isteri-isteri, anak-anak, menantu, cucu boleh tinggal bersama di rumah.”
Jadi, apakah semua ahli keluarga beliau haruslah berdaftar dengan pihak penjara supaya mereka boleh duduk sama di rumah?
Kita semua mempunyai ramai sanak- saudara, apakah mereka juga boleh mendapat kebenaran daripada Jabatan Penjara untuk duduk bersama dengan DS Najib?
Selain itu, saya juga ingin tanya YB Timbalan Menteri, daripada hansard pagi ini: “… sekatan dari segi kawalan pergerakan dan lawatan, sekatan tempat tinggal. Sekatan penggunaan telefon – tidak dibenarkan menggunakan telefon dan alat telekomunikasi selain daripada yang didaftarkan oleh Jabatan Penjara untuk tujuan mengesahkan bila berada di rumah, dihubungi oleh pihak Penjara bila berada di kediaman….” – Kalau kita baca jawapan ini dari hansard ini, saya kurang faham apa yang cuba disebut oleh YB Menteri pagi tadi.
Jadi, apakah alat telekomunikasi dibenarkan diguna oleh DS Najib, bagi mengesahkan beliau berada di rumah.
Adakah ini bermaksud pegawai penjara tidak akan berada di lokasi rumah tahanan beliau sepanjang masa?
Saya berharap YB Timbalan Menteri boleh beri penjelasan kepada dewan yang mulia tentang apa yang disebut oleh YB Menteri pada pagi tadi.
Sekian, terima kasih.

