Tuan Pengerusi,
Saya ingin menyuarakan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas usaha membina perumahan mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah, termasuk menerusi inisiatif Perumahan MADANI.
Namun demikian, saya ingin menasihati pihak Kementerian agar lebih berhati-hati serta menjalankan kajian yang menyeluruh—termasuk mengadakan libat urus bersama masyarakat setempat—sebelum merancang sebarang projek perumahan mampu milik di kawasan bandar.
Perkara ini amat kritikal khususnya di Kuala Lumpur yang kini sudah pun berdepan dengan masalah pembangunan berlebihan (over-development).
Pengumuman Perdana Menteri untuk mewujudkan Bandar MADANI Bukit Jalil yang melibatkan pembinaan 17,000 unit rumah di Bukit Jalil amat mengecewakan masyarakat setempat.
Kerajaan dilihat langsung tidak mengambil kira masalah kesesakan trafik kritikal yang sedang dihadapi oleh penduduk di Bukit Jalil, Puncak Jalil, dan Bandar Kinrara.
Walaupun Kementerian kemudiannya mengumumkan peruntukan sebanyak RM250 juta bagi membina infrastruktur untuk meredakan kesesakan trafik di Bukit Jalil—susulan bantahan persatuan-persatuan penduduk di pintu masuk Parlimen—penduduk setempat masih tidak berpuas hati dan kurang yakin dengan cadangan tersebut.
Cadangan yang merangkumi pembinaan satu lebuh raya empat laluan dan dua jejambat itu dikhuatiri hanya akan menyalurkan kesemua aliran kenderaan ke titik yang sama, sekali gus menjadikan tapak cadangan Bandar MADANI Bukit Jalil sebagai punca kesesakan melampau (bottleneck) bagi jalan-jalan baharu ini.
Penduduk juga amat kecewa dengan tindakan pihak berkuasa meluluskan empat Kebenaran Merancang (Development Order – DO) kepada pemaju, iaitu Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di bawah seliaan KPKT, tanpa mengambil kira dapatan libat urus perunding Penilaian Impak Sosial (Social Impact Assessment – SIA) bersama persatuan penduduk.
Lebih mendukacitakan, kelulusan ini dibuat tanpa menunggu laporan dan syor daripada Kajian Pelan Kawalan Mikro Bukit Jalil yang telah dilantik oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tindakan KPKT yang seolah-olah memaksa atau merempuh (bulldoze) pelaksanaan projek pembinaan 17,000 unit rumah di tapak Bandar MADANI Bukit Jalil ini hakikatnya telah mencemarkan nama baik serta usaha murni PR1MA dan KPKT dalam menyediakan kediaman mampu milik di Kuala Lumpur.
Tuan Pengerusi,
Saya menyeru agar KPKT dan PR1MA mengambil pendekatan yang lebih mesra rakyat dan mendengar suara hati penduduk sebelum memulakan sebarang projek. PR1MA hendaklah melaksanakan perancangan perumahan dengan menerapkan konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (Transit-Oriented Development – TOD) secara serius.
Dalam konteks Bandar MADANI Bukit Jalil, saya mencadangkan agar KPKT bekerjasama dengan MRT Corp untuk menyediakan jaringan perkhidmatan rel di tapak cadangan tersebut, di samping mengurangkan kepadatan serta jumlah unit rumah yang bakal dibina.
Kewujudan stesen MRT bukan sahaja dapat meredakan kesesakan trafik di Bukit Jalil pada masa ini, malah membantu menyelesaikan masalah pengangkutan awam bagi ribuan penduduk golongan B40 dan M40 di Taman LTAT, PPR Pinggiran Bukit Jalil, Bandar Kinrara, dan Puncak Jalil.
Pada masa yang sama, saya menggesa PR1MA agar mematuhi sepenuhnya segala garis panduan perancangan kemudahan masyarakat yang ditetapkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dalam setiap projek perumahan mereka.
Teresa Kok

