Tuan Pengerusi, saya difahamkan bahawa penanda arasan kos bagi tariff air masih belum dilengkapkan.
Mengikut Proses Penetapan Tarif yang Telus (Transparent Tariff Setting), SPAN tidak boleh mengenakan kos yang melebihi penanda arasan kepada pengguna air.
Memandangkan SPAN telah wujud hamper 20 tahun, bilakah keadaan ini akan dibetulkan supaya kos tambahan tidak akan disalurkan kepada rakyat.
Datuk Pengerusi, saya ingin bangkitkan isu berkenaan dengan pusat data (data centers) yang tumbuh bagai cendawan di negara kita.
Penubuhan pusat data adalah demi penciptaan nilai (value creation), tetapi sehingga kini, kita masih belum melihat bagaimana model semasa ini mampu membawa nilai tambah yang besar kepada negara.
Apabila pusat-pusat pelayan (server) ini mula beroperasi, ia berfungsi seperti gudang automatik yang sunyi.
Setiap pusat data hanya perlu beberapa juruteknik, tetapi ia menyedut jutaan liter air sehari, menggunakan tenaga elektrik menyamai sebuah bandar, serta menikmati pelepasan cukai sehingga 10 tahun.
Tuan Pengerusi, Singapura dan Ireland sudah mempelajari pengajaran yang pahit ini. Ireland membiarkan pusat data menelan 23% daripada bekalan elektrik negaranya sebelum terpaksa membekukan sambungan tenaga baharu dan mewajibkan syarikat gergasi teknologi membina loji jana kuasa mereka sendiri.
Singapura pula mencatu kuota kapasiti dengan ketat dan mengikat kelulusan terus kepada penyelidikan (R&D) serta nilai ekosistem tempatan.
Soalan saya kepada Kementerian ialah, apakah keadaan kepenggunaan tenaga eletrik oleh pusat data di negara kita?
Apakah pusat data menggunakan terlalu banyak tenaga eletrik sehingga kita tidak mempunyai bekalan tenaga yang cukup untuk disalurkan kepada pelaburan yang lain, khususnya di beberapa tempat di Negeri Johor?
Di sini, saya ingin memberi beberapa Cadangan kepada Kementerian:
1) Wajibkan syarikat hyperscaler membiayai bersama (co-fund) pembinaan loji jana kuasa dan pencawang baharu dari awal, disokong oleh kontrak take-or-pay yang mengikat supaya rakyat tidak menanggung kos kapasiti terbiar.
2) Alihkan pusat pengkomputeran AI berskala besar ke Sarawak kerana kuasa hidro bersihnya jauh lebih banyak dan lebih murah berbanding dengan Semenanjung.
3) Liberalisasikan solar bumbung kilang. Mansuhkan had larangan eksport ke atas sistem solar bumbung kilang-kilang di Malaysia. Biarkan kilang kita menjana elektrik sendiri pada waktu siang supaya kapasiti elektrik asas (baseload) TNB sedia ada dapat disalurkan kepada pusat data dan sektor pengilangan yang lain.
Tuan Pengerusi, menurut analisis PV Magazine, lebih 119 insiden siber direkodkan menyasarkan syarikat utiliti utama dunia dalam tempoh tersebut—termasuk Tata Power (India), Taipower (Taiwan), Eskom (Afrika Selatan), dan Iberdrola (Sepanyol).
Selain itu, satu serangan siber terselaras telah menyasarkan lebih 30 tapak tenaga boleh diperbaharui (ladang angin dan solar) serta sebuah loji janakuasa di Poland di antara Disember 2025 hingga Januari 2026.
Soalan saya, apakah TNB telah bersiap-sedia untuk menghadapi serangan “cyber – attack” seumpama ini memandangkan TNB pernah menerima ugutan secara langsung daripada kumpulan penggodam (hacktivist).
Sekian, terima kasih.
Teresa Kok

