Tuan Pengerusi, saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian dan Tourism Malaysia atas kejayaan mereka membawa masuk ramai pelancong asing ke Malaysia. Kehadiran pelancong asing telah merancak ekonomi di banyak sektor di negara kita.
Dalam masa ucapan yang singkat ini, saya ingin sentuh tentang ikon dan maskot rasmi bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), iaitu Beruang Matahari Malaya.
Saya difahamkan Beruang Matahari (Malayan Sun Bear) merupakan spesies beruang terkecil di dunia yang hidup secara semula jadi di hutan tropika Asia Tenggara, termasuk di Malaysia. Spesies ini berstatus terancam, dan pemilihannya membuktikan komitmen teguh negara terhadap usaha pemuliharaan hidupan liar serta pelancongan mampan
Tetapi, ramai warga Malaysia kurang tahu tentang binatang ini, kita lebih mengenali monyet dan Orang Utan. Bila MOTAC menjadikan Beruang Matahari sebagai ikon Tahun Melawat Malaysia 2026, ia ditonjolkan seperti Teddy Bear bagi kanak-kanak, dan malah ada Kawan saya yang kata Binatang ini tidak wujud.
Memandangkan Tahun Melawat Malaysia akan dilanjutkan ke tahun hadapan, saya ingin cadangkan kepada Kementerian untuk membawa konsep baru, idea baru dan nafas baru kepada kepada Tahun Melawat Malaysia.
Salah satu idea baru adalah memberi imej baru dan nafas baru kepada ikon Beruang Matahari supaya ia lebih dikenali dan disukai oleh orang ramai, khususnya kanak-kanak dan orang muda.
Walaupun Tourism Malaysia telah memberi nama kepada pasangan ikon Beruang Matahari, iaitu Wira dan Manja. Tetapi kebanyakan warga Malaysia tidak ingat ataupun tidak tahu nama mereka. Tourism Malaysia haruslah mengadakan lebih aktiviti untuk mempromosi ikon ini. Ia harus melibatkan penyertaan kementerian-kementerian kerajaan lain, media dan media sosial.
Saya pernah meminta beberapa pelajar multimedia design di UCSI University untuk mengeluarkan beberapa konsep bagi beruang matahari ini, dan mereka telah mengeluarkan beberapa imej bagi Kementerian.
Saya bercadang RTM, Bernama, Media Prima menganjurkan lebih program kreatif dalam Tahun Melawat Malaysia. Malaysia mempunyai siri kartun animasi yang berjaya, iaitu “Upin Ipin”. Tibalah masanya stesyen TV kita mengeluarkan kartun animasi yang bertajuk Beruang Matahari Wira dan Manja, supaya ikon ini dikenali dan disayangi oleh kanak-kanak kita, kita haruslah menjadikan beruang matahari kita sebagai watak kartun lain seperti Kungfu Panda, Donald Duck, Micky Mouse, Doraemon, Tom dan Jerry dan lain. Bila beruang matahari menjadi watak kartun yang popular, ia juga akan menaikkan nama Malaysia.
Saya bercadang MOTAC mengadakan libat-urus dengan pihak pengurusan kursus multimedia di universiti dan kolej tempatan dan menjemput pelajar-pelajar daripada kursus tersebut untuk menghasilkan konsep dan animasi dan malah produk-produk Beruang Matahari yang bernama Wira dan Manja ini.
Saya juga cadang MOF membenarkan Tourism Malaysia untuk menjual produk-produk beruang matahari yang kreatif.
Saya masih ingat bila Malaysia menganjurkan Tahun Melawat Malaysia pada kali pertama pada tahun 1990, Orang Utan adalah ikon dan maskot rasmi pada tahun itu. RTM memberi banyak iklan tentang Tahun Melawat Malaysia. Semua surat/letterhead Kerajaan mengandungi ungkapan “Tahun Melawat Malaysia”, ia lebih merupakan pendekatan seluruh negara ataupun “whole-of-nation approach”.
Tetapi saya tidak lihat ini berlaku dalam Tahun Melawat Malaysia ini, dan Tahun Melawat Malaysia seolah-olah dijadikan misi dan urusan MOTAC sahaja. Sekiranya kita ingin menjayakan kempen ini, semua Kementerian, kesemua agensi Kerajaan, kesemua Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan haruslah memainkan peranan dalam kempen Tahun Melawat Malaysia ini.
Teresa Kok




