Oleh HASSAN MOHD. NOOR, Utusan Mingguan.
ANDAI Batu Talam berada di Kelantan, tak kiralah sama ada milik Pas atau Barisan Nasional (BN), apakah pembangkang atau lebih tepat Pas dan Keadilan akan memboikotnya? Setiap orang ada jawapannya.
Minggu lalu, Pas pada mulanya sudah membayangkan akan memulau pilihan raya itu tetapi bagi menghidupkan demokrasi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan akan terus menyertai pilihan raya kecil itu. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat pula pada Sabtu, 6 Januari menyatakan Pas tidak boleh tergesa-gesa membuat keputusan untuk bertanding sebaliknya memerlukan perancangan teliti khususnya berkaitan strategi politik dan kewangan.
”Kita tidak boleh tergesa-gesa tambahan pula, pilihan raya di Malaysia kita ini pilihan raya ongkos,” kata Nik Aziz. Dilaporkan juga jentera Pas di Raub sudah bersiap sedia dan pemimpin-pemimpin utama Pas sudah pun meninjau Batu Talam. Pas akan membuat keputusan pada Isnin (8 Januari) dan tentunya keputusan itu akan disiarkan oleh akhbar pada hari Selasa, 8 Januari.
Kenyataan
Namun berita utama Utusan Malaysia pada Selasa, bukannya keputusan Pas sebaliknya kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abd Rahman yang mencadangkan badan itu distruktur semula dan undang-undang serta peraturan pilihan raya di bawahnya yang sudah berusia 50 tahun dirombak secara drastik.
Abdul Rashid menggariskan enam kuasa yang tidak wujud pada SPR yang menjadi punca kelemahan badan itu pada masa ini iaitu:
1. Kuasa menentukan penubuhan parti politik dan menjamin kebebasan mengambil bahagian bila-bila masa dalam pilihan raya.
2. Kuasa mengawal semua keadaan pada musim berkempen.
3. Kuasa mengatur keadilan dan kebebasan melapor bagi semua media cetak dan elektronik
4. Kuasa mengawal dan menghukum pihak yang menyalahgunakan kemudahan awam untuk berkempen.
5. Kuasa menentukan keadilan dalam hal-hal berkaitan dengan pembiayaan kewangan untuk kempen parti.
6. Kuasa mengawal dan mencegah rasuah dan aktiviti membeli undi dalam musim pilihan raya.
Kenyataan Abdul Rashid itu bukanlah sesuatu yang baru kerana ia pernah dibangkitkan sebelum ini dan dari semasa ke semasa, ia sentiasa diperbaiki.
Tetapi ada pihak yang mengambil kesempatan daripada kenyataan itu. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Pas menggunakan kenyataan Pengerusi SPR itu sebagai asas utama untuk memulaukan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam. Bukan lagi alasan pembangkang akan kalah kerana ia kubu Barisan Nasional (BN) atau tidak cukup ongkos. Pembangkang juga mempunyai alasan sekiranya ia mengambil keputusan untuk bertanding. Setidak-tidaknya Pas akan berkata, banyak isu yang boleh menjejaskan peluang BN dan sebagai penggerak kepada jentera pilihan raya umum akan datang. Apa pun Pas tentunya tidak akan menyesal dengan keputusan itu kerana tujuan besarnya adalah untuk melihat SPR berubah tak kiralah walaupun ia mengambil masa sehingga satu atau dua pilihan raya lagi kerana seperti kata Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa bahawa banyak perkara yang dibangkitkan dan tidak mungkin ia diselesaikan dalam masa yang singkat.
Tetapi apakah pada pilihan raya DUN Batu Talam nanti, Pas atau Keadilan akan membantu calon Bebas sekiranya ada? Ketika itulah mungkin akan diketahui siapa menjadi ‘talam dua muka’.
Apakah Pas perlu menunggu ‘ibarat pungguk rindukan bulan’ seterusnya memulaukan pilihan raya sehingga rombakan itu dibuat sekalipun terpaksa mengambil masa beberapa tahun? Apa akan terjadi sekiranya dalam tempoh ‘menunggu’ itu berlaku lagi kekosongan kerusi terutama di peringkat DUN atau melibatkan kerusi-kerusi milik Pas?
Abdul Rashid mengakui bahawa kelemahan itu ada tetapi pilihan raya masih dapat dijalankan dengan adil. Maka perlukah Pas menunggu rombakan itu dan terus memulaukan pilihan raya?
Bagi Prof. Madya Dr Ahmad Atory Hussain, apa yang penting ialah parti-parti politik memberi kepercayaan kepada SPR untuk melaksanakan pilihan raya yang adil tanpa membuat tohmahan.
”Kita perlu menghormati SPR dan pada masa yang sama suruhanjaya itu boleh melakukan beberapa perubahan yang perlu dilakukan dalam beberpa perkara seperti isu pengundi hantu,” kata tenaga akademik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.
Bagaimanapun beliau berpendapat sebarang pindaan yang berkaitan dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dikaji dengan teliti supaya ia tidak bertentangan dengan mana-mana akta yang berkait rapat dengan perlembagaan negara.
Penting
Katanya, apa yang penting ialah memperkukuhkan soal disiplin dalam pilihan raya itu sendiri seperti isu pengundi, disiplin ahli-ahli parti serta mengelak politik wang dengan mengehadkan jumlah perbelanjaan tertentu.
Isu rombakan terhadap perjalanan pilihan raya ini sebenarnya sudah menjadi kajian sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2003 yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarbangsa (Ikmas), Prof Dr. Noraini Othman,
Beliau ketika dihubungi Mingguan Malaysia pada Jumaat lalu menyokong saranan Abdul Rashid supaya SPR dirombak termasuk menubuhkan suruhanjaya bebas.
”Undang-undang pilihan raya perlu efektif bagi memastikan semua pihak dan calon dapat memainkan peranan mereka dengan lebih baik,” katanya.
Beliau bersetuju degan cadangan supaya SPR diberi kuasa menentukan penubuhan parti politik, menentukan keadilan dalam hal-hal berkaitan pembiayaan kewangan kempen, kebebasan media cetak dalam laporan pilihan raya dan mengawal penggunaan kemudahan awam untuk berkempen.
Bagaimanapun, keanggotaan dalam SPR itu juga perlu diberi perhatian termasuk memberi peluang kepada wakil-wakil parti politik, bekas ahli-ahli badan kehakiman dan anggota profesional lain.
Pada masa yang sama program pendidikan pengundi juga perlu diadakan bagi memastikan mereka dapat menyertai pilihan raya yang adil dan bebas. Ini bermakna hubungan komunikasi perlu dilakukan supaya pengundi dapat dimaklumkan mengenai di mana mereka harus mengundi. Di samping itu melalui program ini juga warganegara yang layak mengundi perlu memaklumkan mengenai pertukaran alamat serta perkara-perkara yang berkaitan.
Tentunya beberapa perkara yang dicadangkan ini akan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan terutama berkaitan dengan daftar pengundi yang sering kali menimbulkan masalah.
Isu pengundi hantu sudah menjadi lumrah tohmahan bagi setiap kali pilihan raya terutama melibatkan pilihan raya kecil.
”Justeru, SPR disarankan memberi tumpuan kepada tiga isu utama untuk diselesaikan segera,” kata seorang lagi pengkaji sistem pilihan raya Wong Chin Huat.
Pensyarah Univesiti Monash Malaysia itu yang juga terlibat dalam satu kajian mengenai pilihan raya umum 2004 berkata, tiga isu utama itu ialah:
Pertama: Penggunaan dakwat kekal bagi menghalang pengundian berganda. Sistem ini diguna pakai di Indonesia dan India.
Kedua: memansuhkan sistem pengundian pos kerana ia sudah tidak sesuai dengan situasi sekarang melainkan ia melibatkan diplomat atau pengundi yang berada di luar negara.
Ketiga: Menyediakan daftar pemilih yang lengkap bagi memastikan kesalahan dan ketempangan sedia ada dihapuskan serta dapat menyediakan satu daftar pemilih yang telus dan meyakinkan.
Katanya, cadangan itu juga dibangkitkan oleh sebuah badan yang dinamakan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau Bersih.
Chin Huat menyarankan supaya Malaysia mencontohi beberapa negara di Eropah Timur dalam menjalankan pilihan raya di negara mereka.
”Mungkin cadangan menggunakan dakwat itu tidak dapat diterima oleh SPR dengan alasan ia agak ketinggalan tetapi setidak-tidaknya ia dapat mengurangkan perasaan tidak puas hati di kalangan pengundi atau parti politik. SPR sekurang- kurangnya sudah mencuba sistem itu tetapi tidak berjaya,” katanya.
Dalam hubungan ini beliau mahu supaya SPR membuka perdebatan yang lebih sihat.
Seimbang
Beliau seperti Dr. Noraini juga berharap SPR dapat mengembalikan kewibawaan mereka dengan menjadi sebuah badan yang bebas, tidak memihak serta memperluaskan keanggotaan kepada pelbagai profesion.
Dalam jangka masa panjang, beliau yang mewakili Bersih turut menyarankan supaya SPR mewujudkan keseimbangan antara undian rakyat dan kerusi. Ini meliputi saiz kawasan supaya ia lebih seimbang.
”Dalam beberapa perkara, SPR sebenarnya tidak perlu menunggu pihak kerajaan untuk membuat rombakan sebaliknya melakukan tanggungjawab itu sebagai sebuah badan bebas,” katanya.
Biar apa pun cadangan serta pandangan yang dilontarkan terutama oleh parti politik dan badan bukan kerajaan, semuanya terletak kepada SPR.
Seperti kata Abdul Rashid, undang-undang sedia ada mampu menjamin perjalanan pilihan raya yang telus dan lancar tetapi masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
”Masih ada ruang dalam undang-undang pilihan raya untuk diperbaiki,” katanya.
Ini bermakna perjalanan pilihan raya di negara kita masih boleh diterima dan tidaklah sehingga memerlukan tindakan memulau seperti dilakukan oleh Pas.