Ucapan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok
Tuan Yang di-Pertua,
1. Sebagaimana yang kita maklum, tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026). Ini adalah tahun yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat, memandangkan sektor pelancongan merupakan “industri tanpa asap” yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
2. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum ini telah menetapkan sasaran ketibaan kira-kira 47 juta pelancong asing. Sasaran ini dilihat realistik berdasarkan prestasi sektor pelancongan yang sangat memberangsangkan pada tahun lepas, yang mencatatkan sekitar 42.2 juta ketibaan.
3. Lonjakan pelancong asing ini seharusnya dimanfaatkan sebagai peluang keemasan untuk memperkenalkan produk komoditi tempatan ke persada antarabangsa. Sebagai sorotan, sewaktu pentadbiran Kerajaan Harapan dalam tempoh daripada Jun 2018 hingga Februari 2020, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) pernah merangka strategi kerjasama rapat dengan MOTAC untuk mempromosikan produk hiliran komoditi di bawah seliaan KPK.
4. Bagi mencapai matlamat tersebut, sesi libat urus telah diadakan bersama pelbagai pemegang taruh industri, termasuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), persatuan pemandu pelancong, pengusaha restoran, serta persatuan hotel. Inisiatif ini bertujuan menggalakkan pemain industri menggunakan kapasiti mereka bagi mempromosikan produk hiliran seperti minyak sawit merah, lada Sarawak, dan coklat buatan Malaysia kepada pelancong asing.
5. Selain itu, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan melalui Kempen Sayangi Sawitku, termasuklah kerjasama dengan pihak sekolah melalui penghasilan mural industri sawit serta siri kuliah di kolej dan universiti antarabangsa di sekitar Lembah Klang. Usaha ini kritikal bagi memastikan warga asing, terutamanya pelajar, memahami khasiat dan sumbangan besar industri sawit, sekaligus menepis kempen negatif antiminyak sawit di peringkat global.
Tuan Yang di-Pertua,
6. Persoalan saya kepada Menteri Perladangan dan Komoditi adalah seperti berikut:
(a) Apakah langkah-langkah proaktif yang telah diambil oleh kementerian untuk mempromosikan produk komoditi Malaysia sempena VM 2026?
b) Sila nyatakan perincian program promosi minyak sawit yang telah dilaksanakan oleh MPOC sepanjang tahun 2025, berserta pecahan perbelanjaan bagi setiap program tersebut?
(c) Apakah perancangan strategik MPOC bagi tahun 2026, khususnya dalam meningkatkan kesedaran warga tempatan dan pelancong asing terhadap nilai serta kualiti minyak sawit Malaysia?
(d) Berapa klip video dan kandungan media sosial dalam bahasa asing yang telah dihasilkan oleh MPOC pada tahun 2025 untuk memberi penerangan tentang minyak sawit Malaysia serta melawan kempen negatif minyak sawit?
Sekian, terima kasih.
JAWAPAN:
a) Apakah langkah-langkah proaktif yang telah diambil oleh kementerian untuk mempromosikan produk komoditi Malaysia sempena VM 2026?
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah merangka pelbagai langkah proaktif untuk mempromosikan produk agrikomoditi negara. Strategi ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan eksport, malah untuk mengukuhkan imej produk Malaysia seperti sawit, lada, dan koko di mata pelancong antarabangsa. Antara langkah-langkah proaktif yang telah diambil:
i. Pemerkasaan Pemandu Pelancong atau Program Continuing Tourism-Related Education (CTRE)
Program CTRE dilaksanakan oleh MPOC dengan kerjasama Malaysian Tourist Guides Council (MTGC) dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi tempoh 2024 hingga 2026.
Program ini bertujuan melatih pemandu pelancong tempatan untuk menjadi “duta” yang mampu menyampaikan fakta tepat mengenai kemampanan dan khasiat sawit kepada pelancong asing. Sehingga kini, sebanyak 14 sesi telah diadakan yang melibatkan 445 pemandu pelancong dengan peningkatan tahap pengetahuan peserta sebanyak 30 peratus. Modul program merangkumi aspek kemampanan, kesihatan dan pemakanan, produk-produk sawit, kepentingan sejarah dan budaya industri sawit, serta lawatan ke ladang dan pusat penerangan sawit. Sebagai contoh SDG Palm Oil Experience Centre, Pulau Carey antara destinasi yang sering dikunjungi pelancong.
ii. Diplomasi Digital melalui Animasi Upin & Ipin
Kementerian memanfaatkan pengaruh global animasi Upin & Ipin sebagai instrumen edutainment. Melalui kolaborasi strategik ini, naratif kemampanan dan kesihatan sawit Malaysia telah disepadukan secara kreatif ke dalam kandungan animasi yang disiarkan secara global. Sepanjang tahun 2024 dan 2025, enam episod yang diterbitkan di bawah inisiatif ini telah mencapai lebih 140 juta tontonan TV. Episod bertemakan sawit tersebut turut memenangi anugerah di ASEAN Academy Creative Awards 2024, iaitu Anugerah Animasi Terbaik.
iii. Promosi Global di World Expo Osaka 2025
Penyertaan Malaysia di World Expo Osaka 2025 dijadikan platform strategik untuk memasarkan komoditi negara. Penggunaan maskot Upin & Ipin di Pavilion Malaysia telah berjaya menarik lebih 105,000 pengunjung antarabangsa, manakala kempen digital berkaitan penyertaan ini meraih 4.5 juta paparan di media sosial, sekali gus meningkatkan keterlihatan imej sawit Malaysia di peringkat global sebelum bermulanya VM 2026.
iv. Diplomasi Kulinari dan Gastronomi
Melalui Asian Food Network (AFN) dan saluran antarabangsa seperti Discovery dan TLC, program “Chef dan Makcik” serta “Chef dan Chef” digunakan untuk menonjolkan kelebihan minyak sawit dalam masakan global. Ini secara tidak langsung mempromosikan Malaysia sebagai destinasi gastronomi utama yang menggunakan bahan-bahan mampan dan berkualiti tinggi. Program ini disiarkan di 5 saluran TV seperti AFN, Discovery, TLC, FATAFEAT (Timur Tengah), HGTV (Afrika Selatan).
v. Program EduPalm
Di bawah kerangka EduPalm, lawatan agro-pelancongan berstruktur telah dibangunkan untuk pelajar dan pendidik sekolah antarabangsa, delegasi korporat perniagaan antarabangsa. Modul pembelajaran secara langsung merangkumi kemampanan dan pensijilan MSPO, pemuliharaan biodiversiti, amalan ekonomi kitaran, serta inovasi hiliran industri. Pendekatan ini diselaraskan dengan naratif pendidikan dan pelancongan nasional. Program ini telah berjaya diadakan yang melibatkan seramai 150 peserta sekolah dan universiti antarabangsa.
Di peringkat antarabangsa, program lawatan pengenalan turut melibatkan wartawan dari India, Pakistan, Filipina, Mesir, Kazakhstan, Uzbekistan dan Turki dan berjaya menghasilkan lebih 90 artikel dan hantaran media sosial dalam bahasa Inggeris, Tamil, Arab, Turki dan Rusia. Program ini turut melibatkan lebih 100 pedagang/ pengimport antarabangsa daripada 50 negara, contohnya India, China, Kenya, UK, dan EU.
vi. Kerjasama Strategik dengan MATRADE, MOTAC dan Industri dalam Kempen Promosi dan Penjenamaan Coklat Malaysia
Menampilkan coklat Malaysia di bawah identiti “Taste of Malaysian Chocolate” di semua platform promosi rasmi MOTAC dan MATRADE termasuk kempen VM2026 dan kempen menggalakkan pengeluar coklat tempatan menghasilkan cenderamata rasmi pelancong dan barangan premium bagi delegasi antarabangsa, seterusnya meningkatkan nilai tambah industri koko tempatan.
b) Sila nyatakan perincian program promosi minyak sawit yang telah dilaksanakan oleh MPOC sepanjang tahun 2025, berserta pecahan perbelanjaan bagi setiap program tersebut?
Sepanjang tahun 2025, MPOC telah melaksanakan pelbagai program promosi sawit Malaysia yang merangkumi lima program utama iaitu Kempen Media Sosial Serantau, Dokumentari Serantau, Kerjasama Media, Kempen Kesedaran Pengguna dan Program Edupalm melibatkan perbelanjaan sebanyak RM36.57 juta dengan perincian seperti berikut:
Secara keseluruhan program yang dilaksanakan pada tahun 2025 ini telah menjana lebih 2 bilion paparan digital dan melebihi 500 juta tontonan, sekali gus diterjemahkan kepada peningkatan persepsi yang nyata dan positif terhadap komoditi Malaysia di peringkat global.
c) Apakah perancangan strategik MPOC bagi tahun 2026, khususnya dalam meningkatkan kesedaran warga tempatan dan pelancong asing terhadap nilai serta kualiti minyak sawit Malaysia?
Bagi tahun 2026, kementerian melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah merangka strategi yang komprehensif dan bersepadu yang memfokuskan kepada pengukuhan pasaran domestik serta pengembangan sektor pelancongan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Antara program dan inisiatif utama yang dirancang adalah seperti berikut:
i. Promosi Pensijilan MSPO
Di peringkat domestik, tumpuan khusus diberikan kepada promosi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Strategi ini melibatkan kolaborasi strategik bersama ikon dan personaliti berpengaruh tempatan seperti Neelofa bagi meningkatkan literasi serta penerimaan pengguna terhadap kualiti minyak sawit mampan keluaran negara.
ii. Program Pemandu Pelancong (CTRE)
MPOC akan memperkukuh Program Pemandu Pelancong atau Certificate of Tourism-Related Education (CTRE) khusus untuk pemandu pelancong berdaftar. Bagi tahun 2026, sebanyak 10 sesi latihan disasarkan di negeri-negeri strategik termasuk Selangor, Pahang, Johor, Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak, dengan sasaran penyertaan sekurang-kurangnya 320 pemandu pelancong. Inisiatif ini bertujuan menjadikan mereka sebagai “duta kecil” yang menyalurkan maklumat tepat mengenai industri sawit kepada pelancong asing. Sebagai contoh, program kerjasama dengan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) bagi program melindungi orang utan di Sabah.
iii. Promosi Visual Skala Besar melalui Infrastruktur Pengangkutan Awam
Selaras dengan VM2026, MPOC akan melaksanakan beberapa aktiviti stategik bagi memperluas capaian kepada pelancong dan orang awam melalui rangkaian pengangkutan awam utama. Ini termasuk penggunaan iklan luaran atau “train-wraps” serta paparan maklumat digital pada rangkaian MRT, LRT Kuala Lumpur, dan perkhidmatan tren antara bandar (Singapura- Kuala Lumpur). Pendekatan ini dijangka memberikan pendedahan maksimum kepada jutaan pengguna pengangkutan awam dan pelancong antarabangsa yang memasuki negara.
d) Berapa klip video dan kandungan media sosial dalam bahasa asing yang telah dihasilkan oleh MPOC pada tahun 2025 untuk memberi penerangan tentang minyak sawit Malaysia serta melawan kempen negatif minyak sawit?
Sepanjang tahun 2025, MPOC telah mempergiat usaha advokasi digital bagi mempromosikan kemampanan minyak sawit Malaysia serta menangkis naratif negatif di peringkat global.
Bagi kandungan berbahasa Inggeris, sebanyak 1,000 klip video dan 2,000 hantaran statik telah dihasilkan sebagai tonggak komunikasi global. Selain itu, lebih 1,000 kandungan dalam 8 bahasa asing (Arab, Turki, Hindi, Perancis, Belanda, Mandarin, Vietnam, Rusia) lain turut diterbitkan.
Secara keseluruhan, bagi bahasa selain Inggeris sahaja, MPOC telah menerbitkan lebih 1,000 kandungan pelbagai bahasa, sekali gus memperluas capaian mesej Malaysia merentasi pasaran Asia, Timur Tengah, dan Eropah. Strategi penyampaian maklumat berbilang bahasa ini membolehkan naratif kemampanan Malaysia disampaikan secara lebih berkesan, relevan dan bersasar kepada audiens antarabangsa.
SOALAN TAMBAHAN YB SEPUTEH
“Secara keseluruhan program yang dilaksanakan pada tahun 2025 ini telah menjana lebih 2 bilion paparan digital dan melebihi 500 juta tontonan, sekali gus diterjemahkan kepada peningkatan persepsi yang nyata dan positif terhadap komoditi Malaysia di peringkat global. “
Soalan tambahan:
Macam mana kementerian kira 2 bilion paparan digital dan melebihi 500 juta tontonan.
Saya ingin minta maklumat terperinci.
JAWAPAN
Terima Kasih Dato’ Yang di-Pertua dan Terima Kasih Yang Berhormat Seputeh
Secara keseluruhan, program yang dilaksanakan pada tahun 2025 telah menjana lebih daripada 2 bilion paparan digital dan lebih 500 juta tontonan. Bagi setiap program, MPOC menetapkan KPI yang ketat dan menggunakan sistem pengukuran yang membolehkan keberkesanan serta impak dinilai secara terperinci. Pengukuran dilakukan menggunakan pelbagai metrik yang diiktiraf sebagai piawaian industri global dalam komunikasi dan pemasaran digital.
Data ini dikumpul dan disahkan melalui tiga peringkat pengesahan:
i. Peringkat Pertama — Data pihak pertama platform
Platform media sosial (YouTube, Facebook, Instagram, TikTok, LinkedIn) menyediakan papan pemuka analitik masa nyata bagi melaporkan tanggapan, tontonan, jangkauan, dan penglibatan. Angka ini dihasilkan secara automatik oleh algoritma platform dan tidak boleh dimanipulasi.
ii. Peringkat Kedua — Data rakan media dan penyiaran (data pihak kedua)
Rakan media seperti CNN, The Economist, Al Arabiya, Zee News, dan Asian Food Network melaporkan data berdasarkan sistem pengukuran dalaman mereka. Bagi televisyen, data diperoleh melalui sistem penarafan penonton yang diiktiraf dalam industri penyiaran.
iii. Peringkat Ketiga — Pengesahan pihak ketiga yang bebas
Data yang dikumpul disahkan lagi oleh firma penyelidikan dan analitik antarabangsa seperti Ipsos dan Brandwatch. Ini memastikan ketepatan, kredibiliti, dan ketelusan selaras dengan amalan terbaik industri.
Setiap angka yang dilaporkan boleh dikesan mengikut program, platform, dan tempoh masa tertentu. Pecahan ringkas bagi angka dan pencapaian utama mengikut saluran kempen seperti berikut iaitu Platform Media Sosial MPOC HQ dan wilayah (Facebook, Instagram, TikTok, LinkedIn) telah mencapai 1 bilion paparan, Kempen Kesedaran Pengguna telah mencapai 1 bilion paparan dan 400 juta tontonan, Rakan Kerjasama Media telah mencapai 500 juta paparan serta Dokumentari Wilayah telah mencapai 100 juta tontonan.
Sekian, terima kasih.


