Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Ucapan Kamar Khas: Apakah Respons dan Halatuju Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Terhadap Syor PAC Terhadap Pemberimilikan Tanah Kerajaan di Kuala Lumpur (2 Mac 2026)

Posted on Monday, 02-03-2026Tuesday, 03-03-2026 by Editorial Team

Ucapan Kamar Khas: Apakah Respons dan Halatuju Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Terhadap Syor PAC Terhadap Pemberimilikan Tanah Kerajaan di Kuala Lumpur (2 Mac 2026)

UCAPAN YB SEPUTEH:

Tuan Yang Di Pertua,

Pada 16 Ogos 2025, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah membentangkan laporan dan syor berkenaan pemberimilikan tanah Kuala Lumpur selepas mengadakan siri prosiding dengan pemegang taruh di agensi-agensi Kerajaan dan persatuan-persatuan penduduk.

PAC berpendapat penambahbaikan dan reformasi berkaitan pembangunan tanah Kuala Lumpur yang holistik mesti dilakukan demi kesejahteraan masyarakat Ibu kota. Cadangan PAC adalah seperti berikut:

i Kerajaan hendaklah mewujudkan Jawatankuasa Tetap untuk memantau hal ehwal tanah termasuk pemberimilikan dan pembangunan tanah Kuala Lumpur, yang turut melibatkan Ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur.

ii. Pihak Kerajaan haruslah mengembalikan kepengerusian Jawatankuasa Kerja Tanah WPKL kepada Menteri yang bertanggungjawab mentadbir Kuala Lumpur demi meningkatkan akauntabiliti demokrasi. Komposisi Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dicadangkan adalah seperti berikut:

a. Menteri Wilayah Persekutuan – Pengerusi
b. Ketua Setiausaha Negara – Timbalan Pengerusi
c. Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan; (sedia ada)
d. Peguam Negara atau wakil; (sedia ada)
e. Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) atau wakil;
f. Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian; (sedia ada)
g. Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri; (sedia ada)
h. Datuk Bandar Kuala Lumpur. (sedia ada)

iii. Kerajaan perlu menyemak semula dan membuat pindaan sewajarnya terhadap akta berkaitan pembangunan tanah Kuala Lumpur seperti Akta Ibu Kota 1960 dan Akta Perancangan 1982 (Akta 267) bagi memperkenalkan sistem Ahli Majlis lantikan DBKL seperti yang dilaksanakan di negeri-negeri lain demi memastikan semak dan imbang.

iv. DBKL hendaklah memastikan semua transaksi dan keputusan penggunaan tanah DBKL selaras dengan Pelan Struktur dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur yang telah diwartakan. Asas pengesoran akan memberikan tumpuan pematuhan kepada zon guna tanah, intensiti pembangunan, lapisan kawalan perancangan, insentif pembangunan serta kelas kegunaan tanah dan bangunan Pelan Tempatan Kuala Lumpur. Sebarang pertimbangan kelulusan yang tidak selaras hanya boleh dipertimbangkan di bawah peruntukan Seksyen 17, Akta 267 iaitu perubahan kepada pelan yang diwartakan.

v. Pihak Kerajaan perlu memastikan penjualan tanah kerajaan dibuat secara telus dan terbuka melalui tender mengikut prosedur yang jelas serta menyeluruh dan bukannya secara rundingan terus.”

Namun, selepas laporan dan syor PAC dibentangkan, kami berpendapat pihak Kerajaan tidak melaksanakan cadangan – cadangan daripada pihak PAC, khususnya dari segi pemberimilikan tanah. Malah, Jawatankuasa kerja tanah WPKL telah meluluskan pemberimilikan tanah kepada satu syarikat pemaju untuk membina 15,000 unit rumah dan sekolah vertical di bawah nama Bandar Madani di Bukit Jalil tanpa mengadakan libat urus dengan ahli parlimen Seputeh dan persatuan-persatuan penduduk di Bukit Jalil. Kesesakan trafik di Bukit Jalil telah menjadi amat teruk disebabkan oleh projek- projek berkepadatan tinggi sekarang, apakah perancangan trafik kerajaan di Bukit Jalil secara keseluruhan?

Sehubungan dengan itu, saya juga minta menteri menyenaraikan tanah- tanah kerajaan di Kuala Lumpur yang telah diberimilikan selepas laporan PAC tersebut dibentangkan pada 16 Ogos 2025
Sekian, terima kasih.

==================================

JAWAPAN

YB HANNAH YEOH
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (WILAYAH PERSEKUTUAN)

Tuan Yang di-Pertua,

Jawatankuasa Tetap Memantau Hal Ehwal Tanah & Kepengerusian Jawatankuasa Kerja Tanah WPKL

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa ini, tadbir urus tanah di Wilayah Persekutuan terdiri daripada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) dan dibantu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL).

2. Manakala bagi proses keputusan permohonan pelupusan, pindahmilik, pembangunan tanah dan sebagainya diputuskan di peringkat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan (JKTWP) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan keahliannya terdiri daripada Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Peguam Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dipandu oleh Akta Kanun Tanah Negara 1965 dan Perintah Wilayah Persekutuan (Pengubahsuaian Kanun Tanah Negara) (Pindaan) 2013 [P.U. (A) 228/2013], Perintah Wilayah Persekutuan (Pengubahsuaian Kanun Tanah Negara) (Pindaan) 2023 [P.U.(A) 322/2023] yang dibaca bersama Perintah Wilayah Persekutuan (Pengubahsuaian Kanun Tanah Negara) 1974 [P.U(A) 56/1974].

3. Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan (JKTWP) masih meneliti syor PAC yang dibentangkan pada 25 Ogos 2025. JKTWP berperanan seperti Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dalam urus tadbir tanah seperti mana perkara yang tertakluk dalam Kanun Tanah Negara 1965.

4. Sehubungan itu, mengambil kira pandangan daripada PAC, sebarang urusan permohonan pelupusan tanah Kerajaan iaitu bagi permohonan pemberimilikan dan lesen pendudukan sementara (LPS), semua ini kita sedang meneliti untuk melihat bagaimana kita boleh mengambil kira pandangan Ahli Parlimen Kuala Lumpur supaya semua permohonan ini dilihat lebih telus apabila diproses oleh Jawatankuasa Tanah.

5. Pengekalan struktur kepengerusian semasa Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Kuala Lumpur (JKTWPKL) yang disandang oleh YBhg. Ketua Setiausaha Negara (KSN) adalah berasaskan kepada keputusan Jemaah Menteri pada 28 Jun 2013.

6. Ia juga berlandaskan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2023 [P.U.(A) 27/2023]. Oleh yang demikian, sebarang cadangan perubahan ke atas kepengerusian ini atau reformasi struktur Jawatankuasa, ia memerlukan keputusan dasar yang baharu dan sekiranya ada keperluan terhadap sebarang perubahan komposisi keahlian JKTWP, perkara ini perlu kepada penyediaan Kertas Jemaah Menteri oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mendapatkan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri. Yang ini kita sedang perhalusi.

7. Untuk makluman Yang Berhormat, saya dan Datuk Bandar baru masuk. Bulan November Datuk Bandar masuk, manakala saya bulan Disember. Kita sedang meneliti laporan PAC ini.

8. Mengenai akta berkaitan pembangunan tanah Kuala Lumpur pula, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) mengambil perhatian akan keperluan untuk mengkaji mana-mana undang-undang untuk diselarikan dengan hasrat merealisasikan reformasi institusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sebagai tindakan, JWP telah menubuhkan Task Force pada 7 November 2025 untuk meneroka kebolehlaksanaan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 [Akta 190] melalui satu kajian. Setelah berlakunya beberapa perubahan dalam portfolio anggota Kabinet dan saya telah dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 17 Disember 2025, kajian ini yang telah dimulakan pada 1 Disember 2025, kini masih diteruskan dan dalam pelaksanaan. Hasil kajian ini kelak akan dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri untuk makluman dan kelulusan.

9. Struktur sedia ada ialah hal ehwal perbandaran Bandaraya Kuala Lumpur ditadbirkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur. Manakala, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di bawah Kerajaan Negeri ditadbir oleh Ahli Majlis. Perbezaan ini kerana Kuala Lumpur merupakan ibu kota persekutuan yang berkehendakkan suatu pentadbiran istimewa sebagaimana yang diperjelaskan dalam satu Penyata Rasmi Parlimen semasa pembentangan Rang Undang- Undang Ibu Kota Persekutuan pada 12 September 1960 di Dewan Rakyat. Di samping itu, Lembaga Penasihat yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berperanan menasihati Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam membuat apa-apa keputusan dan ketetapan.

10. Berpandukan struktur ini, kajian yang diterajui oleh pasukan penyelidik yang terdiri daripada pelbagai kepakaran seperti Undang-undang, Perancangan Bandar dan Sains Politik turut meneliti perbandingan kaedah pelantikan Ahli Majlis Kuala Lumpur dengan beberapa ibu negara terpilih.

11. Penemuan kajian ini akan diteliti bersama pandangan pelbagai pemegang taruh yang berkepentingan dan sebarang cadangan pindaan Akta di bawah Wilayah Persekutuan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan.

12. Transaksi dan keputusan penggunaan tanah DBKL. Untuk makluman Yang Berhormat, DBKL masih belum menerima permohonan rasmi Kebenaran Perancangan daripada pihak pemaju bagi cadangan pembangunan 15,000 unit rumah di Bukit Jalil. Dalam rekod, tiada apa-apa permohonan sekarang.

13. Kaedah 3, Kaedah – Kaedah (Perancangan) Wilayah Persekutuan (Permohonan untuk Kebenaran Perancangan) (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2025 akan dilaksanakan bagi permohonan Kebenaran Perancangan yang layak menerima insentif nisbah plot berdasarkan PTKL2040 untuk mendapatkan pandangan orang awam dan pihak berkepentingan sebelum mempertimbangkan sesuatu kelulusan permohonan kebenaran perancangan (KM) yang berkaitan.

14. Manakala, bagi permohonan Kebenaran Perancangan yang bercanggah dengan PTKL2040, sebarang pertimbangan kelulusan hanya boleh dipertimbangkan di bawah peruntukan Seksyen 17, Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982, Akta 267 iaitu perubahan kepada pelan tempatan yang diwartakan.

15. Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, “penjualan tanah” dan “pelupusan tanah Kerajaan secara pemberimilikan” merupakan dua prinsip yang berbeza.

16. Pelupusan tanah Kerajaan secara pemberimilikan (disposal by alienation) adalah berdasarkan kepada seksyen 76 Kanun Tanah Negara Akta 828 dan Kaedah-Kaedah Tanah Wilayah Persekutuan 1995 (KKTWPKL). Premium akan dikenakan ke atas tanah yang dilupuskan tersebut berdasarkan nilaian yang diterima daripada pihak Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan Malaysia.

17. Pengiraan premium yang dikenakan pula adalah berdasarkan kepada formula premium pemberimilikan tanah Kerajaan seperti mana yang diwartakan melalui Kaedah 8(b)(i), Kaedah-Kaedah Tanah Wilayah Persekutuan 1995 (KKTWPKL).

18. Manakala penjualan tanah pula adalah berdasarkan kepada prinsip willing seller willing buyer mengikut harga jualan yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak (transaksi jual-beli semasa).

19. Oleh yang demikian, sudah pasti terdapat implikasi kewangan yang berbeza di antara bayaran premium bagi pemberimilikan tanah Kerajaan dan penjualan tanah.

20. Justeru, takrifan “pelupusan tanah Kerajaan secara pemberimilikan” dan “penjualan tanah” membawa makna yang berbeza secara teknikalnya.

21. Kesesakan trafik di Bukit Jalil, DBKL telah mengenalpasti bahawa ini memang satu realiti di beberapa kawasan khas di Kuala Lumpur. Saya bagi contoh di Taman Desa, Bukit Jalil, Mont Kiara dan semua kawasan ini memerlukan tumpuan khas dalam mencari kaedah traffic disposal untuk kawasan ini. Oleh itu, saya telah mendapatkan pandangan Datuk Bandar untuk mempertimbangkan RKK Khas bagi kawasan Bukit Jalil dan Taman Desa supaya masalah trafik disitu dan semua kebenaran merancang boleh dilihat secara menyeluruh.

Sekian, terima kasih.

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).
  • 𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐘𝐁 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐖𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐔𝐁𝐒𝐈𝐃𝐈 𝐌𝐈𝐍𝐘𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐒𝐀𝐊 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐃𝐀𝐆𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐒 𝐒𝐀𝐑𝐀 𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏 𝐏𝐀𝐃𝐀 𝟏𝟔 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔
  • (no title)
  • UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PROFESION KERJA SOSIAL OLEH TERESA KOK, AHLI PARLIMEN SEPUTEH PADA 14 JULAI 2026
  • MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI diminta menyatakan status penaiktarafan semua depot biodiesel di Malaysia untuk menyimpan, mengadun dan mengedar biodiesel B20
  • Pembatalan Penyewaan Tapak Bekas SK Danau Perdana Bukti Keperluan Reformasi Tadbir Urus Tanah Persekutuan (14 Julai 2026)
  • 郭素沁:撤销前达瑙柏兰岭国小旧址租约 反映联邦土地治理须改革
  • Govt Urged to Implement PAC Recommendation to Establish KL Land Committee After SK Danau Perdana Lease Reversal (14 July 2026)
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑗𝑢𝑚𝑙𝑎ℎ 𝑎𝑑𝑢𝑎𝑛 𝑑𝑖𝑡𝑒𝑟𝑖𝑚𝑎 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝐾𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡𝑒𝑟𝑖𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟ℎ𝑢𝑏𝑢𝑛𝑔 𝑑𝑎𝑘𝑤𝑎𝑎𝑛 𝑟𝑎𝑠𝑢𝑎ℎ 𝑚𝑒𝑙𝑖𝑏𝑎𝑡𝑘𝑎𝑛 𝑘𝑜𝑝𝑒𝑟𝑎𝑠𝑖 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 5 𝑡𝑎ℎ𝑢𝑛 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠.
  • UCAPAN TERESA KOK DALAM PERBAHASAN RUU PINDAAH AKTA KAWALAN PADI DAN BERAS 1994 PADA 9 JULAI 2026
  • Perbahasan berkenaan Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Center (OSCC) pada 9 Julai 2026
  • KSN DAN KP JKPTG DISERU MEMBATALKAN KONTRAK PENYEWAAN TAPAK SEKOLAH (LOT 54836) DI TAMAN DESA KEPADA SYARIKAT SWASTA
  • MENTERI PENDIDIKAN diminta menyatakan bilangan murid-murid darjah satu di setiap sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di kawasan Parlimen Seputeh dan Bukit Bintang pada tahun 2023, 2024, 2025 dan 2026
  • Ucapan Perbahasan Teresa Kok (Seputeh) Laporan SUHAKAM 2024 Pada 7 Julai 2026

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme