Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Sidang Media PAC berhubung pembentangan penyata berhubung pembangunan tanah Kuala Lumpur

Posted on Monday, 25-08-2025 by Editorial Team

25 Ogos 2025

KENYATAAN MEDIA PAC

1. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini membentangkan Penyata PAC berhubung Pembangunan Tanah Kuala Lumpur Di Bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (JKPTG) Dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Dewan Rakyat.

2. Isu penjualan tanah di Kuala Lumpur telah menjadi perhatian dengan pelbagai pihak menyeru supaya siasatan lanjut dijalankan dan langkah pembetulan diambil untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan dan pembangunan tanah di Kuala Lumpur.

3. Demi kepentingan awam, PAC membuat keputusan untuk memulakan prosiding berhubung isu ini melalui punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 77 (1) (d) iaitu isu yang bukan di bawah Laporan Ketua Audit Negara sebaliknya “Apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa, atau apa-apa perkara yang diserahkan oleh Majlis kepada Jawatankuasa itu”.

4. Prosiding yang diadakan bertujuan untuk meneliti dan memahami isu-isu yang wujud dalam pengurusan dan pembangunan tanah di Kuala Lumpur bagi memastikan ia diurus dengan cekap dan berkesan mengikut garis panduan serta prosedur yang telah ditetapkan. Tanggungjawab dan peranan spesifik setiap pihak yang terlibat dalam proses-proses berkaitan pembangunan tanah turut dibincangkan bagi memastikan pelaksanaan projek adalah telus dan berintegriti mengikut undang-undang yang berkuatkuasa selain menjaga kepentingan Kerajaan dan rakyat.

5. PAC telah mengadakan sembilan (9) prosiding berhubung Pembangunan Tanah Kuala Lumpur di bawah JWP, JKPTG dan DBKL mulai 5 Februari 2025 hingga 21 Mei 2025. Beberapa pihak telh dipanggil untuk memberi keterangan dan penjelasan. Antaranya termasuklah:

i) Agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan pembangunan tanah Kuala Lumpur iaitu Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG), Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (JKPTG), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
ii) Mantan Ketua Setiausaha Negara yang berperanan sebagai Mantan Pengerusi Majlis Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah (Land Exco) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

iii) Wakil daripada pertubuhan dan NGO iaitu Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA), Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD) dan Persatuan Selamatkan Kuala Lumpur (SaveKL) serta wakil penduduk.

6. Berdasarkan penemuan sepanjang prosiding berlangsung, PAC telah merumuskan 12 dapatan utama, antaranya:

i. Peranan Lembaga Penasihat Bandar Raya adalah terhad sebagai penasihat di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 [Akta 190] dan tidak mempunyai kuasa membuat keputusan secara bersama, yang berbeza dengan sistem Ahli Majlis di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri lain. Ini menyebabkan ketiadaan mekanisme semak dan imbang yang berkesan dalam sebarang keputusan berkaitan pembangunan tanah Kerajaan di Kuala Lumpur.

ii. Pelanggaran terhadap Pelan Tempatan Kuala Lumpur yang berterusan menjadi penyebab pembangunan yang tidak terkawal dan membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk memohon pembangunan.

iii. Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 [Akta 190] dan Akta Perancangan 1982 [Akta 267] memberi kuasa kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk mengawal pembangunan Kuala Lumpur sepenuhnya.

iv. Pembatalan rizab tanah awam dan kawasan hijau yang telah diwartakan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) dan diberimilik kepada pihak pemaju adalah isu kritikal yang boleh menjejaskan kualiti hidup penduduk dan fungsi ekologi bandar. Ini menunjukkan terdapat kelemahan dalam sistem perancangan pembangunan tanah di Kuala Lumpur yang memerlukan semakan semula, terutamanya berkaitan kewajaran pembangunan seperti pemberian milik tanah bagi projek berdensiti tinggi di kawasan lapang atau hijau.

v. Proses pertimbangan dan keputusan yang dibuat Jawatankuasa Kerja Tanah WPKL berkaitan pemberimilikan tanah tidak melibatkan Ahli Parlimen yang mewakili kawasan terjejas.

vi. PAC dimaklumkan keputusan Jawatankuasa Kerja Tanah WPKL dibuat secara konsensus oleh semua Ahli Jawatankuasa dan bergantung sepenuhnya kepada ulasan agensi teknikal. Kelulusan tidak akan diberikan jika terdapat bantahan, percanggahan pendapat atau tanpa “clearance” daripada DBKL yang sepatutnya telah membuat libat urus dengan pihak berkepentingan.

vii. Walau bagaimanapun, merujuk kepada isu Kolam Takungan Kampung Bohol, pandangan dan bantahan daripada 1,275 penduduk tidak diambil kira dan dipertimbangkan dalam pemberimilikan tanah tersebut kepada pihak pemaju.

viii. Pengurusan pembangunan tanah di Kuala Lumpur melibatkan pelbagai agensi dan jawatankuasa. Terdapat proses penilaian tertentu dan bergantung kepada kaedah-kaedah tanah sedia ada. Formula kiraan premium tanah yang digunakan sejak 30 tahun menyebabkan nilai pemberimilikan tanah tidak sejajar dengan harga pasaran menyebabkan tanah Kerajaan dijual dengan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran yang boleh menyebabkan kerugian. PAC mengambil maklum formula yang digunakan sejak 30 tahun ini akan ditambah baik dan dipinda sewajarnya.

ix. Terdapat tanah yang telah diserahkan kepada pemaju untuk pembangunan walaupun terdapat aset infrastruktur milik JPS di tanah tersebut. Adakalanya permohonan pemberimilikan tanah oleh JPS turut ditolak.

x. Perbezaan pandangan berhubung spesifikasi teknikal Kolam Takungan Banjir Kampung Bohol iaitu mengenai reka bentuk, kedalaman dan keluasan serta penyelenggaraan kolam takungan banjir dilihat sebagai isu kritikal. Perkara ini dibimbangi akan menjejaskan keseluruhan fungsi kolam takungan banjir.

xi. Pemberimilikan Lot 54780 seluas 0.86 ekar di Taman Desa Kuala Lumpur, yang pada asalnya adalah tanah rizab balai polis, telah diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja Tanah WPKL untuk diberikan kepada pemaju walaupun terdapat bantahan daripada pihak Kerajaan (KDN dan PDRM) seperti mana yang dinyatakan dalam jawapan Parlimen oleh YB Menteri kepada YB Seputeh.

xii. Didapati Sistem OSC 3.0 Plus DBKL belum dapat diakses oleh orang awam. Platform ini sepatutnya berfungsi sebagai sumber maklumat komprehensif yang menyediakan perincian lengkap mengenai status, lokasi, dan butiran lain berkaitan tanah-tanah kerajaan.

7. Berikutan masalah ini, PAC merasakan terdapat keperluan untuk perancangan pembangunan yang lebih holistik dan seimbang. PAC menggesa penambahbaikan dan reformasi berkaitan pembangunan tanah Kuala Lumpur seperti berikut:

i. Pihak Kerajaan hendaklah mewujudkan Jawatankuasa Tetap untuk memantau hal ehwal tanah termasuk pemberimilikan dan pembangunan tanah Kuala Lumpur, yang turut melibatkan Ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

ii. Pihak Kerajaan haruslah mengembalikan kepengerusian Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada Menteri yang bertanggungjawab mentadbir Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur demi meningkatkan akauntabiliti demokrasi. Komposisi Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dicadangkan adalah seperti berikut:
a.Menteri Wilayah Persekutuan – Pengerusi
b. Ketua Setiausaha Negara – Timbalan Pengerusi

c. Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan; (sedia ada)
d. Peguam Negara atau wakil; (sedia ada)
e. Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) atau wakil;
f. Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian; (sedia ada)
g. Timbalan Ketua Setiausaha Kanan,Jabatan Perdana Menteri; (sedia ada)
h. Datuk Bandar Kuala Lumpur. (sedia ada)

iii. Kerajaan perlu menyemak semula dan membuat pindaan sewajarnya terhadap akta berkaitan pembangunan tanah Kuala Lumpur seperti Akta Ibu Kota 1960 dan Akta Perancangan 1982 (Akta 267) bagi memperkenalkan sistem Ahli Majlis lantikan DBKL seperti yang dilaksanakan di negeri-negeri lain demi memastikan semak dan imbang.

iv. DBKL hendaklah memastikan semua transaksi dan keputusan penggunaan tanah DBKL selaras dengan Pelan Struktur dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur yang telah diwartakan. Sebarang ketidakpatuhan perlu diberi justifikasi secara terbuka.

v. Pihak Kerajaan perlu memastikan penjualan tanah kerajaan dibuat secara telus dan terbuka melalui tender mengikut prosedur yang jelas serta menyeluruh dan bukannya secara rundingan terus.

vi. Pihak Kerajaan hendaklah memastikan pindaan kaedah pengiraan premium tanah yang telah digunakan selama 30 tahun disiapkan dan digunapakai selewat-lewatnya pada akhir tahun 2025 supaya nilai pemberimilikan tanah sejajar dengan harga pasaran bagi mengelakkan tanah Kerajaan dijual dengan harga yang tidak berpadanan dengan harga pasaran.

vii. Pihak Kerajaan perlu mempersiapkan Kuala Lumpur menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin meruncing dengan memastikan semua kolam takungan banjir mencapai tahap perlindungan ARI [Average Recurrence Interval (Purata Selang Ulangan)] seperti yang ditentukan oleh JPS.

viii. Pihak Kerajaan hendaklah memastikan tanah-tanah yang mempunyai aset dan infrastruktur JPS diberi milik kepada JPS supaya reka bentuk asal terus dipelihara.

ix. Pihak Kerajaan hendaklah memastikan pembangunan yang dijalankan di tanah rizab sungai tidak menjejaskan fungsi sungai dan tidak mengakibatkan kejadian bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

x. Pihak Kerajaan digesa menyemak semula pemberimilikan dan konsep pembangunan tanah Kolam Takungan Banjir Kampung Bohol bagi memastikan ketelusan dan menjamin kepentingan awam.

xi. Pihak Kerajaan hendaklah memastikan Sistem OSC 3.0 Plus di bawah DBKL yang mengandungi maklumat semua tanah milik agensi kerajaan termasuk nombor lot, lokasi, saiz, zon dan status penggunaan dapat diakses oleh orang awam dengan kadar segera.

8. Orang awam boleh membaca setiap keterangan dan penemuan penyata ini dengan melayari laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac.

Sekian, terima kasih.

YB Datuk Wira Mas Ermieyati binti Samsudin
Pengerusi PAC Parlimen

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 郭素沁呼吁反贪会调查前经济部长助理蔡镇燊的方式 应避免陷“舆论公审”
  • MACC is urged to restore public confidence and review its manner of investigating James Chai
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memulihkan keyakinan awam dan menilai semula cara siasatan terhadap James Chai Jin Shern
  • Parlimen: Soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkenaan statistik perkahwinan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun bagi 2023,2024 dan 2025
  • Parlimen: Soalan kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkenaan jumlah pendaftaran yang diterima oleh Lembaga Jurukur Tanah
  • Parlimen: Soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkenaan rumah perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga
  • Ucapan Kamar Khas: Apakah Respons dan Halatuju Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Terhadap Syor PAC Terhadap Pemberimilikan Tanah Kerajaan di Kuala Lumpur (2 Mac 2026)
  • Ucapan Teresa Kok (Seputeh) Dalam Perbahasan Penyata Jawatankuasa Pilihan Kesihatan: Pemantapan Dasar Pemakanan dan Intervensi Nutrisi di Malaysia Pada 25 Februari 2026
  • Kes Pecah Kereta di Taman Persekutuan Bukit Kiara
  • “Gema 1MDB: Satu Lagi Pasukan Petugas yang Ditakdirkan untuk Gagal?” (14 Feb 2026)
  • “Echoes of 1MDB: Another Task Force Destined to Fail?” (14 Feb 2026)
  • 郭素沁:嘉玛若再违庭令,将采取法律行动
  • [Media Statement] Response to Recent Remarks by Datuk Jamal Yunos
  • [Kenyataan Media] Respons terhadap Kenyataan Terkini Datuk Jamal Yunos
  • [PARLIMEN] Adakah Kementerian akan menyemak dan menghapuskan keperluan kelulusan suami bukan warganegara dalam permohonan kewarganegaraan anak-anak di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan demi memastikan ibu Malaysia mempunyai hak yang sama untuk memohon kewarganegaraan bagi anak yang dilahir di luar negara.

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme