Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Soalan Parlimen: Dasar Luar Negara Malaysia dan Peranan dalam ASEAN serta Strategi ASEAN berkenaan Pendamaian di Myanmar

Posted on Wednesday, 06-08-2025Wednesday, 06-08-2025 by Editorial Team

PUAN TERESA KOK SUH SIM [SEPUTEH] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan:
a. strategi dan dasar luar negara Malaysia terhadap negara-negara super power di dunia dan juga dasar luar negara di kalangan ASEAN
b. hala tuju dan pencapaian ASEAN di bawah pimpinan Malaysia dalam usaha pendamaian di Myanmar.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Seputeh atas pertanyaan yang dikemukakan.

Tuan Yang di-Pertua,

2. Malaysia mengamalkan dasar luar negara yang pragmatik, berkecuali, dan berprinsip. Ini bermakna kita menjalinkan hubungan baik dengan semua negara, termasuk negara-negara adidaya, berdasarkan prinsip saling menghormati, tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman, dan kerjasama untuk kepentingan bersama. Malaysia sentiasa mengelakkan diri daripada berpihak kepada mana-mana blok kuasa besar dan sebaliknya mengutamakan pendekatan yang menggalakkan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran serantau dan global.

3. Bagi rantau ASEAN, dasar luar negara Malaysia berpaksikan kepada perpaduan dan sentraliti ASEAN. Sebagai anggota pengasas, Malaysia komited untuk memperkukuh Komuniti ASEAN dalam semua aspek politik, ekonomi, dan sosial-budaya. Kita bekerjasama rapat dengan negara anggota lain untuk memastikan ASEAN kekal relevan dan efektif dalam menangani cabaran serantau, termasuk isu Laut China Selatan dan krisis di Myanmar.

4. Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia memikul tanggungjawab utama dalam memimpin usaha kolektif ASEAN bagi menangani krisis di Myanmar. Malaysia kekal berpegang kepada Kemuafakatan Lima Perkara, atau dengan izin, Five-Point Consensus (5PC), yang dipersetujui oleh para pemimpin ASEAN pada April 2021 sebagai rujukan utama ASEAN dalam memudahcara penyelesaian damai krisis di Myanmar.

5. Malaysia kecewa bahawa selepas lebih empat tahun, pelaksanaan 5PC masih belum menunjukkan kemajuan yang bermakna. Malaysia melalui Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar secara berterusan telah mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar sepanjang tahun ini bagi membuka ruang ke arah rundingan dan menggalakkan dialog politik yang inklusif. Tumpuan utama adalah kepada usaha mempromosi dialog inklusif dan memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada semua pihak tanpa diskriminasi.

6. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, sebelum itu, semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 pada Mei 2025, Malaysia telah menyuarakan kebimbangan terhadap situasi yang semakin meruncing di Myanmar serta keengganan, dengan izin, State Administration Council (SAC) selaku pihak berkuasa Myanmar untuk melaksanakan 5PC secara bermakna. Malaysia turut menggesa agar semua pihak di Myanmar menghentikan serangan bersenjata dan menunjukkan komitmen terhadap penyelesaian politik secara aman.

7. Perkara ini turut dikongsi dan disambut baik oleh Pemimpin ASEAN lain, yang seterusnya membawa kepada pengeluaran dokumen, dengan İzin, ASEAN Leaders’ Statement on the Extended and Expanded Ceasefire in Myanmar. Pengeluaran Kenyataan ini mencerminkan kesepakatan ASEAN di bawah kepimpinan Kepengerusiaan Malaysia yang dapat sokongan kesemua Pemimpin-Pemimpin ASEAN bagi mendesak pihak di Myanmar agar memperluaskan dan melanjutkan tempoh gencatan senjata sebagai langkah segera ke arah mewujudkan ruang bagi dialog yang inklusif dan bermakna.

8. Semasa Sesi Pemukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-58 baru-baru ini, Malaysia menzahirkan semula kekesalan terhadap kekejaman dan ketegangan yang berterusan di Myanmar walaupun gesaan telah dibuat oleh para pemimpin ASEAN agar gencatan senjata diperkukuh, diperluaskan dan dihormati semua pihak.

9. Malaysia sentiasa menegaskan di semua platform ASEAN bahawa bantuan kemanusiaan tidak seharusnya dipolitikkan dan perlu dipertingkatkan agar dapat disalurkan secara menyeluruh dan tanpa diskriminasi. Malaysia juga terus menyeru agar dialog politik yang bersifat inklusif dan melibatkan semua pemegang taruh di Myanmar menjadi keutamaan dalam usaha mencari jalan keluar yang berkekalan bagi krisis ini.

10. Bagi memperkukuh usaha ini, Malaysia telah memanfaatkan sepenuhnya mekanisme Troika yang melibatkan Pengerusi ASEAN terdahulu, semasa, dan akan datang (Laos, Malaysia, dan Filipina). Malaysia juga terus menggerakkan kerjasama lebih erat dengan negara jiran Myanmar serta rakan serantau dan masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bagi memastikan pelaksanaan 5PC yang bermakna dan menyeluruh.

11. Malaysia juga telah mempengerusikan Sesi Konsultasi Tidak Rasmi berhubung pelaksanaan 5PC, melibatkan Lao PDR, Malaysia dan Filipina selaku Pengerusi ASEAN sebelum, semasa dan akan datang. Turut diadakan ialah Sesi Konsultasi Tidak Rasmi Terbuka bersama Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN yang lain, kecuali Myanmar. Sesi-sesi ini menyediakan ruang kepada Negara-negara Anggota ASEAN untuk berkongsi pandangan mengenai langkah susulan yang boleh diambil bagi memastikan kemajuan pelaksanaan 5PC.

12. Antara kesepakatan yang dicapai termasuklah: (i) 5PC kekal sebagai rujukan utama ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar; (ii) perlunya memastikan kemajuan bermakna dalam pelaksanaannya; (iii) keperluan untuk mengekalkan pendekatan terangkum dan membina oleh Pengerusi-Pengerusi ASEAN akan datang; (iv) meneroka strategi baharu bagi memastikan kesinambungan peranan Utusan Khas ASEAN, termasuk kemungkinan pelantikan secara tetap atau pelanjutan mandat; dan (v) membangunkan pelan tindakan lengkap dengan garis masa untuk menilai kemajuan pelaksanaan 5PC.

13. Isu Myanmar turut menjadi keutamaan dalam perbincangan Malaysia bersama Rakan-Rakan Dialog ASEAN seperti Amerika Syarikat, Australia, China, India, Jepun, Kanada, Kesatuan Eropah, Korea Selatan, New Zealand, Rusia, dan United Kingdom. Perkara ini turut dibangkitkan dalam Mesyuarat ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), dan Forum Serantau ASEAN.

14. Malaysia secara konsisten menyeru agar Rakan-Rakan Dialog menyokong usaha ASEAN dalam melaksanakan 5PC. Malaysia turut menggesa agar pengaruh mereka dimanfaatkan untuk mendorong semua pihak di Myanmar menghentikan keganasan. Seruan Malaysia supaya bantuan kemanusiaan ditingkatkan turut disambut dengan pengumuman sumbangan kemanusiaan oleh beberapa Rakan Dialog susulan bencana gempa bumi di Myanmar pada Mac 2025.

15. Malaysia juga menzahirkan kebimbangan terhadap rancangan pihak berkuasa Myanmar untuk mengadakan pilihan raya umum pada akhir 2025. Malaysia berpandangan bahawa sebarang pilihan raya yang tidak berlandaskan syarat-syarat asas kestabilan dan penyertaan menyeluruh berisiko memburukkan lagi konflik sedia ada.

Sekian, terima kasih.

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 郭素沁促请隆市政局在武吉加里尔、大城堡及旧巴生路展开全面基础设施研究
  • KENYATAAN AKHBAR YB TERESA KOK (AHLI PARLIMEN SEPUTEH) PADA 27 OGOS 2026
  • Joint Efforts Needed: CPO KL, Mayor, and PTGWPKL Director Urged to Clamp Down on Illegal Parking Fee Collection on Kuala Lumpur State Land
  • MEDIA STATEMENT: THE TAMAN DESA PHASE 1 NEIGHBOURHOOD CONTROL SCHEME ISSUE (17 August 2026)
  • KENYATAAN MENGENAI PERSATUAN PENDUDUK TAMAN DESA FASA 1
  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).
  • 𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐘𝐁 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐖𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐔𝐁𝐒𝐈𝐃𝐈 𝐌𝐈𝐍𝐘𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐒𝐀𝐊 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐃𝐀𝐆𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐒 𝐒𝐀𝐑𝐀 𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏 𝐏𝐀𝐃𝐀 𝟏𝟔 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔
  • (no title)
  • UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PROFESION KERJA SOSIAL OLEH TERESA KOK, AHLI PARLIMEN SEPUTEH PADA 14 JULAI 2026
  • MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI diminta menyatakan status penaiktarafan semua depot biodiesel di Malaysia untuk menyimpan, mengadun dan mengedar biodiesel B20
  • Pembatalan Penyewaan Tapak Bekas SK Danau Perdana Bukti Keperluan Reformasi Tadbir Urus Tanah Persekutuan (14 Julai 2026)
  • 郭素沁:撤销前达瑙柏兰岭国小旧址租约 反映联邦土地治理须改革
  • Govt Urged to Implement PAC Recommendation to Establish KL Land Committee After SK Danau Perdana Lease Reversal (14 July 2026)
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑗𝑢𝑚𝑙𝑎ℎ 𝑎𝑑𝑢𝑎𝑛 𝑑𝑖𝑡𝑒𝑟𝑖𝑚𝑎 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝐾𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡𝑒𝑟𝑖𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟ℎ𝑢𝑏𝑢𝑛𝑔 𝑑𝑎𝑘𝑤𝑎𝑎𝑛 𝑟𝑎𝑠𝑢𝑎ℎ 𝑚𝑒𝑙𝑖𝑏𝑎𝑡𝑘𝑎𝑛 𝑘𝑜𝑝𝑒𝑟𝑎𝑠𝑖 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 5 𝑡𝑎ℎ𝑢𝑛 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠.

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme