Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Ucapan Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Dalam Perbahasan RMK13 Pada 5 Ogos 2025

Posted on Wednesday, 06-08-2025 by Editorial Team

Tuan yang diPertua, saya ingin ucapakan tahniah kepada Kerajaan Madani dan khususnya Kementerian Ekonomi atas pembentangan RMK13 yang komprehensif ini. Di sini, saya ingin membangkitkan beberapa isu dan rintihan rakyat dalam tempoh 12 minit ucapan ini.

1. Impak Pengembangan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST)
===============================================
SST yang diperluaskan secara besar-besaran pada 1 Julai 2025, dengan kadar cukai antara 5% hingga 10% untuk barangan dan 6% hingga 8% untuk perkhidmatan baru, dengan penambahan skop dan tanggungan cukai yang jauh lebih luas telah mendatangkan reaksi yang sangat kuat daripada komuniti bisnes.

Saya terima aduan yang kuat berkenaan cukai 8% ke atas perkhidmatan sewaan jika hasil tahunan melebihi RM1 juta. Pengusaha bisness berpendapat cukai ini adalah tidak adil, kerana kesemua cukai haruslah dikenakan pada keuntungan yang diperolehi oleh syarikat dan individu, dan bukan pada modal ataupun kos operasi sesuatu syarikat. Cukai 8% yang dikenakan pada sewa ini adalah tidak berasas kerana sewa memang adalah sebahagian daripada modal dan kos operasi suatu bisnes.

Terdapat sesetengah syarikat kecil yang sewa ruang untuk menjual barangan di kompleks beli-belah tidak mendapat margin keuntungan yang besar walaupun hasil tahunannya melebihi RM1 juta, sekarang mereka dipaksa untuk membayar 8% cukai perkhidmatan ke atas sewa mereka. Pencukaian 8% ini amat menjejaskan perniagaan kecil kerana “margin keuntungan” kedai-kedai kecil tersebut memang di sekitar 5% – 10% sahaja, pencukaian terhadap sewa mereka akan menyebabkan syarikat berkenaan rugi dan memaksa mereka menutup kedai, dengan itu, pihak LHDN pun tidak dapat mengutip cukai pendapatan daripada syarikat-syarikat kecil ini dan kerajaan akan berhadapan dengan peningkatan kadar pengangguran.

Sehubungan dengan itu, SME Association of Malaysia telah mengeluarkan kenyataan yang menggesa kerajaan untuk segera menyemak semula kerangka Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai tindak balas kepada tarif baharu sebanyak 19 peratus ke atas eksport Malaysia ke Amerika Syarikat, kerana tarif tersebutyang memberi kesan kepada industri utama seperti elektronik, produk getah dan peranti perubatan, telah melemahkan daya saing PKS berorientasikan eksport secara ketara.

Beban tambahan SST dalam negara akan lebih memburukkan lagi tekanan kos yang disebabkan oleh tarif 19% oleh Amerika Syarikat. Ini adalah kerana peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah meningkatkan kos operasi bagi perniagaan yang terlibat dalam pembuatan, penyewaan, logistik, dan perkhidmatan — tanpa sebarang bentuk kredit cukai input untuk mengimbangi kesan cukai berlapis.

Presiden SME Association of Malaysia, En Chin Chee Seong memberi amaran bahawa tanpa pembaharuan segera, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mungkin tidak dapat bertahan akibat tekanan berganda daripada tarif antarabangsa dan dasar cukai domestik.

 

2. Penanaman Semula Sawit
=====================
Pada tiga hari yang lepas, Menteri peladangan dan komoditi mengumumkan Kerajaan dijangka memperuntukkan RM1.4 bilion dalam tempoh lima tahun menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menggalakkan pekebun kecil melaksanakan penanaman semula pokok kelapa sawit.

Saya mengalu-alukan pengumuman YB Menteri tersebut, tetapi Peruntukan lima tahun ini adalah jumlah yang sangat tidak mencukupi. Jika dibahagikan secara tahunan, ia hanya bersamaan dengan RM280 juta setahun. Tetapi pada masa ini, kos penanaman semula adalah sekurang-kurangnya RM20,000 bagi setiap hektar. Maka, geran ini hanya mampu menyokong penanaman semula 14,000 hektar setahun jika ditanggung sepenuhnya.

Sekalipun hanya 50% subsidi penanaman semula diberikan, jumlah maksimum kawasan yang boleh ditanam semula hanyalah 28,000 hektar. Ini hanyalah sekitar 0.5% daripada jumlah kawasan sawit yang ditanam di Malaysia, iaitu sebanyak 5.6 juta hektar.
Oleh itu, peruntukan ini sekali lagi tidak mencapai sasaran minimum 4% kawasan tanaman yang perlu ditanam semula setiap tahun.

Persoalan yang perlu dibangkitkan ialah, mengapakah Kementerian Kewangan (MOF) enggan menggunakan semula sebahagian daripada cukai durian runtuh ataupun “windfall tax” yang dikutip daripada industri sawit — sedangkan dana ini amat diperlukan untuk meningkatkan usaha penanaman semula, terutamanya di kalangan pekebun kecil yang masih mewakili hampir 25% daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit di negara ini?

Saya ingin tegaskan Hanya pekebun kecil yang diperakui sahaja yang akan mendapat manfaat daripada peruntukan ini. Ini juga bermakna entiti seperti FELDA, FELCRA, RISDA, SALCRA dan seumpamanya tidak akan termasuk sebagai penerima manfaat kerana syarikat-syarikat ini mempunyai dana mereka sendiri — malangnya sering dibazirkan akibat pengurusan yang tidak cekap.
Sekiranya peruntukan ini hanya disalurkan kepada pekebun kecil yang diperakui, maka perbelanjaannya lebih munasabah dan berkesan.

 

3. Tubuhkan Agensi Sokongan Nafkah Anak (Child Support Agency)
===============================================
Agenda Nasional Kasih Keluarga Negara yang ingin memperkukuh institusi kekeluargaan tidak boleh bersandar kepada andaian bahawa semua lelaki akan secara automatik menunaikan tanggungjawab mereka. Realitinya, ramai ibu terpaksa menjadi “pengutip hutang peribadi”, memburu bekas suami hanya untuk mendapatkan hak asas anak-anak mereka. Ini bukan Sahaja tidak adil, malah memberi tekanan emosi dan kewangan yang berpanjangan.

Saya mencadangkan agar RMK13 ini menubuhkan Agensi Sokongan Nafkah Anak (Child Support Agency) sebagai agensi Persekutuan yang menyelaras dan meguatkuasakan kutipan nafkah anak secara automatik, berkesan dan bebas tekanan. Agensi ini harus memberi manfaat kepada semua ibu, tanpa mengira kaum dan agama, yang berdepan bapa yang gagal atau sengaja enggan menafkahi anak-anak mereka.

Negara seperti, Australia, United Kingdom dan Kanada telah lama mempunyai agensi khas Kerajaan untuk mengurus kutipan nafkah – termasuk potongan gaji, sekatan passport atau lesen, dan tindakan undang-undang terhadap yang ingkar. Pendekatan ini menjadikan nafkah sebagai tanggungjawab yang dipantau negara, bukan beban peribadi ibu. Malaysia sudah terlewat, tetapi belum terlambat untuk melaksanakannya demi keadilan dan masa depan anak-anak kita.

 

4. Reformasi Pendidikan Haruslah dijalankan Secara Menyeluruh
============================================
Perkataan “Reformasi Pendidikan” terkandung dalam Bab 3 dalam Buku RMK13. Saya puji Kerajaan memberi tekanan dalam Pendidikan TVET, tetapi penekanan terhadap TVET adalah tidak mencukupi. Bagi penduduk di Kawasan bandar, semakin ramai ibubapa suka hantar anak-anak mereka untuk belajar di sekolah rendah dan menengah swasta, ataupun “home school” kerana mereka telah semakin hilang keyakinan terhadap pendidikan kebangsaan. Selain itu, semakin ramai ibubapa ingin anak-anak mereka menguasai bahasa asing, khususnya Bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris dalam tahap sekolah menengah.

Justeru, saya juga ingin mencadangkan Kementerian Pendidikan menjalankan survei di kalangan ibubapa dan Masyarakat pelbagai kaum kita, untuk mencari apa jenis pendidikan yang dikehendaki oleh mereka, dan kenapakah ramai ibubapa di kalangan kelas menengah dan ke atas cenderung hantar anak mereka ke sekolah swasta.

Di sini, saya ingin mencadangkan Kementerian Pendidikan untuk memberi layanan yang adil terhadap Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK). Sejak tahun lepas, Lembaga Pengelola Sekolah SMJK Confucian dan saya telah cuba berjumpa dengan beberapa pihak di Kementerian Pendidikan untuk membincangkan Cadangan pemindahan SMJK Confucian dari tapak yang sedia ada ke lot 54836 di Taman Danau Desa. Lot 54836 adalah tapak SK Danau Perdana yang sudah berpindah ke tapak yang baru pada tahun 2004 kerana bangunan sekolah tersebut tidak selamat, tetapi usaha kami tidak berjaya, dan mantan KSU Kementerian Pendidikan malah menolak permohonan pemindahan sekolah tanpa memberi apa-apa sebab.

Datuk yang diPertua, sebab utama permohonan pemindahan SMJK Confucian adalah kerana bangunan SMJK Confucian yang sedia ada adalah tidak selamat. Bangunan sekolah yang sediada dibina pada tahun 1922 dan kini telah berusia 103 tahun. Satu Syarikat perunding, iaitu Perunding JPC Sdn Bhd telah menjalan kajian penilaian struktur bangunan SMJK Confucian dan mengesahkan bangunan sekolah itu tidak lagi selamat untuk diduduki.

Selain itu, SMJK Confucian tidak mempunyai hak pemilikan ke atas tanah yang didudukinya, sebaliknya hanya menumpang di tapak Sekolah Menengah Confucian yang merupakan sekolah persendirian Cina. Keadaan ini menyebabkan SMJK Confucian tidak dapat mengadakan aktiviti untuk pelajar dan tidak dapat berkembang kerana saiz bangunan yang terhad.

Lokasi lot 54836 dicadangkan ialah kerana tapak itu telah tidak digunakan lebih daripada 20 tahun kerana bangunan sekolah tersebut tidak selamat, dan pertikaian undang-undang di antara Kementerian Pendidikan dengan pihak kontraktor selama 20 tahun telahpun selesai.

Statistik DOSM menunjukkan penduduk berumur 10-19 tahun dalam lingkungan 5 km adalah 115,399 orang, tetapi hanya 16,237 belajar di 17 SMK Sahaja. Ini menunjukkan ramai ibubapa menghantar anak mereka untuk belajar di tempat lebih jauh daripada tempat kediaman mereka.

Memandangkan lingkungan 5 km Taman Desa mempunyai 10 buah sekolah jenis kebangsaan Cina yang mempunyai 12,950 orang murid-murid dan ramai ibubapa berkenaan memang berminat hantar anak-anak mereka untuk meneruskan pelajaran di SMJK, saya berharap Kementerian Pendidikan dapat mempertimbangkan hasrat dan permintaan para ibubapa tersebut.

Datuk yang diPertua, Lembaga Pengelola Sekolah SMJK Confucian dan 26 persatuan di 5km Taman Desa telah menghantar memorandum kepada Menteri Pendidikan berkenaan isu ini. Saya juga pernah bangkitkan isu ini secara peribadi dengan Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan, saya berharap Kementerian Pendidikan akan mempertimbangkan rayuan pemindahan SMJK Confucian dengan seriusnya demi selamatkan murid-murid sekolah tersebut daripada terus belajar di bangunan sekolah yang tidak selamat.

 

5. Perubahan Kaedah Perancangan diwartakan Tanpa Konsultasi
===========================================
Saya melihat satu iklan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam akhbar The Sun, mengenai satu permohonan untuk kebenaran merancang. Permohonan ini dibuat di bawah kaedah perancangan yang baru, iaitu Kaedah-Kaedah (Perancangan) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 yang diwartakan pada 13 Jun 2025 dan mula berkuatkuasa tiga hari kemudian, tetapi baru-baru mula disedari di kalangan pertubuhan masyarakat sivil setelah satu setengah bulan berlalu.

Saya ingin tanya pihak kerajaan, mengapa kaedah baharu ini digazetkan tanpa sebarang konsultasi dengan orang awam dan pihak-pihak yang berkepentingan, terutamanya dalam aspek libat urus awam?

Menurut Kaedah 3 dalam kaedah-kaedah perancangan 2025, Datuk Bandar boleh berunding dengan pihak berkaitan sebelum membuat keputusan, tetapi hanya jika beliau rasa perlu. Ini bermakna tiada jaminan bahawa orang awam akan diberi peluang untuk bersuara atau memberi pandangan sebelum sesuatu pembangunan diluluskan.

Satu kaedah-kaedah baru yang mengganti kaedah-kaedah lama setelah lima dekad seharusnya mencermin kemajuan kesedaran social/sivil yang telah berlaku.

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat kerana proses membuat keputusan menjadi kurang telus, dan orang ramai tidak diberi ruang untuk meneliti atau membantah permohonan pembangunan. Ia juga memberikan terlalu banyak kuasa kepada Datuk Bandar untuk meluluskan sesuatu pembangunan tanpa mengambil kira pandangan masyarakat.

Oleh itu, saya mohon pihak kerajaan meneliti semula kaedah perancangan yang baharu ini dan memberi penjelasan kepada orang awam mengenai bagaimana dasar ini digubal dan diluluskan.

 

Teresa Kok

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 郭素沁呼吁反贪会调查前经济部长助理蔡镇燊的方式 应避免陷“舆论公审”
  • MACC is urged to restore public confidence and review its manner of investigating James Chai
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memulihkan keyakinan awam dan menilai semula cara siasatan terhadap James Chai Jin Shern
  • Parlimen: Soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkenaan statistik perkahwinan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun bagi 2023,2024 dan 2025
  • Parlimen: Soalan kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkenaan jumlah pendaftaran yang diterima oleh Lembaga Jurukur Tanah
  • Parlimen: Soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkenaan rumah perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga
  • Ucapan Kamar Khas: Apakah Respons dan Halatuju Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Terhadap Syor PAC Terhadap Pemberimilikan Tanah Kerajaan di Kuala Lumpur (2 Mac 2026)
  • Ucapan Teresa Kok (Seputeh) Dalam Perbahasan Penyata Jawatankuasa Pilihan Kesihatan: Pemantapan Dasar Pemakanan dan Intervensi Nutrisi di Malaysia Pada 25 Februari 2026
  • Kes Pecah Kereta di Taman Persekutuan Bukit Kiara
  • “Gema 1MDB: Satu Lagi Pasukan Petugas yang Ditakdirkan untuk Gagal?” (14 Feb 2026)
  • “Echoes of 1MDB: Another Task Force Destined to Fail?” (14 Feb 2026)
  • 郭素沁:嘉玛若再违庭令,将采取法律行动
  • [Media Statement] Response to Recent Remarks by Datuk Jamal Yunos
  • [Kenyataan Media] Respons terhadap Kenyataan Terkini Datuk Jamal Yunos
  • [PARLIMEN] Adakah Kementerian akan menyemak dan menghapuskan keperluan kelulusan suami bukan warganegara dalam permohonan kewarganegaraan anak-anak di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan demi memastikan ibu Malaysia mempunyai hak yang sama untuk memohon kewarganegaraan bagi anak yang dilahir di luar negara.

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme