Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Soalan Parlimen: Pembaharuan SPRM dan Cadangan Penempatan SPRM di Bawah Seliaan Parlimen

Posted on Monday, 28-07-2025 by Editorial Team

PUAN TERESA KOK SUH SIM [SEPUTEH] minta PERDANA MENTERI menyatakan:
a. pembaharuan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh SPRM dalam tempoh terdekat
b. apakah Kerajaan akan meletakkan SPRM di bawah kawal selia Parlimen seperti apa yang pernah dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan dalam PRU-14 pada tahun 2018.

JAWAPAN
YB DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID, MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)

Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat,

Jawapan (a)
1. Di peringkat Nasional, komitmen Kerajaan dalam memperkasa tatakelola dan memerangi rasuah kekal menjadi agenda nasional. Antara beberapa dasar dan inisiatif peringkat nasional melibatkan pengukuhan tatakelola yang diperkenalkan ke arah meningkatkan kebertanggungjawaban dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam antaranya adalah termasuk Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri pada 7 Mei 2024 memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat. NACS menekankan lima (5) strategi utama iaitu Pendidikan, Kebertanggungjawaban Awam, Suara Rakyat, Penguatkuasaan dan Insentif yang didukung dengan 60 substrategi secara keseluruhannya.

2. Implementasi strategi yang digariskan dalam NACS merupakan ukuran keseriusan semua pihak untuk memastikan elemen tatakelola, integriti, dan antirasuah sepenuhnya ke dalam agenda utama negara, sehingga secara langsung mengurangi penyalahgunaan kekuasaan, menentang rasuah, campur tangan politik, menghentikan kronisme dan nepotisme, serta kelemahan tatakelola dalam pemerintahan serta meningkatkan efisiensi, akauntabiliti dan ketelusan Kerajaan.

3. Kerajaan turut memberi tumpuan ke arah pemerkasaan tatakelola baik perkhidmatan awam melalui inisiatif-inisiatif nasional seperti berikut:

3.1 Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP) yang dikeluarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri pada 30 April 2024 bagi menggantikan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998. Garis panduan ini antara lain memperkukuh proses pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah BBP, memperkasa peranan Audit Dalam, memperkukuh struktur dan komposisi keahlian Lembaga Pengarah dan mewujudkan Sistem Badan Berkanun (SBSys) sebagai mekanisme pengawalseliaan BBP.

3.2 Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023 berhubung Tatakelola Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dan Syarikat Berhad Menurut Jaminan Kerajaan (CLBG) yang dikeluarkan pada 20 Mei 2024 bertujuan untuk memberi panduan kepada Kementerian Pengawal dalam pelaksanaan peraturan dan prosedur berkaitan dengan pengurusan dan tatakelola SBK dan CLBG, antaranya dari segi peranan dan tanggungjawab Kementerian Pengawal, pengisytiharan harta, tapisan keutuhan dan tapisan keselamatan serta konflik kepentingan.

3.3 Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan diperkenalkan mulai 21 Mei 2024 bagi memastikan surat sokongan tidak disalah guna bagi tujuan kepentingan peribadi. Garis panduan ini adalah sebagai peringatan berhubung subseksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berhubung larangan penggunaan jawatan atau kedudukan untuk apa-apa suapan, sama ada kepentingan peribadinya, saudaranya atau sekutunya.

3.4 Komitmen Kerajaan dalam memperkasa tatakelola dan memerangi rasuah turut dizahirkan melalui Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023 berhubung Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Melalui Mesyuarat JKKTN, beberapa dasar telah diputuskan melibatkan pengukuhan tatakelola dan reformasi perundangan dan diperkenalkan ke arah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, antaranya seperti berikut:

3.5 Cadangan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whistleblower Protection Act) [Akta 711] bagi memastikan saluran aduan yang lebih diyakini dan berkesan.

3.6 Cadangan perundangan baharu diperkenalkan bertujuan mengawal selia Badan Berkanun Persekutuan (BBP) serta syarikat-syarikat di bawahnya bagi memperkukuh tatakelola BBP secara perundangan yang akan memberi penekanan antaranya pinjaman, pelaburan, penubuhan anak-anak syarikat.

3.7 Penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Kebebasan Maklumat bagi memberi akses kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan Kerajaan. Langkah ini diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dipertingkat melalui penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara selaras dengan NACS.

3.8 Penggubalan RUU Perolehan Kerajaan bagi mewujudkan mekanisme aduan dan bantahan selaras dengan piawaian antarabangsa bagi memperkasa tatakelola perolehan Kerajaan secara perundangan selaras dengan NACS.

3.9 Cadangan meminda Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258] dan Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208] bagi mengelakkan penyelewengan dana oleh badan pemegang amanah yang ditubuhkan, antaranya bagi tujuan sosial dan kebajikan.

3.10 Cadangan menggalakkan semua syarikat gred G7 yang mempunyai Sijil Perolehan Kerajaan (SPKK) untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 Anti-Bribery Management System (ABMS) dan diberi keutamaan dalam perolehan Kerajaan bagi perolehan kerja bernilai RM100 juta ke atas bagi tempoh 2 tahun pertama. Inisiatif ini juga menyokong prinsip liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

3.11 Selain itu, satu Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bagi membincangkan serta mencari jalan untuk meningkatkan CPI Malaysia mencapai sasaran kedudukan ke-25 teratas dalam tempoh 10 tahun sepertimana yang digariskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12):

a) Pasukan ini mula bersidang pada 3 Oktober 2024 dengan dihadiri oleh 9 ahli yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan yang berkaitan serta 5 orang pakar daripada pelbagai bidang yang relevan dengan survei-survei terlibat dalam CPI.

b) Mesyuarat turut membincangkan 6 bidang yang perlu diberi keutamaan iaitu penguatkuasaan, pengurusan dana awam, daya saing perniagaan, risiko pelaburan, perundangan dan komunikasi strategik melalui penubuhan 6 Focus Group (FG) yang akan diterajui oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Kementerian Kewangan, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU, JPM) dan Kementerian Komunikasi.

c) FG ini akan melaksanakan usaha-usaha penambahbaikan CPI mengikut bidang keutamaan masing-masing, dengan penyertaan dari agensi awam, swasta, dewan perniagaan, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Laporan akan dibuat kepada Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), SPRM selaku urus setia induk Pasukan Petugas Khas CPI dan hasil dapatan awal pasukan ini akan dilaporkan dalam Mesyuarat JKKTN.

4. Di peringkat SPRM pula pelbagai tindakan pencegahan rasuah telah dan sedang dilaksanakan selaras dengan dasar serta keutamaan nasional dalam memerangi rasuah. Antaranya adalah seperti berikut:

4.1 Sebagai langkah memperkukuh nilai integriti dalam kalangan generasi muda, SPRM dengan kerjasama dan penyertaan sektor pendidikan melalui pelaksanaan minggu bertema yang memfokuskan kepada etika, nilai-nilai murni dan antirasuah dalam kalendar akademik sekolah, di samping penambahbaikan pelaksanaan Kursus Integriti dan Antirasuah di institusi pengajian tinggi.

4.2 Dalam tindakan penguatkuasaan, SPRM terus melaksanakan siasatan jenayah rasuah secara agresif dan proaktif, dengan memberi tumpuan kepada isu-isu ketirisan, kes-kes berprofil tinggi, berkepentingan awam dan sensitif, termasuk pemulihan aset serta dana kerajaan. Bagi menyokong keberkesanan siasatan, SPRM telah menerima akreditasi ISO/IEC 17025:2017 pada Disember 2024 sebagai pengiktirafan global terhadap keupayaan analisis forensik makmalnya. SPRM turut memanfaatkan teknologi analisis data besar dalam memproses maklumat kewangan yang kompleks daripada pelbagai sumber bagi tujuan pengesanan aliran dana dan pemprofilan kewangan suspek.

4.3 SPRM kini sedang memfokuskan kepada penggunaan teknologi seperti sistem risikan kewangan dan kecerdasan buatan, disokong dengan kerjasama erat bersama institusi kewangan dan agensi penguat kuasa yang berkaitan.

4.4 Dari sudut perundangan pula, SPRM sedang meneliti dan mengkaji kebolehlaksanaan pelaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertunda (Deferred Prosecution Agreement -DPA) dalam kerangka perundangan sedia ada di Malaysia, sebagai satu mekanisme alternatif bagi memperkukuh tindakan pendakwaan terhadap entiti korporat yang terlibat dalam kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram.

Jawapan (b)
5. Cadangan untuk meletakkan SPRM di bawah bidang kuasa Parlimen mempunyai implikasi yang besar terutama dalam memelihara dan mengangkat konsep pengasingan kuasa legislatif dan eksekutif dalam sistem pentadbiran negara.

6. SPRM telah ditubuhkan pada 1 Januari 2009 berteraskan kebebasan, ketelusan dan profesionalisme. SPRM adalah satu-satunya agensi yang mempunyai lima (5) badan pemantau bebas sebagai mekanisme semak dan imbang kepada SPRM yang melibatkan pelbagai peringkat termasuklah ahli Parlimen blok Kerajaan dan pembangkang dalam usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

7. Secara prinsipnya, Kerajaan sentiasa terbuka dan komited kepada sebarang cadangan yang konstruktif, khususnya yang melibatkan reformasi institusi, demi memperkukuh integriti dan akauntabiliti dalam tadbir urus negara. Walau bagaimanapun, cadangan berskala besar seperti ini memerlukan kajian terperinci serta libat urus menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan.

Sekian, terima kasih.

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 郭素沁呼吁反贪会调查前经济部长助理蔡镇燊的方式 应避免陷“舆论公审”
  • MACC is urged to restore public confidence and review its manner of investigating James Chai
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memulihkan keyakinan awam dan menilai semula cara siasatan terhadap James Chai Jin Shern
  • Parlimen: Soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkenaan statistik perkahwinan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun bagi 2023,2024 dan 2025
  • Parlimen: Soalan kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkenaan jumlah pendaftaran yang diterima oleh Lembaga Jurukur Tanah
  • Parlimen: Soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkenaan rumah perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga
  • Ucapan Kamar Khas: Apakah Respons dan Halatuju Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Terhadap Syor PAC Terhadap Pemberimilikan Tanah Kerajaan di Kuala Lumpur (2 Mac 2026)
  • Ucapan Teresa Kok (Seputeh) Dalam Perbahasan Penyata Jawatankuasa Pilihan Kesihatan: Pemantapan Dasar Pemakanan dan Intervensi Nutrisi di Malaysia Pada 25 Februari 2026
  • Kes Pecah Kereta di Taman Persekutuan Bukit Kiara
  • “Gema 1MDB: Satu Lagi Pasukan Petugas yang Ditakdirkan untuk Gagal?” (14 Feb 2026)
  • “Echoes of 1MDB: Another Task Force Destined to Fail?” (14 Feb 2026)
  • 郭素沁:嘉玛若再违庭令,将采取法律行动
  • [Media Statement] Response to Recent Remarks by Datuk Jamal Yunos
  • [Kenyataan Media] Respons terhadap Kenyataan Terkini Datuk Jamal Yunos
  • [PARLIMEN] Adakah Kementerian akan menyemak dan menghapuskan keperluan kelulusan suami bukan warganegara dalam permohonan kewarganegaraan anak-anak di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan demi memastikan ibu Malaysia mempunyai hak yang sama untuk memohon kewarganegaraan bagi anak yang dilahir di luar negara.

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme