Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Demi rakyat Murum, Mathew Silek bertanding walau terpaksa menentang rakan karib

Posted on Wednesday, 27-04-2016Monday, 30-05-2016 by -ec-

N66_mathewsilek_sarawak-650x340

MURUM, 27 APRIL: Keyakinan berlebihan Barisan Nasional menguasai kawasan pedalaman Sarawak menjadikan gabungan politik itu terlalu selesa sehingga terleka, malah mengabaikan kebajikan dan kemajuan penduduk kampung.

Calon DAP bagi kerusi DUN N.66 Murum, Mathew Silek, 45, berkata, label “simpanan tetap” yang diguna pakai BN Sarawak setiap kali pilihanraya negeri di pedalaman menjadikan parti itu culas terhadap permasalahan rakyat.

Sebagai contoh, beliau yang berketurunan Dayak-Orang Ulu berkata, tanah satu lot berukuran tiga ekar yang disumbangkan kerajaan negeri kepada penduduk setempat untuk tujuan pertanian adalah tidak memadai dan mencukupi, malah jalan untuk ke tanah tersebut tidak dibina, sekaligus menyukarkan kerja-kerja penanaman.

“Itu pun dengan geran selama 60 tahun. Kita mahu berjuang untuk dapatkan geran milik kekal. Itu pun hanya segelintir yang sudah dapat geran. Yang lain masih belum dapat,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Elektrik dan Elektronik dari Northumbria Newcastle University (UK) kepada Roketkini.com.

Selain itu, menurutnya, masalah asas seperti air, jalan, dan elektrik yang sering dialami penduduk setempat tidak pernah diendahkan kerajaan negeri sehingga menyukarkan mereka untuk menjalankan aktiviti harian.

“Bekalan air terawat tidak mencapai tahap kualiti minimum dan selalu terputus, terutamanya pada musim perayaan. Malah, jalan penghubung ke bandar juga selalu rosak kerana lori balak. Lebih buruk lagi, gangguan bekalan elektrik juga kerap dialami penduduk,” kata bapa kepada lima anak itu.

Menyedari permasalahan itu, kata Mathew, DAP melalui projek Impian Sarawak telah menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di kawasan berkenaan, sehingga berjaya menambat hati penduduk setempat kerana berjaya menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mereka.

“Penerimaan penduduk adalah baik sebab faktor hubungan kekeluargaan, orang tempatan, melihat kesungguhan usaha parti yang banyak membantu menyelesaikan masalah rakyat, senang didekati dan ada pusat khidmat tetap. Majoriti penduduk di Murum adalah Orang Ulu,” ujarnya.

Dengan aktiviti pertanian menjadi sumber utama ekonominya, DUN N.66 Murum mempunyai 8,242 bilangan pengundi dengan majoriti penduduknya adalah Orang Ulu iaitu sebanyak 76.5 peratus, diikuti Orang Iban (20.2 %), Cina (1.5 %), Melayu dan Melanau (0.7 %), dan lain-lain (1.1 %).

Murum yang merupakan antara 11 kerusi DUN baru yang dipertandingkan bakal menyaksikan pertentangan empat penjuru di antara Mathew yang mewakili DAP dengan Abun Sui Anyit (PKR), Chukpai Ugon (BN-PRS) dan Stanley Ajang Batok (BEBAS).

Berhubung pertindihan calon dari PKR, Mathew mengakui sedih kerana terpaksa berdepan dengan Abun, rakan karibnya sejak di bangku sekolah.

“Saya sedih kerana terpaksa berdepan bukan sahaja rakan parti Pakatan Harapan tetapi juga rakan seperjuangan dari alam persekolahan. Saya hormati dia sebagai rakan seperjuangan dalam menentang BN.

“Apa pun, saya tetap akan berjuang demi rakyat Murum dan patuh kepada keputusan parti mengikut lunas ketetapan pihak atasan Pakatan Harapan,” katanya.

Malah, beliau berjanji akan memperjuangkan hak penduduk setempat yang sekian lama tidak didengari kerajaan BN Sarawak jika menerima mandat masyarakat di Murum pada pilihanraya negeri Sarawak yang akan tiba pada 7 Mei nanti.

“Visi saya selaras dengan visi DAP di Murum. iaitu memajukan Murum sebagai tempat tinggal yang lebih selesa. Dan sekiranya menang saya akan memperjuangkan hak hasil tanah, sungai dan hutan dipulangkan kepada rakyat Murum,” tambahnya. – Roketkini.com

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • Ucapan Kamar Khas: Masalah Pelaksanaan Akta A1730: Akta Juruukur Tanah Berlesen (Pindaan) 2024
  • Ucapan Kamar Khas: Kerajaan Diminta Membatalkan Pembinaan 17 Ribu Unit Rumah di Jalan Impian Indah, Bukit Jalil (27 Okt 2026)
  • Court Judgement YB Teresa Kok VS Datuk Dr Akmal
  • UCAPAN PERBAHASAN BELANJAWAN 2027 OLEH TERESA KOK (SEPUTEH) PADA 13 OKTOBER 2026
  • Ucapan Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) dalam Perbahasan RUU Akta Makanan 1983 (8 Oktober 2026)
  • MOTAC DIMINTA MENYATAKAN PENCAPAIAN KEMENTERIAN DALAM TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026
  • Ucapan Teresa Kok dalam Perbahasan “Laporan Pengurusan Pelarian di Malaysia” di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2026
  • Rest in Peace, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
  • 郭素沁促请隆市政局在武吉加里尔、大城堡及旧巴生路展开全面基础设施研究
  • KENYATAAN AKHBAR YB TERESA KOK (AHLI PARLIMEN SEPUTEH) PADA 27 OGOS 2026
  • Joint Efforts Needed: CPO KL, Mayor, and PTGWPKL Director Urged to Clamp Down on Illegal Parking Fee Collection on Kuala Lumpur State Land
  • MEDIA STATEMENT: THE TAMAN DESA PHASE 1 NEIGHBOURHOOD CONTROL SCHEME ISSUE (17 August 2026)
  • KENYATAAN MENGENAI PERSATUAN PENDUDUK TAMAN DESA FASA 1
  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme