Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Mahkamah arah KDN pulang CD Kristian, tiada keputusan kalimah Allah

Posted on Tuesday, 23-06-2015Monday, 29-06-2015 by -ec-

Lim Heng Seng, peguam mewakili Jill Ireland, di luar Mahkamah Rayuan pagi ini selepas keputusannya mengarahkan Putrajaya memulangkan semula CD Kristian yang dirampas. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 23 Jun, 2015.

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulangkan semula rampasan cakera padat (CD) yang mengandungi kalimah Allah milik seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland.

Bagaimanapun, mahkamah enggan membuat keputusan sama ada Ireland, seorang kerani, mempunyai hak menggunakan perkataan Arab itu merujuk kepada “Tuhan” dalam amalan keagamaannya.

Hakim Tengku Maimun Tuan Mat yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata, semua 8 CD berkenaan perlu dipulangkan kepada Ireland dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Katanya, rampasan bahan itu tidak dilakukan mengikut Seksyen 9 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Hakim juga memerintahkan hak perlembagaan Ireland mengikut Artikel 8 dan 11 Perlembagaan Persekutuan diputuskan hakim lain di Mahkamah Tinggi.

Artikel 8 ialah berhubung kesaksamaan semua individu dalam undang-undang sementara Artikel 11 ialah kebebasan mengamalkan agama masing-masing.

Putrajaya merampas CD berkenaan daripada Ireland di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang pada 2008.

Wanita Sarawak itu berkata, CD itu dibawa masuk ke Malaysia untuk kegunaan peribadi.

Tengku Maimun bersama Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Seri Zakaria Sam berkata panel menolak rayuan kerajaan kerana adalah di luar bidang kuasa Suzanah Muin sebagai kakitangan awam memberitahu Ireland yang KDN menyimpan CD itu.

“Keputusan itu buruk pada pandangan undang-undang kerana itu bukan niat yang sepatutnya ketika undang-undang digubal di Parlimen,” katanya.

Berhubung hak perlembagaan Ireland, Tengku Maimun berkata beliau patut memfailkan tuntutan berasingan mencabar haknya menggunakan kalimah Allah dalam amalan keagamaannya.

“Bagaimanapun, kami menyerahkan perkara itu kepada hakim lain di Mahkamah Tinggi supaya hak kedua-dua pihak terpelihara,” katanya.

Kes itu akan disebut semula di depan hakim baharu pada 2 Julai.

Ireland memfailkan rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang gagal menyelesaikan isu berhubung hak perlembagaannya menggunakan kalimah Allah, memandangkan mahkamah hanya memerintahkan CD yang dirampas dipulangkan semula.

Pada 23 April, panel hakim itu mendengar hujahan peguam Ireland, Lim Heng Seng dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhasan sama ada Ireland dibenarkan menggunakan perkataan itu dalam amalan agamanya.

Lim berkata Ireland bebas mengamalkan agamanya, termasuk menggunakan kalimah Allah di mana-mana dalam Malaysia kerana perlembagaan menjamin haknya itu.

“Ini adalah hasrat dalam merangka perlembagaan apabila Sabah dan Sarawak adalah pihak-pihak dalam penubuhan Malaysia,” kata Lim.

Berhujah dalam rayuan balas Ireland, Lim berkata Parlimen boleh mengenakan sekatan terhadap hak asasi untuk menggubal undang-undang terhadap tindakan yang menjejaskan ketenteraman awam, tetapi bukan kebebasan beragama.

Lim berkata, jika warga Sarawak dan Sabah dibenarkan menggunakan kalimah Allah di negeri itu, agak mengarut menghalang mereka melakukannya di negeri lain dalam Malaysia.

Pada Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusoff memerintahkan CD itu dipulangkan dan berkata hanya menteri dalam negeri dan bukan mana-mana pegawai kanan mempunyai kuasa mengarahkan rampasan kekal terhadap bahan yang dianggap mengancam ketenteraman awam.

Putrajaya merayu keputusan itu dan memohon penangguhan perintah Mahkamah Tinggi memulangkan CD berkenaan.

Sementara itu, Shamsul yang mewakili kerajaan berkata menteri dalam negeri dipandu oleh arahan kerajaan 1986 yang melarang penerbitan Kristian menggunakan perkataan seperti Allah, Kaabah, solat dan Baitullah.

Katanya, ia ditetapkan atas alasan mengelakkan salah faham di antara Kristian dan umat Islam yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Perintah bertarikh 5 Disember, 1986 masih berkuat kuasa,” katanya, dan menambah ia adalah tindakan awal oleh menteri yang tidak mahu menunggu bertindak sehingga berlaku keganasan.

Shamsul berkata pihaknya akan mendapatkan nasihat peguam negara sama ada akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan perintah menyimpan CD itu sementara menunggu keputusan mahkamah tertinggi itu.

Peguam Annou Xavier yang mewakili Ireland berkata beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya sama ada akan melalui perbicaraan memastikan hak perlembagaannya, atau membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

CD yang dibeli Ireland bagi kegunaan peribadinya itu bertajuk “Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah”, “Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah” dan “Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah”.

Menerusi permohonan semakan kehakiman terhadap tindakan KDN dalam meminta CD dipulangkan, Ireland juga memohon pengisytiharan haknya menggunakan “Allah” dan terus dibenarkan memiliki dan mengimport bahan seumpama itu.

Pasukan peguam Ireland berhujah kes itu bukan mengenai Kristian menentang Islam, tetapi berkenaan hak perlembagaannya sebagai Kristian.

Peguam perlembagaan berkata rayuan balas Ireland juga boleh digunakan untuk melihat semula masalah yang tidak berjaya diselesaikan dalam kes membabitkan penerbitan mingguan Katolik, Herald.

Kes Herald berakhir pada 21 Januari, selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan Gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya.

Perkataan Allah digunakan secara meluas penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, dan gereja berhujah larangan penggunaannya melanggar hak kebebasan beragama. – 23 Jun, 2015.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mahkamah-arah-kdn-pulang-cd-kristian-tiada-keputusan-kalimah-allah#sthash.wyNSD2VC.dpuf

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • Ucapan Kamar Khas: Masalah Pelaksanaan Akta A1730: Akta Juruukur Tanah Berlesen (Pindaan) 2024
  • Ucapan Kamar Khas: Kerajaan Diminta Membatalkan Pembinaan 17 Ribu Unit Rumah di Jalan Impian Indah, Bukit Jalil (27 Okt 2026)
  • Court Judgement YB Teresa Kok VS Datuk Dr Akmal
  • UCAPAN PERBAHASAN BELANJAWAN 2027 OLEH TERESA KOK (SEPUTEH) PADA 13 OKTOBER 2026
  • Ucapan Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) dalam Perbahasan RUU Akta Makanan 1983 (8 Oktober 2026)
  • MOTAC DIMINTA MENYATAKAN PENCAPAIAN KEMENTERIAN DALAM TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026
  • Ucapan Teresa Kok dalam Perbahasan “Laporan Pengurusan Pelarian di Malaysia” di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2026
  • Rest in Peace, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
  • 郭素沁促请隆市政局在武吉加里尔、大城堡及旧巴生路展开全面基础设施研究
  • KENYATAAN AKHBAR YB TERESA KOK (AHLI PARLIMEN SEPUTEH) PADA 27 OGOS 2026
  • Joint Efforts Needed: CPO KL, Mayor, and PTGWPKL Director Urged to Clamp Down on Illegal Parking Fee Collection on Kuala Lumpur State Land
  • MEDIA STATEMENT: THE TAMAN DESA PHASE 1 NEIGHBOURHOOD CONTROL SCHEME ISSUE (17 August 2026)
  • KENYATAAN MENGENAI PERSATUAN PENDUDUK TAMAN DESA FASA 1
  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme