Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Jawapan Parlimen berkenaan faktor yang menyebabkan orang muda menyertai ISIL dan langkah Kementerian mencegah trend tersebut

Posted on Tuesday, 09-06-2015 by -ec-

NO. SOALAN: 80

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN DEWAN RAKYAT

DARIPADA : PUAN TERESA KOK SUH SIM [ SEPUTEH ]

TARIKH : 8 JUN 2015

Puan Teresa Kok Suh Sim [ Seputeh ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah faktor yang menyebabkan orang muda menyertai ISIL dan langkah Kementerian mencegah trend orang muda tersebut.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Berdasarkan penilaian yang telah dibuat, terdapat beberapa faktor yang menjadi pendorong kepada golongan muda untuk terlibat dengan kumpulan gerakan militan Islamic State (IS) ini. Antaranya adalah kurangnya didikan asas agama yang tidak berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Di samping itu, kewujudan kumpulan-kumpulan lain yang telah menyalahtafsirkan ajaran Islam khususnya mengenai konsep jihad, penghapusan dosa dan jalan mudah menuju ke syurga telah menarik minat mereka untuk menyertai gerakan tersebut. Bahkan, golongan ini juga yakin bahawa hanya kumpulan pengganas militan IS sahaja yang mampu untuk menubuhkan negara Islam sepenuhnya mengikut acuan radikal mereka.

Tuan Yang di-Pertua,

Perasaan benci di kalangan masyarakat Islam terhadap negara barat juga adalah merupakan salah satu pendorong kepada golongan ini untuk bertindak berjuang bagi menentang kuasa besar yang dianggap sebagai musuh Islam. Pertubuhan Islam di peringkat antarabangsa telah dianggap gagal oleh mereka dalam melindungi dan mempertahankan nasib negara-negara Islam yang ditindas. Ini secara tidak langsung turut menyemarakkan lagi semangat mereka untuk berjuang bersama-sama dengan kumpulan pengganas militan IS ini.

Pada masa yang sama, penggunaan platfom media sosial secara meluas juga merupakan salah satu faktor dalam penyebaran fahaman dan ideologi perjuangan mereka untuk mempengaruhi dan menarik sokongan serta merekrut anggota baru khususnya golongan muda bagi merealisasikan agenda kumpulan tersebut. Ia diburukkan lagi dengan pengaruh rakan sebaya (peer group) yang juga berperanan dalam mempengaruhi golongan ini untuk terlibat sama dalam aktiviti-aktiviti kumpulan ekstremis agama khususnya kumpulan pengganas militan IS.

Tuan Yang di-Pertua,

Bagi membendung pengaruh kumpulan pengganas militan IS daripada terus mempengaruhi golongan muda di negara ini, Kementerian Dalam Negeri telah menggunakan beberapa pendekatan. Antaranya adalah menjalinkan kerjasama dan perkongsian maklumat dengan agensi-agensi perisikan luar negara khususnya dengan negara-negara ASEAN melalui Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Hasil daripada perkongsian maklumat tersebut, pihak polis akan membuat pemantauan ke atas nama-nama mereka yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas tersebut.

Pada masa yang sama, Jabatan Imigresen Malaysia juga telah bertindak menyenaraihitamkan nama-nama mereka yang disyaki terlibat dengan kegiatan keganasan ini dengan memasukkan nama-nama tersebut ke dalam Senarai Saspek (Suspect List) bagi mengesan pergerakan mereka di pintu masuk seluruh negara.

Selain itu, Kementerian juga turut menjalinkan kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menjalankan pelbagai program penerangan. Antara program-program tersebut adalah melalui ceramah-ceramah, khutbah jumaat, perjumpaan, seminar, penerangan melalui surat khabar dan lain-lain medium yang disasarkan kepada golongan-golongan tertentu termasuk orang muda bagi menerangkan konteks jihad sebenar dan bahayanya fahaman ekstrim yang menjurus ke arah kegiatan militan.

Pada masa yang sama, Ahli-ahli Yang Berhormat juga sedia maklum, Kerajaan telah pun menggubal Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan 2015 ataupun POTA di samping memperkasakan undang-undang sedia ada termasuklah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959. Kesemua Rang Undang-undang berkenaan telahpun diluluskan oleh Parlimen pada sesi mesyuarat yang lepas dan Kerajaan akan mewartakan penguatkuasaannya dalam masa terdekat setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.
Tuan Yang di-Pertua,

Di sini ingin saya mengambil peluang untuk menasihati seluruh rakyat Malaysia agar menghindarkan dari terlibat dengan kumpulan ini. Bagi golongan muda pula suka saya menasihati supaya berhati-hatilah dengan penggunaan media sosial dan gunakanlah kemudahan tersebut untuk tujuan yang berfaedah.

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • Ucapan Kamar Khas: Masalah Pelaksanaan Akta A1730: Akta Juruukur Tanah Berlesen (Pindaan) 2024
  • Ucapan Kamar Khas: Kerajaan Diminta Membatalkan Pembinaan 17 Ribu Unit Rumah di Jalan Impian Indah, Bukit Jalil (27 Okt 2026)
  • Court Judgement YB Teresa Kok VS Datuk Dr Akmal
  • UCAPAN PERBAHASAN BELANJAWAN 2027 OLEH TERESA KOK (SEPUTEH) PADA 13 OKTOBER 2026
  • Ucapan Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) dalam Perbahasan RUU Akta Makanan 1983 (8 Oktober 2026)
  • MOTAC DIMINTA MENYATAKAN PENCAPAIAN KEMENTERIAN DALAM TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026
  • Ucapan Teresa Kok dalam Perbahasan “Laporan Pengurusan Pelarian di Malaysia” di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2026
  • Rest in Peace, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
  • 郭素沁促请隆市政局在武吉加里尔、大城堡及旧巴生路展开全面基础设施研究
  • KENYATAAN AKHBAR YB TERESA KOK (AHLI PARLIMEN SEPUTEH) PADA 27 OGOS 2026
  • Joint Efforts Needed: CPO KL, Mayor, and PTGWPKL Director Urged to Clamp Down on Illegal Parking Fee Collection on Kuala Lumpur State Land
  • MEDIA STATEMENT: THE TAMAN DESA PHASE 1 NEIGHBOURHOOD CONTROL SCHEME ISSUE (17 August 2026)
  • KENYATAAN MENGENAI PERSATUAN PENDUDUK TAMAN DESA FASA 1
  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme