Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Jamaah Islam Malaysia kecam penahanan Teresa dll

Posted on Sunday, 14-09-2008Sunday, 14-09-2008 by DAP Seputeh

KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia
14 September 2008

JIM KECAM PENAHANAN AHLI POLITIK, WARTAWAN DAN PENULIS BLOG DI BAWAH AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA)

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) mengecam undang-undang tanpa bicara seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan penggunaannya ke atas Ahli Parlimen Seputeh yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok, wartawan akhbar Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng dan pengendali laman blog Raja Petra Kamaruddin.

JIM ingin menegaskan bahawa prinsip keadilan amatlah penting dalam perundangan. ISA menyalahi prinsip keadilan kerana mereka yang ditahan dinafikan hak untuk “tidak bersalah sehingga disabitkan kesalahannya”, dinafikan hak bela diri, dinafikan khidmat guaman dan boleh ditahan selama-lamanya tanpa dihadapkan ke mahkamah.

Walaupun wartawan Tan Hoon Cheng kemudiannya telah dibebaskan selepas 16 jam ditahan, namun JIM mempersoalkan penahanan tersebut atas kononnya untuk melindungi beliau daripada ancaman ke atas keselamatan beliau. Ini menurut Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar dalam sidang akhbar di Ibupejabat Polis Bukit Aman pada 13 September 2008. Bukankah suatu yang amat pelik apabila seseorang ditahan di bawah ISA untuk menyelamatkan beliau daripada ancaman keselamatan sedangkan lazimnya seseorang ditahan kerana beliau dituduh memudaratkan keselamatan negara?

Apakah dengan ini wartawan tersebut perlu berterima kasih kepada Kerajaan atau sepatutnya menyaman Kerajaan kerana merampas hak kebebasan beliau sebagai warganegara dengan alasan yang tidak munasabah langsung?

Perbuatan menuduh tanpa sebarang bukti adalah perbuatan yang haram dari sudut Syariah, kerana ianya sendiri merupakan sebab utama kepada keadaan huru-hara di kalangan masayarakat yang hilangnya kepercayaan antara satu sama lain.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Hujurat ayat 6, penyebaran perkhabaran dan maklumat yang tidak sahih lagi meragukan menyebabkan berlakunya pertimbangan yang tidak adil, lantaran mengundang kepada musibah fitnah yang melanda masyarakat.

Riwayat hadith Ibnu Majah dan Abu Dawud menyebutkan bahawa kadi yang menetapkan hukuman kepada seseorang bedasarkan sumber-sumber bukti yang tidak benar akan dicampakkan ke dalam api neraka sewajarnya cukup menjadi pengajaran bagi kerajaan untuk mengutamakan prinsip keadilan Islam yang rasional berbanding dengan sentimen-sentimen perkauman yang rapuh dalam menjaga kemaslahatan masyarakat.

JIM mengesyorkan mana-mana pihak yang terkesan dengan sebaran awam yang dianggap menghina Islam supaya tampil proaktif dalam memberikan penjelasan yang bernas terhadap isu-isu yang dibahaskan. Islam tertegak di atas nas dan dalil Al-Quran dan Sunnah yang jelas. Tuntutan untuk mengemukakan hujah-hujah Islam secara berhikmah dan beradab sudah termaktub di dalam riwayat hadith-hadith yang sahih.

JIM memandang penahanan wartawan Tan Hoon Cheng seolah-olah beliau bertanggungjawab ke atas kontroversi kenyataan perkauman Ahmad Ismail sebagai tidak wajar kerana Ahmad Ismail dan pengikut beliau sendiri yang sengaja memberikan provokasi perkauman tanpa sebarang kawalan emosi di hadapan wartawan-wartawan.

Penahanan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula merupakan satu ketidakadilan kerana dakwaan bekas Menteri Besar Selangor keatasnya telah dinafikan sekeras-kerasnya. Malah, masjid di Damansara yang dikatakan disuruh perlahankan bunyi azannya telah memberi penjelasan bahawa azan tidak berbunyi dengan kuat kerana alat pembesar suara azannya mengalami kesulitan teknikal, bukannya kerana ditentang penduduk bukan Islam.

Penduduk bukan Islam di kawasan perumahan sekitar sebuah masjid di Puchong pula dilaporkan hanya memohon supaya diperlahankan penggunaan pembesar suara untuk majlis kuliah bacaan ayat al-Quran, bukannya azan itu sendiri.

JIM berpendirian jelas bahawa apa juga alasan yang dinyatakan kerajaan atas episod penahanan terbaru ini samada sebagai “pencetus polemik ketakutan” atau “pencetus kegawatan”, ianya seharusnya boleh ditangani dengan pelbagai akta lain yang sedia ada.

Tindakan menggertak dan menangkap blogger, wartawan, para pengkritik dasar kerajaan khususnya dari kalangan parti pembangkang tanpa hujah yang konkrit hanya akan mengundang kemusykilan rakyat terhadap motif dan keikhlasan kerajaan dalam melaksanakan perubahan pasca Pilihan raya Umum ke-12 terutamanya dalam konteks lanskap politik negara kini. Tindakan ini hanyalah mengesahkan lagi bahwa ISA digunakan untuk tujuan politik parti pemerintah.

JIM amat kesal dengan tindakan parti politik pemerintah yang sanggup memainkan isu sensitif seperti perkauman dan agama demi untuk menutup pelbagai kelemahan kepimpinan sedia ada. Sebaliknya, adalah lebih baik pihak kerajaan berusaha menyelesaikan pelbagai kemelut yang terjadi di dalam negara sekarang ini tanpa menggadaikan suasana keamanan yang sedia ada. Hentikan politik perkauman, fitnah dan tuduh menuduh tanpa bukti lagi tanpa bicara dan kembalilah kepada Syariat Islam.

JIM menggesa Kerajaan untuk membebaskan Teresa Kok, Raja Petra dan tahanan-tahanan ISA yang lain dengan serta merta atau dakwa mereka di mahkamah. Nasib tahanan yang ditahan dalam tempoh yang lama sehingga 7 tahun juga perlu dibela.

Sebagai anggota aktif gabungan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), JIM menyeru rakyat yang prihatin untuk turut tampil membantah ISA dan penahanan berhubungnya melalui program-program yang dianjurkan oleh GMI. Dalam tuntutan keadilan dan kebenaran, tidak ada batasan agama, kaum atau budaya.

Syed Ibrahim Syed Noh
Timbalan Presiden

4 thoughts on “Jamaah Islam Malaysia kecam penahanan Teresa dll”

  1. interesting says:
    Sunday, 14-09-2008 at 20: 02.38

    Tq my malays muslim brother for yr support.

  2. sirrganass says:
    Sunday, 14-09-2008 at 23: 27.33

    Teresa knows that she didn’t do it. Many people know that too. And GOD almighty also knows.

    Teresa, if you really didn’t do it, please be patient. We are with you and we will help you to get yourself released. All ISLAMIC-BASED Muslim organization are honestly against ISA. Just read the JIM report above. Implementing ISA is NOT an ISLAMIC TEACHING. This is practiced only by HADHARI / UMNO / Malay-based Organisations (racial).

    Didn’t your friends at PAS give you enough support? Well, PAS (Muslim) is trying to tell the Malays who is wrong and who is right and VERY DEFINITELY PAS wants government to ABOLISH ISA.

    If you are really a good lady – don’t worry. You’ll get our support!

  3. sirrganass says:
    Monday, 15-09-2008 at 23: 19.46

    Dr. Hassan: PAS Selangor mahu Teresa dibebaskan dari ISA 15-09-2008 08:50:12 PM dari mstar.com.my

    PETALING JAYA: PAS Selangor mahu ahli Parlimen seputeh Teresa Kok yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak Jumaat lalu dibebaskan segera.

    Menurut Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali, ahli Parlimen Seputeh itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang tidak menghormati agama Islam berhubung isu azan yang menjadi kontroversi baru-baru ini.

    “Saya percaya beliau tidak terlibat dengan penghantaran petisyen tersebut. Beliau (Teresa) pernah menyatakan perkara tersebut dalam satu mesyuarat exco Selangor,” katanya.

    Terdahulu polis menahan Teresa yang juga Adun Kinrara, Jumaat lalu dengan alasan beliau terlibat dengan memainkan isu perkauman.

    Sebelum ini, beliau yang juga Ecxo Selangor didakwa terlibat dengan penghantaran petisyen mengumpulkan tanda tangan bagi meminta pihak masjid memperlahankan suara ketika azan bagi waktu sembahyang umat Islam.

    Ketika ditanya sama ada Dr. Hassan yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam kerajaan negeri Selangor telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu, beliau berkata:

    “Tidak perlu siasatan selanjutnya. Saya percaya dengan apa yang diperkatakan beliau (Teresa) kepada saya sebelum ini,” katanya.

    Tambahnya, tiada bantahan secara rasmi dibuat oleh penduduk setempat berhubung isu tersebut.

    Teresa dipercayai terlibat dengan isu mengutip tanda tangan daripada penduduk di kawasan perumahan di Puchong.

    Difahamkan petisyen berkenaan diserahkan kepada pihak masjid bagi meminta mereka memperlahankan dan tidak menggunakan pembesar suara ketika mengalunkan azan ketika masuk waktu sembahyang Subuh.

    Terdahulu, Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo berkata ahli Parlimen Seputeh itu terlibat dalam isu tersebut.

    Namun Teresa menafikan penglibatannya dalam perkara tersebut. Beliau juga menggesa Dr. Khir dan akhbar yang melaporkan isu tersebut memohon maaf secara terbuka kepadanya.

    Seemntara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS II Negeri Selangor, Khalid Samad menegaskan beliau telah menemui jawatankuasa masjid bagi mengesahkan perkara tersebut.

    “Pihak jawatankuasa masjid telah mengesahkan ahli Parlimen Seputeh itu tidak terlibat dengan penghantaran petisyen yang ditandatangani oleh sebahagian penduduk di kawasan perumahan itu,” kata Khalid.

    Sementar itu, bagi satu lagi kesalahan Teresa dikatakan mempertikaikan penggunaan tulisan Jawi dan cuba menghapuskan tulisan tersebut daripada pada papan tanda di kawasan Parlimennya, Seputeh.

    Khalid berkata tuduhan tersebut merupakan satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali.

    Jelasnya, ahli Parlimen Seputeh itu tidak pernah berbuat demikian.

    Pada bulan Februari lalu, Khalid berkata Teresa membantah tindakan memasang papan tanda baru kerana papan tanda yang sedia ada masih elok.

    “Dia mengatakan jika hendak memasang papan tanda baru menggunakan tulisan Jawi sebagai meraikan semangat muhibbah mereka sepatutnya memasukkan tulisan Mandarin dan Tamil dalam papan tandan itu,” katanya.

    Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam berkata pada 11 September, ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmood telah membuat satu laporan polis atas tuduhan membuat dakwaan palsu berhubung isu tidak membenarkan laugan azan menggunakan pembesar suara digunakan oleh semua masjid.

    Sementara itu, lawan web berita Malaysiakini melaporkan ketua jawatankuasa Masjid Kinrara, Abdul Rahman Nasir berkata Teresa tidak terlibat sama sekali dengan penghantaran petisyen bantahan tersebut.

    Dr. Khir yang dihubungi berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk menjalnkan siasatan terperinci berhubung isu itu.

  4. sirrganass says:
    Monday, 15-09-2008 at 23: 20.43

    Mufti Perlis: ISA tidak diperlukan untuk bela ajaran Islam 15-09-2008 10:53:38 PM
    Oleh ZIEMAN mstar.com.my

    PETALING JAYA: Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini menegur tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam isu agama dan mengheret pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok yang masih ditahan di bawah peruntukan akta itu.

    Ketika ditemui di Damansara Kim sebentar tadi, Dr Asri berkata, Islam dibina dari hujah dan dasar yang jelas, dan Islam juga tidak memerlukan ISA untuk membela ajarannya.

    “Jadi tidak ada alasan untuk menahan orang dengan tidak memberi peluang membela diri. Ini adalah satu tindakan yang salah. Sekiranya orang itu mempunyai kesalahan dari segi hukum agama, buktikan dari segi dalil-dalil agama.

    “Cara kita tangkap orang guna ISA atas kesalahan agama tidak akan menghilangkan salahfaham terhadap Islam. Seharusnya diperjelaskan dulu apa kesalahan itu. Kalau misalnya orang itu menghina Islam atau menyeleweng, buktikan dulu berdasarkan Quran dan hadis.

    “Perlu diperdengarkan pertuduhan itu kepada orang yang dituduh itu. Mungkin juga, ia hanya satu salah faham. Yang penting perdengarkan dulu hujahnya,” kata Mufti yang terkenal dengan kelantangannya mengeluarkan idea yang berani dan telus itu.

    Kata Dr Asri lagi, “Islam bukan agama yang bacul. Perbuatan ISA kerana kesalahan agama seolah-olah menggambarkan orang Islam tidak mampu berhujah, terus tangkap orang. Mereka akan kata mereka benar kerana kita takut berhujah dengan dia.”

    Beliau juga turut mengingatkan betapa bahayanya tindakan ISA.

    “Sekiranya ada aliran-aliran tertentu dalam kerajaan yang tidak setuju dengan pendapat satu aliran yang lain, adakah ruang ISA juga akan digunakan? Pernah berlaku dalam kerajaan Abbasiyah yang berpegang pada aliran Muktazilah ketika itu. Dia menghukum orang daripada aliran lain termasuk Imam-imam besar seperti Imam Ahmad juga turut dihukum.

    “Kalau di zaman ini, mereka yang kendalikan agama itu dari aliran lain maka mereka yang dari aliran lain itu akan dihukum tanpa memberi peluang membela diri. Ini juga tidak sejajar dengan konsep keadilan dalam Islam,” kata Dr Asri lagi.

    Dari segi politik Islam atau siasah, kata beliau, kerajaan berhak menahan orang dan beri tempoh siasatan (14 hingga 30 hari) bergantung pada keperluan. Tapi kita tidak boleh hukum 2 tahun tanpa diadili. Ini zalim.

    “Tuhan yang Maha Adil pun buat mahkamah di akhirat untuk setiap orang dibicarakan. Keadilan ditegakkan di dunia dan di akhirat. Tuhan yang Maha Adilpun memberi peluang untuk kita jawab kesalahan sedangkan Tuhan berhak buat apa saja. Jadi macam mana kita boleh tangkap orang tanpa memberi peluang mereka membela diri?,” jelas beliau.

    Kata Dr Asri, isu agama turut membabitkan sensitiviti agama lain. Tapi dari segi mempersoalkan identiti Islam seperti laungan azan, itu tidak boleh.

    “Namun jika ada sungutan tentang bacaan-bacaan yang panjang sehingga menganggu orang awam, ulamak Islam juga tidak benarkan. Bacaan yang kuat tanpa keperluan atau kuliah agama dengan menggunakan pembesar suara sehingga menganggu ketenteraman awam, itu tidak perlu. Itu sudah diputuskan oleh ulamak-ulamak dari dulu lagi.

    “Agama itu terhad. Azan itu azan. Begitu juga kuliah agama untuk diperdengarkan di pembesar suara, berpada untuk sidang yang mendengar sahaja,” jelasnya.

    Dr Asri juga menyentuh tentang peranan Jakim.

    “Jakim berperanan menjelaskan isu-isu agama dan juga yang menyeleweng dari agama. Bukan sekadar menyokong seseorang dihadapkan tanpa bicara. Badan itu juga hendaklah bebas dari percaturan politik. Perjelaskan ketentuan peruntukan orang yang menghina Islam seperti isu Raja Petra. Itu bersifat politik, biarlah diuruskan oleh orang politik.

    “Kalau hendak diikutkan yang menghina Islam, ramai lagi yang patut dibuat aduan. Jelaskan dulu apa yang perlu dilakukan?,” soal Dr Asri.

    Beliau juga meminta kerajaan memikirkan soal ISA ini sedalam-dalamnya.

    “Seandainya satu hari nanti kerajaan bertukar rupa dan kalau berlaku pertukaran kuasa. Terlalu ramai nanti yang tidak boleh bersuara dan ISA mungkin diguna seluas-luasnya. Besok, bila kena pada kita, apa kita nak buat?,” kata Dr Asri yang akan menghadiri Tazkirah Tarawih di Stadium Kota Bharu pada hari ini.

    Beliau yang juga akan memberi ceramah di Kompleks Islam Lundang esok, sempena pelancaran Tabung Serambi Mekah yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, juga mempersoalkan bagaimana pemimpin yang gagal kendalikan parti yang kecil mampu kendalikan negara yang besar.

    “Takkan nak tunggu ada rusuhan atau kekacauan. Ketika itu sudah tidak boleh dipulihkan lagi. Sekali kekacauan tercetus, susah untuk dipulihkan.

    Menurut pengamatan beliau, keadaan ini berlaku kerana pemimpin politik menganggap kedudukan politik itu seperti harta rompakan.

    “Mereka bermati-matian untuk mendapatkannya sekalipun terpaksa menggunakan belanja yang besar kerana pulangan atau keuntungannya juga besar,” kata beliau.

    Jelas beliau, saluran politik digunakan untuk membina kekayaan diri. Inilah hasilnya bila kerakusan ini berlarutan. Tidak ada setiakawan dalam politik, musuh memusuhi, berpuak-puak kerana fikirkan survival politik masing-masing bukan survival rakyat yang dipertanggungjawabkan.

    Yang paling ketara sekarang, pemimpin politik bukan sahaja gagal membawa rakyat keluar dari kemelut yang sedang dihadapi malah menjadikan keadaan lebih rumit.

    “Bukan sahaja mereka gagal menyelesaikan masalah tapi mereka pula yang menimbulkan lebih banyak masalah lain,” kata Dr Asri.

Comments are closed.

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).
  • 𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐘𝐁 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐖𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐔𝐁𝐒𝐈𝐃𝐈 𝐌𝐈𝐍𝐘𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐒𝐀𝐊 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐃𝐀𝐆𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐒 𝐒𝐀𝐑𝐀 𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏 𝐏𝐀𝐃𝐀 𝟏𝟔 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔
  • (no title)
  • UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PROFESION KERJA SOSIAL OLEH TERESA KOK, AHLI PARLIMEN SEPUTEH PADA 14 JULAI 2026
  • MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI diminta menyatakan status penaiktarafan semua depot biodiesel di Malaysia untuk menyimpan, mengadun dan mengedar biodiesel B20
  • Pembatalan Penyewaan Tapak Bekas SK Danau Perdana Bukti Keperluan Reformasi Tadbir Urus Tanah Persekutuan (14 Julai 2026)
  • 郭素沁:撤销前达瑙柏兰岭国小旧址租约 反映联邦土地治理须改革
  • Govt Urged to Implement PAC Recommendation to Establish KL Land Committee After SK Danau Perdana Lease Reversal (14 July 2026)
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑗𝑢𝑚𝑙𝑎ℎ 𝑎𝑑𝑢𝑎𝑛 𝑑𝑖𝑡𝑒𝑟𝑖𝑚𝑎 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝐾𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡𝑒𝑟𝑖𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟ℎ𝑢𝑏𝑢𝑛𝑔 𝑑𝑎𝑘𝑤𝑎𝑎𝑛 𝑟𝑎𝑠𝑢𝑎ℎ 𝑚𝑒𝑙𝑖𝑏𝑎𝑡𝑘𝑎𝑛 𝑘𝑜𝑝𝑒𝑟𝑎𝑠𝑖 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 5 𝑡𝑎ℎ𝑢𝑛 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠.
  • UCAPAN TERESA KOK DALAM PERBAHASAN RUU PINDAAH AKTA KAWALAN PADI DAN BERAS 1994 PADA 9 JULAI 2026
  • Perbahasan berkenaan Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Center (OSCC) pada 9 Julai 2026
  • KSN DAN KP JKPTG DISERU MEMBATALKAN KONTRAK PENYEWAAN TAPAK SEKOLAH (LOT 54836) DI TAMAN DESA KEPADA SYARIKAT SWASTA
  • MENTERI PENDIDIKAN diminta menyatakan bilangan murid-murid darjah satu di setiap sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di kawasan Parlimen Seputeh dan Bukit Bintang pada tahun 2023, 2024, 2025 dan 2026
  • Ucapan Perbahasan Teresa Kok (Seputeh) Laporan SUHAKAM 2024 Pada 7 Julai 2026

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme