Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Jawapan Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Berkenaan Dengan Isu Mitigasi Banjir

Posted on Friday, 22-06-2012Friday, 22-06-2012 by Teresa Kok's Office

DEWAN RAKYAT MALAYSIA

JAWAPAN TIMBALAN MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

KEPADA UCAPAN PENANGGUHAN OLEH YB SEPUTEH PADA 21 JUN 2012

 

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Terima kasih kepada Yang Berhormat Seputeh atas ucapan penangguhan tadi berhubung isu banjir di Negeri Selangor.

Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, kejadian banjir yang telah berlaku di beberapa tempat di kebelakangan ini termasuk di Hulu Langat, Ampang dan Klang adalah di luar jangkaan dan berpunca daripada hujan lebat yang luar biasa. Kejadian yang esktrem ini adalah dikaitkan dengan kesan fenomena pemanasan global dan perubahan iklim.

Selain fenomena pemanasan global, faktor-faktor tempatan seperti kekurangan kapasiti sungai untuk menampung air hujan yang berlebihan, topografi khususnya kawasan rendah di pesisir pantai dan mendapan dalam sungai disebabkan pembangunan yang tidak terkawal juga menyebabkan kejadian banjir terutama apabila berlaku hujan lebat. Di samping itu, kurang keupayaan sistem pemparitan dalaman untuk menampung limpahan air yang berlebihan akibat intensiti hujan yang tinggi turut menyumbang kepada kejadian banjir.

Dalam hubungan ini, Kerajaan Barisan Nasional sentiasa prihatin serta mempunyai keazaman dan komitmen yang tinggi untuk mengatasi masalah banjir yang berlaku di seluruh negara termasuklah di Negeri Selangor berdasarkan kepada keupayaan kewangan negara.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan juga harus memainkan peranan. Pembangunan yang tidak terkawal; kegagalan untuk menyelenggarakan parit dan longkang; serta kelemahan menguatkuasakan peraturan dan garis panduan merupakan antara faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadian banjir. Justeru Kerajaan Negeri dan Pihak Kuasa Tempatan (PBT) mempunyai tanggungjawab berat dalam mengatasi kejadian banjir terutama di kawasan Bandar. Peranan PBT adalah sangat penting dalam mengenal pasti kawasan serta parit dan longkang yang berisiko tinggi yang boleh menyebabkan kejadian banjir serta menyelenggarakan sistem perparitan dalaman agar ia bebas daripada sampah sarap supaya aliran air tidak tersekat.

Sebagai contoh, bagi kes banjir kilat di Kajang, selain daripada faktor hujan lebat yang luar biasa, halangan seperti binaan di dalaman banjir dalam rizab sungai dan sistem saliran dalaman (internal drainage system) perlu diteliti oleh semua pihak yang terlibat supaya kejadian banjir ridak berulang.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya juga ingin menarik perhatian Dewan Yang Mulia ini bahawa statistik mengenai peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi masalah banjir di negeri Selangor yang disebut dalam ucapan Yang Berhormat Seputeh sebentar tadi adalah tidak betul dan jauh berbeza daripada peruntukan sebenar yang lebih tinggi yang telah disediakan/ dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Suka saya jelaskan bahawa dalam Racangan Malaysia Kesembilan yang meliputi tempoh 2006 hingga 2010, Kerajaan Persekutuan sebenarnya telah membelanjakan sebanyak RM527.8 juta untuk projek-projek mencegah bajir di Negeri Selangor dan bukan RM60 juta, yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Seputeh.

Daripada peruntukan berjumlah RM527.8 juta tersebut, sebanyak RM359.8 juta telah dibelanjakan untuk Projek Fasa Satu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Damansara. Projek ini yang disiapkan pada tahun 2010 telah memberi impak yang besar dalam mengatasi masalah banjir di kawasan-kawasan sekitar Shah Alam meliputi Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Jaya dan sekitar Stadium Shah Alam.

Tuan Yang di-Pertua,

Selain fakta salah tersebut, Yang Berhormat Seputeh juga telah memberi satu lagi fakta yang tidak betul apabila menyatakan bahawa peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh adalah sebanyak RM1.9 juta sahaja.

Untuk makluman Yang Berhormat Seputeh, di dalam Rolling Plan Pertama (2011-2012) dan Rolling Plan Kedua (2012-2013) Rancangan Malaysia Kesepuluh, Kerajaan Persekutuan sebenarnya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM108.5 juta untuk Negeri Selangor termasuk sejumlah RM24.78 juta bagi tahun 2011.

Daripada peruntukan RM108.5 juta tersebut, sebanyak RM64.58 juta telah disediakan untuk Projek Dasa Dua RTB Lembangan Sungai Damansara.

Di Samping projek-projek tersebut, pihak JPS juga bercadang untuk melaksanakan projek RTB Lembangan Sungai Langat dan Projek Fasa Dua RTB Multimedia Super Corridor (MSC) dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh bergantung pada peruntukan yang disediakan. Cadangan projek RTB Lembangan Sungai Langat tersebut akan membantu mengatasi masalah banjir di kawasan sekitar Kajang manakala Projek Fasa Dua RTB MSC akan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Putrajaya, Cyberjaya dan Taman Putra Perdana di Puchong, Kampung Dengkil, Kampung Dato’ Ahmad Razali dan lain-lain.

Tuan Yang di-Pertua,

Perlaksanaan projek-projek tebatan banjir dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dan Kesepuluh di negeri Selangor yang menelan perbelanjaan yang tinggi jelas menunjukkan keprihatinan dan komitmen Barisan Nasional yang tinggi dan beterusan untuk membantu rakyat di negeri Selangor. Justeru tidak timbul Barisan Nasional (BN) mengamalkan dasar tidak adil dan menganiayai para pembayar cukai di Selangor seperti mana didakwa oleh Yang Berhormat Seputeh.

Sebaliknya Pakatan Rakyatlah yang membentuk kerajaan negeri Selangor yang sepatutnya mempertingkatkan peranan mereka dan memikul tanggungjawab yang lebih berat dalam usaha mengatasi masalah banjir di negeri Selangor terutama di kawasan-kawasan Bandar yang berpunca daripada faktor-faktor tempatan yang saya jelaskan tadi.

Sekian, terima kasih.

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 郭素沁:雪州伊党养猪课题立场矛盾,玩弄种族政治
  • Contradictory Statements by Selangor PAS Leaders on Pig Farming Show Political Opportunism
  • PENDIRIAN BERCANGGAH PEMIMPIN PAS SELANGOR BUKTI MEREKA HANYA MAHU MEMPOLITIKKAN ISU PENTERNAKAN BABI, BUKAN MENAWARKAN PENYELESAIAN DASAR
  • 政府受促掌握我国生物柴油的真实数据 ,以免作出提升生物柴油设施的错误预算
  • MTEN and the Government Media Team Urged to Obtain Accurate Figures and Facts on Biodiesel Supply and Usage in Malaysia to Avoid Miscalculations in Development Expenditure for Biodiesel Blending Depots
  • MTEN dan Team Media Kerajaan digesa Mendapat Nombor dan Fakta Berkenan Pembekalan dan Penggunaan Biodiesel di Malaysia Yang Sebenar Supaya Kerajaan Tidak Membuat Kesilapan Dari Segi Pengiraan Perbelanjaan Pembangunan Kelengkapan Depoh Pengadunan Biodiesel
  • [YouTube] Ucapan Kamar Khas Parlimen: Apakah Usaha Promosi Produk Komoditi Hiliran Dalam Tahun Melawat Malaysia 2026? (2 Mac 2026)
  • APAKAH USAHA PROMOSI PRODUK KOMODITI HILIRAN DALAM TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026 (2 Mac 2026)
  • B20生物柴油现在比纯柴油便宜,郭素沁促政府加速建设生物柴油储存库
  • BIODIESEL B20 KINI LEBIH MURAH DARIPADA DIESEL TULEN. KERAJAAN DIGESA MEMPERCEPATKAN NAIK TARAF DEPOT BAGI MEMPERLUAS PELAKSANAAN B20 UNTUK MENANGANI KENAIKAN HARGA BAHAN API.
  • BIODIESEL B20 IS CHEAPER THAN PURE DIESEL NOW. GOVERNMENT IS URGED TO FAST-TRACK CRITICAL DEPOT UPGRADES IN ORDER TO ACCELERATE B20 BIODIESEL ROLLOUT TO MITIGATE SURGING FUEL COSTS
  • 郭素沁促政府加速落实B20生物柴油政策;重启油库建设缓解燃油涨价压力
  • KERAJAAN DIGESA MEMPERCEPATKAN PELAKSANAAN BIODIESEL B20 DENGAN SEGERA MENGHIDUPKAN SEMULA PEMBINAAN DEPOT BAGI MENANGANI KRISIS HARGA BAHAN API
  • GOVERNMENT IS URGED TO ACCELERATE B20 BIODIESEL ROLLOUT BY URGENTLY REVIVING DEPOT CONSTRUCTION TO COUNTER FUEL PRICE CRISIS
  • 郭素沁:设立皇委会是检验昌明政府透明承诺的试金石

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme