Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Seven reasons why AG’s salary should be cut RM10

Posted on Tuesday, 06-11-2007Tuesday, 06-11-2007 by Teresa

Ucapan YB Teresa Kok Atas Usul Potong Gaji Terhadap Peguam Negara Dalam Perbahasan Jabatan Perdana Menteri Pada 6 November 2007

Datuk yang diPertua, saya ingin menggunakan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 66(9) untuk membentangkan usul memotong gaji RM10 ke atas Peguam Negara, atas siri tindakan yang tidak berpatutan dan kegagalan Peguam Negara dan Jabatan Peguam Negara.


1) Peguam Negara telah gagal dalam siri kes pendakwaan yang berprofil tinggi, khususnya dalam pendakwaan terhadap kes rasuah Eric Chia dan budak warganegara China Xu Jian Huan yang berumur 13 tahun yang mati lemas dalam kolam renang

Dalam kes CBT Eric Chia, Peguam Negara bersama dengan anak buahnya dan pegawai daripada Badan Pencegah Rasuah telah menjelajah ke beberapa negara, termasuk Hong Kong, Jepun dan Switzerland dan telah membelanjakan beberapa juta ringgit dalam penyiasatannya, tetapi pendakwaannya akhirnya ditolak oleh Hakim Akhtar dalam Mahkamah atas kesilapan prosedur pendakwaraya.

Mengikut laporan akhbar, Peguam Negara dan pegawai BPR telah gagal mendapatkan persetujuan daripada 5 orang saksi untuk menghadiri perbicaraan di Mahkamah Malaysia, sehingga mereka terpaksa mengambil kenyataan kelima-lima orang saksi warga Jepun ini melalui kenyataan bertulis di bawah Mutual Assistance in Criminal Matters Act (Macma) dan Evidence Act.

Alasan Hakim Akhtar menolak kenyataan daripada 5 orang saksi warga Jepun ialah kerana kenyataan mereka bukannya dirakam dalam mahkamah dan pihak pendakwaan tidak memberi alasan tentang sebab mereka tidak mengikut kehendak undang-undang tersebut.

Selain itu, Hakim Akhtar juga menegur bahawa kenyataan 5 orang saksi warga Jepun ini dibuat dalam cara tanpa bersumpah semasa mereka memberi kenyataan mereka, tambahan pula, pihak pendakwaan tidak diberi amaran bahawa mereka mesti bercakap benar dalam rakaman mereka.

Soalan saya ialah, kenapakah Peguam Negara yang berjumpa dengan saksi-saksi secara sendiri tersebut gagal memujuk mereka untuk memberi keterangan di mahkamah Malaysia? Selain itu, kenapakah Peguam Negara dan pegawai pendakwaan yang menguruskan kes ini gagal mematuhi kehendak undang-undang seperti Mutual Assistance in Criminal Matters Act (Macma) dan Evidence Act seperti apa yang ditegur oleh Hakim Aktar? Bukankah Peguam Negara dan pegawai pendakwaraya seharusnya fasih dalam prosedur perakaman kenyataan dan pengurusan undang-undang dalam dalam perbicaraan mahkamah?

Walaupun pihak Peguam Negara telah membentangkan permohonan rayuan kepada Mahkamah Rayuan, tetapi beliau haruslah bertanggungjawab penuh atas kegagalan dari segi pendakwaannya kerana beliaulah yang menguruskan pendakwaan dalam kes ini, dan mereka telah menggunakan berjuta-juta ringgit wang negara dalam kes ini.

Dalam kes budak warga China Xu Jian Huan yang lemas mati dengan kaki dan tangan terikat dalam kolam renang Peniaga Koh Kim Teck pula, orang ramai memang hairan kenapakah pihak pendakwaraya boleh gagal dalam kes yang begitu simple dan terus-terang ini?

Selepas pendakwaraya mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan, si tertuduh Koh Kim Teck pula gagal menghadiri perbicaraan pada 14 Mac, 19 Jun dan 30 Oktober tahun ini dengan alasan menerima rawatan di Negeri China.

Baru-baru ini, setelah akhbar Cina Guang Ming Daily mendedahkan bahawa si-tertuduh yang memberitahu mahkamah bahawa beliau menjalani rawatan di Hospital Lian Tong dalam tempoh 25 Oktober sehingga 30 Oktober tahun 2007 sebenarnya tidak bercakap benar, kerana rekod hospital tersebut menunjukkan memang tiada warga Malaysia yang menerima rawatan di hospital itu dalam tempoh tersebut, barulah Peguam Negara berkata jabatannya akan menyiasat kenyataan si-tertuduh tersebut. Bukankah ini menunjukkan ketidakberkesanan pada pihak pendakwaraya di mana mereka kelihatan tidak menyiasat tentang latar belakang si-tertuduh tersebut.

Kes budak yang berumur 13 tahun ini sebenarnya telah menggoncang keyakinan orang Malaysia dan masyarakat di Negeri China terhadap Jabatan Peguam Negara. Orang ramai tidak faham kenapakah pendakwaraya sanggup gagal dalam kes pebunuhan yang begitu ‘straight forward’ dan simple ini?

Adalah jelas bahawa kegagalan pihak pendakwaraya dalam dua kes yang berprofil tinggi tersebut mencemari imej dan namabaik Peguam Negara dan jabatannya, sehingga orang ramai kehilangan kenyakinan terhadap kebolehan Jabatan Peguam Negara dan sistem kehakiman kita, dan Peguam Negara haruslah bertanggungjawab dalam kegagalan dua kes ini.

2) Campurtangan Peguam Negara Ke Atas Siasatan BPR Terhadap Ketua Polis Negara

Datuk yang diPertua, pada beberapa bulan yang lepas, kita telah menyaksikan episod saling menuduh rasuah di antara Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan PDRM.

Apabila YB Timbalan Menteri Dalam Negeri dituduh membebaskan tahanan Ordinan Kecemasan dengan ganjaran beberapa juta ringgit dikeluarkan dalam satu laman web yang tidak bernama, pihak BPR menjalankan menjalankan soal-siasat penuh di pejabatnya dengan publisiti penuh di media, tetapi apabila tuduhan “penjualan kebebasan” dibongkarkan oleh laman web Malaysia Today bahawa Ketua Polis Negara dituduh menerima RM2 juta untuk membebaskan 3 orang tahanan yang ditahan di bawah Ordinan Kecemasan, layanan yang agak lain diberi kepada Ketua Polis Negara pula.

Apa yang menghairankan kita ialah apabila BPR menjalankan siasatan terhadap Ketua Polis Negara mulai 18 Jun, Peguam Negara tiba-tiba mengarahkan BPR untuk menghentikan siasatan dan seterusnya membersihkan nama Ketua Polis Negara pada 27 Julai.

Mengikut laporan akhbar Bernama pada 27 Julai, Peguam Negara berkata 3 saspek yang dikatakan terlibat dalam tuduhan yang melibatkan Ketua Polis Negara tersebut ditahan di lokap IPD Kluang pada 30 Mac 2007 di bawah Ordinan Kecemasan adalah perbuatan salah dituduh ataupun ‘victimisation” oleh beberapa pegawai polis. Oleh itu, beliau mengarahkan siasatan BPR ke atas Ketua Polis Negara ditutup.

Bagi kes ini, soalan pertama saya ialah, sekiranya pegawai polis dibukti terlibat dalam ‘victimisation’ orang yang tidak bersalah, kenapakah pegawai polis tersebut tidak didakwa ke mahkamah? Sekiranya 3 tahanan tersebut telah disalah tangkap di bawah Ordinan Kecemasan selama 7 hari adalah perbuatan ‘victimisation’ oleh polis, kenapakah mereka yang dikatakan salah tangkap ini tidak membuat aduan dan minta pampasan atas penahanan yang tidak berasas yang dilakukan pada mereka?

Soalan kedua ialah, bukankah BPR sepatutnya satu jabatan yang khas yang mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan tentang kes rasuah? BPR bukannya satu badan di bawah Jabatan Peguam Negara, kenapakah Peguam Negara boleh mengarahkan pegawai BPR untuk menghentikan siasatan? Kenapakah beliau tidak menunggu pihak BPR untuk menghabiskan siasatan dan membentangkan laporan kepada Jabatan Peguam Negara, barulah beliau membuat keputusan untuk mendakwa ataupun tidak mendakwa Ketua Polis Negara?

Soalan ketiga ialah, kenapakah dalam kes tuduhan rasuah ke atas Datuk Ramli Yusuff, iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Bukit Aman baru-baru ini, Ramli diarah untuk mengumumkan asetnya kepada Peguam Negara dibawah Akta BPR, kenapakah Ketua Polis Negara tidak diarah untuk berbuat demikian pada hal tuduhan terhadapnya juga terlibat dengan rasuah?

3) Peguam Negara Tidak Mengumumkan Hasil Siasatan dan Tidak Mengambil Tindakan Ke atas Bekas Ketua Pengarah BPR Yang Dituduh Terlibat Rasuah

Pada awal tahun ini, bekas Ketua Pengarah BPR Datuk Zulkipli Mat Noor dituduh oleh bekas Pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Abdul Manan bahawa beliau pernah melakukan rasuah, melibatkan diri dalam kepentingan perniagaan semasa memegang jawatannya, dan malah mencabuli penghormatan seorang suri rumah tangga pada tahun 1997 semasa beliau memegang jawatan Ketua Polis Johor.

Mengikut laporan akhbar pada 28 Februari tahun ini, Ketua Polis Negara berkata pihak polis telah menjalankan siasatan ke atas mangsa wanita tersebut dan kertas siasatan telahpun dibentangkan kepada Jabatan Peguam Negara pada kali kedua, tetapi Peguam Negara tidak mengambil tindakan untuk mendakwa beliau.

Sebaliknya, apa yang berlaku kemudian ialah, jawatan Datuk Zulkipli Mat Noor sebagai Ketua Pengarah BPR tidak dilanjutkan, tetapi Peguam Negara juga tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas beliau dan segala siasatan terhadap Zulkipli juga tidak diumumkan langsung.

Sekiranya Zulkipli Mat Noor adalah tidak bersalah dan tuduhan Ramli terhadap Zulkipli adalah tidak benar, kenapakah Peguam Negara tidak mendakwa Ramli membuat laporan palsu, dan kenapakah Zulkipli tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Ramli?

Apakah ini menunjukkan Peguam Negara cuba menutupi salah-laku dan korupsi bekas Ketua Pengarah BPR? Apakah ini menunjukkan ‘double standard’ dari segi beliau menangani kes rasuah?


4) Hakim dan Timbalan Pendakwaraya Kes Althantuya Ditukar Sebelum Perbicaraan

Datuk yang diPertua, dalam perbicaraan kes pembunuhan Althantuya yang melibatkan orang kanan kepada Timbalan Perdana Menteri, apa yang menghairankan rakyat Malaysia ialah hakim pertama yang mendengar kes ini K N Segara ditukar selepas beliau menolak permintaan ikat jamin oleh si-tertuduh, Razak Baginda. Selepas hakim ditukar, beberapa bulan kemudian, timbalan pendakwaraya yang menangani kes ini Sallehuddin Saidin juga ditukar oleh Peguam Negara.

Penukaran hakim berikutan dengan timbalan pendakwaraya dalam kes ini memberi gambaran kepada masyarakat sedunia bahawa Peguam Negara bercampurtangan dalam kebebasan penghakiman sehingga orang ramai telah mula sangsi terhadap keputusan perbicaraan kes ini.

Peguam Negara tidak memberi apa-apa alasan semasa beliau menukar Hakim KN Segara, manakala alasan yang diberi oleh Peguam Negara dalam penukaran timbalan pendakwaraya Sallehudin Saidin ialah kerana beliau bermain badminton dengan hakim kedua yang mendengar kes tersebut.

Persoalannya ialah apakah Jabatan Peguam Negara mempunyai satu garis panduan tentang hubungan di antara pendakwaraya dengan hakim? Kenapakah Peguam Negara tidak mengamalkan standard yang sama terhadap semua pendakwaraya di Jabatan Peguam Negara di mana semua DPP tidak harus mempunyai pergaulan dengan hakim di luar waktu kerja? Kenapakah ia hanya dilaksanakan pada timbalan pendakwaraya dalam kes ini?

5) Kes Jenayah Penganiayaan Pembantu Rumah Asing Tidak Dipercepatkan

Datuk yang diPertua, dalam lawatan saya ke rumah perlindungan di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pada beberapa bulan yang lepas, saya mendapati bahawa terdapat 20 mangsa pembantu rumah warga Indonesia yang dianiayai oleh majikan di Malaysia duduk di rumah perlindungan tersebut untuk menunggu perbicaraan kes mereka. Di antara mereka, seorang mangsa pembantu rumah yang teraniaya, Nirmala telah menunggu lebih daripada 3 tahun untuk perbicaraan kesnya, tetapi kesalnya perbicaraannya telah ditunda dan ditangguh oleh mahkamah beberapa kali.

Saya faham kes perbicaraan ditangguh merupakan fenomena biasa di mahkamah kita, tetapi Peguam Negara memang boleh mempercepatkan pendengaran sesuatu kes sekiranya beliau berkeinginan untuk berbuat begitu. Kesalnya, Peguam Negara kelihatan langsung tidak bersimpati pada kes yang melibatkan pekerja asing yang teraniaya sehingga mereka terpaksa tunggu bertahun-tahun di rumah perlindungan berkenaan.

Sikap Peguam Negara yang tidak memberi prioriti kepada pendengaran kes penganiayaan pembantu rumah asing ini adalah amat tidak adil terhadap mangsa pembantu rumah yang teraniaya ini, dan kita tahu “justice delayed is justice denied”. Penangguhan ini juga secara tidak langsung telah menyumbang kepada kerosakan hubungan di antara Malaysia dengan Indonesia


6) Peguam Negara Sengaja Melambatkan Perlaksanaan Pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Keseksaan Yang Dibentangkan Oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

Datuk yang diPertua, mengikut ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam Disember 2006, kedua-dua rang undang-undang yang dipinda oleh Jawatankusa Pilihan Khas Parlimen ini sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari 2007, tetapi Jabatan Peguam Negara sengaja melambatkan perlaksanaan kedua-dua rang undang-undang ini dengan membuat pindaan yang amat kecil ke atas kedua-dua rang undang-undang tersebut kemudian.

Tindakan Peguam Negara sedemikian membayangkan keangkuhannya dan merupakan satu penghinaan ke atas tugas Ahli Parlimen sebagai penggubal undang-undang, yang mana seharusnya dikutuk oleh kesemua Ahli Parlimen.. Selain itu, penangguhan ini juga menjejaskan hak asasi manusia dan kebajikan ramai tahanan di lokap mengikut sistem yang lama dalam Kanun Tatacara Keseksaan

7) Peguam Negara Sengaja Memperlambatkan Pembentangan Rang Undang-Undang IPCMC Yang Dicadangkan Oleh Suruhjaya Diraja Pembaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM Di Parlimen

Datuk yang diPertua, kita telah puas mendengar jawapan daripada Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang berulang-ulang mengatakan bahawa rang undang-undang IPCMC dalam tahap penggubalan dan malah dalam tahap penggubalan yang terakhir.

Sebenarnya, rang undang-undang IPCMC telah dikemukakan oleh Suruhanjaya Diraja sejak tahun 2005 sehingga hari ini, tetapi Peguam Negara langsung tidak mengambil langkah untuk mempercepatkan pembentangan rang undang-undang ini di Parlimen, sehingga jawapan yang diberi oleh Menteri di Dewan Rakyat ialah IPCMC selalu ataupun “selama-lamanya” berada dalam tahap penggubalan sahaja.

Datuk yang diPertua, bukankah ini menunjukkan ketidakberkesanan Jabatan Peguam Negara? Sekiranya Jabatan Peguam Negara gagal membentangkan satu rang undang-undang yang telahpun digubal secara terperinci oleh Suruhanjaya Diraja Pembaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM tersebut, bukankah ini menunjukkan Peguam Negara tidak meletakkan prioriti ke atas rang undang-undang yang begitu penting ini? Bukankah ini satu penghinaan terhadap usaha Suruhanjaya Diraja tersebut di samping memesongkan kabinet, Ahli Parlimen dan media massa selama ini?

Akhirnya, memandangkan Peguam Negara kita telah gagal dalam banyak kes yang berprofil tinggi, dan telah menunjukkan ketidakberkesanan yang amat tinggi ke atas tanggungjawabnya, memandangkan Peguam Negara terlalu sibuk atas tanggungjawabnya, di sini, saya ingin mencadangkan supaya kerja penggubalan undang-undang dialihkan daripada Jabatan Peguam Negara ke Parlimen kita, sebagai langkah untuk meringankan beban kerja beliau, di samping memulihkan peranan Parlimen sebagai institusi penggubalan undang-undang yang tertinggi di negara kita. Ini juga merupakan cadangan yang pernah dibangkitkan oleh YB Santubong dalam perbahasannya yang lepas.

Datuk yang diPertua, dengan alasan-alasan yang disebutkan di atas, saya ingin memohon supaya usul memotong gaji RM10 ke atas Peguam Negara boleh disetujui dan diluluskan di Dewan Rakyat kita..

Sekian, terima kasih.

1 thought on “Seven reasons why AG’s salary should be cut RM10”

  1. lee wee tak says:
    Wednesday, 07-11-2007 at 17: 26.33

    the AG first come to public attention as the Prosecutor for the Anwar Ibrahim case and I think the charges were amended during the trial….that’s a nice part on his resume.

Comments are closed.

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 郭素沁呼吁反贪会调查前经济部长助理蔡镇燊的方式 应避免陷“舆论公审”
  • MACC is urged to restore public confidence and review its manner of investigating James Chai
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memulihkan keyakinan awam dan menilai semula cara siasatan terhadap James Chai Jin Shern
  • Parlimen: Soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkenaan statistik perkahwinan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun bagi 2023,2024 dan 2025
  • Parlimen: Soalan kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkenaan jumlah pendaftaran yang diterima oleh Lembaga Jurukur Tanah
  • Parlimen: Soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkenaan rumah perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga
  • Ucapan Kamar Khas: Apakah Respons dan Halatuju Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Terhadap Syor PAC Terhadap Pemberimilikan Tanah Kerajaan di Kuala Lumpur (2 Mac 2026)
  • Ucapan Teresa Kok (Seputeh) Dalam Perbahasan Penyata Jawatankuasa Pilihan Kesihatan: Pemantapan Dasar Pemakanan dan Intervensi Nutrisi di Malaysia Pada 25 Februari 2026
  • Kes Pecah Kereta di Taman Persekutuan Bukit Kiara
  • “Gema 1MDB: Satu Lagi Pasukan Petugas yang Ditakdirkan untuk Gagal?” (14 Feb 2026)
  • “Echoes of 1MDB: Another Task Force Destined to Fail?” (14 Feb 2026)
  • 郭素沁:嘉玛若再违庭令,将采取法律行动
  • [Media Statement] Response to Recent Remarks by Datuk Jamal Yunos
  • [Kenyataan Media] Respons terhadap Kenyataan Terkini Datuk Jamal Yunos
  • [PARLIMEN] Adakah Kementerian akan menyemak dan menghapuskan keperluan kelulusan suami bukan warganegara dalam permohonan kewarganegaraan anak-anak di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan demi memastikan ibu Malaysia mempunyai hak yang sama untuk memohon kewarganegaraan bagi anak yang dilahir di luar negara.

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme