Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Bahasan RUU Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023, Peringkat Dasar (25 Mei 2023)

Posted on Friday, 26-05-2023 by Editorial Team

Dalam usaha beralih daripada penggunaan elektrik dari sumber tenaga konvensional kepada tenaga boleh baharu yang mesra alam, kita perlu bertindak segera untuk mencapai ketetapan yang telah dibuat di peringkat global termasuk memastikan kita mampu mencapai sasaran sifar karbon menjelang tahun 2050. Jika kita gagal mencapainya maka ia akan menjejaskan hubungan dagang kita dengan negara luar, dan kemungkinan ada barangan yang kita hasilkan akan diboikot di peringkat antarabangsa. Ini akan menjejaskan ekonomi kita dalam jangka panjang.

Walaupun Sabah dan Sarawak diberikan autonomi dalam pelaksanaan dasar tenaga mereka di bawah RUU ini, tetapi ini tidak bermakna kedua-dua negeri ini tidak boleh dilibatkan dalam apa juga usaha ke arah memperkasakan penggunaan tenaga boleh baharu terutama yang dapat membantu mengurangkan beban kos penggunaan tenaga dalam kalangan rakyat dan industri.

Antaranya termasuklah geran audit tenaga yang diperkenalkan kerajaan supaya pihak industri dalam mengaudit penggunaan tenaga mereka supaya ia lebih efisien dan menjimatkan.

Geran ini telah disediakan oleh kerajaan melalui SEDA (iaitu Sustainable Energy Development Authority) sebagai kemudahan kepada syarikat-syarikat terlibat mengaudit penggunaan tenaga. Bajet sebanyak RM25 juta telah disediakan untuk dipohon oleh industri yang menggunakan 100,000 kilowat jam (KwH) sebulan, di mana mereka layak memohon geran bernilai RM100,000. Bagi sektor komersial yang guna 100,000 KwH pula layak pohon geran RM60,000 untuk audit penggunaan tenaga mereka.

Tetapi pada tahun 2021, SEDA telah memulangkan RM21 juta kepada Perbendaharaan sebab tiada syarikat yang memohon. Kenapa hanya RM3 juta sahaja digunakan? Tentu ada sesuatu yang tidak kena.

Kini di bawah program Tourism Nexus, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPN), kita dapat laporan bahawa 2,000 buah hotel bajet yang terlibat dengan pelarasan tarif elektrik menanggung kos elektrik 15 peratus daripada kos operasi. Sedangkan daripada kajian operasi perniagaan yang cekap, sepatutnya kos elektrik ini hanya lima peratus daripada kos operasi.

Sepatutnya, golongan ini yang perlu diberi keutamaan untuk mendapatkan kemudahan geran audit tenaga berkenaan supaya mereka dapat mengenal pasti cara penggunaan tenaga secara cekap bagi menjimatkan kos operasi.

Justeru, saya ingin minta supaya SEDA mengkaji semula syarat permohonan geran audit tenaga ini supaya sesuai dengan sektor ekonomi yang memerlukan agar mereka yang guna jumlah elektrik yang rendah, seperti hotel bajet juga layak memohon dan mendapat manfaat daripada polisi kerajaan ini. Apa gunanya kita gah bercakap tentang geran itu dan geran ini, tetapi rakyat susah untuk memohonnya atau hanya untuk kumpulan tertentu sahaja.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan untuk memansuhkan subsidi elektrik kepada golongan T20. Di sini saya memanjangkan keluhan golongan T20 yang mengadu kepada saya dalam ucapan saya di dewan yang mulia ini. Ramai T20 mengeluh kerana golongan T20 ini ada juga yang cukup-cukup makan sahaja. Ramai yang rasa mereka akan terbeban disebabkan terpaksa menanggung bil elektrik yang tinggi apabila tidak lagi dapat menikmati subsidi, seperti golongan M40 dan B40.

Di sini saya ingin mencadangkan supaya kerajaan terutama SEDA, menyediakan alternatif atau pilihan kepada golongan ini untuk mengurangkan beban kos bulanan selepas subsidi elektrik itu dimansuhkan. Ini termasuk mempermudahkan cara bagi golongan ini untuk mendapatkan sumber daripada tenaga alternatif, terutamanya tenaga solar.

Kumpulan T20 ini merupakan antara penyumbang utama kepada hasil negara melalui cukai pendapatan. 24 peratus daripada pendapatan mereka digunakan untuk bayar cukai. Jadi saya mencadangkan supaya SEDA beri diskaun 20 peratus kepada golongan T20 yang memasang solar bagi tujuan mitigasi ICPT.

Selain itu, saya juga mendengar rungutan daripada pihak yang terlibat dalam industri solar bahawa wujud persaingan yang tidak sihat dalam perniagaan pemasangan solar. Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikatakan telah menggunakan ‘unfair competitive advantage’ dalam bersaing dengan entiti-entiti pembekal solar yang lain.

Ini adalah kerana dalam bil elektrik setiap bulan, TNB memasukkan iklan untuk menggalakkan pengguna memasang solar bagi mengurangkan kos bil elektrik dan nombor telefon yang diletakkan dalam iklan itu pergi terus kepada pegawai TNB dan kemudiannya disalurkan kepada anak syarikat TNB yang terbabit dalam perniagaan solar. Maknanya, TNB telah menggunakan kelebihan monopolinya dalam bekalan tenaga elektrik untuk memonopoli pula bisnes solar. Ini tidak adil kepada pemain-pemain solar yang lain.

Sepatutnya angka yang dimasukkan dalam bil itu adalah angka SEDA. Apabila pengguna menghubungi SEDA, maka SEDA yang akan memberi penerangan dan seterusnya meminta pengguna merujuk kepada syarikat yang terdapat dalam laman web SEDA, ini baru adil.
Begitu juga dengan pelaksanaan Net Energy Metering (NEM). Saya hairan kenapa kuota NEM untuk kerajaan atau NEM GOMEN sebanyak 100 Mega Watt (MW) yang diperuntukkan pada tahun 2021 masih berbaki 70 MW?

Sedangkan NEM Nova untuk sektor industri dan komersial sudah digunakan sebanyak 450 MW. Sepatutnya kerajaan yang perlu menjadi contoh dalam mempelopori penggunaan tenaga boleh baharu ini. Kerajaan sepatutnya lebih pantas, barulah dikatakan kepimpinan melalui teladan.

Di samping itu saya merasakan seperti ada percanggahan dalam pelaksanaan RUU SEDA dan RUU Tenaga Boleh Baharu ini. Cara ia dilaksanakan sekarang ialah kuota NEM dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga. Tetapi pelaksanaannya pula oleh SEDA. Ini mencetuskan kekeliruan kerana Akta Bekalan Elektrik menggunakan peraturan elektrik berasaskan sistem arus ulang alik sementara sistem solar fotovoltaik atau PV menggunakan sistem arus terus. Peraturan bekalan elektrik menjadi penghalang kepada pelaksanaan sistem solar PV secara lebih meluas.

Contohnya, had maksimum pemasangan solar dihadkan kepada 75 peratus beban maksimum sahaja. Sedangkan ini tidak perlu dan tidak mendatangkan bahaya kepada arus terus, tetapi disebabkan peraturan yang bertindih, maka ia menjadi penghalang kepada usaha untuk menggalakkan penggunaan solar secara lebih luas. Di satu pihak, kita menggalakkan penggunaan solar di satu pihak lagi kita menghalang.

Jadi mana satu yang kita mahu?

Begitu juga dengan syarat-syarat yang dikenakan kepada mereka yang layak untuk memasang solar ini juga menyebabkan kos pemasangan menjadi lebih tinggi.

Kerajaan juga perlu lebih telus dari segi kapasiti grid nasional. Contohnya, pada tahun 2018 kita dimaklumkan grid hanya mampu menampung 6,000 MW tenaga boleh baharu, apabila ditolak kuasa hidro sebanyak 2,400 MW, solar hanya berbaki 3,600 MW. Tetapi apabila kerajaan mencadangkan untuk mengeksport tenaga solar yang kita hasilkan, secara tiba-tiba pihak industri dimaklumkan bahawa masalah itu telah diselesaikan oleh Suruhanjaya Tenaga dan MyPower dalam mesyuarat JPET.

Saya berharap kerajaan akan mengadakan lebih dialog dengan pelbagai pihak dalam industri dan menggubal dasar mengikut kehendak industri.

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 郭素沁:雪州伊党养猪课题立场矛盾,玩弄种族政治
  • Contradictory Statements by Selangor PAS Leaders on Pig Farming Show Political Opportunism
  • PENDIRIAN BERCANGGAH PEMIMPIN PAS SELANGOR BUKTI MEREKA HANYA MAHU MEMPOLITIKKAN ISU PENTERNAKAN BABI, BUKAN MENAWARKAN PENYELESAIAN DASAR
  • 政府受促掌握我国生物柴油的真实数据 ,以免作出提升生物柴油设施的错误预算
  • MTEN and the Government Media Team Urged to Obtain Accurate Figures and Facts on Biodiesel Supply and Usage in Malaysia to Avoid Miscalculations in Development Expenditure for Biodiesel Blending Depots
  • MTEN dan Team Media Kerajaan digesa Mendapat Nombor dan Fakta Berkenan Pembekalan dan Penggunaan Biodiesel di Malaysia Yang Sebenar Supaya Kerajaan Tidak Membuat Kesilapan Dari Segi Pengiraan Perbelanjaan Pembangunan Kelengkapan Depoh Pengadunan Biodiesel
  • [YouTube] Ucapan Kamar Khas Parlimen: Apakah Usaha Promosi Produk Komoditi Hiliran Dalam Tahun Melawat Malaysia 2026? (2 Mac 2026)
  • APAKAH USAHA PROMOSI PRODUK KOMODITI HILIRAN DALAM TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026 (2 Mac 2026)
  • B20生物柴油现在比纯柴油便宜,郭素沁促政府加速建设生物柴油储存库
  • BIODIESEL B20 KINI LEBIH MURAH DARIPADA DIESEL TULEN. KERAJAAN DIGESA MEMPERCEPATKAN NAIK TARAF DEPOT BAGI MEMPERLUAS PELAKSANAAN B20 UNTUK MENANGANI KENAIKAN HARGA BAHAN API.
  • BIODIESEL B20 IS CHEAPER THAN PURE DIESEL NOW. GOVERNMENT IS URGED TO FAST-TRACK CRITICAL DEPOT UPGRADES IN ORDER TO ACCELERATE B20 BIODIESEL ROLLOUT TO MITIGATE SURGING FUEL COSTS
  • 郭素沁促政府加速落实B20生物柴油政策;重启油库建设缓解燃油涨价压力
  • KERAJAAN DIGESA MEMPERCEPATKAN PELAKSANAAN BIODIESEL B20 DENGAN SEGERA MENGHIDUPKAN SEMULA PEMBINAAN DEPOT BAGI MENANGANI KRISIS HARGA BAHAN API
  • GOVERNMENT IS URGED TO ACCELERATE B20 BIODIESEL ROLLOUT BY URGENTLY REVIVING DEPOT CONSTRUCTION TO COUNTER FUEL PRICE CRISIS
  • 郭素沁:设立皇委会是检验昌明政府透明承诺的试金石

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme