Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Jawapan Lisan Parlimen Terhadap Soalan Tambahan Mengenai Rancangan Kerajaan Untuk Menambahbaikkan Pengangkutan Awam di Lembah Klang Pada 25 September 2012

Posted on Monday, 01-10-2012 by Teresa Kok's Office

SOALAN NO. 2

 

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

 

PERTANYAAN                   :           LISAN

 

DARIPADA                          :           PUAN TERESA KOK SUH SIM [SEPUTEH]

 

TARIKH                                :           25 SEPTEMBER 2012


SOALAN


PUAN TERESA KOK SUH SIM [SEPUTEH] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah perancangan di Lembah Klang memandangkan banyak tempat di Lembah Klang tidak dilalui oleh bas, LRT dan teksi. Apakah masalah dan halangan yang dihadapi oeh Kementerian dalam perlaksanaan perancangan tersebut.

 

JAWAPAN KEPADA SOALAN TAMBAHAN:

 

YB DATUK HAJI AHMAD BIN HAJI MASLAN

(TIMBALAN MENTERI DI JABATANPERDANA MENTERI)


Tuan Yang di-Pertua,

 

Terima kasih Yang Berhormat Seputeh atas pertanyaan. Kerajaan sedar tentang kehendak untuk menambah baik sistem pengangkutan awam bagi manfaat rakyat di kawasan Lembah Klang. Buat masa sekarang kerajaan sedang melaksanakan dan mengkaji 10 projek utama pengangkutan awam seperti berikut:

 

i)                    penambahbaikan perkhidmatan KTM Komuter dengan menambah 38 set train daripada coach tiga gerabak kepada enam gerabak;

 

ii)                  Mass Rapid Transit (MRT) laluan dari Sungai Buloh ke Kajang (51 kilometer, 31 stesen dijangka siap tahun 2016)

 

iii)                sambungan jajaran Light Rail Transit (LRT) dari Kelana Jaya ke Putra Heights – 17 kilometer, 13 stesen dijangka siap tahun 2014;

 

iv)                sambungan jajaran LRT dari Sri Petaling ke Putra Heights 17.7 kilometer, 12 stesen dijangka siap 2014;

 

v)                  Bus Rapid Transit (BRT) dari Kuala Lumpur ke Klang 33 kilometer, 25 stesen dijangka siap akhir tahun 2014;

vi)                Bus Rapid Transit dari Setia Jaya ke Persiaran Subang Sunway 5.5 kilometer, 7 stesen;

vii)              MRT laluan dua di peringkat kajian dijangka 29 kilometer, 22 stesen;

viii)            MRT laluan tiga juga di peringkat kajian dijangka 36 kilometer, 24 stesen;

ix)                penambahbaikan sistem monorail dan sabungan jajaran monorail dari KL Sentral ke Happy Garden; dan

x)                  kerajaan juga sedang memperbaiki sistem rangkaian bas di sepanjang koridor MRT dengan menyasarkan sebanyak 30% peningkatan dalam pembentukan jaringan tersebut sebagai feeder bus.

 

Di samping itu, kerajaan juga telah menjalankan satu kajian terperinci pada tahun 2011 dan kajian tersebut telah mencadangkan beberapa projek lain pengangkutan awam tambahan Lembah Klang yang wajar dilaksanakan.

 

i)                    sambungan jajaran LRT Kelana Jaya – Klang;

ii)                  sambungan jajaran monorail fasa satu Happy Garden ke Sunway;

iii)                kemungkinan Putrajaya monorail; dan

iv)                Bus Rapid Transit dari Kuala Lumpur – Ampang, Ampang -Kepong, Putrajaya – Kajang, Damansara – Kinrara, Kota Damansara – Shah Alam, Shah Alam – Putra Heights, Putra Heights – Putrajaya dan Kerinchi – Alam Damai.

 

Kerajaan akan menjalankan kajian feasibility terperinci terhadap empat cadangan tersebut sebelum keputusan muktamad diambil.

 

Antara masalah dan halangan dalam pelaksanaan perancangan tersebut ialah:

 

(i)                 jajaran paling sesuai yang mana pengambilan paling minima tanah awam dilakukan;

(ii)               bantahan sebahagian orang awam seperti isu MRT Jalan Sultan dan Taman Tun Dr. Ismail;

(iii)             peruntukan kewangan untuk melaksanakan projek berkenaan; dan

(iv)             pulangan ataupun keuntungan pelaburan yang lambat kepada syarikat-syarikat terlibat.

 

 

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]:

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Sebenarnya tentang isu penambahbaikan sistem pengangkutan di Lembah Klang, kita sudah dengar cerita ini sejak 80-an. Akan tetapi sampai sekarang walaupun kita sudah lihat ia telah pun ditambahbaik, masalahnya ialah dengan perkembangan pembangunan yang pesat di kawasan Lembah Klang, apa yang kita lihat ialah di mana-mana kerajaan nak letakkan laluan LRT ataupun MRT, penduduk semua itu akan keluar membantah. Ini menjadikan sama ada kementerian ataupun pihak kerajaan negeri selalu dalam keadaan yang serba salah. Ini masalahnya. Jadi bila saya dengar yang semua tempat yang disebutkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi, saya rasa ada banyak tempat lagi di kawasan Lembah Klang masih belum dipertimbangkan untuk mengadakan sama ada laluan LRT, MRT ataupun bentuk pengangkutan awam yang lain.

Misalnya Putrajaya. Kita semua pergi ke Putrajaya, kita mesti memandu kereta. Begitu juga dengan Cyberjaya. Jadi, saya lihat semua ini adalah yang township yang kerajaan ingin tubuhkan pada masa yang akan datang tetapi nampaknya tidak ada rizab LRT, MRT, semua ini ditentukan. Jadi, bila ia jadi bandar yang agak besar, jadi penduduk sana akan keluar membantah dan kerajaan akan menghadapi kesusahan. Jadi, soalan saya ialah bila kerajaan, kementerian mengadakan perancangan tentang penambahbaikan pengangkutan awam, adakah kerajaan dan juga kementerian berbincang dengan pihak PBT misalnya DBKL? Sekarang masalah ialah di kawasan Parlimen Seputeh macam Happy Garden, Kuchai Entrepreneurs Park. Semua plot ratio lima dan ke atas diadakan. Kita lihat Mont Kiara, yang mana kita semua Ahli Parlimen UMNO yang suka duduk dekat sana…

 

 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]:

Yang Berhormat, ringkaskan Yang Berhormat.

 

 

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]:

Kita lihat di plot ratio lima, enam, tujuh, lapan tetapi tidak ada LRT, MRT atau apa-apa lines pengangkutan awam seperti ini ditentukan.

 

 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]:

Terima kasih Yang Berhormat.

 

 

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]:

Ya, ya. Jadi, soalan saya ialah dengan keadaan macam ini adakah pihak kementerian ada perbincangan dengan pihak PBT supaya di tempat yang mana MRT, LRT tidak ada laluan, Jadi, plot ratio dia haruslah dikurangkan.

 

 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]:

Yang Berhormat.

 

 

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]:

…Haruslah dibenarkan dengan plot ratio lima dan ke atas. Eh! Tuan Yang di-Pertua…

 

 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]:

Cukuplah Yang Berhormat.

 

 

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]:

Saya tanya semua ini berkenaan dengan Yang Berhormat Sri Gading, Yang Berhormat Kinabatangan duduk di Kuala Lumpur tahu?

 

 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]:

Yang Berhormat Seputeh…

 

 

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]:

Semua duduk di Selangor juga. Jadi, saya tanya bagi pihak mereka. Jangan kacau. Sekian, terima kasih.

 

 

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan:

Terima kasih Yang Berhormat Seputeh atas ceramah yang diberikan. Tentulah kita berbincang. Tentu kita berbincang dengan DBKL, dan tentu kita berbincang dengan penguasa tempatan lain. Tidak semua perbincangan itu kita beritahu Yang Berhormat Seputeh ya. Takkan setiap kali perbincangan kita mengadakan sidang akhbar.

Berpuluh-puluh, beratus-ratus ya. Kemudian, kita juga mengadakan apa yang dipanggil sebagai penerangan awam dan kemudian segala perkara-perkara yang mereka boleh nyatakan melalui surat, melalui e-mel. Selain daripada apa yang saya telah sebut tadi, 10 projek utama itu, kita juga akan sedang mengadakan dan semua orang tahu kita ada banyak teksi dekat Kuala Lumpur ini.

Saya maklumkan teksi dekat Kuala Lumpur ini sahaja ada 34,623 buah teksi. Jumlah teksi itu cukup kepada seluruh pengguna di Lembah Klang. Tadi disebut tentang Wilayah Persekutuan Putrajaya. Putrajaya juga ada 193 buah teksi selain daripada bas. Satu lagi ialah tentang bantahan dan sebagainya itu contohnya pada malam 30 Ogos, ada kawan-kawan, saya rasa kawan-kawan Yang Berhormat Seputeh agaknya yang membantah dan kemudian berkumpul di Dataran Merdeka tetapi bantahan itu jadi lain pula. Ini yang kita tidak mahu daripada pihak pembangkang ini. Kerajaan yang bertanggungjawab bersedia untuk melaksanakan projek yang sebagaimana saya sebut tadi.

 

Seorang ahli:

Ini yang nama Yang Berhormat Menteri boleh ‘cong’?

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]:

Tidak jawab penuh?


Datuk Md. Sirat Abu [Bukit Katil]:

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya merujuk kepada jawapan Yang Berhormat Menteri tadi yang menyatakan ada empat masalah ataupun halangan yang dihadapi oleh kementerian dalam pelaksanaan projek ini. Jadi, saya ingin tahu apakah langkah-langkah yang diambil oleh kementerian untuk

mengatasi masalah tersebut?

 

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan:

Pertama, dari segi masalah jajaran misalnya. Kita mengadakan pelbagai pertemuan awam untuk memastikan paling minimum tanah awam dilakukan dan kita berjaya dalam lingkungan 70% tanah kerajaan yang digunakan dan hanya 30% tanah awam yang diambil. Kedua, dari segi bantahan seperti MRT Jalan Sultan misalnya dan juga Taman Tun Dr. Ismail juga membantah kerana kononnya bunyi bising dan berlaku gegaran. Kita telah mengadakan 20 kali perbincangan dengan penduduk yang terlibat di Jalan Sultan. Kita bukan hendak merobohkan bangunan yang dianggap bersejarah itu. Kita hanya ingin membuat tunnel di bawah bangunan itu ya dan Taman Tun Dr. Ismail juga lebih kurang 20 kali perbincangan dengan penduduk awam. Dari segi peruntukan kewangan, masalah itu kita sedang atasi dengan mengadakan PPP ataupun dengan izin Public Private Partnership ataupun Private Finance Initiative (PFI) dan kita juga mengadakan dana infra melalui Kementerian Kewangan, melalui bon kerajaan. Dari segi pulangan keuntungan pelaburan yang lambat, kita ingin memastikan syarikat-syarikat yang terlibat ini adalah syarikat-syarikat yang berkemampuan dengan melaksanakan tender-tender terbuka peringkat tempatan dan antarabangsa. Pada ketika yang sama, syarikat bumiputera juga diutamakan contohnya projek MRT. Sekurang-kurangnya 40% daripada pelaksanaan projek MRT fasa satu itu kita ingin memberikan kepada kontraktor bumiputera. Terima kasih.

 

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).
  • 𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐘𝐁 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐖𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐔𝐁𝐒𝐈𝐃𝐈 𝐌𝐈𝐍𝐘𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐒𝐀𝐊 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐃𝐀𝐆𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐒 𝐒𝐀𝐑𝐀 𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏 𝐏𝐀𝐃𝐀 𝟏𝟔 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔
  • (no title)
  • UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PROFESION KERJA SOSIAL OLEH TERESA KOK, AHLI PARLIMEN SEPUTEH PADA 14 JULAI 2026
  • MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI diminta menyatakan status penaiktarafan semua depot biodiesel di Malaysia untuk menyimpan, mengadun dan mengedar biodiesel B20
  • Pembatalan Penyewaan Tapak Bekas SK Danau Perdana Bukti Keperluan Reformasi Tadbir Urus Tanah Persekutuan (14 Julai 2026)
  • 郭素沁:撤销前达瑙柏兰岭国小旧址租约 反映联邦土地治理须改革
  • Govt Urged to Implement PAC Recommendation to Establish KL Land Committee After SK Danau Perdana Lease Reversal (14 July 2026)
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑗𝑢𝑚𝑙𝑎ℎ 𝑎𝑑𝑢𝑎𝑛 𝑑𝑖𝑡𝑒𝑟𝑖𝑚𝑎 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝐾𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡𝑒𝑟𝑖𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟ℎ𝑢𝑏𝑢𝑛𝑔 𝑑𝑎𝑘𝑤𝑎𝑎𝑛 𝑟𝑎𝑠𝑢𝑎ℎ 𝑚𝑒𝑙𝑖𝑏𝑎𝑡𝑘𝑎𝑛 𝑘𝑜𝑝𝑒𝑟𝑎𝑠𝑖 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 5 𝑡𝑎ℎ𝑢𝑛 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠.
  • UCAPAN TERESA KOK DALAM PERBAHASAN RUU PINDAAH AKTA KAWALAN PADI DAN BERAS 1994 PADA 9 JULAI 2026
  • Perbahasan berkenaan Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Center (OSCC) pada 9 Julai 2026
  • KSN DAN KP JKPTG DISERU MEMBATALKAN KONTRAK PENYEWAAN TAPAK SEKOLAH (LOT 54836) DI TAMAN DESA KEPADA SYARIKAT SWASTA
  • MENTERI PENDIDIKAN diminta menyatakan bilangan murid-murid darjah satu di setiap sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di kawasan Parlimen Seputeh dan Bukit Bintang pada tahun 2023, 2024, 2025 dan 2026
  • Ucapan Perbahasan Teresa Kok (Seputeh) Laporan SUHAKAM 2024 Pada 7 Julai 2026

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme