Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Jawapan Menteri Pelancongan Terhadap Ucapan Penangguhan Saya Mengenai Pavilion Msia di Shanghai

Posted on Thursday, 01-07-2010Thursday, 01-07-2010 by DAP Seputeh

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

PERTANYAAN: USUL PENANGGUHAN

DARIPADA: YB PUAN TERESA KOK SUH SIM (SEPUTEH)

TARIKH: 30 JUN 2010

Pavillion Malaysia di Ekspo Dunia Shanghai gagal menonjolkan imej Malaysia.

Tuan Yang DiPertua,
Adalah tidak benar bahawa Astaka Malaysia di Ekspo Dunia Shanghai gagal menonjolkan imej dan nama baik Malaysia. Ini adalah kerana Astaka Malaysia telah menonjolkan destinasi pelancongan yang menarik, sejarah, kepelbagaian kebudayaan rakyat Malaysia, yang dikenali sifat peramah dan berbudi bahasa yang hidup dengan harmoni dengan konsep 1Malaysia. Konsep Astaka Malaysia juga menonjolkan tema kehidupan nyaman dalam bandaraya penuh dengan persekitaran alam semulajadi.

Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat 184 buah astaka yang telah dibina di Ekspo Dunia Shanghai. Reka bentuk dan isi kandungan setiap astaka adalah berlainan mengikut negara yang menyertainya. Terdapat astaka diselaraskan oleh sektor pelancongan negara masing-masing seperti Malaysia dan Filipina manakala ada yang diselaraskan oleh sektor perdagangan dan lain-lain, dan ini menyebabkan tumpuan setiap astaka berlainan dari segi teknologi, tonjolan gaya hidup negara masing-masing, sejarah dan pelancongan. Oleh yang demikian, adalah tidak adil jika Yang Berhormat menilai dan membuat perbandingan berdasarkan lebih kurang 20 astaka yang telah Yang Berhormat lawati.

Tuan Yang DiPertua,

Berkenaan maklumat yang diterima oleh Yang Berhormat Seputeh bahawa terdapat banyak kecacatan dalam bangunan Astaka Malaysia adalah tidak benar. Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat perbezaan antara ‘pemotongan aliran elektrik’ dengan ‘black out’. Sukacita dimaklumkan bahawa Astaka Malaysia tidak pernah mengalami pemotongan bekalan elektrik. Berhubung dengan ‘black out’ , astaka-astaka Negara lain turut mengalami perkara yang sama. Ini berlaku semasa tempoh ‘Live Commissioning’ di mana sistem dan peralatan pembekal, diuji dan diubahsuai bagi mempastikan kelancaran perjalanan astaka. Perkara ini telah dapat diatasi dan tidak berlaku lagi sehingga kini.

Manakala tentang kebocoran bumbung, ingin dinyatakan bahawa tiada sebarang kebocoran pada bumbung yang berlaku di dalam bangunan Astaka Malaysia. Namun demikian, terdapat tempias air hujan di kawasan Pentas Persembahan (Performance Stage) yang terletak di luar bangunan, di mana palung hujan (Gutter) di dapati tidak dapat menampung kapasiti air hujan semasa berlakunya hujan lebat luar biasa berserta tiupan angin. Perkara ini telah dibaiki oleh pihak kontraktor bagi mempastikan persembahan tarian Malaysia tidak terjejas. Kontraktor juga telah dikehendaki untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku sebarang kecacatan dan kerosakan sepanjang tempoh berlangsungnya World Expo 2010 ini tanpa mengenakan sebarang kos tambahan.

Berkenaan reka bentuk Astaka Malaysia yang mempunyai satu tangga bagi pelawat untuk naik dan turun, ia adalah kerana keluasan untuk pembinaan astaka adalah terhad kepada 2,000 meter persegi, maka reka bentuk astaka hanya membolehkan pembinaan satu tangga utama untuk menampung kegunaan seratus lima puluh (15) orang pengunjung astaka pada satu-satu masa. Namun, terdapat juga dua (2) tangga keselamatan yang boleh digunakan secara serentak sekiranya berlaku kesesakan yang teruk. Selain daripada itu, terdapat juga dua buah lif untuk digunakan oleh mereka yang memerlukannya seperti golongan kurang upaya (OKU). Ingin dimaklumkan di sini bahawa reka bentuk berhubung kedudukan, lebar dan had beban tangga serta aliran tradik dan pelan kalur dari astaka ini telah pun mendapat kelulusan daripada pihak keselamatan dan teknikal World Expo Bureau 2010, dengan izin. Di samping itu, pegawai keselamatan World Expo Bureau 2010 yang membuat lawatan harian ke setiap astaka juga tidak membangkitkan sebarang isu berhubung tangga yang disediakan di Astaka Malaysia.

Tuan Yang DiPertua,

Berhubung dengan makanan yang dijual di Astaka Malaysia, Kementerian Pelancongan telah pun membuat penilaian dan mengambil langkah bagi meningkatkan mutu makanan yang disediakan. Kementerian Pelancongan akan terus mengawasi situasi dari masa ke semasa dan tidak akan teragak-agak untuk menamatkan kontrak operator restoran jikalau makanan yang dihidangkan tidak mencapai jangkaan. Namun demikian, operator restoran turut memaklumkan bahawa cara penyediaan makanan telah diubahsuai supaya bersesuaian dengan citarasa tempatan.

Tuan Yang DiPertua,

Kementerian Pelancongan melalui Tourism Malaysia Shanghai telah menerima astaka daripada kontraktor pada 30 April 2010 iaitu sebelum Astaka Malaysia dibuka pada 1 Mei 2010, dengan syarat segala kecacatan yang mungkin dikenalpasti nanti akan diambil tindakan oleh pihak Kontraktor. Kementerian Pelancongan juga telah mengemukakan permohonan ‘Certificate Of Fitness’ (CF), dengan izin, kepada penganjur World Exco Bureau 2010 dan surat kebenaran telah pun diterima daripada World Expo Bureau 2010. Kementerian Pelancongan sendiri amat tegas dalam mempastikan astaka yang dinina adalah mematuhi syarat teknikal dan keselamatan yang ditetapkan.

Tuan Yang DiPertua,

Sepertimana yang telah dimaklumkan di Dewan yang mulia sebelum ini, perlantikan Kontraktor Venturepharm Asia Sdn. Bhd adalah berpandukan prosedur perlantikan yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kewangan. Iklan tawaran tender terbuka telah disiarkan di New Straits Times dan Utusan Malaysia pada 12 Mei 2009. Syarikat Kontraktor Venturepharm Asia Sdn. Bhd telahpun dilantik pada 22 Jun 2009 dengan kelulusan Lembaga Tender kerana memenuhi semua syarat yang dikenakan oleh Arahan Perbendahaan dan Kementerian Pelancongan termasuklah berdaftar dengan Kementerian Kewangan dengan kos bidang kerja 220204 iaitu Pengurusan Pameran dan Pentas. Lembaga Perolehan agensi juga telah memutuskan bahawa tiada perubahan kerja atau Variation Order (VO) dibenarkan.

Bagi pembinaan Astaka Malaysia, RM 20 juta telah diperuntukkan di mana kos ini adalah termasuk kos reka bentuk, membina, menyelenggara dan merobohkan astaka setelah selesai tempoh pameran. Jika dibandingkan dengan kos pembinaan astaka-astaka Negara-negara lain, Singapura telah membelanjakan sebanyak RM 93.3 juta (S$40 juta) dan Thailand sebanyak RM 81.4 juta (USD$ 25 juta) yang mempunyai saiz sama dengan saiz Astaka Malaysia iaitu 2,000 meter persegi. Manakala, Indonesia telah membelanjakan sebanyak RM 74.9 juta (USD$ 23 juta), Filipina sebanyak RM 31.6 juta (USD$ 9.7 juta), Arab Saudi sebanyak RM 475.4 juta (USD$ 146 juta) dan China sebanyak RM 716.6 juta (USD$ 220 juta)

Tuan Yang DiPertua,

Berkenaan dengan Lorong Khas untuk VIP, ia memerlukan permohonan secara rasmi sepertimana yang ditetapkan oleh Penganjur World Exco 2010. Untuk lawatan ke astaka-astaka Negara lain oleh VIP Malaysia, Astaka Malaysia memohon pas VIP, lorong hijau di astaka-astaka tertentu serta sewaan buggy dengan berpandukan arahan Konsulat Besar Malaysia di Shanghai. Kemudahan masuk ke astaka-astaka lain akan ditentukan oleh astaka masing-masing, dan astaka-astaka di Zon C iaitu kawasan Eropah tidak menyediakan kemudahan lorong hijau.

Lazimnya, Kementerian Pelancongan melalui Tourism Malaysia Shanghai akan mengaturkan lawatan bagi VVIP dari Malaysia yang memohon untuk mendapatkan bantuan untuk mengadakan ‘guided tour’, dengan izin, di dalam World Exco 2010. World Exco 2010. Walaubagaimanapun, menurut rekod Tourism Malaysia Shanghai, tiada permohonan telah diterima daripada YB Seputeh. Sebagai rekod, Menteri Besar Selangor telah melawati Astaka Malaysia pada 2 Mei 2010 dan telah diberikan layanan ‘guided tour’ dan telah diberikan layanan ‘guided tour’ oleh Timbalan Pengurus Astaka Malaysia. Ini membuktikan tiada unsur ‘pilih kasih’ selagi permohonan telah dikemukakan mengikut prosedur.

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).
  • 𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐘𝐁 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐖𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐔𝐁𝐒𝐈𝐃𝐈 𝐌𝐈𝐍𝐘𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐒𝐀𝐊 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐃𝐀𝐆𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐒 𝐒𝐀𝐑𝐀 𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏 𝐏𝐀𝐃𝐀 𝟏𝟔 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔
  • (no title)
  • UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PROFESION KERJA SOSIAL OLEH TERESA KOK, AHLI PARLIMEN SEPUTEH PADA 14 JULAI 2026
  • MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI diminta menyatakan status penaiktarafan semua depot biodiesel di Malaysia untuk menyimpan, mengadun dan mengedar biodiesel B20
  • Pembatalan Penyewaan Tapak Bekas SK Danau Perdana Bukti Keperluan Reformasi Tadbir Urus Tanah Persekutuan (14 Julai 2026)
  • 郭素沁:撤销前达瑙柏兰岭国小旧址租约 反映联邦土地治理须改革
  • Govt Urged to Implement PAC Recommendation to Establish KL Land Committee After SK Danau Perdana Lease Reversal (14 July 2026)
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑗𝑢𝑚𝑙𝑎ℎ 𝑎𝑑𝑢𝑎𝑛 𝑑𝑖𝑡𝑒𝑟𝑖𝑚𝑎 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝐾𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡𝑒𝑟𝑖𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟ℎ𝑢𝑏𝑢𝑛𝑔 𝑑𝑎𝑘𝑤𝑎𝑎𝑛 𝑟𝑎𝑠𝑢𝑎ℎ 𝑚𝑒𝑙𝑖𝑏𝑎𝑡𝑘𝑎𝑛 𝑘𝑜𝑝𝑒𝑟𝑎𝑠𝑖 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 5 𝑡𝑎ℎ𝑢𝑛 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠.
  • UCAPAN TERESA KOK DALAM PERBAHASAN RUU PINDAAH AKTA KAWALAN PADI DAN BERAS 1994 PADA 9 JULAI 2026
  • Perbahasan berkenaan Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Center (OSCC) pada 9 Julai 2026
  • KSN DAN KP JKPTG DISERU MEMBATALKAN KONTRAK PENYEWAAN TAPAK SEKOLAH (LOT 54836) DI TAMAN DESA KEPADA SYARIKAT SWASTA
  • MENTERI PENDIDIKAN diminta menyatakan bilangan murid-murid darjah satu di setiap sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di kawasan Parlimen Seputeh dan Bukit Bintang pada tahun 2023, 2024, 2025 dan 2026
  • Ucapan Perbahasan Teresa Kok (Seputeh) Laporan SUHAKAM 2024 Pada 7 Julai 2026

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme