Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

KSN DAN KP JKPTG DISERU MEMBATALKAN KONTRAK PENYEWAAN TAPAK SEKOLAH (LOT 54836) DI TAMAN DESA KEPADA SYARIKAT SWASTA

Posted on Thursday, 09-07-2026 by Editorial Team

Kenyataan Media YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh pada 9 Julai 2026

KSN DAN KP JKPTG DISERU MEMBATALKAN KONTRAK PENYEWAAN TAPAK SEKOLAH (LOT 54836) DI TAMAN DESA KEPADA SYARIKAT SWASTA
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Persatuan Penduduk Taman Desa (TDRA) dan saya telah menghantar surat kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) dan Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, (Dato’ Mohd Fauzi bin Mohd Yatim) bagi memohon Kerajaan untuk mengkaji semula dan membatalkan keputusan penyewaan Lot 54836, iaitu bekas tapak Sekolah Kebangsaan Danau Perdana di Taman Desa, kepada JAX Auto Sdn. Bhd. bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Februari 2026 hingga 31 Januari 2029.

Penduduk Taman Desa hanya mengetahui mengenai penyewaan tersebut selepas notis pemberitahuan dipacak di hadapan tapak berkenaan. Keputusan ini telah menimbulkan kebimbangan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat setempat kerana lot tersebut merupakan tanah rizab sekolah yang amat diperlukan bagi menampung pertambahan penduduk di kawasan Taman Desa.

Sejak tahun 2018, sebanyak 11 projek perumahan yang baru melibatkan 8,299 unit kediaman telah dibangunkan di Taman Desa. Pembangunan ini dianggarkan menambah kira-kira 33,196 orang penduduk baharu dan jumlah penduduk Taman Desa dianggar mencecah 70,000 orang dalam masa 5 tahun akan datang, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap pembinaan sekolah baharu di kawasan tersebut.

Pada Jun 2024, saya bersama pihak SMJK Confucian telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pendidikan supaya sekolah berusia 120 tahun dan telah usang itu dipindahkan ke Lot 54836. Cadangan tersebut mendapat sokongan padu daripada 26 persatuan penduduk dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam lingkungan lima kilometer dari Taman Desa.

Namun begitu, permohonan tersebut telah ditolak oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada 25 Februari 2025 dengan alasan Lot 54836 perlu dikekalkan bagi memenuhi keperluan pembangunan pendidikan pada masa hadapan. Penduduk kini berasa hairan mengapa tapak yang dikatakan perlu dikekalkan untuk tujuan pendidikan akhirnya disewakan pula kepada sebuah syarikat swasta.

Saya juga ingin mengingatkan bahawa tapak tersebut telah terbiar selama 21 tahun dan sering menjadi lokasi pelbagai aktiviti yang menimbulkan kebimbangan keselamatan, termasuk penempatan warga asing, pembuangan sampah haram, penagihan dadah serta insiden kebakaran yang berlaku pada 17 Jun 2026.

Persatuan Penduduk Taman Desa (TDRA) dan saya menyeru Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah JKPTG membatalkan kontrak penyewaan tersebut serta mengekalkan Lot 54836 sebagai tanah rizab sekolah.

Dalam beberapa kes sebelum ini, tanah rizab sekolah atau tanah milik agensi kerajaan yang disewakan kepada pihak swasta akhirnya bertukar menjadi pembangunan komersial atau pembangunan swasta. Sekiranya perkara ini berlaku, penduduk Taman Desa berisiko kehilangan satu-satunya tapak strategik yang boleh digunakan untuk pembinaan sekolah pada masa hadapan.

Kerajaan perlu mengutamakan kepentingan Masyarakat setempat di Taman Desa dan menolak mana-mana Syarikat yang cuba merampas tanah sekolah untuk kepentingan komersial. Lot 54836 mestilah dipelihara sebagai tanah sekolah demi memenuhi keperluan generasi akan datang, selaras dengan pertumbuhan pesat penduduk di Taman Desa.

Teresa Kok

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • UCAPAN TERESA KOK DALAM PERBAHASAN RUU PINDAAH AKTA KAWALAN PADI DAN BERAS 1994 PADA 9 JULAI 2026
  • Perbahasan berkenaan Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Center (OSCC) pada 9 Julai 2026
  • KSN DAN KP JKPTG DISERU MEMBATALKAN KONTRAK PENYEWAAN TAPAK SEKOLAH (LOT 54836) DI TAMAN DESA KEPADA SYARIKAT SWASTA
  • MENTERI PENDIDIKAN diminta menyatakan bilangan murid-murid darjah satu di setiap sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di kawasan Parlimen Seputeh dan Bukit Bintang pada tahun 2023, 2024, 2025 dan 2026
  • Ucapan Perbahasan Teresa Kok (Seputeh) Laporan SUHAKAM 2024 Pada 7 Julai 2026
  • Sesi Soal Jawab Sidang Parlimen: Rancangan untuk meminda Akta SUHAKAM 1999 (1 Julai 2026)
  • Ucapan YB Teresa Kok Dalam Konvensyen Pakatan Harapan | 17 Mei 2026
  • 郭素沁指浮罗交怡旅游业表现落后于普吉岛与峇厘岛,促吉打州政府停止“自我陶醉式数据解读”
  • JAUH KETINGGALAN DI BELAKANG PHUKET DAN BALI: KERAJAAN PAS KEDAH JANGAN SYOK SENDIRI DENGAN STATISTIK ‘SUAM-SUAM KUKU’
  • 郭素沁:雪州伊党养猪课题立场矛盾,玩弄种族政治
  • Contradictory Statements by Selangor PAS Leaders on Pig Farming Show Political Opportunism
  • PENDIRIAN BERCANGGAH PEMIMPIN PAS SELANGOR BUKTI MEREKA HANYA MAHU MEMPOLITIKKAN ISU PENTERNAKAN BABI, BUKAN MENAWARKAN PENYELESAIAN DASAR
  • 政府受促掌握我国生物柴油的真实数据 ,以免作出提升生物柴油设施的错误预算
  • MTEN and the Government Media Team Urged to Obtain Accurate Figures and Facts on Biodiesel Supply and Usage in Malaysia to Avoid Miscalculations in Development Expenditure for Biodiesel Blending Depots
  • MTEN dan Team Media Kerajaan digesa Mendapat Nombor dan Fakta Berkenan Pembekalan dan Penggunaan Biodiesel di Malaysia Yang Sebenar Supaya Kerajaan Tidak Membuat Kesilapan Dari Segi Pengiraan Perbelanjaan Pembangunan Kelengkapan Depoh Pengadunan Biodiesel

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme