PUAN TERESA KOK SUH SIM [SEPUTEH] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan :
a. berapa kategori program parol bagi banduan dan undang-undang atau kriteria (syarat) bagi setiap kategori tersebut
b. apakah proses dan penempatan seterusnya bagi banduan yang telah tamat tempoh hukuman semasa berada di bawah sistem parol. Apakah Kementerian menyediakan sokongan lanjutan kepada mereka.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
(a) Program Parol tidak mempunyai kategori. Pelepasan banduan secara Perintah Parol merupakan pelepasan bersyarat yang dikeluarkan oleh Lembaga Parol berdasarkan seksyen 46 Akta Penjara 1995.
Seksyen 46E Akta Penjara 1995 menetapkan seseorang banduan layak dipertimbangkan untuk mendapat parol adalah seperti berikut:
(i) Hukuman pemenjaraan satu (1) tahun dan ke atas;
(ii) Kesalahan selain dari Jadual Keempat;
(iii) Telah menjalani separuh daripada hukuman pemenjaraan;
(iv) Telah mengikuti program pemulihan yang diluluskan oleh Komisioner Jeneral Penjara;
(v) Tidak mempunyai apa-apa kes yang sedang dibicarakan; dan
(vi) Tidak mempunyai rayuan.
(b) Orang Diparol (ODP) yang berjaya menamatkan program parol adalah telah bebas daripada hukuman dan bukan lagi di bawah pemantauan Jabatan Penjara Malaysia. Namun, bagi memastikan mereka terus mendapat sokongan, Jabatan Penjara Malaysia telah melaksanakan usaha mendapatkan kerjasama daripada Badan Bukan Kerajaan dan Agensi Kerajaan yang berkaitan untuk membolehkan mereka dapat berintegrasi semula dengan masyarakat sewajarnya. Selain itu, beberapa majikan yang menggajikan ODP semasa parol turut menawarkan pekerjaan tetap berdasarkan prestasi kerja dan kekosongan jawatan, bagi menyokong kesinambungan pemulihan.
Sekian, terima kasih

