STATUS TERKINI PROJEK PENANAMAN SATU JUTA POKOK JENIS HUTAN DI HUTAN SIMPANAN KEKAL DI SABAH DI BAWAH YAYASAN PEMULIHARAAN HIJAU MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOGCF)
UCAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) yang ditubuhkan di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi pada tahun 2019 telah melancarkan projek perhutanan semula bagi memulihkan habitat semula jadi hidupan liar di 2,500 hektar kawasan Hutan Simpan Ulu Segama – Malua di Lahad Datu, Sabah.
Dana untuk Projek Penanaman Sejuta Pokok dan pemulihan habitat semula jadi ini disumbangkan oleh industri sawit melalui bayaran ses mereka. Tujuannya adalah demi membukti kepada masyarakat dunia tentang sumbangan industri sawit Malaysia terhadap pemuliharaan alam sekitar dan perhutanan.
Sehubungan dengan itu, MPOGCF juga pernah bercadang untuk bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Sabah untuk mewujudkan koridor gajah di bahagian utara Sabah, sebagai langkah untuk menyelamatkan gajah pygmy yang banyak mati kerana terceroboh ke ladang sawit. Idea ini adalah untuk mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar di kawasan perladangan serta kawasan perkampungan.
Soalan yang saya kepada Menteri adalah:
1. Apakah jumlah pengutipan ses dalam MPOGCF sejak ia ditubuhkan dan berapa telah dibelanjakan sehingga Oktober 2024;
2. Minta senaraikan program yang telah diadakan di bawah MPOGCF sejak ia ditubuhkan pada 2019, khususnya bagi tahun 2024;
3. Apakah status terkini tentang projek penanaman pokok sejuta di Sabah? Apakah MPOGCF telah mewujudkan koridor gajah sebagaimana telah dirancang pada peringkat awal? Apakah jumlah dana yang telah disalurkan ke dalam projek penanaman pokok sejuta ini, khususnya pada tahun ini;
4. Apakah masalah dan kekangan yang dihadapi oleh MPOGCF untuk melaksanakan projek pemuliharaan alam sekitar tersebut dan macam mana MPOGCF mengatasi kesemua isu ini; dan
5. Minta menyenaraikan pemegang ahli jawatankuasa MPOGCF dan kelayakan mereka masing-masing.
Sekian, terima kasih.
JAWAPAN:
Tuan Yang di-Pertua,
Latar Belakang
1. Seperti kita semua sedia maklum, industri sawit negara sering berhadapan dengan persepsi negatif yang dikaitkan dengan pemusnahan alam sekitar, penyahhutanan dan pencemaran biodiversiti.Oleh itu, bagi menangani cabaran tersebut, yayasan Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) telah ditubuhkan.
2. Penubuhan yayasan ini bertujuan untuk menyokong usaha-usaha pemuliharaan daripada industri sawit dan mencerminkan komitmen industri terhadap pemuliharaan alam sekitar. Aktiviti yang dilaksanakan oleh MPOGCF dapat meningkatkan imej minyak sawit di mata dunia sebagai produk agrikomoditi yang mampan.
Penubuhan MPOGCF
3. MPOGCF secara rasminya telah diluluskan untuk diperbadankan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 19 Februari 2020 dan mula beroperasi secara rasmi pada 1 April 2021.
4. Secara umumnya objektif MPOGCF adalah seperti berikut:
i. Menggalakkan program-program penanaman semula hutan, pemuliharaan hidupan liar dan biodiversiti;
ii. Mempromosikan inisiatif pemuliharaan dan amalan kemampanan dalam perdagangan; dan
iii. Meningkatkan, membantu dan melengkapkan inisiatif-inisiatif pemuliharaan, biodiversiti dan kemampanan oleh pihak swasta, NGO, masyarakat tempatan dan agensi Kerajaan.
5. Untuk makluman, MPOGCF telah menyambung projek-projek pemuliharaan biodiversiti yang dilancarkan dan dilaksanakan oleh MPOC di bawah Tabung Amanah Malaysian Palm Oil Wildlife Conservation Fund (MPOWCF). Antara projek yang dilancarkan dan dilaksanakan oleh MPOWCF termasuklah projek penanaman satu juta pokok hutan di Sabah (Nama projek: 1 Million Tree Planting – Rehabilitation of Orangutan Habitat in Sabah).
Soalan 1: Peruntukan dan Perbelanjaan Ses
6. Sejak penubuhan MPOGCF sehingga Oktober 2024, Yayasan ini telah menerima peruntukan ses sebanyak RM40,841,280 termasuk RM6,738,308 penyaluran yang telah diterima bagi tahun 2024. Sehingga 31 Oktober 2024, MPOGCF telah membelanjakan 78% daripada peruntukan tersebut, iaitu sebanyak RM31,857,701 termasuk RM8,577,503 bagi tahun 2024.
Soalan 2: Senarai Projek MPOGCF
7. Sebanyak 24 projek dan program telah dijalankan oleh MPOGCF sejak tahun 2019 hingga kini. Senarai projek adalah seperti di Lampiran I. Projek/program ini dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik MPOGCF termasuk kajian biodiversiti oleh agensi berkaitan seperti PERHILITAN, saintis universiti tempatan dan antarabangsa serta pemain industri sawit selain pekebun-pekebun kecil sawit.
8. Program yang telah dijalankan oleh MPOGCF boleh dibahagikan kepada tiga (3) kategori seperti berikut:
Bil. Program Penghutanan Semula
-1 Million Tree Planting – Rehabilitation of Orangutan Habitat in Sabah.
– Development of Peat Restoration Model for Sarawak Region.
– Pemulihan hutan terosot di kawasan Central Forest Spine (CFS) di Semenanjung Malaysia.
Bil. Program Pemuliharaan Spesis Terancam
– Orang Utan Diplomacy (in-situ).
– Malayan Tiger Conservation Programme.
Bil. Program Pemuliharaan Spesis Terancam
– Orangutan Population Survey.
– Bornean Elephant Population Survey.
– Borneo Elephant Sanctuary (BES).
– Elephant Corridor Establishment Through Napier Grass Planting.
– National Elephant Conservation Action Plan (NECAP).
– Achieving Coexistence Between Elephant And Smallholders In Sungai Ara, Mersing, Johor.
Bil. Program Best Sustainable Practices (Pemain Industri Sawit)
– Barn Owl for Smallholders Initiative (BOSI).
– Training programme for smallholders for HCV and Biodiversity Management.
– Development of Guidelines for Biodiversity Friendly Plantations.
9. Kesemua projek ini dipantau sepenuhnya sama ada oleh Ahli Lembaga Pengarah (ALP) mahupun Jawatankuasa Khas yang telah ditubuhkan.
Soalan 3: Status Projek Penanaman Sejuta Pokok
10. Projek Penanaman Sejuta Pokok atau dikenali sebagai 1 Million Tree Planting – Rehabilitation of Orangutan Habitat in Sabah dibahagikan kepada lima (5) fasa. Untuk makluman, Fasa 1 telah selesai manakala Fasa 2 sedang berjalan.
11. Sehingga 31 Oktober 2024 sebanyak RM2,638,066 telah disalurkan termasuk RM557,115 bagi tahun 2024 kepada MPOGCF untuk Projek Penanaman Sejuta Pokok.
12. Projek mewujudkan koridor gajah di Sabah sedang dilaksanakan. Projek ini merupakan kerjasama antara MPOGCF, Sabah Softwood Berhad dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Soalan 4: Kekangan Melaksanakan Projek Penanaman Sejuta Pokok
13. Projek 1 Million Tree Planting – Rehabilitation of Oranutan Habitat in Sabah mempunyai beberapa kekangan seperti berikut:
i. Pelaksanaan projek semasa Fasa 1 dan 2 (untuk menanam 100,000 pokok hutan) mengalami sedikit kelewatan kesan daripada pandemik Covid-19. Kerja-kerja lapangan tidak dapat dijalankan atas perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN);
ii. Kos penanaman pokok hutan yang meliputi harga biji benih pokok dan kos upah tenaga kerja meningkat selepas pandemik Covid-19;
iii. Garis panduan dan kriteria penanaman pokok hutan yang ketat oleh Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) menyebabkan pelaksanaan Fasa 3, iaitu untuk menanam 300,000 pokok hutan mengikut bajet sedia ada ditangguhkan; dan
iv. Isu Perjanjian (MOA) projek antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dengan Jabatan Perhutanan Sabah. Isu ini timbul berikutan niat MPOC untuk melepaskan tanggungjawab sebagai pihak utama kontrak di atas kepada pihak MPOGCF.
14. Bagi mengatasi isu ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan MPOC bagi mencari penyelesaian kepada masalah perjanjian. Salah satu cadangan penyelesaian adalah dengan membincangkannya di peringkat Steering Committee Projek.
Soalan 5: Senarai Lembaga Pemegang Amanah (BOT)
Bil. Nama Penuh Jawatan Kelayakan
– YBhg. Dato’ Yusran Shah bin Mohd Yusof Pengerusi Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi
– YBhg. Dato’ Mad Zaidi bin Mohd Karli Ahli Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
– YBhg. Dato’ Abdul Hadi bin Omar Ahli Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan)
Kementerian Perladangan dan Komoditi
– YBrs. Dr. Ramle bin Moslim Ahli Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
– YBhg. Datuk Lee Yiew Meng Ahli Setiausaha Eksekutif Malayan Edible Oil Manufacturer’s Association (MEOMA)
Kesimpulan
15. Sebagai kesimpulan, Kementerian telah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan projek-projek yang dijalankan oleh Yayasan selari dengan hasrat Kerajaan dan objektif penubuhan, iaitu dengan memastikan wakil Kementerian dan Agensi yang menganggotai ALP dari sudut kawal selia serta pemantauan projek.
16. Kementerian menghargai keprihatinan YB Seputeh dalam memastikan agenda pemuliharaan alam sekitar, terutamanya melibatkan industri sawit dapat tercapai sekaligus meningkatkan imej industri di mata dunia. Ke arah ini, Kementerian akan terus mengkaji strategi terbaik serta memastikan setiap tindakan yang dilaksanakan mematuhi prosedur yang betul dan mencapai matlamat yang ditetapkan.
Sekian, terima kasih.