Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Ucapan Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) Dalam Perbahasan Bajet 2025 Pada 23 Oktober 2024

Posted on Friday, 25-10-2024 by Editorial Team

Saya ingin ucapkan tahniah kepada kerajaan Madani dan kesemua penjawat awam, khususnya daripada Kementerian Kewangan atas usaha untuk membentangkan Bajet 2025.
Di sini saya ingin bentangkan beberapa isu dalam ucapan selama 15 minit ini.

Caruman KWSP Kepada Pekerja Asing

Saya mengalu-alukan pengumuman kerajaan untuk menetapkan gaji minima pada RM1,700 dan menghendaki majikan untuk membayar caruman KWSP untuk pekerja asing. Dasar ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap semua pekerja, termasuk pekerja asing yang telah banyak memberi pengorbanan dan sumbangan dalam banyak sektor di negara kita.

Salah satu masalah yang dihadapi oleh majikan yang menggaji pekerja asing adalah mereka menghilangkan diri selepas bekerja beberapa bulan ataupun tahun di negara kita. Terdapat juga sindiket yang mencuri pekerja asing yang ada permit kerja dengan menawarkan gaji yang tinggi sedikit di tempat lain.

Selain itu, sesetengah pekerja asing yang tamat tempoh kontrak pekerjaannya menghilangkan diri kerana mereka memang tiada apa-apa simpanan kerana mereka terpaksa bayar hutang kepada agen ataupun “ah long” di negara asal mereka yang memperkenalkan mereka datang bekerja di Malaysia, dan juga terpaksa bayar fi kepada agen syarikat pekerjaan di Malaysia. Ada di antara mereka memang tidak mempunyai wang untuk bayar tiket penerbangan untuk balik ke negara asal mereka, jadi mereka terpaksa lari dari majikan selepas tamat tempoh kontrak pekerjaan.
Pada pandangan saya, pembayaran caruman KWSP kepada pekerja asing akan dapat menegah pekerja asing untuk lari daripada majikan asal dan menegah sindiket yang mencuri/menculik pekerja asing yang baru sampai di Malaysia.

Selain itu, sistem pencaruman KWSP untuk pekerja asing juga membantu pekerja asing untuk mempunyai simpanan wang, dan bila mereka tamat tempoh pekerjaan mereka di Malaysia, simpanan mereka di KWSP yang mungkin berjumlah RM20K ataupun RM30K pun membolehkan mereka untuk membiayai kos perbelanjaan untuk balik ke negara asal mereka.
Walau bagaimanapun, memandangkan kerajaan telah menaikkan gaji minima daripada RM1,500 ke RM1,700 sebulan, memang susah bagi ramai majikan yang menggaji pekerja asing untuk menanggung kenaikan gaji sebanyak RM200 di samping membayar caruman KWSP kepada pekerja asing pada waktu yang sama.

Dalam sistem pengiraan KWSP sekarang, caruman yang dibiayai oleh Majikan ialah 13% manakala caruman oleh pekerja ialah 11%.

Sekiranya gaji seorang pekerja asing ditetapkan pada RM1,700, caruman majikan kepada KWSP untuk seorang ialah RM221. Jika kita tambah pertambahan gaji sebanyak RM200 dalam Bajet 2025, jumlah kos yang dibayar oleh majikan kepada bagi seorang pekerja asing ialah RM421. Ini tidak termasuk bayaran SOCSO, kos penginapan dan banyak lagi perbelanjaan yang harus ditanggung oleh majikan kepada pekerja.

Justeru, saya ingin mencadangkan kerajaan majikan dikehendaki bayar caruman 1.5% manakala pekerja asing membayar 10% sebagai caruman KWSP. Ini bermaksud, sekiranya seorang gaji asas seorang pekerja asing ialah RM1,700, maka 1.5% caruman majikan ialah RM25.5, dan caruman pekerja ialah RM170, jumlah caruman KWSP adalah RM195.50, iaitu hampir RM200, iaitu angka kenaikan gaji minima untuk tahun 2025.

Dengan kata lain, untuk tahun hadapan, kerajaan haruslah menghendaki semua majikan mendaftarkan pekerja asing dengan KWSP, dan jumlah peningkatan gaji minima sebanyak RM200 dijadikan sebagai caruman KWSP.


Bajet 2025 Tidak Memberi Tekanan Cukup Terhadap Usaha Tebatan Banjir di Kuala Lumpur

Pada 14 Oktober 2024, iaitu minggu lepas, Speaker Dewan Rakyat kita terpaksa menangguh sidang Parlimen selama 30 minit kerana ramai anggota Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen tidak dapat masuk ke Parlimen kerana banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur, dan malah melibatkan Jalan Parlimen.

Banjir kilat pada pagi tersebut adalah penggera (alarm) kepada kerajaan, di mana volum air hujan yang besar menyebabkan sungai dan parit-longkang di Kuala Lumpur sudah tidak mampu menampung air hujan yang lebat, kesemua tanda-tanda perubahan iklim ini haruslah dipandang serius oleh kerajaan.

Saya rasa sangat kesal, bila kerajaan Madani dan para NGO di dunia bersuara lantang tentang perubahan iklim / climate change, kerajaan meluluskan beberapa projek yang berkepadatan tinggi yang akan menjejaskan usaha tebatan banjir di Kuala Lumpur, khususnya dua projek di kawasan Parlimen Seputeh.

1) Pada bulan April tahun ini, kerajaan membatalkan perizaban 4.4 ekar tanah KTB Kg Bohol dan diberimilik kepada pemaju untuk membuat rumah pada harga pasaran bebas, selain itu, plot tanah di sekeliling KTB juga diberikan kepada pemaju yang dipertugaskan untuk membina KTB yang dikatakan bernilai RM40 juta. Tindakan ini telah mengecilkan saiz dan kapasiti sebenar kolam tersebut, dan menjejaskan dasar kerajaan untuk mencapai piawaian 200 ARI, di samping menjadikan jalan raya di persekitaran KTB Kg Bohol lebih sesak, khususnya Jalan Puchong.

2) Pada Ogos tahun ini, projek berkepadatan tinggi yang mengandungi 800 unit perumahan Madani yang dinamakan Residensi Suria Madani dan 1,613 unit kondominium harga bebas yang dinamakan M. Aspira. Kedua-dua projek yang dibangunkan oleh pemaju Mah Sing Group Berhad di 6.17 ekar tanah di Taman Desa. Projek yang bernilai RM1.01 bilion ini selain daripada terletak di kawasan yang penuh dengan perumahan yang padat, mereka juga terletak berdekatan dengan KTB Terowong Smart.

Soalan saya adalah, memandangkan perubahan iklim telah banyak menjejaskan banyak tempat di dunia, termasuk Malaysia, kenapakah kerajaan masih meluluskan projek yang berdensiti tinggi di tempat sekeliling kolam takungan banjir?

Kenapakah agensi yang mempunyai kepakaran teknikal yang penting seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak memainkan peranannya untuk menghalang projek-projek tersebut diadakan di persekitaran KTB?

Datuk yang diPertua, mengikut Bab 6 berkenaan Kementerian Wilayah Persekutuan dalam Laporan Audit Negara 2020, 6 keping tanah Kolam Takungan Banjir di Kuala Lumpur telah diluluskan pemberimilikan bagi tujuan pembangunan, iaitu KTB Batu, KTB Nanyang, KTB Delima, KTB Taman Wahyu, KTB Batu 4 ½ dan KTB Taman Desa. Kesemua tanah KTB yang dikeluarkan daripada perizaban kolam yang asal adalah digunakan untuk membina projek pembangunan yang berkepadatan tinggi. Tindakan kerajaan ini telah menyebabkan saiz kolam takungan banjir tersebut dikecilkan.

Saya merasa kesal pihak PTGWPKL, DBKL dan Pesuruhjaya Tanah yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara masih terus menngingkari teguran daripada Ketua Audit Negara dan terus meluluskan projek berkepadatan tinggi di tepi KTB Kg Bohol dan KTB Taman Desa di kawasan Parlimen Seputeh.

Sehubungan dengan itu, saya juga ingin minta pihak Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP), PTGWPKL dan DBKL tidak menjual tanah institusi di Kuala Lumpur sebelum penwartaan PTKL 2040. Baru-baru ini, satu keping tanah yang dizonkan sebagai tanah rizab untuk balai polis di bawah PTKL 2040 dijual oleh kerajaan kepada pihak swasta, tanpa pengetahuan pihak polis.
Saya berharap kerajaan mengambil serius tentang isu yang saya bangkitkan ini memandangkan Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia akan diadakan pada tahun 2026. Sekiranya keadaan sekarang masih diteruskan, ia sudah pasti akan menjejaskan imej negara kita di kalangan media, pelabur dan pelancong asing, sehingga mungkin kita terpaksa mengadakan Pelancongan Banjir dengan membawa pelancong melawat dengan bot di Kuala Lumpur.

PERUMAHAN MADANI HARUSLAH DIBINA DI KAWASAN GREATER KL UNTUK MEREDAKAN KESESAKAN DI KUALA LUMPUR

KEMENTERIAN PELADANGAN DAN KOMODITI: KENAPAKAH PEJABAT Malaysian Palm Oil Council (MPOC) di Eropah ditutup sedangkan kita perlu melawan persepsi negative terhadap minyak sawit kita di Eropah selepas kita tidak menang dalam sut kita di WTO?

KERAJAAN DIGESA MENUBUHKAN SATU UNIT YANG MENGAWAL-SELIA KESEMUA ANGGOTA PENGUATKUASAAN.

—- Apakah rancangan REFORMASI yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Imigresen selepas SPRM membongkar penyelewengan kuasa di kalangan pegawai imigresen
—– Kerajaan haruslah menubuhkan satu unit khas yang membolehkan pegawai penguatkuasaan yang berkhidmat di agensi “closed service” untuk dialih merentasi agensi kerajaan.

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • Rice Dumpling Making Tutorial at Jalil Damai Apartment Bukit Jalil 郭素沁与民学习包粽子,传承传统文化 (18 May 2025)
  • Pertandingan Congkak dan Dam di Apartment Sri Rakyat (18 Mei 2025)
  • Semarak Hari Belia Negara Peringkat Kawasan Seputeh (15 Mei 2025)
  • Blessed Mother’s Day to My Mother and to all the Mothers in the World
  • Mother’s Day Distribute Flowers to all the Mothers (11 May 2025)
  • Kejadian Tanah Runtuh di Sri Petaling berlaku pada 23 April 2025 dan Tindakan seterusnya
  • Sambutan Hari Ibu X Dapur Seputeh (10 Mei 2025)
  • Happy Mother’s Day 母亲节快乐
  • Kejadian Tanah Runtuh di Jalan Sri Petaling 5 berlaku pada 23 April 2025
  • Hari Terbuka Pelan Tindakan KL 2040
  • Sidang Parlimen Khas berkenan tindakan Amerika Syarikat mengenakan tarif timbal balas ke atas semua import ke negara tersebut dan kesannya ke atas ekonomi Malaysia
  • Jamuan Raya Aidilfitri Taman LTAT Bukit Jalil (3 Mei 2025)
  • Melawat Nurul Dahyatul, mangsa simbah asid yang menjalani pemasangan Tissue Expander di HKL
  • Rest In Peace- Papa Francisco
  • Program Celik AI secara atas talian dengan kerjasama Pepper Labs dan Microsoft

Article Archives

© 2025 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme