Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Ucapan berkenaan One Stop Center di PBT di Kamar Khas

Posted on Tuesday, 19-03-2024Friday, 05-04-2024 by Editorial Team

Tuan Yang di-Pertua,

Proses Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) diwujudkan pada tahun 2007 atau 2008 dengan tujuan untuk mengurangkan birokrasi dan rasuah di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan meletakkan tanggungjawab penuh pengeluaran CCC kepada Orang Yang Mengemukakan Permohonan Utama (Principal Submitting Person, PSP) dan Orang Yang Mengemukakan Permohonan (Submitting Person, SP) dengan campur tangan yang minima daripada PBT, seperti yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL).

Pusat Setempat (One Stop Center / OSC) mesti menjalankan tugasnya secara profesional demi mengatasi campur tangan pegawai yang bertanggungjawab (PIC) daripada agensi Kerajaan. Tetapi kini, OSC nampaknya telah lari daripada peranan asalnya dan kadang-kadang telah menjadi “All Stop Center”.

Misalnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memegang kunci dan monopoli bekalan tenaga. Namun, kadang-kala, spesifikasi kejuruteraan yang dipilih oleh TNB dengan prosedur dalaman mereka telah mengeluarkan syarat-syarat yang tidak munasabah dan reka bentuk yang tidak ekonomik dan kurang sesuai, dengan izin “it makes no good engineering and technical sense”.

PBT adalah barisan hadapan yang menyambut baik pelaburan tempatan dan pelaburan asing. Justeru, kelulusan OSC tidak harus berdasarkan “pilihan peribadi” PIC agensi-agensi yang berkaitan, tetapi harus berpaksikan piawaian (standards) sebagai SOP bagi CCC, kerana PIC yang selalu menghalang dan melewatkan kelulusan permohonan akan menyusahkan pelabur.

Sebenarnya, undang-undang kita telah jelas mengatakan PSP dan pasukan SPnya hendaklah bertanggungjawab secara profesional bagi CCC yang dikeluarkan oleh PBT.

Kini, industri pembinaan menghadapi masalah ketiadaan Kod Kebakaran (Fire Code) yang berasaskan piawaian yang boleh diguna pakai oleh OSC. Ketiadaan Kod Kebakaran menyebabkan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat yang memberi kelulusan mentafsir undang-undang atau peraturan kejuruteraan kebakaran secara peribadi dan tidak konsisten.

Justeru, adalah mendesak bagi KPKT untuk menetapkan satu Kod Kebakaran piawai untuk diguna pakai oleh semua PBT. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diseru bekerjasama dengan pakar di dalam Institut Engineers of Malaysia (IEM) untuk merangka Kod Kebakaran tersebut.

Kini, terdapat beberapa pelaburan asing yang bernilai berbilion-bilion ringgit dalam bidang Pusat Data merangkap tenaga peralihan menunggu kelulusan di Malaysia. Pihak yang memberi kelulusan permohonan mereka bukan sahaja melibatkan PBT, tetapi juga syarikat utiliti seperti TNB, syarikat penyedia telekomunikasi, dan juga Jabatan Alam Sekitar yang membuat semakan dan penguatkuasaan Environmental Impact Assessment (EIA).

Permohonan pelabur asing yang kelihatan “rumit” ini haruslah dipermudah oleh satu pasukan khas daripada Kerajaan pusat untuk mengurangkan segala “red tape” yang dihadapi di semua peringkat demi memudahkan pelaburan asing bernilai berbilion-bilion ringgit ini untuk bertapak di Malaysia.

Sekian, terima kasih.


JAWAPAN

​Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menguatkuasakan pemakaian Manual OSC 3.0 Plus dan Sistem OSC 3.0 Plus Online yang telah diterima pakai oleh semua negeri di Semenanjung Malaysia. Semua permohonan cadangan pemajuan di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan diterima melalui Pusat Setempat (OSC) yang sentiasa menjalankan tugasnya secara profesional dan teliti berlandaskan peranan dan prosedur yang telah ditetapkan dalam manual tersebut.

Berdasarkan kepada manual tersebut juga, empat belas (14) agensi teknikal utama yang terlibat dalam proses pertimbangan cadangan pemajuan bertanggungjawab untuk menyatakan ulasan teknikal mengikut bidang kepakaran masing-masing termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ulasan-ulasan daripada agensi teknikal ini menjadi asas kepada pertimbangan untuk meluluskan sesuatu permohonan cadangan pemajuan yang dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

​Kelulusan bagi setiap permohonan cadangan pemajuan akan diputuskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa OSC (MJKOSC) yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar/Yang Dipertua PBT. Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan daripada ulasan-ulasan teknikal yang diperolehi daripada semua agensi yang telah dinyatakan. Selain daripada itu, keperluan-keperluan lain juga diperolehi terlebih dahulu daripada agensi teknikal seperti keperluan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Kajian Impak Trafik (TIA), Audit Keselamatan Jalanraya (RSA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan lain-lain keperluan yang menyokong permohonan.

KPKT mengambil maklum bahawa terdapat beberapa kes aduan berkaitan dengan kelewatan pengeluaran Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) yang berkait rapat dengan urusan TNB. Walau bagaimanpun, syarat-syarat dan spesifikasi teknikal yang ditetapkan oleh TNB dalam proses permohonan cadangan pemajuan yang dikemukakan adalah tertakluk kepada bidang kepakaran TNB sendiri. KPKT akan memantau proses permohonan cadangan pemajuan di PBT agar tidak bertentangan dengan perundangan yang berkuatkuasa.

Selain daripada syarat-syarat dan spesifikasi teknikal, ulasan-ulasan yang diperlukan untuk meluluskan cadangan pemajuan adalah bersifat unik yang bergantung kepada lokaliti dan ketersediaan infrastruktur di sesuatu kawasan pembangunan. Merujuk kepada contoh pembangunan Pusat Data yang dinyatakan oleh Ahli Yang Berhormat, keperluan teknikalnya adalah berbeza antara satu daerah dengan daerah yang lain seperti permintaan maksima untuk memenuhi beban puncak elektrik dan air.

Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat selanjutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merupakan agensi utama yang bertanggungjawab dalam memastikan sesuatu bangunan/premis berada dalam keadaan selamat dan boleh didiami, terutamanya melibatkan aspek rekabentuk keselamatan kebakaran bagi bangunan/premis. Ketika ini, JBPM sedang giat mengadakan sesi libat urus dengan badan-badan profesional seperti Persatuan Arkitek Malaysia (PAM), Institution Of Engineer (IEM), Association Consulting Engineer Malaysia (ACEM), pemain industri, pemegang taruh, agensi kerajaan dan swasta serta pihak-pihak berkepentingan lain untuk membangunkan Malaysia Building Fire Safety Code (MBFSC). MBFSC adalah dicadangkan diwartakan klausa peruntukan punca kuasa penggunaannya dalam Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) bagi memastikan JBPM dapat melaksanakan penguatkuasaan, kawal selia dan praktis yang seragam di seluruh negeri.

Sekian, terima kasih.

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).
  • 𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐘𝐁 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐖𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐔𝐁𝐒𝐈𝐃𝐈 𝐌𝐈𝐍𝐘𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐒𝐀𝐊 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐃𝐀𝐆𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐒 𝐒𝐀𝐑𝐀 𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏 𝐏𝐀𝐃𝐀 𝟏𝟔 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔
  • (no title)
  • UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PROFESION KERJA SOSIAL OLEH TERESA KOK, AHLI PARLIMEN SEPUTEH PADA 14 JULAI 2026
  • MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI diminta menyatakan status penaiktarafan semua depot biodiesel di Malaysia untuk menyimpan, mengadun dan mengedar biodiesel B20
  • Pembatalan Penyewaan Tapak Bekas SK Danau Perdana Bukti Keperluan Reformasi Tadbir Urus Tanah Persekutuan (14 Julai 2026)
  • 郭素沁:撤销前达瑙柏兰岭国小旧址租约 反映联邦土地治理须改革
  • Govt Urged to Implement PAC Recommendation to Establish KL Land Committee After SK Danau Perdana Lease Reversal (14 July 2026)
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑗𝑢𝑚𝑙𝑎ℎ 𝑎𝑑𝑢𝑎𝑛 𝑑𝑖𝑡𝑒𝑟𝑖𝑚𝑎 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝐾𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡𝑒𝑟𝑖𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟ℎ𝑢𝑏𝑢𝑛𝑔 𝑑𝑎𝑘𝑤𝑎𝑎𝑛 𝑟𝑎𝑠𝑢𝑎ℎ 𝑚𝑒𝑙𝑖𝑏𝑎𝑡𝑘𝑎𝑛 𝑘𝑜𝑝𝑒𝑟𝑎𝑠𝑖 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 5 𝑡𝑎ℎ𝑢𝑛 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠.
  • UCAPAN TERESA KOK DALAM PERBAHASAN RUU PINDAAH AKTA KAWALAN PADI DAN BERAS 1994 PADA 9 JULAI 2026
  • Perbahasan berkenaan Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Center (OSCC) pada 9 Julai 2026
  • KSN DAN KP JKPTG DISERU MEMBATALKAN KONTRAK PENYEWAAN TAPAK SEKOLAH (LOT 54836) DI TAMAN DESA KEPADA SYARIKAT SWASTA
  • MENTERI PENDIDIKAN diminta menyatakan bilangan murid-murid darjah satu di setiap sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di kawasan Parlimen Seputeh dan Bukit Bintang pada tahun 2023, 2024, 2025 dan 2026
  • Ucapan Perbahasan Teresa Kok (Seputeh) Laporan SUHAKAM 2024 Pada 7 Julai 2026

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme