Kementerian Pendidikan memang ada banyak isu yang haruslah dibangkit untuk tindakan Kementerian Pendidikan, tetapi saya akan tumpu kepada 6 isu dalam 5 minit yang diberikan hari ini.
1. Peruntukan kepada SMJK/Conforming schools
Negara kita mempunyai 81 buah SMJK dan selama ini SMJK terima peruntukan khas daripada Kementerian Pendidikan.
Majlis Pembangunan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Conforming) Malaysia merasa amat kecewa dengan berkurangan peruntukan khas bagi SMJK sejak tahun 2021.
Untuk pengetahuan Dewan yang mulia, peruntukan yang diberi oleh Kementerian pendidikan kepada SMJK daripada tahun 2015 sehingga tahun ini adalah seperti berikut.
2015 – 25 juta
2016 – 15 juta
2016 – 15 juta
2017 – 15 juta
2018 – 15 juta
2019 – 15 juta
2020 – 20 juta
2021 – 4.11 juta
2022 – tiada peruntukan
2023 – 5 juta 92 ribu 500 ringgit
Jumlah peruntukan yang diberi oleh Kementerian Pendidikan kepada SMJK pada tahun 2023 adalah jauh lebih rendah berbanding dengan zaman Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
Jumlah peruntukan bagi tahun 2020 adalah RM20 juta tetapi tahun ini adalah RM5 juta lebih sahaja.
Majlis Pembangunan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Conforming) Malaysia amat kecewa SMJK dan Conforming schools dan juga sekolah mubaligh dipinggirkan dari segi peruntukan. Banyak sekolah-sekolah ini mempunyai bangunan yang usang dan banyak perlu peruntukan untuk menambahbaikkan perlengkapan sekolah. Saya berharap Kementerian Pendidikan menyahut permintaan mereka.
2) Dual Language Programme (DLP) Untuk SMJK & conforming schools
Isu perubahan dasar Kementerian Pendidikan dalam pelaksanaan DLP bagi Darjah 1 dan Tingkatan 1 mulai sesi akademik 2023/2024 menjadi berita hangat dalam media kebelakangan ini.
Lembaga Pengelola Sekolah-Sekolah Menengah (Conforming) / Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) telah membuat rayuan kepada PMX dan Menteri Pendidikan supaya memberi kebenaran kepada Sekolah Menengah (Conforming) mengguna Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik Dual Language Programme untuk semua kelas Tingkatan 1 sesi akademik 2023/2024, kerana ini adalah hasrat PIBG, dan ia juga sejajar dengan pengumuman YAB PM untuk memperkasakan Bahasa Inggeris untuk tahun hadapan.
Ramai Ahli Parlimen telah bangkit isu ini, saya tidak akan mengulangi poin mereka, diharap YB Menteri mendengar suara wakil rakyat dan suara pengelola sekolah SMJK & Sekolah Mubaligh ini.
3) Komunikasi Kementerian Pendidikan Yang Kurang Memuaskan
Kementerian Pendidikan telah membuat siri kenyataan yang mendatangkan kritikan terhadapnya, selain daripada isu Buku 40 Hadith dan Minggu Solidariti dengan Palestine, isu-isu lain termasuk:
i) peruntukan penyelenggaraan tandas bagi semua sekolah di bawah KPM, tetapi akhirnya didapati peruntukan untuk tandas ini tidak termasuk sekolah bantuan kerajaan;
ii) Kenyataan tentang KPM tidak mengambil guru yang khusus dalam Bahasa Cina dan Tamil di SJKC dan SJKT bagi tahun 2024 – 2029 sedangkan SJKC dan sekolah-sekolah kebangsaan aliran lain juga menghadapi masalah kekurangan guru.
Semalam, 3 mukasurat penuh Sin Chew Jit Poh berkenaan masalah kekurangan guru di sekolah Cina. Saya ingin minta YB Menteri minta pegawai menterjemah kesemua laporan ini untuk faham masalah sebenar.
iii) KPM enggan mengumumkan peruntukan yang diberi kepada SJKC, SJKT, SMJK dan Sekolah Mubaligh pada tahun ini, walaupun saya tahu peruntukan kepada SJKC memang lebih kurang sama dengan jumlah peruntukan pada tahun lepas.
Saya telah tanya satu soalan Parlimen berkenaan peruntukan penyelenggaraan bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan mengikut aliran SK, SJKC, SJKT dll dalam sidang Dewan Rakyat ini, tetapi saya tidak terima jawapan sehingga hari ini. Kenapakah KPM nak simpan fakta tentang peruntukan kementerian ini? Rakyat adalah pembayar cukai dan mereka ada hak untuk tahu tentang maklumat peruntukan kerajaan.
Saya cadang KPM menterjemah laporan akhbar dan laporan media sosial berkenaan KPM kepada Bahasa Malaysia supaya Menteri dan KPM tahu tentang maklum balas masyarakat umum terhadap KPM.
Di sini, saya ingin bangkit masalah yang melibatkan 3 sekolah secara ringkas:
4) SJKT Ladang Kinrara
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kinrara yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong, Negeri Selangor adalah satu sekolah yang lama. Ia telah beroperasi sejak tahun 1946 dan mempunyai 800 orang murid-murid.
SJKT Ladang Kinrara telah diminta oleh DBKL untuk merobohkan bangunan sekolah yang terceroboh dalam rezab jalan di Jalan Mas, supaya Jalan Mas boleh diperluaskan.
Pihak sekolah perlu RM1 juta untuk membina bangunan yang baru, mereka telah tulis surat kepada Kementerian tetapi tidak terima apa-apa jawapan daripada Kementerian. Saya berharap YB Menteri boleh membantu mereka.
5) SJKC Too Joon Hing Bandar Kinrara
Pembinaan SJKC Too Joon Hing telah bermula setelah mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) daripada Pengarah Pendidikan Selangor pada 1 Julai 2020.
Jawatankuasa Pembinaan Sementara SJKC Too Joon Hing telah mengikuti semua garis panduan dan undang-undang yang berkuatkuasa, tetapi Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan henti kerja pada 25 Oktober 2021.
Pada 5 Disember 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan membenarkan pembinaan SJKC Too Joon Hing diteruskan. Saya berharap Kementerian Pendidikan membatalkan rayuannya ke mahkamah dan membantu SJKC Too Joon Hing disiapkan.
6) SJKC Khai Chee di kawasan parlimen Segambut
Bangunan baru SJKC Khai Chee di kawasan Parlimen Segambut yang telah disita oleh Kementerian Pendidikan amat mengecewakan masyarakat setempat. Larangan KPM bagi sekolah tersebut untuk menggunakan bangunan baru sekolah itu juga menyebabkan kesesakan trafik di kawasan tersebut.
Saya berharap Menteri Pendidikan menggunakan kuasanya untuk menyelesaikan masalah konflik di antara SJKC Khai Chee dan Kementerian.
Teresa Kok