Ucapan Perbahasan Bajet 2024 Oleh Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Pada 19 Oktober 2023
Sebagai permulaan, saya ingin mengatakan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri dan pegawai-pegawai Kementerian Kewangan yang telah bertungkus-lumus menyediakan bajet 2024 yang holistic, komprehensif dan teliti.
Saya ingin membangkitkan beberapa isu berkenaan dengan Bajet 2024 dalam tempoh 15 minit ini.
1) Dasar Pembangunan Perumahan Semula
Dalam ucapan bajet YAB PM, beliau berkata “kerajaan telah menggerakkan pasukan khas di bawah KPKT untuk menyelesaikan isu projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai yang menghimpit pembeli rumah. Secara keseluruhan, RM2.47 billion disediakan untuk melaksanakan projek perumahan. Dana jaminan khas berjumlah RM1 billion bagi menggalakkan pemaju yang berwibawa memulihkan projek terbengkalai yang telah dikenali pasti.”
Saya mengucapkan tahniah kepada KPKT yang telah berjaya memulihkan 256 projek sakit dan memulihkan lebih 28,000 unit rumah yang melibatkan nilai pembangunan kasar RM23.37 billion. Ini adalah satu pencapaian yang amat menggalakkan.
Walau bagaimanapun, sekiranya anggota dalam “pasukan khas” KPKT juga adalah pegawai yang diberi tanggungjawab untuk mengeluarkan lesen, mengawal-selia dan menguatkuasakan Housing development (control & licensing) Act. Kalau mereka telah gagal menjalankan tugas sehingga banyak projek perumahan bermasalah, macam mana orang yang sama mampu memulihkan projek sakit dan terbengkalai?
Selain itu, YAB PM juga berkata dalam ucapannya, “…….bagi memudahkan pembangunan semula skim strata, ambang persetujuan penduduk untuk jualan en-bloc akan dikurangkan daripada 100% kepada tahap yang konsisten berdasarkan amalan antarabangsa seperti di Singapura. Ini akan menggalakkan pembaharuan semula Bandar dan menggalakkan pembangunan semula bangunan usang di Bandar.”
Saya difahamkan Persatuan-persatuan penduduk Kuala Lumpur Plus (KLRA+) yang mewakili 57 persatuan penduduk dari 10 kawasan parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 3 NGO dan satu institusi pengajian tinggi, telah menghantar satu memorandum kepada YAB Perdana Menteri pada 18 Oktober. Dalam memorandum itu, mereka membantah dasar kerajaan yang ingin mengurangkan Jualan En-Bloc daripada 100% untuk tujuan pembangunan semula.
Saya amat setuju dengan kenyataan House Buyers Association (HBA) di mana penetapan “ambang persetujuan” (consent threshold) yang kurang daripada 100% sebenarnya telah menjejaskan hak pemilikan hartanah di bawah Perlembagaan Persekutuan. Setiap rancangan untuk pembaharuan mesti mendapat persetujuan daripada setiap pemilik rumah/unit dalam satu kawasan perumahan ataupun dalam satu rumah pangsa.
Saya difahamkan KPKT akan membentangkan undang-undang pembangunan semula di Parlimen, saya berharap undang-undang ini bukan satu lagi “penjualan en-bloc strata secara paksaan”. Lebih 10 tahun yang lepas, sesetengah pemaju pernah meminta kerajaan rampas (confiscate) tanah daripada pemilik untuk tujuan pembangunan semula. Saya menyeru KPKT berhati-hati dan mengadakan konsultasi yang menyeluruh sekiranya ingin membentangkan apa-apa undang-undang berkenaan pembangunan semula.
Di bawah kerajaan yang mengamalkan konsep Madani ini, sebarang pembangunan semula tidak boleh dijalankan secara paksaan, kerana ia pasti akan mencetuskan pergaduhan dan ketidak-harmonian di kalangan pemilik rumah di bawah skim strata ataupun skim perumahan lain.
Di kawasan Parlimen Seputeh, cadangan untuk membangunkan semula 689 unit rumah pangsa kos menengah bertingkat yang bernama Taman Sri Endah di Sri Petaling telah menjadi satu isu yang amat kontroversial dan menggoncangkan masyarakat seluruh Sri Petaling. Di bawah cadangan ini, pemaju akan membina 3605 unit rumah di 4 blok bangunan kondominim yang mempunyai 54 tingkat di tapak yang berkeluasan 4.6 haktar tersebut.
Cadangan pembangunan semula tersebut yang mendapat kebenaran awal daripada Jabatan Wilayah Persekutuan telah mendatangkan bantahan kuat daripada 29% pemilik rumah yang tidak setuju dengan tawaran pemaju dan juga 100 persatuan di Sri Petaling. Protes beramai-ramai telah diadakan oleh penduduk-penduduk di Sri Petaling. Mereka membantah projek raksaksa ini kerana ia sudah tentu akan menjadikan kesesakan jalan raya di Sri Petaling dan persekitaran bertambah serius. Sebenarnya, projek raksaksa ini langsung tidak sesuai didirikan di tapak berenaan, tetapi pemaju telah diberi kebenaran awal daripada pihak kerajaan.
Dato Yang diPertua, pembangunan semula juga bermaksud pertambahan penduduk yang ramai di tempat yang terlibat. KPKT dan PBT haruslah menjalankan kajian yang menyeluruh terhadap kesesuaian lokasi projek, isu-isu seperti trafik, perkhidmatan perubatan, sekolah dan kawasan lapang juga haruslah diambilkira oleh kerajaan sekiranya kerajaan ingin mennjalankan pembangunan semula. Dengan kata lain, pembangunan semula haruslah membawa peningkatan kualiti kehidupan (quality of life) bagi masyarakat setempat dan bukannya menyumbang kepada kejatuhan kualiti kehidupan.
Populasi di negara kita hanyalah 33 juta. Kita mempunyai tanah yang luas yang boleh digunakan untuk membina perumahan baru. Kawasan Lembah Klang telah dijejaskan oleh pembangunan yang tidak terkawal dan pengangkutan awam yang tidak memuaskan. Keadaan kita adalah tidak sama dengan Singapura dan Hong Kong yang mempunyai saiz tanah yang terhad. Jadi undang-undang di Hong Kong dan Singapura tidak semestinya sesuai digunapakai di negara kita.
2) TVET
Datuk yang diPertua, saya mengalu-alukan halatuju kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia sebagai negara yang berpendapatan tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang tinggi (High- Income High-Growth). New Industry Master Plan 2030 juga adalah initiatif yang baik bagi masa depan negara kita.
Akan tetapi, sekiranya kita ingin menarik masuk pelaburan yang berteknologi tinggi dan menaikkan gaji warga Malaysia, kita mestilah mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja yang mahir dalam sains dan teknologi.
Mengikut kenyataan daripada Small and Medium enterprises association of Malaysia (Samenta) yang disiarkan dalam akhbar The Edge pada tahun lepas, Negeri Pulau Pinang sahaja sudah menghadapi kekurangan 50,000 jurutera untuk memenuhi keperluan industry semiconductor. Pada waktu yang sama, pekerja yang mahir di Malaysia pula ditarik oleh pengilang di negara jiran.
Kerajaan mesti memandang serius kekurangan jurutera yang serius di negara kita dan mengambil langkah yang wajar untuk mengatasi masalah ini, supaya kita boleh menjayakan New Industry Master Plan 2030 dan impian kita untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang “High Income High Growth”.
Saya cadang Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi bekerjasama untuk menggalakkan dan memupuk minat pelajar kita untuk belajar dalam aliran sains. Saya cadang Kementerian Pendidikan mengadakan latihan khas (special training) bagi guru-guru kita tentang cara pengajaran subjek sains dan matematik yang lebih efektif. Kementerian Komunikasi dan Digital juga haruslah memainkan peranan untuk mewar-warkan kelebihan dan kepentingan pembelajaran sains dan matematik, dan menggalakkan orang muda kita belajar dalam aliran sains.
Saya amat setuju dengan cadangan kerajaan untuk mengadakan latihan TVET yang diketuai oleh industry (TVET led by industry), supaya peserta latihan vokasional boleh memenuhi keperluan industri-industri tertentu. Walau bagaimanapun, “the devil is in the details”, saya ingin tanya, kementerian ataupun agensi manakah yang mengkoordinasi projek “TVET led by industry ini” dan berapa latihan TVET jenis ini telah ataupun akan dirancangkan? Ini kerana TVET sekarang diletakkan di bawah banyak agensi kerajaan dan kementerian.
3) Menubuhkan Unit Khas Untuk Memudahkan Pelaburan Asing
Datuk yang diPertua, saya rasa kita mesti memberi penghargaan kepada YAB PM dan anggota-anggota kabinet kita yang telah bertungkus-lumus cuba membawa masuk pelaburan asing dari China, Amerika Syarikat, Eropah, negara-negara Arab dan lain ke negara kita. Saya ingin beri beberapa cadangan kepada kerajaan berkenaan penarikan masuk pelaburan:-
1) Menempatkan penjawat awam yang fasih dalam pelbagai Bahasa (multi-lingual) di bawah kementerian dan agensi kerajaan yang berhadapan dengan pelabur dan peniaga asing, khususnya: MITI, Kementerian Pelancongan dan Kementerian Luar Negara, supaya kita boleh berkomunikasi dengan baik dengan pelabur secara berkesan dan memudahkan urusan dengan mereka;
2) Menubuhkan unit seperti “Pemandu” ataupun “task force” untuk membantu pelabur asing menangani masalah yang dihadapi oleh mereka di negara kita;
3) MITI juga boleh mengadakan sesi khas tentang dasar dan insentif pelaburan kepada wakil rakyat di dewan rakyat, khususnya mereka yang fasih dalam beberapa bahasa, untuk membantu MITI ataupun Kementerian Pelancongan untuk bergaul/socialise dengan pelabur dan peniaga asing.
4) Kerajaan harus menggalakkan pembelajaran bahasa asing
Sehubungan dengan itu, saya juga ingin menyeru Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menggalakkan universiti dan kolej awam kita untuk mengadakan kursus Bahasa asing samada Bahasa Tionghua, Bahasa Arab, Bahasa Jepun, Bahasa Korea, Bahasa Inggeris, supaya graduan kita lebih mudah mencari kerja di syarikat pelabur asing di negara kita.
Saya masih ingat pada tahun 80-an bila Kerajaan melancarkan Dasar Pandang Ke Timur, ramai pelajar mengambil kursus Bahasa Jepun dan Bahasa Korea sebagai subjek “elektif” ataupun “opsyen” di university tempatan. Sesetengah pelajar Malaysia juga meneruskan pengajian universiti di Jepun dan Korea. Ramai pelajar yang fasih dalam Bahasa Jepun dan Korea sekarang bekerja di syarikat besar Jepun dan Korea, ada pula yang mengadakan bisnes dengan syarikat Asia Timur berkenaan.
Saya berpendapat, sekiranya kerajaan ingin menarik lebih syarikat besar dari negara asing ke negara kita, sekolah dan university dan kolej tempatan juga harus menawarkan kursus bahasa asing, supaya orang muda kita boleh dapat pekerjaan dengan gaji yang tinggi di syarikat-syarikat asing di negara kita.
Pada minggu lepas, terdapat laporan akhbar bahawa seorang jurutera yang mendapat “first class honors degree” dari universiti tempatan mengadu dia tidak dapat cari kerja kerana dia tidak dapat berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, dan dia berasa sangat kecewa.
Dunia kita telah menjadi “global village”, sekiranya kita ingin menarik lebih pelabur dan malah pelancong asing ke Malaysia, kita haruslah menggalakkan pelajar dan orang muda kita untuk menguasai Bahasa asing, selain daripada Bahasa Malaysia, supaya mereka menjadi lebih “employable”.
5) RENOVATION SCAM
Saya telah bangkitkan masalah scam pengubahsuaian ataupun “renovation scam” beberapa kali di dalam dan di luar Dewan Rakyat. Saya juga pernah menulis surat aduan kepada Jabatan Peguam Negara, Bahagian Jenayah Komersial PDRM, CIDB, Menteri Komunikasi dan Digital, Menteri Kerja Raya dan lain, kerana nampaknya kita tidak mempunyai undang-undang ataupun apa-apa peraturan (regulations) untuk menangani jenayah komersial jenis ini, sehingga ramai pembeli rumah ditipu. Soalan saya kepada PDRM dan Jabatan Peguam Negara adalah, berapa kes renovation scam telahpun didakwa ke mahkamah sehingga hari ini? Saya difahamkan CIDB telah panggil beberapa agensi kerajaan untuk membincangkan jenayah jenis ini. Apakah rancangan kerajaan untuk menangani kes scam pengubahsuaian ini?
6) Bio-diesel B20
Bajet kita telah menunjukkan halatuju ke arah penjagaan alam sekitar dan menangani perubahan iklim. Semasa saya memegang jawatan Menteri Industri Utama, saya telah melancarkan kempen bio-diesel B20. Pada tahun 2020, Kementerian Kewangan telah setuju untuk memberi RM300 juta untuk menaiktaraf fasiliti depoh di beberapa tempat di seluruh Malaysia supaya B20 bio-diesel boleh digunakan di seluruh negara.
Penggunaan bio-diesel akan mengurangkan karbon di udara, dan juga menyumbang kepada peningkatan harga minyak sawit. Saya ingin tanya Kementerian Peladangan dan Komoditi, apa berlaku pada projek B20 ini sekarang? Kenapakah kementerian tidak meneruskan program B20 ini?
Teresa Kok