Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Ucapan Dalam Kamar Oleh Teresa Kok (Seputeh) Dalam Sidang Dewan Rakyat -Bagaimana Kerajaan Mengatasi Cabaran Penjualan Karbon Oleh Kerajaan Negeri

Posted on Thursday, 19-10-2023Thursday, 19-10-2023 by Editorial Team

Tuan Yang di-Pertua,

Peranan sektor perhutanan telah pun diiktiraf di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Konvensyen Kerangka Perubahan Iklim (United Nations Framework Convention on Climate Change – UNFCCC) dan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (United Nations Convention on Biological Diversity – UNCBD).
Dari segi mitigasi, UNFCCC telah mewujudkan satu mekanisme dikenali sebagai “Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation in Developing Countries” atau nama singkatnya REDD Plus.

Untuk melaksanakan mekanisme ini, Malaysia telah melakukan persediaan yang wajib serta melaporkannya kepada UNFCCC sejak beberapa tahun yang lepas; iaitu:
1. National REDD Plus Strategy (NRS);
2. Forest Reference Level (FRL) atau Forest Reference Emissions Level (FREL);
3. National Forest Monitoring System; dan
4. Safeguard Information System.

Sehubungan itu, Malaysia telah membangunkan satu kerangka kewangan iaitu “REDD Plus Financial Framework” untuk membolehkan kita mendapat dana untuk membiayai sistem pengurusan hutan secara mampan.

Sektor perhutanan merupakan satu-satunya sektor yang mempunyai sumbangan positif kepada pengurangan pelepasan karbon di Malaysia kerana hutan kita, sama ada hutan perlindungan, hutan simpanan kekal atau hutan negeri merupakan sinki karbon di mana stok karbonnya melebihi perlepasan karbonnya.

Berdasarkan laman web UNFCCC, Malaysia telah mencatatkan ‘avoided emissions’ sebanyak 97.47 juta tan karbon menerusi sistem Sustainable Forest Management (SFM) antara 2006 hingga 2010. Perkara tersebut telah dilaporkan menerusi FRL seperti yang disebutkan tadi.

Justeru, Malaysia layak untuk memohon ‘results-based payment’ menerusi Green Climate Fund (GCF). Contohnya, Indonesia telah mendapat GCF sebanyak USD103 juta bagi 20 juta tan karbon pada tahun 2020.

Langkah tersebut adalah selaras dengan pendirian negara kita bahawa negara maju selaku ‘historical emitters’ mempunyai obligasi untuk memberi bantuan kewangan kepada negara-negara yang sedang membangun.

Peranan mitigasi yang dimainkan sektor hutan juga amat penting bagi pelaksanaan Nationally Determined Contributions (NDCs) untuk mengurangkan pelepasan intensiti karbon negara sebanyak 45% antara 2021 hingga 2030, berdasarkan tahap pelepasan karbon pada tahun 2005.

Beberapa kerajaan negeri telah mengumumkan hasrat untuk menjual karbon hutan mereka di pasaran karbon sukarela. Mereka mungkin tidak sedar bahawa ini akan membawa cabaran kepada pelaksanaan NDC di peringkat kebangsaan.

Ini kerana, stok karbon hutan sedia ada seluruh negara telah diambil kira dalam perancangan NDC untuk membolehkan Malaysia mencapai pelan pengurangan intensiti karbon. Sebarang pengeluaran stok karbon hutan oleh mana-mana negeri untuk pasaran karbon sendiri akan menjejaskan pengiraan sebelum ini.

Saya menyeru Kementerian memberi perhatian dalam isu ini, dan memberi penerangan kepada setiap negeri supaya Malaysia dapat memaparkan dasar yang matang dan konsisten demi meningkatkan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap dasar perhutanan dan perubahan iklim kita.

Sekian, terima kasih.

Jawapan

Tuan Yang Dipertua,

1. Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan iklim (NRECC) bersetuju akan keperluan untuk membangunkan dasar pasaran karbon yang tuntas dan selari dengan matlamat pencapaian komitmen negara dan keputusan rundingan Artikel 6, Perjanjian Paris dalam memastikan sasaran Nationally Determined Contribution (NDC) kita tercapai. Kementerian berpandangan selain sektor perhutanan, mekanisme pasaran karbon berpotensi untuk menjadi pilihan bagi sektor yang menghadapi cabaran teknikal dan ekonomi untuk mengurangkan pelepasan GHG (hard to abate sectors) seperti sektor proses industri dan penggunaan produk, sektor penerbangan dan sektor perkapalan.

2. Dari aspek ekonomi dan perdagangan, pelaksanaan mekanisme pasaran karbon berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan mampan di peringkat domestik dan menyokong peralihan hijau oleh entiti swasta ke arah kemampanan melalui pemindahan teknologi dan mewujudkan peluang pekerjaan hijau.

3. Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Mekanisme REDD Plus telah dibangunkan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Framework Convention on Climate Change – UNFCCC) bertujuan untuk memberikan nilai kewangan terhadap penyerapan karbon oleh hutan serta menawarkan insentif kepada negara-negara membangun bagi mengekalkan hutan dan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) daripada aktiviti perhutanan.

4. Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan menetapkan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Dengan itu, setiap negeri mempunyai kuasa dan hak untuk menggubal undang-undang dan menguruskan dasar perhutanan di negeri masing-masing. Kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan adalah terhad kepada memberi nasihat, bantuan teknikal, latihan, penyelidikan dan pembangunan dalam sektor perhutanan kepada negeri-negeri.

5. Bagi memastikan hala tuju pasaran karbon yang komprehensif dan mengambil kira segala ketetapan di bawah UNFCCC, Kementerian telah membangunkan Panduan Pasaran Karbon Sukarela Sektor Hutan (PKH) sebagai sumber rujukan kepada Kerajaan Negeri serta pihak yang ingin terlibat di dalam aktiviti pembangunan dan perdagangan kredit karbon hutan secara sukarela (voluntary carbon markets – VCM). Walau bagaimanapun, Kementerian tidak mengawalselia aktiviti pembangunan produk bagi VCM buat masa ini, namun begitu mana-mana pihak yang ingin menjalankan aktiviti tersebut perlu mengemukakan butiran mengenai projek kredit karbon tersebut (maklumat projek, skop dan tempoh masa, metodologi dan pelaporan tahunan bagi unit kredit karbon dihasilkan) kepada pihak Kementerian.

6. Selain itu, ianya juga tidak tertakluk kepada mekanisma pasaran karbon di bawah kerangka UNFCCC dan Perjanjian Paris; memandangkan ianya beroperasi di ruang lingkup penawaran/permintaan (supply and demand) yang bersifat sukarela dan diperdagangkan di bawah ekosistem pasaran swasta. Namun begitu, Kerajaan Negeri dan pihak yang terlibat juga dinasihatkan untuk melaksanakan due diligence bagi memastikan sebarang transaksi dan perjanjian tidak merugikan.

7. Ke arah itu, Kementerian ini sentiasa memastikan sokongan teknikal dari segi khidmat nasihat dan pembangunan kapasiti diselaraskan dengan pihak Kerajaan Negeri untuk memudah cara pihak Kerajaan Negeri di dalam menetapkan hala tuju dan keperluan bagi terlibat di dalam aktiviti projek kredit karbon hutan.

8. Selain itu, Bursa Malaysia di bawah Kementerian Kewangan juga telah membangunkan Bursa Carbon Exchange (BCX) yang merupakan platform perdagangan pasaran karbon sukarela (voluntary carbon market – VCM) patuh syariah yang pertama di dunia yang dilancarkan pada 9 Disember 2022. Di bawah BCX, hasil perdagangan karbon kredit yang dijana adalah tertakluk kepada perjanjian di antara pembeli (syarikat swasta, individu dan organisasi) dan penjual bagi memenuhi sasaran sukarela entiti yang membelinya (sebagai contoh, komitmen syarikat ke arah Net Zero dan sebagainya). Kementerian juga telah menetapkan bahawa transaksi kredit karbon di bawah platform BCX tidak boleh digunakan oleh negara lain di dalam mencapai sasaran Nationally Determined Contributions (NDC). Syarikat swasta atau entiti yang berhasrat untuk terlibat di dalam pasaran sukarela ini juga perlu mematuhi piawaian dan syarat yang ditetapkan oleh pengusaha platform ini.

9. Selain pasaran karbon sukarela, mekanisma pengoperasian pasaran karbon pematuhan (compliance carbon market) di bawah Perjanjian Paris sedang dirundingkan dan dijangka akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Mekanisma di bawah Artikel 6, Perjanjian Paris ini adalah berbeza dengan ekosistem pasaran karbon sukarela. Kementerian berpandangan bahawa penetapan dasar bagi pelaksanaan mekanisme pasaran karbon di Malaysia perlu dibangunkan dan sentiasa dikemaskini berpandukan kepada keputusan UNFCCC dari semasa ke semasa.

10. Bagi memastikan dasar ini turut selari dengan konteks pembangunan negara, pembangunan kapasiti dan pelaksanaan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) mengenai mekanisme pasaran karbon kepada pemegang taruh termasuk kerajaan negeri juga penting. Dalam hal ini, Kementerian akan meneruskan libat urus bersama pemegang taruh termasuk kerajaan negeri bagi mendapatkan pandangan dan input berkaitan penetapan dasar bagi pelaksanaan mekanisme pasaran karbon di Malaysia.

Sekian, terima kasih.

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).
  • 𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐘𝐁 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐖𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐔𝐁𝐒𝐈𝐃𝐈 𝐌𝐈𝐍𝐘𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐒𝐀𝐊 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐃𝐀𝐆𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐒 𝐒𝐀𝐑𝐀 𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏 𝐏𝐀𝐃𝐀 𝟏𝟔 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔
  • (no title)
  • UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PROFESION KERJA SOSIAL OLEH TERESA KOK, AHLI PARLIMEN SEPUTEH PADA 14 JULAI 2026
  • MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI diminta menyatakan status penaiktarafan semua depot biodiesel di Malaysia untuk menyimpan, mengadun dan mengedar biodiesel B20
  • Pembatalan Penyewaan Tapak Bekas SK Danau Perdana Bukti Keperluan Reformasi Tadbir Urus Tanah Persekutuan (14 Julai 2026)
  • 郭素沁:撤销前达瑙柏兰岭国小旧址租约 反映联邦土地治理须改革
  • Govt Urged to Implement PAC Recommendation to Establish KL Land Committee After SK Danau Perdana Lease Reversal (14 July 2026)
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑗𝑢𝑚𝑙𝑎ℎ 𝑎𝑑𝑢𝑎𝑛 𝑑𝑖𝑡𝑒𝑟𝑖𝑚𝑎 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝐾𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡𝑒𝑟𝑖𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟ℎ𝑢𝑏𝑢𝑛𝑔 𝑑𝑎𝑘𝑤𝑎𝑎𝑛 𝑟𝑎𝑠𝑢𝑎ℎ 𝑚𝑒𝑙𝑖𝑏𝑎𝑡𝑘𝑎𝑛 𝑘𝑜𝑝𝑒𝑟𝑎𝑠𝑖 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 5 𝑡𝑎ℎ𝑢𝑛 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠.
  • UCAPAN TERESA KOK DALAM PERBAHASAN RUU PINDAAH AKTA KAWALAN PADI DAN BERAS 1994 PADA 9 JULAI 2026
  • Perbahasan berkenaan Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Center (OSCC) pada 9 Julai 2026
  • KSN DAN KP JKPTG DISERU MEMBATALKAN KONTRAK PENYEWAAN TAPAK SEKOLAH (LOT 54836) DI TAMAN DESA KEPADA SYARIKAT SWASTA
  • MENTERI PENDIDIKAN diminta menyatakan bilangan murid-murid darjah satu di setiap sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di kawasan Parlimen Seputeh dan Bukit Bintang pada tahun 2023, 2024, 2025 dan 2026
  • Ucapan Perbahasan Teresa Kok (Seputeh) Laporan SUHAKAM 2024 Pada 7 Julai 2026

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme