Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

Ucapan Dalam Kamar Oleh Teresa Kok (Seputeh) Dalam Sidang Dewan Rakyat -Dasar Agrikomoditi Negara 2010 – 2030 Konsisten dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan

Posted on Thursday, 19-10-2023Thursday, 19-10-2023 by Editorial Team

Pensijilan mampan untuk pengeluaran hutan, iaitu Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) telahpun dilaksanakan di Malaysia di bawah Malaysian Timber Certification Council (MTCC) sejak 1999.

Dasar tersebut diwujudkan untuk menangani kempen anti-kayu balak tropika yang bermula pada akhir tahun 1980an. Ia telah mendorong Malaysia menambahbaikkan aktiviti pembalakan dengan mengamalkan prinsip Pengurusan Hutan Mampan atau “Sustainable Forest Management (SFM)”. Langkah tersebut adalah memastikan industri perhutanan dibangunkan dan diterima oleh pembeli yang kian mengutamakan kesejahteraan alam.

Di Semenanjung Malaysia, pembalakan dijalankan di dalam kawasan hutan simpanan kekal (HSK). Dari segi pentadbiran, kesemua hutan pengeluaran di satu negeri dianggap sebagai satu unit yang dikenali sebagai Forest Management Unit (FMU). Oleh itu, persijilan yang diberi kepada unit itu merupakan persijilan kepada negeri itu.
Negeri-negeri di Semenanjung telah lama disijilkan oleh MTCS. Beberapa negeri seperti Perak dan Terengganu turut mendapat persijilan “Forest Stewardship Council” bagi kawasan pembalakan tertentu.

Pentadbiran perhutanan di Sabah dan Sarawak pula mengikut sistem konsesi dengan pihak pembalak. Oleh itu, perlaksanaan pensijilan masih tertinggal dan belum sempurna.
Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan telah meletakkan sasaran untuk mencapai 100 peratus pensijilan menjelang 2025 supaya kesemua aktiviti pembalakan di Malaysia dilakukan mengikut prinsip SFM yang memastikan amalan-amalan pembalakan yang baik demi kesejahteraan alam dan sosial.

Walau bagaimanapun, saya rasa hairan Dasar Agrikomoditi Negara (2021-2030) di bawah kementerian menurunkan sasaran tersebut kepada 50% menjelang 2030. Ini merupakan satu langkah ke belakang yang amat besar, seolah-olah Kerajaan tidak serius ketika menggubal dasar atau tidak memandang serius kepada dasar yang telah diterima-pakai.

Perubahan dasar tersebut membawa implikasi ketidakseragaman dasar-dasar negara. Ia juga akan menimbulkan ketidakpercayaan oleh masyarakat antarabangsa terhadap dasar negara kita, terutamanya berkenaan obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi (United Nations Convention on Biological Diversity – UNCBD) dan lain perjanjian antarabangsa yang berkaitan.

Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 adalah dokumen yang perlu disediakan oleh setiap negara yang menjadi ahli UNCBD. Ia akan diteliti dan dinilai oleh negara asing terhadap komitmen Malaysia untuk mencapai objektif konvensyen tersebut. Penilaian antarabangsa ini adalah penting bagi pasaran produk agrikomoditi Malaysia.
Skim pensijilan MTCS telah dilaksanakan lebih 20 tahun di Malaysia. Kita harus menggalakkan pemegang konsesi untuk mendapat pensijilan, khususnya bagi mereka yang ingin mendapat manfaat daripada pasaran karbon.

Saya menyeru Menteri Peladangan dan Komoditi memastikan sasaran yang ditetapkan oleh Dasar Agrikomoditi Negara 2021 – 2030 mestilah konsisten dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di-Pertua,

1. Untuk makluman, Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) merupakan satu skim persijilan sukarela yang menyediakan penilaian bebas untuk pengurusan hutan dan rantaian jagaan bagi memastikan pengurusan hutan asli, ladang hutan dan penghasilan produk kayu daripada sumber hutan mampan di Malaysia.

2. Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) merupakan agensi yang bertanggungjawab dalam memastikan kemampanan kayu dan produk kayu negara melalui pensijilan di bawah MTCS sejak tahun 2001.

3. MTCS telah menerima pengiktirafan daripada badan antarabangsa Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC) sejak tahun 2009. PEFC merupakan sebuah organisasi penaung yang menyokong pembangunan dan pelaksanaan skim pensijilan hutan dan kayu di peringkat nasional melalui pengiktirafan antarabangsa.

4. Pengiktirafan oleh PEFC memberi galakan terhadap penerimaan pensijilan MTCS di peringkat antarabangsa merangkumi penerimaan di bawah dasar perolehan awam di pelbagai negara iaitu Belanda, United Kingdom, Jerman, Jepun, Perancis, Finland, Denmark, Belgium, Switzerland dan New Zealand.

5. Skim ini juga diterima di bawah Indeks Bangunan Hijau Malaysia dan Sistem Bangunan Hijau di luar negara iaitu di 5Australia, Itali, Belanda, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Emiriah Arab Bersatu dan Singapura.

6. MTCS terdiri daripada dua komponen pensijilan iaitu Pensijilan Unit Pengurusan Hutan [Forest Management Unit(FMU)], Pensijilan Unit Pengurusan Ladang Hutan [Forest Plantation Management Unit (FPMU)] dan Pensijilan Rantaian Jagaan [Chain of Custody (CoC)].

7. Piawaian utama yang digunakan bagi Pensijilan FMU ialah Malaysian Criteria and Indicator for Sustainable Forest Management (MC&I SFM). Manakala piawaian yang digunakan bagi CoC ialah PEFC ST 2002:2013, Chain of Custody of Forest Based Products – Requirements.

8. Pensijilan FMU dan FPMU di Malaysia dilaksanakan oleh badan pensijilan bebas yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia. Pemegang sijil bagi FMU di Semenanjung adalah Jabatan Perhutanan Negeri, manakala pemegang sijil FMU dan FPMU bagi negeri Sabah dan Sarawak adalah syarikat-syarikat konsesi.

9. Sehingga 30 September 2023, terdapat 31 FMU yang memegang Sijil Pengurusan Hutan (Hutan Asli) bagi kawasan hutan semula jadi seluas 6.03 juta hektar. Manakala, 9 FPMU yang memegang Sijil Pengurusan Hutan (Ladang Hutan) meliputi ladang hutan dengan keluasan 129,979 hektar. Secara keseluruhan, sebanyak 6.16 juta hektar kawasan hutan telah bersijil di bawah MTCS.

10. Dibandingkan dengan jumlah kawasan berhutan di Malaysia, pencapaian peratus kawasan bersijil di bawah MTCS adalah 34.14%. Senarai FMU dan FPMU mengikut negeri adalah seperti di Lampiran I.

11. Manakala, pensijilan CoC pula dianugerahkan kepada syarikat pengeluar atau pengeksport kayu yang dihasilkan dengan menggunakan kayu yang diperoleh daripada FMU/FPMU yang bersijil. Sehingga 30 September 2023, sebanyak 361 syarikat yang mengeluarkan produk berasaskan kayu telah memperoleh pensijilan CoC di bawah MTCS. Jumlah tersebut merangkumi 336 syarikat di Semenanjung, 6 syarikat di Sabah dan 19 syarikat di Sarawak.

Tuan Yang Di-Pertua,

12. Dasar Perhutanan Malaysia yang dilancarkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) pada 20 Mac 2021 menekankan kesinambungan kepentingan dan pelaksanaan pengurusan hutan mampan melalui pensijilan pengurusan hutan mampan bagi ketiga-tiga wilayah di Malaysia. Secara amnya, pensijilan pengurusan mampan dilaksanakan di negeri-negeri di Semenanjung dan secara konsesi di Sabah dan Sarawak.

13. Berkenaan pentadbiran pengurusan perhutanan yang berbeza di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, Kementerian berpandangan ini adalah isu yang berada di dalam bidang kuasa negeri seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

14. Manakala, pengurusan secara konsesi yang dilaksana di Sabah dan Sarawak adalah efektif, setanding dengan pengurusan di peringkat negeri di Semenanjung. Sebagai contoh, di wilayah Sarawak, komitmen kerajaan negeri Sarawak diperkukuhkan lagi apabila Premier Sarawak pada 13 September 2019 mengumumkan pensijilan pengurusan hutan mampan yang mandatori untuk semua FMU atau Long-Term Forest Timber Licence menjelang tahun 2022, manakala pada 12 September 2022, semua FPMU di bawah Licence for Planted Forest yang telah ditebang atau ditanam sebelum tahun 2010 perlu mendapatkan pensijilan pengurusan hutan ladang mampan menjelang Disember 2025.

15. Justeru bagi memastikan pelaksanaan pengurusan perhutanan dan persijilan kawasan hutan menepati sasaran yang ditetapkan, Kementerian sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Agensi berkaitan dari semasa ke semasa seiring dengan dasar yang berkuatkuasa.

Tuan Yang Di-Pertua,

16. Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 (DKBK 2016-2025) telah dilancarkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) pada 22 Februari 2016 dan mensasarkan untuk 100% of all timber and timber products are sustainably managed(i.e. certified under schemes such as MTCS, FSC, etc.) menjelang tahun 2025. Pelan tindakan DKBK 2016-2025 turut menyatakan bahawa semua hutan pengeluaran perlu mendapatkan pensijilan Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) atau skim lain yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

17. Sasaran ini menunjukkan komitmen peringkat kebangsaan untuk memastikan amalan pengurusan hutan mampan (Sustainable Forest Management – SFM) dan industri perkayuan negara adalah seiring dengan cabaran semasa dan perubahan dasar serta perundangan di peringkat antarabangsa.

18. Manakala, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) yang dilancarkan pada 9 Mac 2022 digubal sebagai dasar utama memajukan agrikomoditi demi kemampanan dan kemakmuran bersama dengan memfokuskan kepada lima teras dasar utama iaitu:
i. Kemampanan – menerajui pengeluaran dan penggunaan mampan disepanjang rantaian nilai serta mengoptimumkan ekonomi kitaran;
ii. Produktiviti – meningkat produktiviti melalui R&D&C&I dan penerimagunaan teknologi;
iii. Penjanaan nilai – memperhebatkan penjanaan nilai melalui aplikasi baharu, kepelbagaian produk dan peningkatan kompleksiti produk;
iv. Pembangunan Pasaran – membangunkan pasaran dengan memanfaatkan rantaian bekalan global; dan
v. Keterangkuman – memperluas keterangkuman dan mengimbangi agihan kekayaan secara saksama.

19. DAKN 2030 mensasarkan persijilan hutan sebanyak 50 FMU serta 50% kawasan hutan asli dan ladang hutan disijilkan pada tahun 2030. Sasaran ini ditetapkan setelah mengambilkira pandangan dan ulasan daripada beberapa sesi libat urus dan bengkel bersama pelbagai pemegang taruh termasuk Kementerian, agensi dan wakil industri. Ia turut mengambilkira keadaan industri pada masa ini susulan daripada pandemik COVID-19, pencapaian persijilan dan pelbagai usaha untuk meningkatkan peratusan pemilikan persijilan tersebut.

Tuan Yang Di-Pertua,

20. Untuk makluman, DKBK kini dalam peringkatsemakan semula oleh NRECC dan sesi libat urus bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) juga telah dilaksanakan agar penetapan petunjuk utama dan pelaksanaan DKBK 2022-2030 yang bakal dilancarkan selari dengan DAKN 2030.

21. Dalam hubungan ini, KPK telah mengemukakan cadangan pindaan ke atas sasaran indikator mengenai pensijilan MTCS daripada 100% kepada 50% selari dengan sasaran yang ditetapkan dalam DAKN 2030 pada 7 Ogos 2023. NRECC telah mengedarkan draf akhir DKBK 2022-2030 kepada semua Kementerian termasuk KPK pada 9 Oktober 2023 bagi mendapatkan ulasan sebelum ia dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan. Didapati bahawa cadangan pindaan KPK telah diambil kira dalam draf akhir tersebut.

22. KPK turut dimaklumkan oleh NRECC bahawa pelancaran DKBK 2022-2030 akan diadakan semasa Persidangan Biologi Kebangsaan yang dijadualkan pada 23 hingga 25 Oktober 2023.

23. Kementerian juga amat komited dalam memastikan penghasilan produk kayu daripada sumber hutan mampan. Sehubungan dengan itu, Kementerian melalui MTCC sedang merangka satu kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) ke arah memandatorikan skim pensijilan. Skop kajian ini merangkumi impak pensijilan ke atas kewangan kepada kerajaan dan industri, ketersediaan industri audit, ketersediaan operasi industri, dan bekalan bahan mentah.

Sekian, terima kasih.

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).
  • 𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐘𝐁 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐖𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐔𝐁𝐒𝐈𝐃𝐈 𝐌𝐈𝐍𝐘𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐒𝐀𝐊 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐃𝐀𝐆𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐒 𝐒𝐀𝐑𝐀 𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏 𝐏𝐀𝐃𝐀 𝟏𝟔 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔
  • (no title)
  • UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PROFESION KERJA SOSIAL OLEH TERESA KOK, AHLI PARLIMEN SEPUTEH PADA 14 JULAI 2026
  • MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI diminta menyatakan status penaiktarafan semua depot biodiesel di Malaysia untuk menyimpan, mengadun dan mengedar biodiesel B20
  • Pembatalan Penyewaan Tapak Bekas SK Danau Perdana Bukti Keperluan Reformasi Tadbir Urus Tanah Persekutuan (14 Julai 2026)
  • 郭素沁:撤销前达瑙柏兰岭国小旧址租约 反映联邦土地治理须改革
  • Govt Urged to Implement PAC Recommendation to Establish KL Land Committee After SK Danau Perdana Lease Reversal (14 July 2026)
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑗𝑢𝑚𝑙𝑎ℎ 𝑎𝑑𝑢𝑎𝑛 𝑑𝑖𝑡𝑒𝑟𝑖𝑚𝑎 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝐾𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡𝑒𝑟𝑖𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟ℎ𝑢𝑏𝑢𝑛𝑔 𝑑𝑎𝑘𝑤𝑎𝑎𝑛 𝑟𝑎𝑠𝑢𝑎ℎ 𝑚𝑒𝑙𝑖𝑏𝑎𝑡𝑘𝑎𝑛 𝑘𝑜𝑝𝑒𝑟𝑎𝑠𝑖 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 5 𝑡𝑎ℎ𝑢𝑛 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠.
  • UCAPAN TERESA KOK DALAM PERBAHASAN RUU PINDAAH AKTA KAWALAN PADI DAN BERAS 1994 PADA 9 JULAI 2026
  • Perbahasan berkenaan Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Center (OSCC) pada 9 Julai 2026
  • KSN DAN KP JKPTG DISERU MEMBATALKAN KONTRAK PENYEWAAN TAPAK SEKOLAH (LOT 54836) DI TAMAN DESA KEPADA SYARIKAT SWASTA
  • MENTERI PENDIDIKAN diminta menyatakan bilangan murid-murid darjah satu di setiap sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di kawasan Parlimen Seputeh dan Bukit Bintang pada tahun 2023, 2024, 2025 dan 2026
  • Ucapan Perbahasan Teresa Kok (Seputeh) Laporan SUHAKAM 2024 Pada 7 Julai 2026

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme